![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh8lNyZyLrnJV2MiBDL0XiR0KJ2mhvyS7ZeOl6oNhB59nCC_Zm1eIU08zMEnM5kTXY0CXqriso3MCuxPrutrtUJsXh_HQP_mDo9rZ4omGcLKW6_DN7YqbIPcr8eXn7H0sRrnYAacLAMlQQ0/s400/fokusa.jpg)
Selasa, 29 September 2009
Datang Sekolah Selepas Raya
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh8lNyZyLrnJV2MiBDL0XiR0KJ2mhvyS7ZeOl6oNhB59nCC_Zm1eIU08zMEnM5kTXY0CXqriso3MCuxPrutrtUJsXh_HQP_mDo9rZ4omGcLKW6_DN7YqbIPcr8eXn7H0sRrnYAacLAMlQQ0/s400/fokusa.jpg)
Membuka Rahsia Lailatulqadar
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgXuDxqr_jaWrZuN4KlVR0WlQObRrBB42RDFz_TTOGuJpRY_hZZIfPMtPQL7GAmO1KSxCOjL69kMcIG89lJL_SvzkxZqJhhpXQXwu082Pq45aj5WSUQlNF04dQqrpMsFVZxDQDPbq49L0YC/s400/solat-malam.jpg)
Sabtu, 19 September 2009
Aidilfitri di Kenitra
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg_B78cMlXiVMDQHCelv6dd54HeJRUYZDTxPs4LSBfcESJKYr-CtiLiTsVYnN53wSpOyKQFzhmTF4nnYTGJEX4ZF61cx78rrpyXKohGARPiREhyphenhyphenS9cIeC3xjV21J8bLfbZR3QCdaZB3xo2Z/s400/musolla-khas-untuk-solat-raya-Kenitra.jpg)
TERINGAT semasa aku menyambut Aidilfitri di Kenitra dulu. Pagi-pagi lagi kami terpaksa bangun bersiap kerana malamnya tidur agak lewat. Mengantuk sambil berebut bilik air adalah perkara biasa. Sedih sebab tak sambut bersama keluarga semasa tahun pertama sahaja. Selepas itu, aku tidak rasa apa-apa lagi. Manakan tidak? Semasa aku pergi bersolat hari raya, kebanyakan jiran di sekitar rumah aku masih lagi tidur seperti tiada apa yang berlaku. Perasaan seronok berhari raya seperti di Malaysia terus terpadam.
Lalu aku merasakan, cuti hari raya Aidilfitri tidak ada perbezaan dengan cuti hari Ahad. Selepas kami bersiap, kami segera menuju ke Musolla yang agak jauh dari rumah kami. Kadangkala kami menaiki teksi kerana solat selalunya lebih cepat dari apa yang dijangkakan. Sewaktu sampai di Musolla itu, seluas mata memandang. Almaklumlah Musolla ini adalah padang yang luas terbentang. Nampak orang berduyun-duyun muslimin dan muslimat. Kalau engkorang ada sama, memang best! Bayangkan ribuan orang datang bertandang dengan pakaian jubah berwarna putih ramai-ramai. Macam nak pergi haji pun ada.
Kami selalunya ada siapkan sejadah sorang sehelai. Kalau pagi-pagi ini tanah pun masih basah jadi memang sejuk laa. Jadi pergi cari tempat 'parking' baik punya. Kami pun siap untuk bersolat hari raya. Laungan takbirnya tidak sama dengan takbir negara kita yang mendayu-dayu macam nak nangis. Kat sana bunyi takbirnya kuat lantang dan keras sedikit, macam nak pergi perang.
Bila bilal melaungkan untuk qiyam solat hari raya, semua oerang pun bersedia meluruskan saf. Namun, saf yang terlalu ramai dan tidak tersusun menjadikannya 'herot petot'. Imam memulakan solat, maka dia pun akan bertakbir sebanyak 7 kali takbir. Bagi mazhab Maliki ini, sewaktu bertakbir 7 kali itu, mereka tidak mengangkat tangan seperti lazim orang kita. Cuma lafaz takbir sahaja dilaungkan. Jadi sememangnya janggal sedikitlah pada mulanya. Tapi terkesan dari situ, hingga hari ini, aku sendiri tidak lagi mengangkat tangan sewaktu takbir solat hari raya atau solat jenazah.
Kalau engkorang semua jumpa orang yang tidak angkat tangan semasa takbir solat hari raya dan solat jenazah itu. Mungkin orang itu adalah aku. Bukan aku nak bezakan aku dengan orang lain di Malaysia ini, tapi aku lebih rasa dekat dengan cara tersebut dalam beribadah.
Hujahnya adalah pendapat Sadah Malikiyah yang beramal dengan 'Amal Ahl Madinah, manakala Imam Malik sendiri adalah guru kepada Imam Syafie. Jadi tidak akan aku melakukan kesalahan jika Imam Malik yang berpendapat sedemikian. Kalau ada di kalangan anda yang menyatakan Imam Malik adalah salah dari pendapatnya, sama sahaja bagi orang yang bermazhab Malik akan menyatakan Imam Syafie juga salah dalam amalannya. Jadi tinggalkan sahajalah khilaf pada bab furuk itu, kerana tiada yang salah. Kecuali ada nas atau dalil yang melarangnya.
Selepas selesai solat, kami mendengar khutbah hari raya yang selalunya disampaikan oleh syeikh kami almarhum Ustaz Muhammad al-Habti al-Muwahibi sebagai khatib wilayah Kenitra. Syeikh kami ini, orangnya amat tawaduk sekalipun kalau kita mendengar dia bercakap, memang tidak tawaduk dalam menegakkan segala pendapatnya sama ada bersumberkan dalil Qurani atau sunnah. Kalau isterinya lambat menjemputnya pada hari Jumaat, beliau akan pulang berjalan kaki ke rumahnya yang terletak dalam 5 atau 6 kilometer dari masjid tersebut. Kami pula yang terkejar-kejar apabila mengikutnya berjalan laju untuk pulang ke rumah.
Semasa beliau menyampaikan khutbah yang berisi dengan nasihat dan bimbingan seringkali dihiasi dengan syair Arab sama ada nazam atau matan ilmiah selepas dalil al-Quran dan hadis. Bagi orang yang tak faham macam aku, kadang-kadang naik pening juga. Pada awalnya aku mendengar khutbah sedemikian, tapi bila dah biasa, memang menarik dan penuh pengisian. Tambahan pula kita melihat pada topik yang bakal disampainya itu dan persedian dan ilmu yang ada pada dirinya cukup mempesonakan.
Selepas usai khutbah, kami mula bertemu dengan rakan-rakan. Time ni memang seronok sebab ada yang menjemput ke rumah. Boleh pergi beraya ke rumah Arab, tapi selalunya tak semeriah hari raya korban. Jadi kami pulang cepat ke erumah untuk pergi pekena apa-apa di kedutaan Malaysia. Sebab waktu kami di sana, pelajar tak sampai 20 orang, jadi selalulah juga pak duta ajak beraya di sana. Segala juadah yang dah tak merasa selama beberapa tahun memang banyak kat sinun. Apa lagi… kalau kayu tarah, kalau lahap mentekadarah!
Selamat berhari raya Aidilfitri!
Fen Beshkeletot diyali?
Maknanya: Ke mana basikal aku?
Satu peristiwa yang aku tak boleh lupa, apabila seorang pakcik Arab datang kat aku tanya basikal dia yang lupa di mana dia meletakkannya. Memang aku datang sekali dengan dia dan dia memandang ke arah aku sewaktu parkir basikalnya. Semasa bersalam dengan rakan-rakan kami dia menerpa ke arahku bertanyakan basikalnya itu. Aku terpinga-pinga cuba untuk membantunya dengan kekurangan fahaman terhadap Darijah pekat yang dituturkannya. Memang waktu itu, si Zahid la yang menjadi juru penyelamat aku. Dialah yang menjadi translator untuk pakcik itu. Merci, si Zahid…
Isnin, 14 September 2009
Isu Tangkapan Mereka Yang Tidak Berpuasa
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjsYsY0C3OmoEQplQZh7kc1cCADDSlftkgV_mAOCde_7LriHSNsiMzO3m6RSn6i8lH0GmdNSb9VMeGe-vScNqNWHcj1Y83adImdMO2oc9YHV50fhwjxCOVg_-rFEQAdZ2dTWjXDxZb1LXBV/s400/nasiayamistimewa_web.jpg)
Berita Harian - 14/09/2009
Mesir perjelas tahan penduduk tak puasa
KAHERAH: Pihak berkuasa berhak menahan dan mendenda warga Mesir yang makan di khalayak ramai ketika Ramadan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Bagi Media dan Penerangan, Abdul Karim Hamdy, kelmarin.
Polis menyasarkan mereka yang makan di khalayak ramai sebelum waktu berbuka dan sudah menahan sekurang-kurangnya 155 orang termasuk seorang lelaki yang mendakwa membeli jus untuk keluarganya. Abdul Karim Hamdy berkata, kempen itu dilancarkan pegawai polis di beberapa direktorat keselamatan.
Katanya, 200 orang yang berbuka di khalayak ramai sepanjang Ramadan sudah dikenakan tindakan berdasarkan undang-undang. Beliau mempertahankan kempen yang mengundang kebimbangan berhubung kemungkinan polis bertindak keterlaluan. – Agensi
-------------
Semalam aku berjumpa dengan seorang rakan. Beliau menceritakan terdapat segenlintir umat Islam tidak berpuasa pada petang itu. Sewaktu beliau memarkir kenderaannya, kelihatan di sebelahnya seorang lelaki Melayu sedang menghisap rokok 'dengan penuh bangga' tanpa rasa bersalah.
Situasi ini sering terjadi di sekitar bandar atau daerah kecil ini. Jika nada pergi ke pusat-pusat hiburan yang mempunyai games dan snooker. Di situ pemuda pemudi Islam akan melepak dan tidak berpuasa dengan jayanya. Adakah anda tahu kenapa ini terjadi?
Antara faktornya yang terpenting:
- Kejahilan agama.
- Kurang penguatkuasaan pihak berkuasa.
Aku tidak mahu memperkatakan mengenai kejahilan agama, kerana setiap hari ada program agama sama ada di masjid, sekolah, akhbar, televisyen, radio dan pelbagai lagi sumber yang ada masa kini. Jadi, tiada asas untuk aku meniti di atas alasan kejahilan beragama bagi generasi Melayu dekad ini. Segala sarana tersebut telah diketahui mereka dan berupaya untuk mencapainya. Memang tiada alasan 'jahil' untuk mereka.
Aku hanya ingin memfokuskan pada faktor kedua iaitu kurangnya penguatkuasaan pihak berkuasa. Anda tahu? Di negeri Pahang contohnya, penguatkuasa agama yang ditugaskan menangkap mereka yang tidak berpuasa hanya seorang di setiap kawasan. Jika Pahang mempunyai 11 daerah, cuma ada 11 orang penguatkuasa di seluruh negeri Pahang.
Keadaan sebegini langsung tidak memberi apa-apa kesan dalam usaha menangani masyarakat Islam yang tidak berpuasa. Hampir setiap lokasi di setiap bandar mempunyai port untuk membeli makanan bagi mereka yang tidak berpuasa. Jika di restoran non-muslim yang hanya menjual nasi ayam satu periuk pada bulan biasa. Namun, di bulan mulia ini mereka terpaksa memasak 4 periuk nasi ayam untuk dijamu kepada umat Islam yang tidak berpuasa. Cerita ini bukan rekaan, tetapi apa yang aku dengar sendiri dari mulut mereka yang tidak berpuasa dengan bau rokok yang menyeka di hidung.
Bagi sesetengah orang, mereka pasti akan menyatakan bahawa aku seorang ustaz yang tidak menegakkan amar makruf dan nahi mungkar. Aku hanya mampu menjawab, "aku mencegah dalam tingkatan yang berbeza menurut kelemahan iman sebagaimana yang tersebut di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Said Al-Khudri bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam: Barangsiapa di antara kamu melihat sesuatu yang mungkar, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu (dengan tangannya) hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya. Jika dia tidak mampu (dengan lidah), hendaklah dia mengubah dengan hatinya. Dan yang demikian (dengan hati) adalah selemah-lemah iman."
Oleh itu, aku pernah mencadangkan agar hal ini dilakukan bersama antara penguatkuasa jabatan agama dengan pihak polis. Tetapi, saranan aku itu ditolak oleh mereka yang mendengarnya kerana menurut mereka, polis pun ramai tidak berpuasa. sekali lagi aku buntu memikirkan keadaan ini.
Semalam aku berfikir kembali, alangkah baiknya jika penguatkuasa pihak jabatan agama membuat perjanjian persefahaman dengan pihak Majlis Daerah Tempatan dalam menangani soal ini. Tidaklah Majlis Daerah dan Perbandaran hanya menguatkuasakan undang-undangnya yang terhad kepada menyaman kenderaan yang salah parkir atau tidak meletakkan tiket parkir sahaja.
Apabila diletakkan kuasa penguatkuasaan itu hanya kepada jabatan tertentu, maka ia akan menjadikannya tidak efisien. JPJ hanya boleh menyaman lori besar yang lebih muatan, Polis Trafik pula menyaman mereka yang hanya memandu laju, manakala pihak JAS hanya menyaman kenderaan yang mengeluarkan asap tebal yang boleh menjejaskan alam sekitar. Usaha ini sepaptutnya disepadukan dengan kerjasama antara semua pihak dalam menangani dan mengatasi masalah keselamatan jalan raya.
Penguatkuasaan pada zaman kerajaan Islam dahulu yang dikenali sebagai hisbah dan penguatkuasanya dipanggil al-Muhtasib. Oleh itu, kini yang paling layak untuk mengepalai usaha menangkap atau menahan mereka yang tidak berpuasa ini adalah Polis, jika tidak berupaya dilaksanakan. Tugasan ini boleh dialihkan kepada para penguatkuasa Majlis Tempatan dan Daerah. Seandainya usaha ini juga tidak mempunyai jalan keluar, pihak Majlis Agama sepatutnya menubuhkan satu Briged Muhtasib dari kalangan orang awam yang secara sukarela untuk membantu usaha murni ini.
Imam Al-Ghazali (w.505H) dalam kitab Ihya Ulumiddin pernah membicarakan mengenai hisbah ini, bukan sahaja beliau membicarakannya dari aspek feqah semata tetapi penekanan juga diberikan dari aspek akhlak penguasa hisbah. Beliau membahagikan kepada lima cara untuk penguasa hisbah membenteras kemungkaran iaitu:
- melalui penerangan,
- nasihat serta peringatan yang lembut,
- mengherdik kata-kata keras yang boleh menyedarkan,
- mencegah dengan tangan dengan serta merta dan
- memberi amaran yang menginsafkan.
( al-Zubaidi, al-Ithaf al-Sadah al-Mutaqin, 1989. jil. 8, hal. 27)
Jadi, sesiapa yang terbaca pesanan aku ini, hebahkan kepada yang lain agar ia sampai kepada pihak pemerintah untuk mereka menggubal satu dasar yang lebih berkesan demi menyelamatkan maruah umat Islam yang kian tergadai.
Wa biHi nasta'ien.
Walhamdulillah.
Jumaat, 11 September 2009
Dihalang ambil UPSR - laporan Metro
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjsa3f___LPyCvDeDs2S3lAq5ji7WLORkSihnSuP_7h37C5o8o5wgP5vdoFjFmbkjUBBUEg9pINKS9O-59qE19YXSzGQJmYF1GdVC1tIJzMJXI12aACBQsfaNnCTAOTQuJqko1-c__xm2BV/s400/upsr5a.jpg)
Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my
GURUN: “Saya sangat sedih apabila guru mengatakan pada anak saya buat kotor kertas peperikaaan saja sekiranya anak saya mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), baru-baru ini.
“Saya tahu anak saya kurang cerdik, tetapi janganlah dia cakap macam itu. Lebih kecewa guru terbabit kata kalau tak datang satu hari peperiksaan, tidak payah datang langsung,” kata Rohani Ahmad, 45, ibu kepada Mohd Khairul Anuar Md Isa, 12, yang mendakwa anaknya takut ke sekolah kerana ‘fobia’ dengan kata-kata guru Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Mengkuang, kelmarin.
Rohani berkata, dia kesal dengan tindakan pihak sekolah kerana cuba mempermainkan anaknya sehingga dia takut untuk ke sekolah. “Beberapa hari sebelum menduduki peperiksaan UPSR Selasa lalu, Mohd Khairul ada cakap dengan saya seorang guru bagi tahu supaya tidak perlu datang ke sekolah.
“Dia takut untuk ke sekolah pada hari pertama peperiksaan kerana gurunya pesan supaya jangan datang kerana buat kotor kertas peperiksaan saja.
“Hari kedua saya cuba pujuk dia lagi, tetapi Mohd Khairul tetap berkeras tidak mahu ke sekolah kerana takut dengan guru sekolah,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Paya Mengkuang, semalam.
Katanya, pada hari kedua peperiksaan itu, suaminya Md Isa Ahmad, 52, turut menghantar anaknya ke sekolah berkenaan, tetapi sebaik tiba di hadapan pintu sekolah anaknya tidak mahu masuk dan berkeras mahu balik ke rumah.
“Saya sedih sangat sebab anak saya diperlakukan demikian...walaupun dia kurang cerdik, tetapi berilah dia peluang untuk mengambil peperiksaan ini.
“Saya memang tidak berpuas hati dengan pengurusan sekolah. Sepatutnya pihak sekolah menghubungi waris sekiranya terdapat murid mereka yang gagal hadir bagi menduduki peperiksaan UPSR,” katanya yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang plastik.
Sementara itu, Guru Besar SK Paya Mengkuang, Hasnah Hussin yang berada di rumah keluarga Mohd Khairul memohon maaf dan menganggap kejadian itu salah faham.
“Saya merayu supaya perkara ini tidak dipanjangkan kerana ia berlaku akibat salah faham.
Sudah menjadi kelaziman kepada guru sekolah untuk mengingatkan murid mereka supaya menghadiri kertas peperiksaan UPSR.
“Mungkin guru itu cuma melawak saja, tetapi Mohd Khairul menganggap perkara itu serius.
“Ia sebagai peringatan kepada semua murid supaya jangan ponteng pada hari peperiksaan nanti. Saya mohon maaf kerana salah faham itu.
“Bagi pihak sekolah juga kami berusaha untuk merujuk Mohd Khairul ke sekolah khas,” katanya.
Komen Aku yang juga sebagai pengawas peperiksaan UPSR:
Masalah ini sering timbul sewaktu UPSR kerana:
1- Guru begitu inginkan pencapaian yang terbaik bagi keseluruhan keputusan UPSR di sekolahnya. Ini kerana setiap murid akan menyumbang keputusan bagi setiap peperiksaan yang diduduki mereka. Hanya seorang murid yang 'gagal' ia akan memberi 'kesan besar' pada keseluruhan keputusan atau peratusan pencapaian sekolah tersebut.
2- 'Segelintir guru' begitu bersungguh-sungguh untuk mendapatkan pencapaian ini bagi meraih bla... bla... bla... sebagai satu kebanggaan buat mereka. Murid yang tidak boleh memberi atau gagal mendapat keputusan terbaik 'cuba' dipinggirkan seperti laporan di atas. Tidak semua guru berbuat demikian, kerana UPSR tidaqk membolehkan guru tersebut naik gaji, mendapat bonus dan muridnya juga masih belum berpeluang ke universiti. Jadi, kesungguhan agresif tersebut sewajarnya dielakkan oleh guru yang matang dan profesional.
3. Cuba fikirkan jika anak kita yang dipinggirkan sebegitu kerana kebodohannya, sudah tentu kita pun tidak mahu perkara begitu berlaku kepada kita. Di sini perlunya guru-guru melaksanakan kursus kendiri (LDP) yang lebih menjurus kepada penerangan berkaitan 'empati'. Kadangkala 'segelintir' guru dengan label 'guru' ia menganggap keputusannya adalah betul belaka dan tidak boleh ditegur.
4. Ini belum lagi kes-kes GB yang berjawatan tinggi tersebut. Namun aku memuji tindakan GB SK Paya Mengkuang di atas yang pantas bertindak, sekalipun dia seorang wanita. Ini kerana ada 'segelintir' GB wanita yang tidak atau enggan mempertahankan gurunya sendiri. Kadangkala mereka lebih beremosi, cerewet, mementingkan diri, 'syok sendiri' dan pelbagai bentuk sikap yang tidak sewajarnya dilaksanakan sebagai ketua pentadbir penjawat awam. Aku bukan hendak menuduh atau mentohmah, sekalipun aku tidak pernah berada di bawah kelolaan seorang GB wanita setakat ini. Tetapi, inilah yang sering diceritakan oleh rakan-rakanku di sekolah lain yang dipimpin oleh GB wanita. Hari Sabtu pun kena datang ke sekolah untuk diadakan mesyuarat atau sekadar gotong royong, selain bebanan setiap hari di sekolah. Jadi reaksi aku pada GB SK di atas, tahniah!
5. Sebahagian guru lebih mementingkan kejayaan keputusan murid mereka dengan keputusan 5A. Berapa orang yang memperolehinya, bilangan tertinggi di antara sekolah, pencapaian keseluruhan dan pelbagai lagi 'agenda' yang cukup membanggakan. Sememangnya 'kita' sebagai guru, apatah lagi ibu bapa patut berbangga dengan pencapaian ini. Tetapi, kita perlu melihat kepada kefahaman mereka pula, sejauh manakah kefahaman mereka terhadap nilai ilmu pengetahuan. Kita tidak mahu anak murid kita diperlakukan seperti robot.
Mereka berjaya dalam subjek mata pelajaran, tetapi pincang pada kefahaman dan tujuan mereka menuntut ilmu. Sogokan sebegini hanyalah unsur hedonisme yang tidak mempunyai roh dalam menuntut ilmu pengetahuan. Mereka akan belajar bersungguh-sungguh setakat UPSR, PMR, SPM, STPM.... Ph.D dan habis. Bila tamat bahagian terakhir ini, cukup setakat itu dan mereka merasakan mereka sudah habis bijak.
Segala kenyataan mereka adalah benar belaka! Nilai kebenaran dinilai menerusi pangkat dan jawatan. Cukuplah... masyarakat kita perlu pendidikan yang lebih matang dan mampu dijiwai oleh mereka dalam kehidupan seharian. Biarpun murid ini tidak mendapat 5A, usahlah mereka disisih kerana faktor ini. Yakinlah, mereka ini akan tetap berjasa kepada masyarakat walau sekecil mana pun sumbangan mereka.
Setakat itu sahaja yang aku nak cerita, ini bukan tuduhan atau tohmahan... tetapi rasa yang aku pendam dah lama dalam hati aku melihat corak pendidikan yang diterapkan di Malaysia. Murid-muridku ditekankan dengan pencapaian cemerlang, tetapi sayang mereka kosong dari aspek pemahaman rohani keilmuan itu sendiri. Sasaran mereka dalam belajar ialah 5A, tetapi dari 'aspek lain' tidak diberatkan oleh guru terbabit.
Pincang kefahaman mereka ini, disebabkan apabila hampir tiba waktu peperiksaan solat Hajat dianggap sebagai mukjizat dari Allah yang boleh membantu mereka. Aspek agama, diletakkan sebagai satu fahaman yang diperalatkan dan kadangkala dicampuri bidaah yang merosakkan. Perkara ini perlu diniali semula dengan sebaiknya, agar kemajuan sekolah dan pendidikan negara berdaya saing tanpa meminggirkan peranan akademik dan agama yang perlu seiring dan sejalan. Cewahhh!
Wallahu a'lam.!
p/s: Cikgu lain jangan marah naa... aku pun cikgu macam hangpa jugak... tapi kepala aku lain sket dalam byk hal...
Selasa, 8 September 2009
Mendengar Kuliah Abdul Fattah Abu Ghuddah di TV Maghribi
Semasa aku belajar dulu, pada bulan puasa selepas pulang dari kuliah sementara menantikan waktu berbuka puasa. Aku selalu melepak depan TV dan menonton program TV1 RTM yang ada, manakala TV2 nya yang diswastakan dan dinamakan sebagai TV Ducieme dah kena bayar masa tu. Jadi, bagi kami yang tidak ada duit ini, tepaksalah layan TV1 tu. RTM di Maghribi atau Morocco, ini sama sahaja dengan RTM di Malaysia.
Banyak rancangan yang tidak berapa berkenan di hati, tetapi kalau bulan puasa ini banyak program menarik. Antara yang begitu menarik ialah Durus al-Hasaniyah iaitu sebuah pengajian di setiap petang bulan Ramadan. Kerajaan Maghribi yang diketahui oleh almarhum Malik Hassan al-Tsani (II) akan menjemput para ulama seluruh dunia Arab untuk menyampaikan kuliah Ramadan pada setiap petang dan dipancarkan secara langsung di dalam TV.
Kami suka menonton program ini sebab kadang-kadang Malik (raja) turut bertanya kepada para ulama dalam masalah yang tidak difahaminya. Seluruh ulama terkenal dipanggil dan dijemput untuk berceramah di hadapannya dengan diiringi oleh dua puteranya, terutamanya Moulay Mohammed al-Sadis (VI) atau adiknya sama ada Moulay Rachid atau Moulay Hicham. Segala pembesar atau wali wilayah akan datang bersama dengan duta-duta asing dari seluruh negara Islam di dalam majlis sepanjang Ramadan itu.
Bolehlah tengok dalam youtube di atas yang disampaikan oleh almarhum Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah di hadapan raja. Semoga kita mendapat kebaikan daripada apa yang disampaikannya. Inilah tradisi para pemerintah di Maghribi suatu ketika dulu yang sudah tidak ada lagi di negara-negara umat Islam yang lain kini. Suatu program Ihya Ramadan yang menarik untuk direnung-renungkan.
* Terima kasih kepada Mauswah sebab mengembalikan nostalgia silam di sebuah negara yang amat jauh dari tanah ibunda ini. Rinduku pada tanah yg pernah aku jejaki itu kini menggamit kembali. :)
Rabu, 2 September 2009
Sepetang Ramadan di Khubbazat
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjOe_BkoSg-dnuKcCXWb8RMyjZdrhyphenhyphenDxnL1wicpGvNXsrso4eosZoZkGLjylphMwF5wRbyoN4OHPwTdwFUcYv1hC-TbGsUP19P18KnVu6XrOT3WleRtDHZpbmHmSL_dyxWaurwPP5_qfyXI/s400/Gare-kenitra.png)
Tapi satu petang masa aku dengan Wifaq (sekarang ni Dr.) keluar jenjalan di Souq Khubbazat nak mencari barang keperluan tak silap aku. Tetiba kami disapa oleh seorang Arab. Dia memperkenalkan namanya sebagai Mohcine (sebutannya Muhsin). Beliau bertanyakan asal kami dan apa kejenya kami ke situ. Kami pun memperkenalkan diri dan menyatakan yang kami adalah etudiant (sebutan Inggerisnya student) di Universiti Kenitra.
Selalunya Arab di tempat kami ini memang mengenali pelajar Malaysia yang tak berapa kerat nih. Pelik juga dengan dia yang tak berapa tahu, bila ditanya dia berasal dari mana, dia menjawab yang dia belajar di luar wilayah Kenitra di sebuah Maktab al-Takwin al-Mu’allimin atau Institusi Pendidikan Guru.
Beliau mengajak kami berbuka puasa di rumahnya pada lusa, memandangkan beliau bercuti menyambut Ramadan pada masa itu. Jadi kami pun suka hati laa, dapat jemputan berbuka posa kat rumah Arab. Memang selalu dapat berbuka di rumah Arab ni, sampai kadang-kadang naik buhsan pun ada… sebab tak ada Bubur Lambuk eheheh asyik-asyik Harira iaitu sejenis bubur mereka yang dibuat dari 2kg tomato… kalau tak biasa makan, memang sakit perut…
Pada hari yang ditetapkan, kami menuju ke tempat yang dijanjikan beliau untuk berjumpa. Selepas kami berjumpa, kami berjalan menuju ke rumahnya yang agak jauh di celah-celah rumah Arab dalam kawasan yang agak sesak. Jadi kami memahami bahawa beliau bukanlah seorang yang berasal dari keluarga berada.
Masuk ke rumahnya, seperti biasa apa yang ada hanyalah beberapa bilik kecil dan agak sederhana keadaannya. Kalau di Malaysia ini, kita akan rasa sesak nafas laa. Tapi aku rileks jer dengan Wifaq, sebab kami dah sebati dengan budaya yang begitu.
Sebaik sahaj kami masuk, beliau memperkenalkan ayah dan bondanya yang berusia dalam awal 50-an. Mereka mengalu-alukan kami dan menganggap kami sebagai anak angkat mereka. Kami begitu gembira dengan perisytiharan tersebut eheheh. Sebaik sahaja masuk waktu berbuka, kami seperti biasa, makan buah tamar dan segelas susu dan terus menuju ke masjid. Kalau kat rumah sewa kami, melantak bagai nak rak, macam kita di Malaysia sekang ni, dah kenyanggggg baru pegi solat…
Jadi kami pun pergi laa ke surau berdekatan rumahnya. Kat Maghribi, surau dipanggil masjid sebab masjid ni tak didirikan solat Jumaat. Masjid yang buat solat Jumaat dipanggil Jamik dan musolla pula ialah tanah lapang sasar atau padang luas untuk solat hari raya. Kami pun bersolat di surau tersebut yang penuh sesak kerana kecil dan agak padat penghuninya.
Seusai solat, kami bertemu di luar menantikan Mohcine dan melihat ada seorang wanita tua mengemis mengharapkan sedikit habuan di tepi pintu masjid. Sebagaimana biasa kami memandang sepi kepada para pengemis yang begitu ramai di sana. Sebab jika kita menghulurkan sedikit wang kepada mereka, pasti yang lain datang mengerumuni kita seperti seorang aktor Hollywood dikerumuni peminatnya untuk mendapatkan autograf.
Selepas kami ternampak kelibat Mohcine tergesa-gesa keluar untuk mendapatkan kami. Kami pun segera beralih ke arah jalan menuju ke rumahnya. Semasa beliau sampai kepada kami dia segera menoleh ke belakang dan berpusing seperti terlupakan sesuatu. Dia berjalan pantas menuju kepada makcik yang sedang mengemis tadi, seolah-olah bertanyakan sesuatu. Seketika makcik itu bangun dan mengikutinya dari belakang. Dia mendapatkan kami dan memberitahu yang dia menjemput makcik tadi berbuka posa di rumahnya.
‘Allahu Akbar!’
Terkasimawati, kami melihat ke arahnya. Betapa baik akhlaknya yang tak pernah aku jumpa seorang yang sepertinya sejak aku aku kecil hingga ke hari itu. Seorang yang cukup baik hati dan tidak malu untuk berbuat kebajikan. Ini amat berbeza dengan masyarakat kita yang malu untuk menunjukkan kebaikan. Contohnya, sewaktu aku remaja, walaupun kita kesian melihat pakcik yang berdiri di dalam bas tidak dapat tempat duduk. Kita tidak bangun untuk memberikannya ruang, malah kita hanya berdoa agar ada insan lain yang sudi membantunya. Ini yang aku maksudkan, malu untuk berbuat kebajikan.
Aku sendiri payah untuk berbuat begitu, tetapi bila aku berada di luar negara. Budaya sebegini boleh dipupuk dengan baik. Dalam soal membantu orang lain tidak menjadi masalah. Tetapi bila pulang ke Malaysia, keadaan itu agak berlainan sekali aku rasakan. ‘Kotak’ budaya kita sukar dipecahkan kerana perasaan malu yang menebal dalam berbuat kebajikan. Hal ini sama seperti pelajar di sekolahku, mereka malu membawa buku atau membaca buku ketika berjalan atau bersiar-siar dengan alasan, nanti orang kata ‘budak pandai’ atau budak ‘nerd’ dan memacam lagi alasan yang b*d*h.
Berbeza semasa aku menaiki kereta api di Jerman dengan Ajoi. Aku melihat seorang remaja Neo-Nazi yang bertindik telinga dan hidung dengan pakaian dan fesyen rambut yang belum sampai ke Malaysia masa itu. Sebaik sahaja kereta api tiba, beliau menaikinya dan mencari tempat duduk dengan membuka buku untuk dibaca. Cuba kita perhatikan remaja kita di Malaysia. Mereka lebih suka berbual kosong atau mengganggu orang lain daripada membaca dan mengulangkaji pelajaran.
Moralnya: Lakukanlah kebaikan di bulan puasa ini dan bacalah buku sebanyak-banyaknya kerana bulan ini, wahyu pertama diturunkan adalah gesaan agar kita membaca (Bacalah!)… ini intipati daripada tazkirah aku kat murid di sekolah pagi tadi.
Selasa, 1 September 2009
Artikel di Berita Harian 01/09/2009
Artikel aku hari ini bertajuk Pakar perubatan akui puasa kaedah terbaik rawat penyakit. Artikel ini di dalam blog ini berjudul Matlamat Puasa Menjaga Kesihatan dan di dalam blog satu lagi iaitu www.mohdfikri.com/blog berjudul Maqasid Puasa – Menjaga Kesihatan. Selamat membaca....