Allah Taala said:

Thus, GOD does not change the condition of any people unless they themselves make the decision to change. [13:11]

Pesan Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam

Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi dan al-Tirmizi berkata ia hadis sahih.
Daripada Abu Najih al-'lrbadh ibn Sariyah r.a. beliau berkata: Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam telah menasihati kami suatu nasihat yang menggetarkan hati dan mencucurkan airmata. Kami bertanya: Ya Rasulullah! la seolah-olah nasihat orang yang mahu mengucapkan selamat tinggal, maka berikanlah kami wasiat. Baginda bersabda: Aku mewasiatkan kamu supaya bertakwa kepada Allah 'Azza Wajala, supaya mendengar dan taat, sekalipun kamu diperintah oleh seorang hamba. Sesungguhnya, barangsiapa di kalangan kamu yang masih hidup nanti, nescaya dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa' Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan kuat (iaitu berpegang teguhlah kamu dengan sunnah-sunnah tersebut) dan berwaspadalah kamu dari melakukan perkara-perkara yang diada-adakan, kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat.

Selasa, 30 Jun 2009

Bengkel Penulisan Forum al-Fikrah (Tertutup)



BENGKEL PENULISAN KREATIF
TARIKH : 5hb Julai 2009 (Ahad)
TEMPAT : Dewan Konferen 1Kompleks Balai Islam Masjid Al-Ghufran
No. 6C, Jalan 4/71B, Pinggir Taman Tun Dr. Ismail,
Jalan Damansara, 60000, Kuala Lumpur.

YURAN :

PEKERJA - RM50
PELAJAR - RM20

ATURCARA MAJLIS

9.00pg – 9.45pg :
Pendaftaran Peserta

9.45pg – 10.00pg :
Ucapan Perasmian oleh Pengerusi al-Fikrah.net, Saudara Tuan Hassan Tuan Lah

10.00pg – 12.30ptg :
MODULE 1: Penulisan Artikel
Ahli Panel : Puan Hasliza Hassan, Berita Harian Sdn Bhd
Pengerusi Majlis : Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

12.30ptg – 2.00ptg :
Makan Tengahari & Solat Zohor

2.00ptg – 3.00ptg :
MODULE 2 : Penulisan Buku
Ahli Panel : Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
Pengerusi Majlis : Mohd Fikri Che Hussain

3.00ptg – 4.00ptg :
MODULE 3 : Penulisan Novel
Ahli Panel : Fatimah Syarha bt Mohd. Noordin
Pengerusi Majlis : Mohd Fikri Che Hussain

4.00ptg – 4.30ptg : Q&A

4.30ptg :
Solat Asar & Bersurai

Aku dah semakin gubra dengan menjelangnya bengkel penulisan yang bakal diadakan pada hari Ahad (5 Julai 2009) ini. Lebih-lebih lagi, aku akan menjadi pengerusi bagi dua orang penulis terkenal iaitu Kapten Hafiz Firdaus Abdullah & Ukhti Fatimah Syarha Binti Mohd Noordin. Semak samun rasanya di jiwa ini... Apa pun semoga berjaya hendaknya... Amin!

Peranan Baitulmal diperkasa gerak ekonomi ummah

Peranan Baitulmal diperkasa gerak ekonomi ummah

Oleh Mohd Fikri Che Hussain

Sumber : Berita Harian, 30 June 2009

Entiti peringkat kebangsaan mampu selaras pentadbiran simpanan aset umat Islam

SARANAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi memperkasakan peranan Baitulmal termasuk mewujudkan sebuah entiti pada peringkat kebangsaan bagi menyelaras simpanan aset umat Islam yang kini dikendalikan majlis agama Islam negeri perlu diberi sokongan padu.

Kewujudan entiti pada peringkat kebangsaan membolehkan pentadbiran simpanan aset umat Islam diurus lebih profesional. Sumber pendapatan Baitulmal adalah daripada zakat, jizyah, kharaj, harta wakaf, harta rampasan perang, perlombongan, harta karun dan lebihan pusaka yang tidak berwaris.

Pendapatan itu termasuk sumber yang diputuskan pemerintah melalui ijtihad dan maslahah atau kebaikan umat Islam. Ia adalah langkah positif bagi memastikan golongan miskin dapat dibantu dengan sumber kewangan lebih kukuh bakal diperoleh entiti pada peringkat kebangsaan dengan pelarasan simpanan aset terbabit.

Cadangan yang harus mendapat kelulusan raja, sultan atau Yang di-Pertua negeri itu tidak memerlukan kajian mendalam memandangkan kelemahan sistem dikendalikan majlis agama Islam di setiap negeri kini.
Sebahagian pihak yang menyifatkan tiada keperluan untuk mewujudkan entiti Baitulmal pada peringkat kebangsaan adalah pandangan sempit. Mereka yang menganggap saranan itu tidak relevan dengan mendakwa majlis agama Islam negeri masih mampu menguruskan aset umat Islam juga adalah hujah dangkal.

Cuba perhatikan apabila setiap majlis agama Islam negeri yang diberi tugas mengeluarkan derma siswa atau zakat Ibn Sabil kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke Timur Tengah, mereka menetapkan pelaksanaan peraturan, golongan Ibn Sabil perlu anak kelahiran negeri itu.

Agihan zakat hanya dikeluarkan kepada anak jati negeri termasuk ibu bapa mereka. Apa akan jadi dengan generasi Felda yang kebanyakannya bukan anak jati negeri itu? Apa akan terjadi kepada mereka yang bekerja di negeri lain dan bermastautin di sana?

Pernah terjadi seorang bayi tidak layak diberi dana bagi menjalani pembedahan kecemasan kerana alamat dalam kad pengenalan bapanya berlainan negeri.Bolehkah majlis agama Islam negeri dianggap mempunyai kredibiliti dalam pengagihan zakat, jika peraturan seperti ini masih diguna pakai?

Tanpa mengguna budi bicara, permohonan dapatkan bantuan ditolak sewenang-wenangnya atas alasan protokol kenegerian yang harus diikuti.Mungkin ramai yang pelik, jika dinyatakan Baitulmal juga boleh mengagihkan wang zakat Ibn Sabil kepada pelajar asing termasuk bukan Islam yang belajar ke negara kita mutakhir ini. Namun, hanya segelintir majlis agama Islam negeri 'faham' pengagihan zakat kepada golongan asnaf itu.

Ada juga pihak yang menyatakan jika mahu memperkasakan Baitulmal, Kerajaan Pusat diharap menyalurkan peruntukan khas kepada majlis agama Islam negeri bagi memantapkan lagi institusi berkenaan. Tindakan ini menyamai dakwaan 'mereka yang berkemampuan' seperti di atas.

Akibat hilang percaya terhadap pengurusan pengagihan wang zakat dan dana bantuan yang dikendalikan majlis agama Islam negeri, maka pengeluar zakat lebih gemar memberikannya secara langsung kepada golongan sasar.

Apabila pengagihan wang zakat disekat dengan jumlah tertentu kerana bimbangkan kemerosotan ambilan zakat untuk tahun depan atau kerana menyalurkannya pada projek yang tidak memberi faedah kepada asnaf yang lapan atau golongan lebih memerlukan, maka kepincangan sosial terus berlaku.

Baitulmal negeri patut lebih prihatin terhadap asnaf al-gharimin atau golongan berhutang. Mereka ialah usahawan yang meminjam bagi memacu ekonomi umat Islam. Dana khas yang ditetapkan Allah ke atas mereka ini ialah sebagai pemangkin ekonomi umat Islam yang mampu bersaing dengan pihak lain.

Justeru, majlis agama Islam negeri atau Baitulmal negeri perlu membantu mereka bagi memartabatkan ekonomi Islam dengan melaksanakan kelangsungan modal mereka dalam perniagaan.

Pengagihan itu dapat menjana kembali modal diberikan kepada mereka untuk dibayar semula kepada Baitulmal apabila cukup haul bagi membantu pihak lain yang memerlukan. Perlu dijelaskan, dana Baitulmal boleh dinikmati semua peringkat termasuk bukan Islam.
Agihan dalam aspek kepentingan ummah terutama dalam bentuk infrastruktur seperti pembinaan tali air, jalan raya, jambatan, bangunan awam, bandar baru yang boleh dimanfaatkan semua pihak sama ada orang Islam atau bukan Islam.

Secara prinsipnya, zakat diambil daripada harta orang Islam yang berkemampuan dan diagihkan kepada golongan fakir yang memerlukan. Namun, ulama sepakat dalam mengharuskan pemberian kepada bukan Islam dalam bentuk sedekah sunat untuk perkara yang tidak bercanggah dengan kepentingan Islam.

Sesetengah ulama meletakkan bukan Islam dalam asnaf mualaf yang perlu dijinakkan mengenai Islam. Malangnya, mubaligh agama lain mempromosikan teknik ini dalam dakwah mereka di seluruh dunia. Mereka datang dari serata ceruk rantau untuk menghulurkan bantuan terutama kepada umat Islam di negara yang mempunyai krisis kemanusiaan seperti Afghanistan dan Iraq.

Ini jelas menunjukkan Islam agama adil untuk semua pihak. Di samping mengutamakan kepentingan umatnya, Islam turut menekankan kebajikan penganut agama lain yang bernaung di bawah pemerintahan Islam.

Diharap usaha memperbadankan Baitulmal sebagai penerokaan sumber baru dapat memastikan institusi itu memainkan peranan proaktif dalam kegiatan pembangunan masyarakat serta menjenamakan semula produk Baitulmal pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Ketika ini dana kepada lebih ramai masyarakat Islam yang menghadapi kesukaran termasuk ditimpa bencana mungkin sukar disalurkan kerana ada majlis agama tidak mempunyai sumber kewangan kukuh atau tiada maklumat meyakinkan.

Walaupun negara mempunyai Perbendaharaan Negara pada peringkat Persekutuan, entiti Baitulmal pada peringkat kebangsaan bagi menyelaraskan harta umat Islam perlu bagi membantu menggerakkan institusi zakat khususnya Baitulmal, sebagai penggerak ekonomi ummah.

Kemelut Politik Melayu Islam


Ini adalah gambar aku di hadapan sebuah masjid di Algeciras, Sepanyol, sewaktu aku mula cuba meredahi sebahagian benua Eropah. Setiap bandar yang kami lawati, pasti kami mencari masjid dan komuniti masyarakat Islam untuk disinggahi. Pelbagai ragam yang dapat dilihat di sana. Bezanya perjuangan antara kita dengan mereka adalah dari aspek 'pelaksanaan'. Mereka di sana bertahan dengan prinsip Islam yang ada, agar dapat dicontohi oleh masyarakat lain. Mereka akan menggunakan sepenuh ruang yang ada untuk berdakwah dan mengajak manusia lain kepada Allah.

Berbeza jika dibandingkan dengan kita di sini, sering bertelingkah dalam isu remeh. Tidak pro aktif dalam usaha dakwah. Tidak menggunakan ruang dan sarana yang ada dengan betul. Menghabiskan masa dengan dakyah ke arah mewujudkan sebuah negara Islam, kemudian barulah beramal dengan adab dan akhlak Islam. Bentuk amalan menyongsang ini begitu ketara dalam masyarakat kita.

Kita cuba menegakkan sesebuah isu yang begitu besar dan jarang berjaya dilaksanakan seperti menegakkan daulah atau khilafah dengan meminggirkan akhlak dan adab Islam yang perlu diutamakan. Para sahabat ridhwanullah 'alaihim adalah golongan terbaik yang perlu ditiru dalam teknik dakwah ini. Mereka meletakkan asas yang paling mudah, bagi membangunkan sebuah daulah yang tersergam indah dan mampu bertahan berkurun lamanya.

Apa salahnya, jika kita mengajak orang yang berada di samping kita untuk melaksanakan Islam dengan sarana yang ada seperti di masjid dan surau, sekalipun tidak sampai ke tahap berceramah di dalam DVD dan TV. Kita jauhkan daripada perkara yang tidak perlu dengan melaungkan slogan-slogan yang memecah belahkan masyarakat dengan faham sempit agama, faham politik kepartian serta segala fahaman yang sesat lagi menyesatkan.

Hal ini tidak sama dengan fungsi masjid di Algeciras di atas, selepas selesai solat fardu ia akan ditutup. Tiada serambi untuk berehat atau melepaskan penat. Selesai sahaja solat, bolehlah berangkat. Tiada perbincangan agama, tiada ukhuwah sesama bangsa, tiada program yang dapat dilaksana, hanya solat semata. Itulah nasib saudara kita di bumi Eropah, tetap bersatu di atas dasar ukhwah, tidak seperti kita yang sering berbalah, hingga masyarakat kian berpecah, mementingkan diri berbanding ummah, demi kerusi, pangkat dan hidup yang mewah.

Ahad, 28 Jun 2009

Musim Cuti Sekolah - Langkawi

Alamghiri bersama zaujah di pinggiran tasik di kaki Gunung Mat Chincang, Langkawi.

Kami berada di puncak gunung pada ketinggian 710 meter dari aras laut. Subhanallah! pemandangan sungguh mengasyikkan.


Pemandangan yang lebih jelas.... cantik tak? Boleh buat wallpaper ni ehehe...

Alamghiri sedang menikmati keindahan flora dan fauna dengan penuh perasaan gementar yang masih belum hilang selepas menaiki kereta kabel. Ketika menaikinya, semangatku bagaikan hilang bersama angin petang yang mampu menggegarkan kereta kebal tersebut. Bak sampan teroleng di lautan nan luas.


Perjalanan ini sememangnya menyeronokkan dan sudah tentunya ia banyak menghabiskan duit. Maka tidak dapat tidak ia akan membuatkan kita pasti pokai apabila pulang ke rumah. Tapi jika tidak mahu berjalan atau mengembara. Pesanku, duduk sahajalah di rumah dan kumpul semua wang itu di dalam akaun bank anda. Insya Allah dalam masa setahun anda akan mampu menunaikan ibadah haji. Itu lebih baik...
Satu lagi pesananku, apabila anda tiba di Langkawi suatu hari nanti... Jangan lupa untuk menaiki kereta kabel di Gunung Mat Chincang ini yang sememangnya amat mempesonakan. Anda boleh amati di dalam jiwa anda, siapakah sebenarnya diri anda, perhatikan bagaimana perasaan anda apabila anda mula menaiki kereta kabel tersebut sambil memerhatikan ke kemuncaknya.
Ketika ia mula bergerak, apa yang akan anda fikirkan di ruang minda anda. Ketika itu dengan tidak semena-mena anda terfikir, apa akan terjadi jika tiba-tiba kereta kebal 'jammed' dan tidak dapat bergerak? Fikir-fikirkanlah...
Sudah pasti anda akan mengucap dan beristighfar sebanyak-banyaknya... saya pula lebih dari itu. Eheheh! Lain kali rasanya tak nak naik dah. Amat menginsafkan...
Cuba kita lihat para pejuang Islam dahulu kala yang merentas benua dan lautan dalam usaha menyebarkan risalah Islam. Mereka lintasi semua itu demi menegakkan dakwah ini, hinggalah ia dapat sampai kepada kita. Ketakutan kita tidak akan sama dengan kebimbangan dan ketakutan mereka.
Kemantapan iman mereka tidak ubah seteguh puncak Gunung Mat Chincang yang telah lama melihat kedatangan para pendakwah dan pejuang Islam ini. Cuma ia tidak mampu mengungkapkan kisah-kisah perjuangan pahlawan Islam dalam mempertahankan akidah mereka daripada dijajah oleh angkatan perang Siam. Subhanallah!
Keberanian mereka tidak ubah ibarat sang Helang yang senantiasa berwaspada daripada diserang oleh musuh-musuhnya di sekitar Pulau Kawi ini. Oleh itu, jadilah nama pulau Kawi ini terkenal dengan kehebatan burung helangnya yang terbang bebas merata dunia. Lalu dikenali sebagai Lang Kawi.
Jika mengikut Wikipedia pula: Nama Langkawi ialah kombinasi antara "Lang" dan "Kawi". "Lang" diambil daripada perkataan bahasa Melayu iaitu helang. Pada suatu masa dahulu, ia menjadi tempat tinggal kepada sejumlah burung helang kawi. Kawi adalah beerti merah hati, ini kerana helang mempunyai bulu merah hati dan berkepala putih. Kawi juga beerti tulisan Kawi, tulisan yang digunakan oleh tradisi hindu jawa.
"Kawi" dalam
bahasa Sanskrit ialah guli, yang mana ia ditemui sebagai pertemuan bahagian Malaysia. Apabila kedua-dua perkataan digabungkan, ia membentuk perkataan "Helangkawi" yang kemudian menjadi Langkawi.
Rujukan lain dijumpai di dalam buku oleh Tun Mohamed Zahir yang bertajuk The Legends of Langkawi yang mana nama tersebut menggabungkan dua perkataan Sanskrit—"Langka" (keindahan) dan "Wi" (tidak terkira).
Wallahu a'lam...

Sabtu, 27 Jun 2009

Hukuman rotan antara kaedah terbaik disiplinkan pelajar



Oleh - Mohd Fikri Che Hussain

LAPORAN media mengenai sekumpulan pelajar lelaki sebuah sekolah menengah berasrama di pedalaman Sarawak yang berani membuli seorang pelajar, malah merakamkan aksi ganas mereka dan disiarkan di laman web YouTube cukup menggemparkan.
Begitu juga kes sekumpulan pelajar yang dikatakan membelasah seorang pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besi sehingga mati amat membimbangkan banyak pihak.Ini antara beberapa kes yang berjaya disiarkan, malah banyak lagi kes jenayah yang masih terpendam dan tidak dibongkar di luar pengetahuan pihak berwajib.

Kementerian Pelajaran sudah menggunakan pelbagai kaedah dalam mengekang masalah pelajar ini. Antaranya, menggunakan kaedah terbaru termasuk mendapatkan kepakaran polis bagi mengemas kini semua peraturan dan undang-undang disiplin sekolah untuk mengekang budaya jenayah di kalangan pelajar.

Kementerian juga mengarahkan semua Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) membantu memantap dan menguatkuasa peraturan sedia ada yang dikatakan semakin longgar. Berita keruntuhan disiplin dan moral pelajar ini bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi di seluruh dunia. England turut menghadapi masalah berhubung krisis disiplin ini.
Badan Kajian dan Penyelidikan di London menunjukkan sebahagian ibu bapa percaya hukuman berat adalah kaedah kawalan berkesan kepada pelajar. Mereka juga percaya tingkah laku kanak-kanak dan remaja semakin teruk sejak amalan merotan dihapuskan di bidang pendidikan.

Pihak penyelidik menyatakan keputusan mengharamkan hukuman itu menyumbang kepada peningkatan masalah disiplin di kalangan pelajar di negara itu. Jika England akan mengembalikan peranan rotan dan pembaris ke tempatnya, mengapa kita tidak mendahului mereka dalam hal ini.
Seingat penulis yang dibesarkan dalam 'suasana rotan dan pembaris' yang dihadiahkan guru setiap hari bukanlah bertujuan untuk mendera pelajar tetapi mendidik supaya tidak melakukan kesalahan demi kebaikan diri mereka juga.
Ibu bapa dan penjaga perlu memahami kaedah ini dalam asuhan pendidikan. Mereka bersikap 'garang' untuk membentuk orang yang berguna dalam masyarakat. Cuba perhatikan anak sekarang yang semakin terhakis budaya timur dan akhlak hingga hilang rasa hormat kepada golongan lebih tua terutama ibu bapa serta guru. Persoalannya adakah salah merotan anak?
Sesetengah pihak menganggap ia adalah perbuatan yang teruk kerana boleh menjejaskan hubungan antara kedua pihak. Merotan mungkin tidak mendatangkan kesan buruk jika dilakukan guru atau ibu bapa. Sebelum mengenakan hukuman ini, pihak guru dan penjaga wajar memahami dan mengenali perwatakan dan sikap anak itu.
Guru dan penjaga juga perlu mengambil kira tahap hubungan mereka dengan anak. Jika anak mempunyai hubungan rapat dengan guru dan penjaga, maka hukuman fizikal tidak akan menjejaskan emosi anak. Sebaliknya jika ibu bapa tidak rapat dengan anak, hukuman fizikal mungkin akan mengakibatkan emosi anak terganggu seperti berdendam atau marah.

Guru dan penjaga perlu memastikan mereka tidak berada dalam keadaan marah dan beremosi ketika hukuman fizikal dilaksanakan. Mereka juga perlu tahu bagaimana cara merotan yang tidak mendatangkan sebarang kecederaan kepada anak. Jangan sesekali memukul di bahagian sensitif seperti muka atau di tempat boleh mendatangkan bahaya seperti kepala atau perut. Pukulan jangan terlalu kuat, cukup sekadar dapat memberi 'pengajaran dan peringatan' kepada anak supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Bagi umat Islam, mereka sudah tentu pernah mendengar sabda Nabi SAW di dalam hadisnya yang bermaksud: "Suruhlah anak kamu bersembahyang pada usia tujuh tahun dan pukul mereka jika tidak bersembahyang pada usia 10 tahun dan pisahkan antara mereka tempat tidur." (Hadis riwayat Abu Dawud)
Jika perlu merotan anak, guru dan ibu bapa boleh berbuat demikian selepas anak berumur 10 tahun. Mengapa pada usia 10 tahun? Ilmuwan Islam berpendapat anak yang berumur prabaligh iaitu sekitar 9 hingga 12 tahun boleh memahami kesan hukuman dikenakan. Anak kecil di bawah umur itu selalunya tidak dapat memahami jika didenda atas kesalahannya.
Justeru, jika anak kecil yang didenda, dia mungkin mengulangi perbuatannya itu tanpa pengetahuan penjaganya. Amaran awal harus diberi iaitu jika peraturan tertentu dilanggar, anak boleh dirotan. Berikan juga peluang kedua sebelum mengambil tindakan merotan. Lebih penting ialah menasihati mereka secara berterusan di samping memantau perkembangan pelajaran, kesihatan dan pergaulan sosial mereka.

Selasa, 2 Jun 2009

Kisah Kelas Hari Jumaat Sebelum Cuti Penggal II

Soalan boring

Sepanjang aku menyiapkan buku rekod serta meneliti kertas jawapan yang akan diserahkan pada guru kelas. Mulut aku tidak diam memberi amaran kepada budak-budak yang membuat bising semasa tugasan diberikan.
“Semua duduk buat kerja, jangan bersembang!” Sergahku beberapa kali.
Tapi, akalu diorang dah kenal gurunya bagaimana, mereka pasti buat tak layan. Macam anak atau anak saudara kita lah, yang sudah kenal lama.
Kalau bagi amaran, teguran dan nasihat tu, tak masuk dalam fikiran mereka pun. Kadang-kadang buat sakit mental je. Nak marah kang, anak orang. Jadi sabar je laa.. dalam masa yang sama ada beberapa orang murid datang ke depan nak bertanyakan soalan.

Soalan dan cerita

Kalau bab persoalan ini, pelbagai soalan diajukan. Sampai cerita anak kucing kat rumah pun kalau boleh nak cerita. Apa sahaja yang terlintas di benak mereka pasti akan diceritakannya atau disoalkan. So, baik-baik sesiapa yang ada anak dan mulutnya bijak berceloteh macam bertih jagung. Semua rahsia rumah boleh terbongkar dan diceritakannya. Kalau cikgu perempuan atau guru yang sudah berumah tangga selalunya dia tak layan sangat. Tapi kena macam aku yang suka melayan mereka berbual semasa time free, memang berbagai cerita yang dikisahkan.

Tazkirah pagi Jumaat 29/05/2009

Murid yang datang ke hadapan pada hari ini, tiada apa yang ingin ditanya mereka kecuali mengenai cuti sekolah. Pagi Jumaat ni, aku baru menyampaikan tazkirah kepada murid-muridku di sekolah agar menghabiskan masa cuti dengan melakukan aktiviti berfaedah. Sebagaimana Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sebut, “Sebaik-baik muslim itu adalah meninggalkan apa yang tidak memberi sebarang faedah kepadanya.”
Aku tegur mereka, jangan selalu tidur sahaja, bangun tidur main game PS2, petang ikut kawan pergi memancing atau racing basikal. Itu semua tidak memberi faedah dan menghabiskan masa. Kadangkala aktiviti itu adalah bahaya dan boleh membawa padah, jadi jangan biarkan diri anda hanya diceritakan di sekolah lepas cuti nanti. Sound direct, kata orang Temerloh. Nasihat yang sering aku beritahu kepada mereka setiap kali aku memegang microphone, banyakkan membaca atau membantu ibu bapa di rumah, jangan menyusahkan mereka dengan pelbagai kerenah ketika di rumah. Itu sahaja pesanku kepada mereka.

Berapa hari cuti?

Murid 1 Usaha yang datang berjumpaku hanya ingin bertanya mengenai cuti sekolah.
“Ustaz, kita cuti sekolah ni 2 minggu kan?”
“Yep!” jawabku ringkas.
Dia pun segera kembali ke tempat duduknya untuk menyiapkan kerja yang diberikan.
Selang tidak lama kemudian, datang seorang lagi ke hadapan.
“Ustaz, cuti sekolah ni 14 hari kan?”
“A’ah, 14 hari.” Jawabku sambil memandang ke wajahnya.
Dia tersengih dan berlari ke tempat duduknya seraya berteriak.
“Weii, ustaz kata kita cuti 14 hari, bukan 2 minggu.”
Kedengaran lagi satu suara menyanggah.
“Tadi ustaz kata kat koi [1] 2 minggu laa..!”
“Ceh, itu antara perbincangan hangat mereka pagi ni hingga hingar bingar bunyinya.” Getus hati kecilku.

Siap kerja

Masa satu jam itu berlalu laju. Bagi mereka yang sudah advance dalam penulisan dan mewarna. Tugasan dalam kelas yang diberikan tidak sampai 15 minit. Pasti siap dan sudah ingin dihantar. Aku pun segera menyuruh mereka menampalkan di dalam buku latihan kerja tersebut. Sebahagian murid yang ditempatkan di dalam kelas saringan turut bertanyakan buku mereka di kelas 1 Maju.
Aku menyuruh mereka mengambilnya di sana. Selepas mereka siap menampal, aku cuba melengahkan mereka dengan menulis tarikh dan sebagainya. Sebahagian mereka sudah siap beratur di hadapan kelas untuk keluar berehat. Waktu rehat adalah satu waktu holistik yang tidak boleh diganggu gugat oleh sesiapa bagi kanak-kanak. Jika tidak dapat rehat, mungkin boleh berlaku rusuhan di sekolah menurut pandanganku secara lebih ekstrem. Dua masa yang cukup mampu menggugat mereka adalah masa rehat dan masa balik sekolah. Pernah sebelum rehat lagi mereka bertanyakan waktu balik.
Contoh soalannya untuk pulang ke rumah ialah,
“Ustaz, berapa loceng lagi nak balik.”
Kita pun terpaksalah mengira ikut masa zaman purba yang diketahui mereka mengikut bilangan loceng.
“5 loceng lagi!” jawabku ringkas.
“Yeaaa 5 loceng lagi kita nak balik!” bersorak riang mereka.

Aktiviti kejar mengejar

Semakin ramai yang nak beratur di hadapan kelas dan yang lelakinya berebut-rebut untuk mengambil tempat di hadapan. Satu kemegahan atau kebanggan bagi mereka bila berada di saf paling hadapan. Begitulah resam manusia. Menjadi nombor satu adalah pilihan di hati. Aku memanggil mereka semula dan menyuruh agar kembali ke tempat masing-masing.
Bergegas mereka duduk bila aku membilang 1… 2… 3… ini antara satu skill yang perlu ada pada setiap guru dalam membuat satu trend yang dapat menjadikan mereka alert senantiasa.
Penanda aras amaran aku itu selalunya berbunyi begini,

“Ustaz kira sampai tiga, sapa yang tidak duduk akan kena kayu pembaris ni… 1… 2… 3…!” Engkorang boleh bayangkan macam mana mereka mencicit lari ke tempat duduk masing-masing. Macam diserang Gerode[2] kata orang Pahang.

Kalau diorang jenis tertib, kira baik sikit laa.. tapi kalau mereka dari kalangan kelas yang agresif, cukup bahaya. Buatnye masa melarikan diri itu, mereka terjatuh, tersugun, tertonggeng dan sebagainya yang membahayakan. Jadi kena berhati-hati.

Aktiviti membuang masa
Selepas mereka senyap di tempat masing-masing. Aku akan ciptakan suatu suasana ceria di kalangan murid-muridku yang baru selesai peperiksaan P2 semalam. Kebetulan pula keesokannya akan cuti penggal. Jadi aktiviti yang boleh dilakukan hendaklah ceria dan bahagia bagi merapatkan hubungan antara guru dan murid.

Selalunya aku lihat guru ini tiada masa dengan muridnya, kecuali mereka bermain kuiz dan sebagainya. Tapi aku lebih suka bermain teka teki dengan murid tahun 1 sebab pengetahuan amnya amatlah rendah. Kalau kita tanya, siapakah nama ketua pemberontak LTTE yang dapat dibunuh oleh tentera Sri Lanka baru-baru ini, sudah tentu penghujung tahun depan mereka tidak akan dapat memberi jawapannya. Eheheh

Pelajar tingkatan 4 belum tentu boleh beri jawapannya aku rasa, atau budak dah habis sekolah lagi tak tahu. Sebab kurang baca surat khabar.

“Okey semua! Hari ini sebelum rehat ustaz nak ber satu teka teki. Nak dengar tak?” ini namanya ayat mengumpan perhatian mereka. “Nak!” jawab mereka bersungguh-sungguh. Muka semua excited je nak jawab teka teki.

Aku pun tercari-cari satu teka teki maut yang gerenti diorang tak boleh jawab. Kalau lebih susah, lebih baik… sebab mereka akan lebih tertib. Selagi diorang tak jawab, lagi laa banyak kita boleh buat peraturan.

Contohnya, “Sapa nak jawapan kena diam.” “Sapa yang nak jawab, orang lain kena diam.” “Sapa boleh jawab, dia akan dapat rehat awal.” Yang ini sukar sikit sebab kena tukar-tukar peraturan, kecuali waktu rehat dah begitu hampir. “Sapa jawab dia memang budak pandai.”
Semua ini adalah ayat-ayat cinta yang membuatkan mereka cepat cair untuk mendengar kata dan mematuhi arahan. Inilah janji manismu.

Teka Teki 1

Apabila semua diam dan masa banyak lagi, aku akan memberikan soalan teka teki tersebut yang berbunyi, “Jika ikan di lautan semuanya ‘bertukar’ menjadi orang. Orang di daratan pula akan jadi apa?”

Semua mulut murid-murid aku ternganga untuk mencari jawapannya. Kalau ternganga sahaja macam mulut Pak Abu dalam filem Pendekar Bujang Lapuk tak apa laa. Ini semuanya ternganga dan bising macam burung Ciak Rumah mencari kawan di pagi hari. Aku pun suruh seorang demi seorang menjawab, pelbagai jawapan boleh didengari dari mulut mereka.

“Hah, orang jadi apa pula, kalau ikan jadi orang?” sergahku untuk melajukan lagi upaya otak mereka. Ada yang menjawab, ikan paus, ikan patin, ikan kaloi, ikan duyung, ikan bilis, ikan puyu, ikan keli… pendek kata semuanya ikan. Sekali sekala sahaja terdengar jawapannya itik atau ayam.

Dah lama aku layan jawapan mereka dan semakin buntu mereka mencari jawapan serta kelas mulai kembali bising. Aku menyuruh mereka diam dulu untuk mendengar jawapan dariku. Bila semua dah tenang aku pun baca semula soalan tadi, “Jika ikan di lautan semuanya ‘bertukar’ menjadi orang. Orang di daratan pula akan jadi apa?”

Mereka semua terdiam menantikan jawapan dariku. Dengan penuh perasaan bangga aku beritahu mereka, orang di daratan akan jadi RAMAI! Aa yang hanya tersengih dan ada juga sebahagian yang tidak berapa faham. Jadi aku kena terangkan semula, bila kat darat ada 10 orang dan ikan ada 500 ekor, bila dia jadi orang jumlahnya jadilah 510 orang. “Ramai tak, kalau 510 orang?” Ulangku.

“Ramai”, jawab mereka bersungguh. Kalau dah bersungguh tu, kira faham laa tu. Tengah aku dok layan pertanyaan lain ada pula teka teki baru dari 2 3 orang budak lain. Aku pula laa kena dengar. Sebelum tu aku akan arahkan budak lain turut senyap untuk mendengar soalannya.

Teka Teki 2

“Ustaz, banyak-banyak mi, mi apa tak boleh makan?” soalnya kepadaku. Aku terdengar rakannya berbisik sesama mereka. Misai katanya. Aku pun tanpa berlengah memberikan jawapan. “Misai!” jawabku.

“Yeaa! Ustaz ni pandai aaar!” puji mereka padaku. “Memang laaa ustaz pandai, kalau tak. Mana boleh jadi ustaz.” Jawabku selamba sambil bergurau dengan mereka, sebagai rangsangan pada mereka untuk terus belajar dan tidak malu bertanya. Kalau tawaduk sangat masa belajar, nanti jadi macam aku sampai sekarang.
Aku akui tidak pandai bertanya soalan kepada guruku di dalam kelas. Kalau cikgu suruh tanya untuk dibincangkan, aku rasa tak sampai 15 kali aku bertanyakan mereka secara langsung di dalam kelas. Dari sekolah rendah sampai ke universiti, rasaku. Suatu yang merugikan sebenarnya dalam belajar jika malu, segan, dan takut pada guru.

Teka Teki 3

Seorang lagi murid datang ke depan untuk beri satu teka teki. “Ustaz, ustaz! Nak bagi teka teki ni. Abu dan Ali pergi memburu harimau di dalam hutan. Mereka berjaya menangkap harimau itu dan membunuhnya. Abu ambil kaki belakang dan ekornya, manakala Ali ambil badan dan kaki atasnya. Jadi, siapa yang ambil kepalanya?”
Kali ini aku terperangkap. Selama aku main teka teki dengan murid-muridku, aku tak pernah lagi dapat soalan ni. Ehmm.. tak sampai seminit aku mengalah. “Tak tahu!” ujarku. Dengan bangganya dia menjawab, “Maybank laa ustaz.” “Ehmm Maybank…?” Aku tak faham… “Kan.. lambang bank tu kepala harimau…” jawab mereka. “Okey, okey… ustaz faham dah…” ulangku semula…

Teka Teki 4

Kelas kembali riuh dan aku terdengar pula seorang murid darjah 1 yang lain nak beri soalan teka teki padaku. Soalnya selamba, “Ustaz, kalau orang lelaki berapa orang dia boleh kahwin?” “Aaah soalan macam tu ustaz tak nak jawab laa.” Semacam je soalan tu mengikut firasatku. Mereka pun menjawab, “Tiga orang ustaz, dia boleh kahwin tiga orang. Sebabnya is one, is two, is three (isteri).” “Ceh, hampeh… sempat juga nak memain.” Getus hatiku.

Teka Teki 5

“Okey ustaz ada satu lagi teka teki. Kalau nak rehat, sila diam dan jawab soalan ni.” Kelas pun kembali senyap seketika. Aku menyoal mereka, “Dalam banyak-banyak buah yang kita makan dengan mengupas, membelah, menghiris dan banyak lagi cara kita nak makannya. Tapi ada satu jenis buah, jika kita nak makannya. Kita kena langkah dulu baru boleh makan. Apakah nama buah itu?”

Sekali lagi mereka terdiam. Seorang demi seorang aku ulangi semula bertanyakan mereka. Pelbagai buah yang keluar namanya seperti cempedak, manggis, rambutan, langsat, nangka, durian, anggur dan macam-macam Aznil laaa… jadi dah kesian aku melihat mereka bertungkus-lumus mencari jawapannya.

Aku pun memberi jawapannya, “Buah Dam”. “Siapa nak makan buah dam pihak lawan, mereka perlulah melangkahnya terlebih dahulu untuk dapatkan haji.” Mereka semua tersengih lebar mendengar jawapan itu… sebelum melangkah kaki menuju ke kantin.


[1] Koi dalam dialek Pahang ialah saya.
[2] Gerode – burung Garuda sejenis burung raksasa dari alam kayangan.

Subjek Matematik – kini PPSMI

Masa aku disekolah dulu, pantang sahaja tidak tahu terutamanya subjek sukar macam matematik yang masih diajar dalam Bahasa Melayu. Aku dan rakan mesti ingin meniru rakan-rakan yang pandai sedikit dalam subjek ini.

Sememangnya aku tidak faham bagaimana budak sekolah sekarang, mampu belajar dalam Bahasa Inggeris. Kira tabik spring juga kepada mereka semua. Tapi kalau sudah terpaksa, benda yang tak boleh pastikan boleh punya. Macam kata Dafi, “Baik Punyer!”

Berbalik pada adegan tiru-tiru tadi, terutamanya subjek matematik, aku memang sering ‘gagal’. Pernah masa percubaan bulanan SPM aku hanya mendapat 4/100. Aku sendiri tidak tahu bagaimana yang harus aku lakukan. Matematik memang bukan subjek kegemaranku. Kecuali bab kira mengira DUIT, budak yang tak pernah belajar matematik pun, mesti secara automatik dia boleh mengira. Kalau darab ni, semakin besar angkanya, semakin susah nak congak. Tapi kalau kena bab duit, makin besar jumlahnya, makin suka orang mengiranya, betul tak? Eheh betul… betul… betul… bak kata Ipin.

Cuma sekali aku menjadi suka subjek tersebut disebabkan guru yang dipanggil mengajar bagi menggantikan guru matematikku yang cukup berdedikasi dalam mengajarku. beliau tidak pernah marah dan cukup baik hati. Ketika itu, beliau sedang ‘merayakan’ cuti bersalinnya yang hampir diambilnya 'setiap' tahun. Guru yang menggantikannya adalah seorang guru wanita keturunan mamak dari sekolah lain. Pertama kali aku melihat ketegasannya cukup membuatkan aku rasakan yang beliau bagiku amat ‘garang’.

Corak pengajarannya amat menggerunkanku. Amaran pertamanya sewaktu memulakan kelas pagi itu yang masih terngiang di dalam benakku dengan katanya, “Saya akan ajar subjek ini sehingga kamu dapat, sila berikan perhatian sepenuhnya. Selepas saya selesai mengajar, saya akan menyuruh mana-mana pelajar membuat latihan di papan hitam. Siapa yang salah akan dirotan atas kesalahannya dan boleh duduk semula di tempatnya.” Amaran begitu cukup menggerunkan aku, walaupun aku telah berada di tingkatan 5.

Sebab apa aku gerun? Antaranya:

1] Memang aku malas mencongak dan mengira.... semua orang pandai, tapi kalau dah malas dan dimanjakan. memang sampai bila pun tak akan pandai...
2] Aku kalau bab datang buat kerja di depan papan hitam ini, memang satu kelemahan la... sebab aku tinggi, jadi kelakar laa nak dibandingkan dengan guru tu yang rendah.
3] Lagi satu aku dan rakan adalah geng pemalu... sebab dalam kelas aku, ada hampir 30 orang pelajar pompuan dan pelajar lelaki hanya 8 orang dan selalunya kami memang tak ngam dengan pelajar pompuan nih... buat hal masing-masing je.. sekolah agama laa katakan..
4] Kalau tersilap buat, memang suatu yang memalukan laaa... kena marah pulak kat depan. Kalau boleh, mahu kepala aku ini disorokkan dalam songkok. Aku dulu wajib memakai songkok di sekolah...
5] blaa... blaa.. manusia memang banyak alasan dan dalihnya... eheheh

Masa tu, kami tak berapa pandai melawan sangat, jadi diam je laa bila kena marah... Jadi sebab nak elak malu, aku pun belajar laa subjek yang dia ajar tu. Dalam banyak-banyak subjek yang aku pelajari untuk SPM, subjek itulah yang aku fahami 'sedikit' iaitu Persamaan Linear. Jadi, berkat ketegasannya itu walau hanya sebulan. Aku dapat juga belajar matematik dengan rajin sekalipun dalam sijil SPM aku subjek itu tidak 'tercatat' di dalamnya.

Apa pun, terima kasih cikgu, sebab berkat usaha cikgu yang aku sendiri tidak ingat namanya itu. Aku mampu menjadi manusia pada hari ini dan mampu mengira duit ehehehe...

Hari akhir di sekolah sebelum bercuti penggal

Hari last di sekolah, aku masuk ke kelas 1 Usaha seperti biasa. Ramai di kalangan murid-murid asyik ‘memekak’ dan agak tidak keruan dengan kehadiranku.

Selepas memberi salam dan membaca doa, mereka duduk seperti biasa. Aku memberikan helaian kertas kerja yang aku buat 2 tahun lepas. Itu pun selepas aku terjumpa ketika mencari fail Bahasa Arab yang hilang entah ke mana.

Rasa macam ada yang cuba nak sabotaj aku ni… tak pe, aku tak kisah… sebab kalau ada pemantau cek, bukan aku sorang yang akan kena, tapi semua sekali. Namun, aku adalah yang paling teruk kena belasah. Ehehe

Aku memanggil seorang murid lelaki yang tidak datang pada hari peperiksaan Bahasa Arab kerana demam. Aku serahkan kertas soalan kepadanya dan suruh dia duduk di meja guru untuk menjawabnya. Tidak sampai 2 minit dia bangun dan ingin pulang ke tempatnya.

“Kenapa tak duduk di situ?” tegurku.

Dia memandang ke arahku terkebil-kebil sambil tangan menunjuk ke arah tempat duduknya. Mungkin kurang selesa untuk dia menjawab soalan tersebut, agakku. Aku hanya perhatikan sahaja jika dia bertanyakan jawapan pada rakan-rakannya. Tapi sebagai seorang kanak-kanak yang lurus dan jurus (berjurus) dia tidak ‘meniru’ sebagaimana aku dan rakan-rakan di sekolah menengah dulu. Eheheh

Itulah akal budak, kadang-kadang kelakar memerhatikannya, boleh pula dia menjawab soalan peperiksaan di sebelah rakan-rakannya yang sedang ‘memekak’ menyiapkan tugasan. Sedang kertas jawapan peperiksaan sudah berada di tangan rakan-rakannya dan tidak pula dia menjenguk untuk ‘meniru’. Manakala rakannya pula, boleh melakukan tugasan dalam keadaan bising, berjalan ke sana kemari dan sambil bergurau senda.

Aku sendiri dah tidak larat nak berteriak mengarahkan mereka duduk. Biarlah mereka bergembira, asal jangan membahayakan diri sendiri dan menyusahkan guru terutamanya aku dalam melaksanakan tugasan sekolah yang jika dibiarkan pasti bertimbun?