Ni salah seorang pelajar Kenitra yang sempat mengambil gambar di situ, aku tak ada gambar kat situ memandangkan kamera tak ada yang canggih zaman itu. Duit pun tak ada nak makan, nak beli kamera apatah lagi. Jadi lihatlah pemandangan di belakang tu, yang di depan ini bukan ahli sihir, dia hanya setaraf nujum pak belalang. Jangan marah Ije, nanti kena jual.
TERINGAT semasa aku menyambut Aidilfitri di Kenitra dulu. Pagi-pagi lagi kami terpaksa bangun bersiap kerana malamnya tidur agak lewat. Mengantuk sambil berebut bilik air adalah perkara biasa. Sedih sebab tak sambut bersama keluarga semasa tahun pertama sahaja. Selepas itu, aku tidak rasa apa-apa lagi. Manakan tidak? Semasa aku pergi bersolat hari raya, kebanyakan jiran di sekitar rumah aku masih lagi tidur seperti tiada apa yang berlaku. Perasaan seronok berhari raya seperti di Malaysia terus terpadam.
Lalu aku merasakan, cuti hari raya Aidilfitri tidak ada perbezaan dengan cuti hari Ahad. Selepas kami bersiap, kami segera menuju ke Musolla yang agak jauh dari rumah kami. Kadangkala kami menaiki teksi kerana solat selalunya lebih cepat dari apa yang dijangkakan. Sewaktu sampai di Musolla itu, seluas mata memandang. Almaklumlah Musolla ini adalah padang yang luas terbentang. Nampak orang berduyun-duyun muslimin dan muslimat. Kalau engkorang ada sama, memang best! Bayangkan ribuan orang datang bertandang dengan pakaian jubah berwarna putih ramai-ramai. Macam nak pergi haji pun ada.
Kami selalunya ada siapkan sejadah sorang sehelai. Kalau pagi-pagi ini tanah pun masih basah jadi memang sejuk laa. Jadi pergi cari tempat 'parking' baik punya. Kami pun siap untuk bersolat hari raya. Laungan takbirnya tidak sama dengan takbir negara kita yang mendayu-dayu macam nak nangis. Kat sana bunyi takbirnya kuat lantang dan keras sedikit, macam nak pergi perang.
Bila bilal melaungkan untuk qiyam solat hari raya, semua oerang pun bersedia meluruskan saf. Namun, saf yang terlalu ramai dan tidak tersusun menjadikannya 'herot petot'. Imam memulakan solat, maka dia pun akan bertakbir sebanyak 7 kali takbir. Bagi mazhab Maliki ini, sewaktu bertakbir 7 kali itu, mereka tidak mengangkat tangan seperti lazim orang kita. Cuma lafaz takbir sahaja dilaungkan. Jadi sememangnya janggal sedikitlah pada mulanya. Tapi terkesan dari situ, hingga hari ini, aku sendiri tidak lagi mengangkat tangan sewaktu takbir solat hari raya atau solat jenazah.
Kalau engkorang semua jumpa orang yang tidak angkat tangan semasa takbir solat hari raya dan solat jenazah itu. Mungkin orang itu adalah aku. Bukan aku nak bezakan aku dengan orang lain di Malaysia ini, tapi aku lebih rasa dekat dengan cara tersebut dalam beribadah.
Hujahnya adalah pendapat Sadah Malikiyah yang beramal dengan 'Amal Ahl Madinah, manakala Imam Malik sendiri adalah guru kepada Imam Syafie. Jadi tidak akan aku melakukan kesalahan jika Imam Malik yang berpendapat sedemikian. Kalau ada di kalangan anda yang menyatakan Imam Malik adalah salah dari pendapatnya, sama sahaja bagi orang yang bermazhab Malik akan menyatakan Imam Syafie juga salah dalam amalannya. Jadi tinggalkan sahajalah khilaf pada bab furuk itu, kerana tiada yang salah. Kecuali ada nas atau dalil yang melarangnya.
Selepas selesai solat, kami mendengar khutbah hari raya yang selalunya disampaikan oleh syeikh kami almarhum Ustaz Muhammad al-Habti al-Muwahibi sebagai khatib wilayah Kenitra. Syeikh kami ini, orangnya amat tawaduk sekalipun kalau kita mendengar dia bercakap, memang tidak tawaduk dalam menegakkan segala pendapatnya sama ada bersumberkan dalil Qurani atau sunnah. Kalau isterinya lambat menjemputnya pada hari Jumaat, beliau akan pulang berjalan kaki ke rumahnya yang terletak dalam 5 atau 6 kilometer dari masjid tersebut. Kami pula yang terkejar-kejar apabila mengikutnya berjalan laju untuk pulang ke rumah.
Semasa beliau menyampaikan khutbah yang berisi dengan nasihat dan bimbingan seringkali dihiasi dengan syair Arab sama ada nazam atau matan ilmiah selepas dalil al-Quran dan hadis. Bagi orang yang tak faham macam aku, kadang-kadang naik pening juga. Pada awalnya aku mendengar khutbah sedemikian, tapi bila dah biasa, memang menarik dan penuh pengisian. Tambahan pula kita melihat pada topik yang bakal disampainya itu dan persedian dan ilmu yang ada pada dirinya cukup mempesonakan.
Selepas usai khutbah, kami mula bertemu dengan rakan-rakan. Time ni memang seronok sebab ada yang menjemput ke rumah. Boleh pergi beraya ke rumah Arab, tapi selalunya tak semeriah hari raya korban. Jadi kami pulang cepat ke erumah untuk pergi pekena apa-apa di kedutaan Malaysia. Sebab waktu kami di sana, pelajar tak sampai 20 orang, jadi selalulah juga pak duta ajak beraya di sana. Segala juadah yang dah tak merasa selama beberapa tahun memang banyak kat sinun. Apa lagi… kalau kayu tarah, kalau lahap mentekadarah!
Selamat berhari raya Aidilfitri!
Fen Beshkeletot diyali?
Maknanya: Ke mana basikal aku?
Satu peristiwa yang aku tak boleh lupa, apabila seorang pakcik Arab datang kat aku tanya basikal dia yang lupa di mana dia meletakkannya. Memang aku datang sekali dengan dia dan dia memandang ke arah aku sewaktu parkir basikalnya. Semasa bersalam dengan rakan-rakan kami dia menerpa ke arahku bertanyakan basikalnya itu. Aku terpinga-pinga cuba untuk membantunya dengan kekurangan fahaman terhadap Darijah pekat yang dituturkannya. Memang waktu itu, si Zahid la yang menjadi juru penyelamat aku. Dialah yang menjadi translator untuk pakcik itu. Merci, si Zahid…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan