Allah Taala said:

Thus, GOD does not change the condition of any people unless they themselves make the decision to change. [13:11]

Pesan Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam

Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi dan al-Tirmizi berkata ia hadis sahih.
Daripada Abu Najih al-'lrbadh ibn Sariyah r.a. beliau berkata: Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam telah menasihati kami suatu nasihat yang menggetarkan hati dan mencucurkan airmata. Kami bertanya: Ya Rasulullah! la seolah-olah nasihat orang yang mahu mengucapkan selamat tinggal, maka berikanlah kami wasiat. Baginda bersabda: Aku mewasiatkan kamu supaya bertakwa kepada Allah 'Azza Wajala, supaya mendengar dan taat, sekalipun kamu diperintah oleh seorang hamba. Sesungguhnya, barangsiapa di kalangan kamu yang masih hidup nanti, nescaya dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa' Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan kuat (iaitu berpegang teguhlah kamu dengan sunnah-sunnah tersebut) dan berwaspadalah kamu dari melakukan perkara-perkara yang diada-adakan, kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat.

Selasa, 24 Februari 2009

Suatu Masa Nan Lalu 1


Pernah satu ketika dalam tahun 2001. Aku telah bermusafir ke sebuah kota di Eropah Timur. Aku tidak pernah terfikir untuk sampai ke sana. Apalah ada pada aku seorang anak peneroka Felda yang duduk nun ceruk di pedalaman. Wang tiada, apatah lagi pangkat dan harta. Tapi, bila terkenangkan kata Imam al-Syafie:


Menerusi ilmu, seorang miskin dipandang mulia kerana ilmunya.

Melalui ilmu, seorang kaya akan mendengar kata seorang yang papa.

(au kama qal)


Lalu aku memahami sebab apa ibu bapaku selalu menyuruh aku belajar bersungguh-sungguh. Aku memahami apa yang guruku sering ungkapkan dari peri pentingnya menuntut ilmu. Sesungguhnya dengan ilmu ini, aku berjaya mencapai satu tahap 'manusia' dan ia membawa aku ke merata pelusuk benua.

Mungkin orang mengata, apalah sangat dengan perjalanan dari destinasi ke suatu destinasi. Semua orang mampu melakukannya. Namun bagiku, perjalananku ke serata ceruk Eropah selama 'sebulan' dengan wang belanja hanya USD400 sahaja. Sebulan, bukan seminggu. Bayangkan di kota Paris sahaja jika ingin masuk ke tandas pada waktu itu menyamai FF4.00 bersamaan dengan USD1 atau RM4.00.

Jadi aku bawakan gambar aku di atas ini di tebing sungai Buda. Bangunannya hampir sama dengan bangunan di Putrajaya. Di sebelah sini kota Buda dan di seberang sana kota Pest. Apabila digabungkan jadilah sebutannya Budapest. Aku mengetahui nama Buda dan Pest ini setelah beberapa tahun pulang ke Malaysia.

Sewaktu di sana dalam masa dua hari, suasana cukup menggerunkan kerana ramainya puak Gypsi yang mundar mandir di kotanya yang luas dan besar. Mengapa gerun? Sebabnya mudah, semasa aku bercerita dengan beberapa kenalan, mereka kurang setuju untuk bersiar-siar ke kawasan Eropah Timur. Pertama kali aku memasuki wilayah Czech dari kota Dresden, Jerman. Suasana cukup pelik dan nampak kemundurannya ketika itu. Masyarakatnya tidak begitu mesra dan agak pelik melihat orang luar.

Di sempadan lagi, aku dan rakanku Ajoi telah diperbudakkan oleh pegawai sempadan mereka. Mereka bertanyakan kami dalam bahasa mereka di atas bas. Apabila kami cuba menjawab, dia bercakap kuat dan membuat lawak hinggakan satu bas ketawakan kami. Cuba engkorang bayangkan? Tapi bagiku, itu biasa sahaja. Prinsip aku mudah, dia nak ketawa sampai pecah perut pun, ketawalah lagi! Sebab aku hanya sekali sahaja bertemu dengannya, itu pun hanyalah kebetulan.

Apabila mereka mahu menceritakan kepada orang lain cerita lawak tersebut, mereka akan hanya dapat mengatakan, 'orang itu'. Siapa dia? Di mana dia tinggal? Apa? Bagaimana? dsbg. Dia tidak tahu dan tidak akan tahu. Itu sahaja... Mudahkan?

Itulah hidup kita sebenarnya. Amat mudah dalam meneruskan hidup ini, tapi apa yang pasti, asasnya adalah ilmu. Jangan biarkan emosi menguasai diri. Tuntutlah ilmu di sepanjang hidup anda dan jangan biarkan diri anda diselubungi misteri!

Wassalam


*ngantuk laa.. baru sampai dari KL. Kelmarin ke utara, balik kampung. Tak tau laa gemar betul berjalan-jalan ni...

Jumaat, 20 Februari 2009

Cuti Musim Sekolah Yang Lalu 2008

Sebahagian hasil kerjaku...

Setiap cuti panjang, aku akan menggunakan masa tersebut untuk menjalankan projek peribadi yang kadangkala aku rasakan perlu untuk menambahkan aktiviti pada masa yang terluang. Pada Cuti Sekolah 2007, aku habiskan masa berada di rumah untuk menyiapkan skrip buku aku yang terbengkalai sejak sekian lama. Aku berjaya menyiapkannya hampir 5 buah tajuk buku sekali gus dan beberapa buah tajuk sampingan.

Pada masa yang sama aku belajar membina Blog bagi menjual dan menyebarkan ilmu sebagai satu perkongsian bersama dengan para netters. Blog aku itu ialah www.mohdfikri.com/blog. Aku mencuba dengan bermodalkan sebanyak RM100.00 iaitu RM50.00 untuk web hosting dan RM50.00 lagi untuk membeli buku panduan membinanya. Akhirnya aku berjaya merealisasikannya.

Aku sendiri tidak menyangka yang aku masih boleh membinanya, sebab beberapa buah laman web aku tidak berjaya dibangunkan kerana kekangan masa, wang, line corrupt dan juga kepakaran. Namun dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan ketekunan hingga jam 4 - 5 pagi setiap hari. Akhirnya aku berjaya jua, alhamdulillah!

Pada tahun 2008 baru ini, semasa Cuti Persekolahan berlangsung... aku lebih menumpukan kepada perniagaan buku yang semakin berkembang maju. Hendak dikatakan maju sangat itu tidaklah, tapi boleh untuk menambahkan pendapatan sampingan aku yang kerap terdesak pada penghujung bulan. Cintakan buku sebagai koleksi peribadi dan dapat berkongsikan pengetahuan dan maklumat sesama umat Islam menjadi objektif utama aku menceburi bidang ini.

Di samping kesibukan aku itu, sebenarnya ada satu minat yang aku telah lupakan iaitu melukis mural. Sebelum tamatnya cuti sekolah, pendek katanya pada 3 minggu terakhir. GB sekolahku telah bertanyakanku mengenai lukisan mural yang pernah aku janjikan padanya. Akibat terlalu sibuk, membuatkan aku tidak mampu melunasinya. Selain beberapa masalah dalaman dalam usaha menyiapkan projek tersebut. Janji tinggal janji!

Jadi, aku kuatkan azam untuk cuba menyiapkannya. Aku ingin menunjukkan betapa patriotiknya aku dalam usaha memupuk nilai tersebut di kalangan para pelajar. Atas bantuan isteriku yang tercinta, aku cuba juga melakukannya secara cepat dan pantas. Ini kerana aku terpaksa melakukannya sendirian dan dengan bantuan isteriku sahaja. Walaupun ada juga yang hanya datang menolong, tetapi pertolongan itu tidak setimpal dengan apa yang sepatutnya diusahakan. Jadi, aku tidak mahu menyebutkan perkara tersebut. Kerana bagiku, kepuasan aku dapat menyumbangkan sesuatu adalah lebih baik untuk diceritakan.

Idea spontan aku memenuhkan ruangan dinding sekolah ini menghasilkan panorama sebegini.

Ini gambar keseluruhannya yang boleh disiapkan dalam masa 2 - 3 hari sahaja jika tekun. Tapi aku yang bermalam-malam mencari idea. Seminggu dua juga terpaksa dihabiskan.


Ini adalah gambar 5 pejuang negara kita iaitu 5 PM Malaysia. Aku ciptakan gambaran ini sebagai salah satu idea graffiti aku dalam memupuk nilai patriotisme di kalangan muridku.

Tone warna bagi kalimah Prinsip Rukunegara itu bagi memudahkan mereka mengejanya sewaktu ikrar dilafazkan sewaktu perhimpunan pagi, terutama sekali pada murid tahun 1.


* Sesiapa nak buat corak 5 tokoh negara kita ini di sekolahnya. Bolehlah menghubungi saya untuk melakarkannya secara hitam putih (konsep graffiti gitu!). Harga 5 setnya sekitar RM700 tapi diskaun kengkawan RM500 je, sekali upah dan barang. Projek ini kira bagus jugalah, sekalipun terpaksa bersaing dengan banyak pihak. Hehehe...

Goresan Luka II

Hidup ini bagai lampu lilin
Kadang menyala kadang terpadam
Hidup pun macam itu juga
Kadang senang kadang susah

Bila terkenangkan semasa belajar dulu di Kenitra. Saya teringat masa cuti musim panas. Biasiswa Morocco dihentikan untuk semua pelajar dan kami akan kekeringan duit sepanjang tempoh 2 bulan. Pada waktu penuh kesempitan inilah kami terpaksa berjimat cermat. Dua bulan yang kosong, tidak boleh ke mana-mana kerana ketiadaan wang. Kami habiskan masa dengan mengunjungi rumah Syeikh Habti untuk menambahkan ilmu sedikit sebanyak yang termampu.

Keadaan itu mengajar saya erti pengorbanan dan kesusahan. Aktiviti berbasikal menjadi satu aktiviti yang cukup menarik bagi menghabiskan musim panas yang terluang pada sebelah malamnya. Kami kerap meronda hingga ke Mehdiyah iaitu sebuah pantai indah yang terletak sejauh 10 km dengan berbasikal. Kalau di sebelah siangnya, cukup 'HARAM' kerana terdapat pertunjukan yang kurang menyenangkan mata melihat.

Jika hari terlalu panas dan kami tidak dapat keluar rumah. Kami akan bermukim sehari suntuk di rumah sama ada bercerita atau menghabiskan aktiviti yang tak berfaedah seperti menonton TV satelit 'berpuaka' dan pelbagai acara yang langsung tidak menarik. Sebelah petang, selalunya kami akan mengadakan makan petang secara belanja ramai-ramai atau pun secara individu. Kalau sebelah pagi untuk bersarapan, terpaksa mengorek tabung untuk mencukupkan wang untuk beli sarapan.

Semuanya dibelanjakan dengan penuh berhati-hati, sebab mak ayah cukup jauh jika berlaku apa-apa perkara yang tidak diingini. Kalau mak ayah kita orang kaya, semua tidak menjadi masalah. Segala keseronokan boleh dilakukan pada musim sebegini. Tapi bagi saya seorang anak Felda, semuanya perlukan jerih payah untuk mencapainya.

Bayangkan, siapa yang sanggup keluarkan wang untuk kita bersiar-siar atau melancong jika tidak disebabkan dengan usaha sendiri? Nak tunggu keluarga berikan wang? Jauh langit dan bumi dan lihatlah dirimu sendiri...

Sedari itu saya sentiasa mempunyai matlamat dan objektif bagi mencapai impian saya. Segalanya terpaksa dikorbankan untuk meraih suatu yang senang di kemudian hari. Tidak semua orang yang berjaya mencapainya jika tidak dikorbankan masa dan umur ke arah itu. Saya dapat melanjutkan usaha ke luar negeri atas upaya sendiri. Tiada penaja, tiada sponsor, tiada orang kaya, tiada segala-galanya...

Pernah saya berhenti di perdu pokok besar dan menangis keseorangan seraya berdoa untuk mencari penaja bagi melanjutkan pelajaran saya. Setiap bangunan dipanjat, setiap pegawai ditemui, jawapannya adalah satu: "Tiada di sini!". Sedih hati bukan kepalang. Gores-gores luka itu, kadangkala menghantui diri saya apabila sendirian. Sukarnya waktu itu, hanya Allah yang mengetahuinya....

Setelah berjaya sampai ke Maghribi, pendaftaran saya tersangkut selama 4 bulan. Nun di kejauhan saya sendirian menantikan bantuan untuk masuk ke universiti. Kami pergi ke kuliah saban hari, namun tanpa sebarang permit untuk belajar. 4 bulan bukan 4 hari tempohnya. Tiket flight pun valid setakat 6 bulan. Kami boleh diibaratkan pelarian tanpa visa di negara tersebut yang telah lama luput tarikhnya. Ke sana ke mari penuh kebimbangan, ibarat pendatang tanpa izin di rantau orang yang jauh nun di Afrika Utara.

Seksa jiwa bukan kepalang, kerancuan fikiran merenggut perasaan. Tiada siapa yang memahami perasaan ini yang penuh ketakutan, kebimbangan, kerisauan, kesedihan. Tapi hanya TUHAN! Kisah ini membungkam di jiwa, sejak sekian lama. Saya cuma mahu kongsikan bersama agar kita dapat menilai, siapa diri kita. Mengapa kita cepat berasa selesa dan kadangkala kita cuba menyemarakkan api ketakutan dengan menghidupkan suasana huru-hara di negara nan permai ini.

Anda mungkin tidak pernah merasa diburu, dihadapkan ke mahkamah atau ditempatkan di dalam lokap! Tapi aku pernah melaluinya suatu ketika dulu, walaupun sebentar cuma. Goresan luka itu masih terpendam dan sukar diubati, pabila dikenang kembali. Oleh itu, sayangilah diri dan gunakan waktu dan ruang yang ada untuk terus bergerak ke hadapan.... kita mampu melakukannya untuk kebaikan bangsa dan negara kita. Insya Allah!

Ahad, 15 Februari 2009

Goresan Luka I

Gambar aku berposing di tangga feri
untuk merentasi Selat Gibraltar.
Impian yang tidak pernah aku angankan
sebagai seorang anak Felda.


Kadangkala bila kita perhatikan kepada diri kita, kelemahan begitu banyak kelihatan. Kita mudah berasa lemah dan cepat berputus asa. Kelemahan itu tampak jelas sekalipun kita belum lagi melakukannya. Bila baru mahu mencubanya, buat pertama kali, kita pasti berfikir semula, "Haruskah aku melakukannya, atau patutkah aku berhenti sahaja di sini?"


Apabila kita tanyakan kepada orang lain, tidak terbayang di minda kita pelbagai respon diberikan. Antara yang paling banyak dinyatakan ialah, "Dah fikir habis ke?", "Dah buat kajian ke?", "Dah ramai orang buat benda tu dan kenapa mereka tidak berjaya?"

Semua kalimat tersebut adalah kalimat yang 'melemahkan' semangat. Kalimah negatif yang mampu membuatkan jiwa lemah semakin lemah.


Semua kalimat tersebut tersemat padat di dadaku. Sebab dulu pernah aku di'lekeh'kan. Bila aku menyuarakan impian untuk pergi melanjutkan pelajaran di luar negeri. Pelbagai respon yang diterima dari keluarga terdekat. Kalau ada 10 orang, hanya seorang sahaja yang menyokong hasrat itu. Orang yang paling rapat dengan aku iaitu ibu bapa aku sendiri pada mulanya tidak mengizinkan. Pelbagai alasan dan hujah yang dikemukakan untuk membatalkan hasratku ke sana.


Tapi keinginan kuat aku untuk engkar kepada perintah ibu bapaku membuatkan aku terus juga berusaha untuk ke sana. Bukan perkara mudah untuk kita mengengkari perintah ibu bapa kita. Tetapi ada benda yang kita terpaksa 'korban'kan untuk maslahah yang lebih besar. Semua usaha dilakukan sendiri untuk mencapainya dan akhirnya mereka akur dengan kehendakku.


Pernah aku nyatakan kepada mereka, "saya pergi ke luar negeri untuk belajar agama, bukan menghabiskan duit untuk menghisap dadah." Kadangkala ayat 'laser' begitu mampu merubah minda manusia dan menterbalikkan apa yang difikirkannya. Kita berhak mencuba terlebih dahulu dan berusaha sedaya upaya untuk mencapainya sebelum kita mengaku kalah. Impian perlu diiringi dengan usaha. Sekali lagi diulang taip, "Impian perlu diiringi dengan usaha."


Semasa aku di Tingkatan 4, aku melihat rakan-rakanku yang baru habis SPM dapat melanjutkan pelajaran mereka ke matriks di beberapa buah universiti tempatan. Di situ aku mula menyimpan impian ke menara gading. Tetapi, aku bukanlah seorang yang cemerlang dalam setiap mata pelajaranku. Aku melihat kakakku dapat melanjutkan pelajaran ke USM pada tahun itu dan sedikit sebanyak ia membangkitkan keinginanku untuk menandinginya.


Semasa SPM, aku menyimpan hasrat untuk menjejakkan kaki aku ke matrikulasi. Tapi apakan dayaku dengan SPM 9 subjek dan SMA 7 subjek yang perlu diambil selang 2 minggu kemudian membuatkan aku tumpas....


Kekecewaan selepas mengetahui keputusan SPM yang hanya berpangkat dua membuatkan aku hanya dapat ditempatkan di tingkatan 6. Aku teruskan nekad aku untuk mencapai yang terbaik dalam STPM dan cuba melanjutkan pelajaran ke luar negeri kerana aku inginkan suatu yang lebih baik. Setakat ini, belum ada lagi di kalangan ahli keluarga dan sepupu aku yang melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Aku terus berusaha, berusaha dan berusaha....


Impian aku akan tertunai dalam 5 tahun, aku tekad dari tingkatan 4 (sekitar tahun 1992) yang aku akan mencapai suatu yang aku impikan dalam pelajaran ini melebihi orang lain dari kalangan keluarga aku. Lantas aku terus mencuba dan pada penghujung 1996 aku berjaya juga mendapatkannya. Itu pun keputusan aku ditentang hebat kerana aku mendapat tempat di sebuah universiti di utara tanah air. Ramai yang tidak menyokong dan aku berada dalam keadaan 'dilema'.


Hanya aku dan seorang rakan sahaja yang cuba dibantu oleh ustazku (Syeikh Abdul Halim Naam yang sedang melanjutkan Ph.D di UK dalam bidang pendidikan) untuk ke luar negeri. Tiba-tiba dalam waktu yang agak kritikal itu, rakanku memberitahu yang dia hanya mahu melanjutkan pengajian di dalam negeri sahaja atas kemampuan keluarganya. Sekali lagi aku rasa seperti terhempas dari piring UFO tanpa paracut. Hingga aku katakan, apa yang akan terjadi, aku tak kira, kemahuanku pada suatu benda yang aku sendiri pun masih kabur untuk mencapainya. Aku tetap berkeras untuk mencapainya, hatiku mendesak agar aku teruskan usaha, lawan tetap lawannn!


Akhirnya, atas desakan dan pujukan kepada rakanku itu. Beliau bersetuju untuk terus bersama berjuang. Kami bersama membendung segala masalah dengan hati tekad bulat berserah kepada Allah Taala. Kuasa Allah mengatasi segalanya, dan akhirnya kami berjaya mendapat persetujuan keluarga dan dengan berbekalkan duit yang sedikit kami menaiki pesawat untuk ke luar negeri.


Antara tahun 1992 hingga tahun 1996 suatu waktu yang panjang, tapi dengan doa dan usaha yang tidak putus-putus, akhirnya aku berjaya mencapai impianku itu. Alhamdulillah. Tidak semua perkara yang kita mahukan dapat dalam sekelip mata, tapi dengan penat jerih yang tidak mampu diberitahu kepada sesiapa dan hanya Allah yang Maha Mengetahuinya. Bila kejayaan itu dapat dicapai, azab yang ditanggung dalam masa 5 tahun lalu hanya sekadar 'gores-gores luka' yang mengentalkan jiwa.


Segala puji-pujian seisi alam hanya untuk Allah Taala sahaja. :)

Khamis, 12 Februari 2009

Memori lampau...

Baru-baru ini saya ada menghadiri mesyuarat PIBG di sekolah. Sebagaimana biasa, saya disenaraikan sebagai ajk yang terlibat dan tugasan yang pasti ialah 'pembaca doa'. Namun, kepakaran saya dalam menghindari dari menjadi pembaca doa yang tetap dan berpencen sebagaimana kebiasaan ustaz dan tok guru, akhirnya berjaya juga. Kehadiran seorang ustaz baru membuatkan saya dapat mengalihkan tugas itu kepadanya.

Skrip bacaan doa itu akan dikarang oleh saya sendiri sebagai satu cara melibatkan diri secara tidak langsung, skripnya begini:

DOA MESYUARAT PIBG
Bismillah
Tahmid
Selawat


Segala puji dan syukur kami panjatkan kepadaMu Ya Allah. Selawat serta salam buat Rasul pilihan, Muhammad SAW nabi akhir zaman. Kesejahteraan buat keluarga baginda, kemuliaan buat sahabatnya dan seluruh muslimin dan muslimat yang menurut jejak langkah mereka.

Ya Allah Ya Karim,
Sesungguhnya pada hari ini kami berkumpul keranaMu Ya Allah, dengan mengharap keredaanMu dalam seluruh hidup kami, kami berkumpul untuk bermusyawarah, bertukar-tukar pendapat dan menyumbangkan buah fikiran, tenaga dan sokongan, ke arah memajukan lagi sekolah ini, demi kebaikan anak-anak kami.

Ya Allah, Ya Munzilal Barakat,
Berkatilah usaha-usaha kami, mudah-mudahan dengan usaha kami yang sedikit ini dapat menjadikan sekolah ini sebuah institusi pendidikan yang cemerlang, gemilang dan terbilang, sekolah yang disegani dan dihormati, sekolah yang akan melahirkan pelajar-pelajar yang berjaya di dunia hingga ke akhirat.

Ya Rahman Ya Rahim,
Perbaikilah segala kesilapan kami, jernihkanlah hubungan antara kami, jinakkan dan lembutkanlah hati-hati kami dan tunjukkanlah kami jalan yang membawa keharmonian dalam menyelesaikan masalah yang timbul di antara pihak pentadbir, guru-guru dan juga ibu bapa serta penjaga para pelajar di sekolah ini.

Ya Hayyu Ya Qayyum, kurniakanlah kepada kami kekayaan ilmu pengetahuan, hiasilah diri kami dengan sifat lemah-lembut, muliakanlah kami dengan ketakwaan dan indahkanlah diri kami dengan kesihatan.

Penutup doa



Begitulah yang sempat dilakarkan untuk mendoakan keselamatan antara pihak sekolah dan ibu bapa yang kadangkala agak meruncing dalam soal pendidikan anak generasi kita pada hari ini.

Sebelum bermulanya majlis, saya dan rakan telah diajak oleh GPK 1 untuk bersarapan terlebih dahulu. Kalau orang di tempat saya mereka istilahkan sebagai menge'teh' yang membawa maksud 'pekena teh' atau minum teh. Teh yang selalu diminum pula ialah teh tarik. Sesetengah Mamak India cakap tey tarik iaitu teh dicampurkan dengan susu isian pekat, bukan tey woo atau teh kosong.

Kami berbual sambil bersarapan dengan nasi dagang yang berasal dari negeri Terengganu, bukannya nasi dugong yang masih belum mempunyai sebarang resipi lagi berkaitan dengannya. Topik yang dibualkan tidak keruan dan melompat dari satu topik ke topik yang lain. GPK 1 saya yang baru ini, walaupun masih muda tetapi mempunyai banyak pengalaman dalam bidang perniagaan insurans. Kebiasaan para pendidik membuat kerja sampingan dalam menambahkan pendapatan harian mereka adalah dengan menceburi bidang insurans.

Saya juga pernah temuduga untuk mendapatkan kelulusan sebagai agen insurans. Selepas berjaya menyertainya, projek itu 'bungkus' begitu sahaja kerana kerancuan saya dalam 'membodek' orang menyertai program insuran ini. Penglibatan saya lebih kepada 'suka-suka' dan tidak serius. Dalam tempoh 6 bulan, keahlian saya terlucut dengan sendirinya kerana tidak mampu mencari pelanggan, biarpun hanya seorang.

Sememangnya saya seorang yang tidak 'petah' bercakap. Saya akan 'petah' apabila darah sudah menyirap sampai ke kepala, biasanya bila berlawan hujah atau berdebat dalam apa jua situasi. Waktu sebegitu, otak akan ligat berfikir dan idea baik dan jahat datang mencurah-curah. Itulah yang dikatakan sebagai emosi tidak menentu, situasi sebegini tidak boleh diperpanjangkan kerana ia boleh mengakibatkan penyakit mental jika tidak diatasi dengan baik.

Berbalik kepada kisah tadi, saya mendengar GPK 1 saya ini akan ke Itali pada bulan 3 nanti. Memang hebat perniagaan insuransnya dan setiap tahun beliau akan keluar negara bersama dengan agen-agen lain yang mendapat kutipan tertinggi. Beliau menceritakan perjalanannya ke Sepanyol baru-baru ini dan ia mengingatkan saya kepada negara tersebut yang cukup indah. Saya pasti terbayangkan kewujudan umat Islam di sana suatu ketika dulu. Terkenangkan kerakusan penguasa Kristian dalam melakukan pembantaian terhadap umat Islam selama hampir 2 abad.

Kisah ketamadunan Sepanyol dalam era pemerintahan umat Islam sering didendangkan di telinga kita, namun kisah pembunuhan kejam mereka selepas kejatuhan Granada jarang disebut dan tidak terdapat sebarang karya atau catatan di kalangan masyarakat kita. Kisah Hakim al-Taftisy yang sama fungsinya dengan Gestapo cukup menggerunkan apabila dibuka lembaran kisah tersebut bagi diri saya.

Insya Allah, jika ada ruang waktu yang membolehkan saya mengkaji semula kisah-kisah tersebut untuk dikongsikan bersama, saya akan lakukan dan doakan untuk saya. Wallahu al-Musta'an. Jadi dalam kisah ini saya abadikan foto lama saya di Kota Toledo yang bersejarah dan kemilau sejarahnya masih membungkam di benak saya. Tiada siapa di Malaysia yang mahu membicarakan sejarahnya nan panjang dengan penuh onak duri.

Wallahu a'lam.


Kesibukan tugasan

Walaupun saya tidak 'banyak tugasan' di sekolah selain jadual kelas, membimbing guru praktikum dan membuat penyediaan bagi aktiviti majlis keagamaan dll. Tetapi masih banyak lagi komitmen lain yang perlu diselesaikan ketika di luar sekolah seperti membuat tempahan buku di kedai berdekatan, membantu penterjemahan kitab Arab (edit), membikin tesis, menulis buku dan entah apa-apa lagi yang memenatkan badan dan kepala.

Kadangkala saya merasa hairan melihat segelintir rakan setugas yang lebih 'pening' dari saya dan tidak melakukan tugasan dengan sebaiknya di atas alasan 'pening kepala'. Mereka lebih gemar bersantai tanpa menghasilkan sesuatu yang dapat memberikan sumbangan kepada sekolah, pelajar dan juga masyarakat. Terutamanya golongan yang ber'title' ustaz atau ustazah.

Keadaan ini bukan hanya berlaku di sekolah, tetapi berlaku hampir di setiap institusi keagamaan di kalangan mereka yang digelar agamawan. Bila suatu perkara dipromosikan, merekalah kelompok utama 'merayakannya', bila ada isu atau permasalahan yang timbul, mereka akan menuding ke pihak yang lain dan tidak akan bertanggungjawab. Ini segelintir sikap yang me'rosak'kan dan mulai terpalit kepada mereka yang tergolong dalam kelompok itu.

Bagi saya yang ditempatkan sebagai seorang ustaz di sekolah rendah ini, ada sesetengah pihak agamawan yang beranggapan sebegini, "Apa 'kelas' perlu mengajar budak-budak sekolah rendah? Kalau belajar tinggi sampai ke luar negeri tapi menghadap budak kecil dan mengajar alif ba ta... sia-sia sahaja." Itulah level yang kedengaran sayup-sayup dari jauh.

Saya menolak tanggapan sedemikian demi melahirkan generasi yang cergas dan cerdas sepatutnya siswazah patut turun padang dalam mengelolakan upacara ini. Tidak perlu mengharapkan imbuhan yang lebih besar jika usaha yang disumbangkan pada masa ini adalah terlalu kecil. Gunakan setiap masa dan ruang yang ada untuk membangunkan diri dan seterusnya pada masyarakat.

Hmmm banyak nak diberitahu tetapi masa mencemburui kita.... ada mesyuarat Panitia dan selepas ini kelas Bahasa Arab yang terpaksa dijalankan diluar waktu sekolah dari jam 1.10 - 2.10 ptg. Tidak ramai guru yang sanggup pulang dalam jam 2.30 ptg. Tapi bagi mereka yang ikhlas dalam membangunkan jiwa pelajarnya, insya Allah... setiap masa adalah mencari dan menambah ilmu lantas menebarkannya kepada yang mahu!

Semoga Allah memberkati usaha kita biarpun kecil nilaiannya di sisi manusia, kerana ganjaran di sisi Allah Taala seluas langit dan bumi...

Wassalam

Selasa, 10 Februari 2009

Akidah Pembentuk Jati Diri Cemerlang

Lagu ini adalah hak zaujah saya... beliau meminta saya menuliskannya untuk sekolah beliau. Saya dengan 'besar dan berat hati' menulis juga walaupun mengambil masa hanya beberapa minit sahaja sebab mengantuk... :)

Bagi kalimah besar hati itu, sebab hampir setiap tahun saya akan menulis lirik nasyid ini untuk sekolahnya. Manakala yang berat hati pula ialah sebab penulisan ini tanpa sebarang hak cipat terpelihara, tiada bayaran royalti sebab tidak dialbumkan, tidak pernah menang dalam mana-mana pertandingan... apa yang salahnya, entahlah?

Saya hanya membantu, tetapi Allah Taala yang menentukan...
Tahun ini seingat saya, saya tak nak dah tulis lirik lagu nasyid. Sebab tiada bayaran ehehehe
Patutnya Panitia Pendidikan Islam keluarkanlah sikit sebagai sumbangan penulisan, apa salahnya... nak memikir empat rangkap lirik yang mana entah datang ideanya, bukan satu kerja yang senang.

Kalau biasanya, 4 minggu tak terkeluar lagi idea tu. Malah tidak semua orang yang mampu melakarkannya secara 'rencam'. Jadi, selepas satu rundingan dibuat, pihak sekolah membayar saguhati kepada saya dengan kadar RM??? Sebagai anugerah idea cemerlang sejak bertahun lalu. Kira okey laa tu!

Tidak semua idea dan pembaziran masa kita itu berlalu sia-sia, tetapi biarlah ia menjadi satu perkara yang dapat memberi manfaat kepada semua pihak. Ada orang tentu menyangka, "ustaz ini suka minta duit dan mengenakan bayaran". Bukan kekayaan tujuannya, tetapi ia bertujuan untuk sesetengah pihak menghargai nilai idea orang lain. Bukan semua perkara kita boleh mendapatnya dengan mudah dan tidak semua orang berpeluang mendapatkannya.

Fikir-fikirkanlah.....

Hasan bin Tsabit merupakan penyair Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam. Keindahan bahasa dan sastera puitisnya itu mampu menjadikan satu media membentuk manusia ke jalan Allah. Begitu juga dengan usaha kita dalam hal ini, cuma waktu dan ketika sahaja yang berlainan dari apa yang pernah dilaksanakan....

Inilah lirik tersebut yang cukup berharga, sebab ada wang yang dibayar:

Iman bermakna menanam akidah
Pegangan yang benar di dalam dada
Hati berfungsi pengerat takwa
Menjadi wadah penggerak ummah

Iman dapat meluruskan pandangan
Pada dunia, manusia dan kehidupan
Iman membangun jiwa dalaman
Jasad dan zahir sebagai ikutan

Keindahan hidup dengan pegangan
Kitab induknya adalah al-Quran
Mengajar kebaikan dan kebajikan
Membentuk umat yang gemilang

Insan yang cemerlang tahan diuji
Iman dan ihsan membentuk jati diri
Mereka berusaha setiap detik masa
Membangunkan iman sejati di dalam jiwa

Hakcipat terpelihara Mohd Fikri Alamghiri

:) Pandai-pandailah melagukannya sendiri....

Notis: Pertukaran Alamat Blog Orientalisme!



Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Alhamdulillah...

Syukur ke hadrat Allah Taala serta salawat dan salam buat Nabi akhir zaman, Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam. Begitu juga ahli keluarga dan para sahabat Baginda yang terpilih.

Saya memohon ribuan kemaafan di atas pertukaran alamat blog orientalis ini ke alamat yang baru iaitu http://www.mindaorientalis.blogspot.com/ yang lebih banyak terlihat perkaitannya berbanding alamat ini.

Kewujudan blog ini akan lebih bersifat terbuka dengan kisah yang lebih rencam dalam soal kehidupan berasaskan kefahaman dan pengalaman saya selama ini. Kisah-kisah yang saya cuba pertontonkan kepada anda ini sekadar perkongsian idea kita bersama.

Insya Allah...

Wassalamu 'alaikum warahmatullahi wa barakatuh.