Allah Taala said:

Thus, GOD does not change the condition of any people unless they themselves make the decision to change. [13:11]

Pesan Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam

Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi dan al-Tirmizi berkata ia hadis sahih.
Daripada Abu Najih al-'lrbadh ibn Sariyah r.a. beliau berkata: Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam telah menasihati kami suatu nasihat yang menggetarkan hati dan mencucurkan airmata. Kami bertanya: Ya Rasulullah! la seolah-olah nasihat orang yang mahu mengucapkan selamat tinggal, maka berikanlah kami wasiat. Baginda bersabda: Aku mewasiatkan kamu supaya bertakwa kepada Allah 'Azza Wajala, supaya mendengar dan taat, sekalipun kamu diperintah oleh seorang hamba. Sesungguhnya, barangsiapa di kalangan kamu yang masih hidup nanti, nescaya dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa' Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan kuat (iaitu berpegang teguhlah kamu dengan sunnah-sunnah tersebut) dan berwaspadalah kamu dari melakukan perkara-perkara yang diada-adakan, kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat.

Sabtu, 18 Julai 2009

Kisah Ramadan 1999-2000 Lampau (5)

Alamghiri dengan rakan Malaysia bersama para pelajar Uighur yang menuntut di al-Azhar Mesir di rumah sewa mereka.

Rakan Uighur

Sewaktu dalam perjalanan pulang, sebaik sahaja sedang menunggu feri. Aku terserempak dengan seorang lelaki berwajah Asia. Wajahnya ceria dan tidak sombong. Kami bertegur sapa dan dia berkebolehan berbahasa Arab. Namanya Idris (bukan nama sebenar) kerana beliau berasal dari China. Aku yang mengetahui serba sedikit mengenai umat Islam di China cuba mengagak tanah airnya, “Min (dari) Urumqi?

Aiwah! Na’am, ana min Urumchi (ya betul, saya dari Urumqi).

Kami berbual panjang, pelbagai cerita keluar dari mulutnya. Apa yang menarik daripada ceritanya, beliau tidak pernah berkawan dengan pelajar asing sewaktu berada hampir 2 tahun di Mesir. Tidak banyak yang beliau tahu mengenai Malaysia. Kesusahan yang aku pernah lalui untuk belajar di luar negara tanpa biasiswa tidak sama dengan penderitaan mereka.

Beliau menceritakan bahawa setiap orang Islam yang ingin keluar dari China akan dikenakan bayaran yang lebih mahal dari puak Han (China Buddha). Bagi pasport antarabangsa biasa untuk etnik Han, mereka dikenakan bayaran USD 200-300 sahaja berbanding etnik Uighur yang dikenakan bayaran USD1200 lebih.

Kebanyakan pasport mereka adalah pasport palsu atau diperolehi menerusi ‘black market’. Nama yang tertera di pasport pula mestilah nama palsu agar tidak mudah ditangkap oleh pihak keselamatan yang sering mengongkong mereka.

Bukan itu sahaja, hatta nama panggilan seharian juga perlu menggunakan dua nama berbeza bagi mengelak ditahan oleh pihak keselamatan China yang sering menahan pemuda Islam tanpa usul periksa menurutnya. Beliau begitu bersyukur kerana berjaya sampai di Mesir dan menuntut agamanya di sana. Di China apa sahaja yang berkait dengan agama pasti akan ditangkap dan disoal siasat.

Mereka mempunyai ikatan pertubuhan yang kukuh dan kuat di negara luar seperti di Makkah contohnya. Mereka akan menghubungi rakan mereka dan semua ini akan membantu mereka meneruskan hidup di perantauan.

Bersamanya terdapat sebuah radio Hi-Fi yang besar. Aku yang melihatkan radio itu berada di sisinya mengagak bahawa beliau adalah seorang yang sukakan hiburan. Bila aku bertanya kepadanya mengenai hal itu, sangkaanku itu meleset sama sekali. Ini kerana beliau membeli radio itu dengan tujuan untuk menjualnya semula kepada Arab Mesir. Harga sebuah radio itu mampu menjana kos perbelanjaan pendidikannya untuk setahun jika digunakan dengan betul.

Tersentuh hatiku mendengar keperitan mereka untuk berjuang di rantau orang demi kebajikan masyarakat Islam di tanah airnya. Aku bertanyakan lagi mengenai bahasa Arabnya, di manakah beliau belajar bahasa Arab sebelum itu? Beliau menjawab, “Sewaktu aku keluar dari China, aku tidak tahu sepatah pun bahasa Arab. Aku tidak tahu apa itu ma (apa). Tetapi aku belajar sedikit demi sedikit, alhamdulillah aku mampu bercakap dengan orang lain.”

Sekali lagi hatiku tersentuh, melihatkan kesungguhannya mempelajari bahasa Arab iaitu bahasa Al-Quran, sekalipun di China mereka langsung tidak pernah berpeluang mempelajarinya. Berbanding kita yang mempunyai puluhan tempat mempelajarinya masih tidak mampu bertutur sepertinya, agakanku.

Ini kerana, sewaktu berada di Mesir aku melihat ramai pelajar Malaysia tidak boleh bertutur bahasa Arab dengan lancar, biarpun sudah 5-8 tahun berada di sana. Mungkin kerana pergaulan yang terhad dengan bangsa Arab atau etnik lain, ia tidak banyak membantu mereka menguasai bahasa.

Beliau menceritakan bahawa mereka di Urumqi atau Xinjiang bertutur bahasa Uighur yang mirip dengan bahasa Turki. Sebelum itu aku sempat berbual dengan seorang pelajar Turki yang belajar di Mesir. Beliau menyatakan bahawa bahasa Turki yang ditutur oleh pelajar itu difahaminya seratus peratus. Ini membuatkanku pening seketika, kerana kedudukan mereka yang begitu jauh. Sejauh perjalanan Genghis Khan merentas benua Asia hingga ke Eropah.

Sewaktu berada di atas feri, aku cukup tidak tahan dengan kelakuannya semasa sedang tidur di bawah kerusi yang sempit. Beliau meletakkan kakinya di atas kakiku dan membuatkan aku terasa bak sebatang tiang besar sedang menindih tulang keringku ketika itu. Memang mantap! Setiap kali kakinya naik atas tulang keringku, memang aku terpaksa alihkan kerana terlalu keras kakinya itu.

Apabila masa makan, dia sering mengajak kami makan rotinya yang besar. Rotinya itu bagaikan pizza yang tiada apa-apa di atasnya. Apabila makan, sememangnya cukup enak dengan terasa lemak dan masin yang begitu berzat. Beliau menjelaskan, bagi para pengembara padang pasir di tempatnya, mereka akan memasak roti tersebut yang dikatakan cukup lasak. Roti itu mampu bertahan 4-5 hari dan boleh dimakan untuk mengenyangkan tanpa sebarang lauk pauk yang lain. Berbeza dengan roti lain yang tidak bertahan lama, menurutnya.

Sebaik sahaja sampai di Mesir, kami bertukar alamat dan berjanji untuk mengunjungi di rumah sewa mereka. Aku yang tidak tahu hanya mengikut sahaja para pelajar Mesir yang membawa kami ketika itu. Abang kepada Dr. Wifaq iaitu Najaa sebagai juru pandu arahnya. Sesampai kami di rumahnya, terpampang bendera Turkestan Timur yang hampir sama dengan bendera Turki yang berwarna merah, cuma warnanya itu digantikan dengan warna biru.

Mereka tinggal di sebuah rumah flat yang agak kecil dalam 10 orang. Barang keperluan yang agak mewah boleh dikatakan tiada langsung. Hanya beberapa buah katil sahaja yang memenuhi ruang setiap bilik sempit di dalam rumah tersebut. Pelajar paling muda, menurut Idris berumur 15 tahun dan yang paling tua dalam 30-an. Hanya 3 orang yang agak tua, manakala selebihnya masih remaja. Beliau dan seorang lagi rakannya yang berbual dengan kami, manakala yang lain sibuk dengan aktiviti sendiri.

Aktiviti mereka, bukan bermain CD games seperti pelajar kita. Semua mereka berada dalam tempat masing-masing dengan membaca al-Quran dan menghafalnya. Idris berkata, “Kami malu, jika kami pulang nanti tiada apa yang dapat kami sumbangkan kepada masyarakat Islam di China. Sudahlah kami tidak ramai yang berpeluang datang ke sini. Paling tidak kami dapat menghafal al-Quran di dada kami, kerana kami tidak berupaya membawa pulang senaskhah al-Quran untuk dibaca, pastinya naskhah itu bakal dirampas.” Beliau menerangkan dengan penuh semangat.

Luahan hatinya ketika aku mendengar sepatah demi sepatah, menjadikan diriku terawang-awang di udara ibarat langit dan bumi. Apa cerita dengan mereka yang belajar agama selama ini? Adakah mereka sudah menunaikan kewajipan tersebut? Wallahi, aku sendiri terlalu jauh dalam hal ini.

Beliau memanggil salah seorang remaja tersebut yang bersalaman dengan kami sebentar tadi. Masih muda dan baru sahaja menjejakkan kaki di Mesir. Beliau telah menghafal hampir separuh al-Quran dalam masa yang singkat. Suara mereka bergaung menderam di udara. Aku termenung lugu memikirkan semangat mereka ini.

Dalam susah, mereka tetap beristiqamah. Jika mereka pulang nanti, pastinya mereka akan ditahan dan disoal siasat terlebih dahulu oleh pihak keselamatan China sebelum dibebaskan. Malah tidak ramai yang berjaya dibebaskan. Inilah senario masyarakat Islam China yang dipinggirkan.

Sewaktu makanan dihidangkan, aku terkejut melihat mereka menghidangkan nasi minyak berlaukkan daging dan air asam tomato. Aku yang melihat Pok Od turut terdiam melihat hidangan tersebut, lantas menegurnya, “Diorang ni tau ke makanan kegemaran orang Malaysia?”

Entahlah.” Jawab Pok Od seperti tidak sabar lagi menjamah hidangan di hadapannya.

Wifaq bertanyakan mereka mengenai hal itu. Lalu dijelaskan oleh Idris bahawa itu juga adalah hidangan istimewa mereka sewaktu menyambut tetamu dan kenalan yang datang bertandang ke rumah. Jadi, ringkasnya mungkin makanan nasi minyak ini sudah bertebaran ke serata dunia sejak dulu lagi, Cuma kita sahaja yang tidak mengetahuinya.

Itu sahaja kisah yang sempat aku kongsikan bersama buat tatapan kalian kali ini. Semoga kita mendapat semangat dalam usaha mencari ilmu daripada apa yang dikisahkan ini. Semoga Allah membantu rakan kita yang berjuang dalam menegakkan Islam yang suci ini dari terus dikeji dan dicerobohi.

Ya Allah jadikanlah kami pembela agamaMu dan orang yang menyokong pembela agamaMu! Amin…

1 ulasan:

  1. sedih dan terharunya saya membaca kisah saudara & rakan seagama di china.....tanpa sedar air mata mengalir...sedangkan di malaysia, kita bersenang2 dan bermalas-malasan....rezeki dibuang2 dan kemakmuran tidak disyukuri...

    BalasPadam