Jumaat, 31 Julai 2009
Belasungkawa: Adun Pas Permatang Pasir meninggal dunia pagi ini
Alhamdulillah! Aku Buka Gerai Buku...
Tahniah kepada Dikir Barat Bahasa Arab SKTJ!
Kemalangan Ngeri Di Bandar Maran
Sabtu, 25 Julai 2009
Latihan Dikir Barat Bahasa Arab di sekolahku...
Ini adalah sebahagian aktiviti yang dilaksanakan setiap tahun di sekolah-sekolah rendah j-QAF. Program ini adalah satu teknik memupuk semangat cintakan bahasa Arab dan menghidupkannya. Majlis tilawah, kalam jama'ie (choral speaking), nasyid dan sebagainya turut dipertandingkan saban tahun. Namun, pertandingan dikir barat ini agak berlainan kerana ia amat memerlukan kekreatifan dalam pelaksanaannya.
Pengalaman aku sendiri dalam dua tahun mengendalikan latihan seperti ini. Murid-murid yang melihat persembahan ini boleh dikatakan 'beratur panjang' untuk mencuba nasib sejak tahun lalu. Sampai ada yang merajuk kerana tidak terpilih. Begitulah kuatnya 'peranan' hiburan dalam dunia pendidikan. Jika kita menyuruh mereka belajar sahaja, sudah tentu mereka tidak akan melayaninya. Tetapi, apabila diselitkan unsur hiburan, pasti mereka mengingatinya dengan mudah.
Tidak hairanlah jika di negara Arab, Syeikh Rasyid Misyari al-'Afasi sendiri beralih kepada hafalan matan berlagu bagi matan-matan panjang di bidang ilmu Qiraat seperti Hirzu al-Amani wa Wajhu al-Tihani (Matn al-Syathibiyah), al-Durrat al-Mudhiyyah (Matn Abu al-Khair Ibn al-Jazari) dan Tuhfat al-Samannudiyah fi Tajwid al-Kalimat al-Quraniyah (Matn Ibrahim al-Samannudiy). Lihat di sini > http://www.alafasy.com/?PId=2&catId=3
Dengan cara sedemikian, ia lebih mudah diingati sepertimana saya masih dapat menyanyikan lagu twinkle twinkle little star yang dipelajari semasa tahun 2. Jika dibandingkan dengan perkara lain, tidak banyak yang mampu saya ingatinya di dalam Bahasa Inggeris. Moga dengan bentuk sebegini, murid-murid berminat mempelajari bahasa Arab pada masa hadapan. Insya Allah...
Sabtu, 18 Julai 2009
Kisah Ramadan 1999-2000 Lampau (5)
Sewaktu dalam perjalanan pulang, sebaik sahaja sedang menunggu feri. Aku terserempak dengan seorang lelaki berwajah Asia. Wajahnya ceria dan tidak sombong. Kami bertegur sapa dan dia berkebolehan berbahasa Arab. Namanya Idris (bukan nama sebenar) kerana beliau berasal dari China. Aku yang mengetahui serba sedikit mengenai umat Islam di China cuba mengagak tanah airnya, “Min (dari) Urumqi?”
“Aiwah! Na’am, ana min Urumchi (ya betul, saya dari Urumqi).”
Kami berbual panjang, pelbagai cerita keluar dari mulutnya. Apa yang menarik daripada ceritanya, beliau tidak pernah berkawan dengan pelajar asing sewaktu berada hampir 2 tahun di Mesir. Tidak banyak yang beliau tahu mengenai Malaysia. Kesusahan yang aku pernah lalui untuk belajar di luar negara tanpa biasiswa tidak sama dengan penderitaan mereka.
Beliau menceritakan bahawa setiap orang Islam yang ingin keluar dari China akan dikenakan bayaran yang lebih mahal dari puak Han (China Buddha). Bagi pasport antarabangsa biasa untuk etnik Han, mereka dikenakan bayaran USD 200-300 sahaja berbanding etnik Uighur yang dikenakan bayaran USD1200 lebih.
Kebanyakan pasport mereka adalah pasport palsu atau diperolehi menerusi ‘black market’. Nama yang tertera di pasport pula mestilah nama palsu agar tidak mudah ditangkap oleh pihak keselamatan yang sering mengongkong mereka.
Bukan itu sahaja, hatta nama panggilan seharian juga perlu menggunakan dua nama berbeza bagi mengelak ditahan oleh pihak keselamatan China yang sering menahan pemuda Islam tanpa usul periksa menurutnya. Beliau begitu bersyukur kerana berjaya sampai di Mesir dan menuntut agamanya di sana. Di China apa sahaja yang berkait dengan agama pasti akan ditangkap dan disoal siasat.
Mereka mempunyai ikatan pertubuhan yang kukuh dan kuat di negara luar seperti di Makkah contohnya. Mereka akan menghubungi rakan mereka dan semua ini akan membantu mereka meneruskan hidup di perantauan.
Bersamanya terdapat sebuah radio Hi-Fi yang besar. Aku yang melihatkan radio itu berada di sisinya mengagak bahawa beliau adalah seorang yang sukakan hiburan. Bila aku bertanya kepadanya mengenai hal itu, sangkaanku itu meleset sama sekali. Ini kerana beliau membeli radio itu dengan tujuan untuk menjualnya semula kepada Arab Mesir. Harga sebuah radio itu mampu menjana kos perbelanjaan pendidikannya untuk setahun jika digunakan dengan betul.
Tersentuh hatiku mendengar keperitan mereka untuk berjuang di rantau orang demi kebajikan masyarakat Islam di tanah airnya. Aku bertanyakan lagi mengenai bahasa Arabnya, di manakah beliau belajar bahasa Arab sebelum itu? Beliau menjawab, “Sewaktu aku keluar dari China, aku tidak tahu sepatah pun bahasa Arab. Aku tidak tahu apa itu ma (apa). Tetapi aku belajar sedikit demi sedikit, alhamdulillah aku mampu bercakap dengan orang lain.”
Sekali lagi hatiku tersentuh, melihatkan kesungguhannya mempelajari bahasa Arab iaitu bahasa Al-Quran, sekalipun di China mereka langsung tidak pernah berpeluang mempelajarinya. Berbanding kita yang mempunyai puluhan tempat mempelajarinya masih tidak mampu bertutur sepertinya, agakanku.
Ini kerana, sewaktu berada di Mesir aku melihat ramai pelajar Malaysia tidak boleh bertutur bahasa Arab dengan lancar, biarpun sudah 5-8 tahun berada di sana. Mungkin kerana pergaulan yang terhad dengan bangsa Arab atau etnik lain, ia tidak banyak membantu mereka menguasai bahasa.
Beliau menceritakan bahawa mereka di Urumqi atau Xinjiang bertutur bahasa Uighur yang mirip dengan bahasa Turki. Sebelum itu aku sempat berbual dengan seorang pelajar Turki yang belajar di Mesir. Beliau menyatakan bahawa bahasa Turki yang ditutur oleh pelajar itu difahaminya seratus peratus. Ini membuatkanku pening seketika, kerana kedudukan mereka yang begitu jauh. Sejauh perjalanan Genghis Khan merentas benua Asia hingga ke Eropah.
Sewaktu berada di atas feri, aku cukup tidak tahan dengan kelakuannya semasa sedang tidur di bawah kerusi yang sempit. Beliau meletakkan kakinya di atas kakiku dan membuatkan aku terasa bak sebatang tiang besar sedang menindih tulang keringku ketika itu. Memang mantap! Setiap kali kakinya naik atas tulang keringku, memang aku terpaksa alihkan kerana terlalu keras kakinya itu.
Apabila masa makan, dia sering mengajak kami makan rotinya yang besar. Rotinya itu bagaikan pizza yang tiada apa-apa di atasnya. Apabila makan, sememangnya cukup enak dengan terasa lemak dan masin yang begitu berzat. Beliau menjelaskan, bagi para pengembara padang pasir di tempatnya, mereka akan memasak roti tersebut yang dikatakan cukup lasak. Roti itu mampu bertahan 4-5 hari dan boleh dimakan untuk mengenyangkan tanpa sebarang lauk pauk yang lain. Berbeza dengan roti lain yang tidak bertahan lama, menurutnya.
Sebaik sahaja sampai di Mesir, kami bertukar alamat dan berjanji untuk mengunjungi di rumah sewa mereka. Aku yang tidak tahu hanya mengikut sahaja para pelajar Mesir yang membawa kami ketika itu. Abang kepada Dr. Wifaq iaitu Najaa sebagai juru pandu arahnya. Sesampai kami di rumahnya, terpampang bendera Turkestan Timur yang hampir sama dengan bendera Turki yang berwarna merah, cuma warnanya itu digantikan dengan warna biru.
Mereka tinggal di sebuah rumah flat yang agak kecil dalam 10 orang. Barang keperluan yang agak mewah boleh dikatakan tiada langsung. Hanya beberapa buah katil sahaja yang memenuhi ruang setiap bilik sempit di dalam rumah tersebut. Pelajar paling muda, menurut Idris berumur 15 tahun dan yang paling tua dalam 30-an. Hanya 3 orang yang agak tua, manakala selebihnya masih remaja. Beliau dan seorang lagi rakannya yang berbual dengan kami, manakala yang lain sibuk dengan aktiviti sendiri.
Aktiviti mereka, bukan bermain CD games seperti pelajar kita. Semua mereka berada dalam tempat masing-masing dengan membaca al-Quran dan menghafalnya. Idris berkata, “Kami malu, jika kami pulang nanti tiada apa yang dapat kami sumbangkan kepada masyarakat Islam di China. Sudahlah kami tidak ramai yang berpeluang datang ke sini. Paling tidak kami dapat menghafal al-Quran di dada kami, kerana kami tidak berupaya membawa pulang senaskhah al-Quran untuk dibaca, pastinya naskhah itu bakal dirampas.” Beliau menerangkan dengan penuh semangat.
Luahan hatinya ketika aku mendengar sepatah demi sepatah, menjadikan diriku terawang-awang di udara ibarat langit dan bumi. Apa cerita dengan mereka yang belajar agama selama ini? Adakah mereka sudah menunaikan kewajipan tersebut? Wallahi, aku sendiri terlalu jauh dalam hal ini.
Beliau memanggil salah seorang remaja tersebut yang bersalaman dengan kami sebentar tadi. Masih muda dan baru sahaja menjejakkan kaki di Mesir. Beliau telah menghafal hampir separuh al-Quran dalam masa yang singkat. Suara mereka bergaung menderam di udara. Aku termenung lugu memikirkan semangat mereka ini.
Dalam susah, mereka tetap beristiqamah. Jika mereka pulang nanti, pastinya mereka akan ditahan dan disoal siasat terlebih dahulu oleh pihak keselamatan China sebelum dibebaskan. Malah tidak ramai yang berjaya dibebaskan. Inilah senario masyarakat Islam China yang dipinggirkan.
Sewaktu makanan dihidangkan, aku terkejut melihat mereka menghidangkan nasi minyak berlaukkan daging dan air asam tomato. Aku yang melihat Pok Od turut terdiam melihat hidangan tersebut, lantas menegurnya, “Diorang ni tau ke makanan kegemaran orang Malaysia?”
“Entahlah.” Jawab Pok Od seperti tidak sabar lagi menjamah hidangan di hadapannya.
Wifaq bertanyakan mereka mengenai hal itu. Lalu dijelaskan oleh Idris bahawa itu juga adalah hidangan istimewa mereka sewaktu menyambut tetamu dan kenalan yang datang bertandang ke rumah. Jadi, ringkasnya mungkin makanan nasi minyak ini sudah bertebaran ke serata dunia sejak dulu lagi, Cuma kita sahaja yang tidak mengetahuinya.
Itu sahaja kisah yang sempat aku kongsikan bersama buat tatapan kalian kali ini. Semoga kita mendapat semangat dalam usaha mencari ilmu daripada apa yang dikisahkan ini. Semoga Allah membantu rakan kita yang berjuang dalam menegakkan Islam yang suci ini dari terus dikeji dan dicerobohi.
Ya Allah jadikanlah kami pembela agamaMu dan orang yang menyokong pembela agamaMu! Amin…
Kisah Ramadan 1999-2000 Lampau (4)
Di Sebalik Kesusahan ada Kesenangan
Aku dan Wifaq mengambil keputusan untuk balik semula ke Makkah dengan menaiki teksi ‘sapu’. Malam itu, jam 12.00 kami bertolak ke Makkah agar tidak ditangkap. Sampai sahaja dalam jam pukul 2.00-3.00 pagi di kawasan Masjidil Haram, suasana begitu tenang berbanding minggu lepas dengan kebanjiran hampir 3 juta manusia dari seluruh dunia.
Malam itu, hujan gerimis turun dan aku melihat Kaabah tersergam indah dengan bilangan jemaah yang begitu sedikit. Aku akhirnya dapat mencium Hajar al-Aswad yang aku cuba merempuhnya minggu lepas beberapa kali tapi tidak berjaya mencapainya. Pada malam itu, aku berjaya mengucupnya dengan mudah sebanyak 5 kali. Berkali-kali dapat bersolat sunat di Hijr Ismail dan hatiku cukup bahagia saat itu.
Paginya kami pergi ke Tabung Haji untuk mengambil sedikit wang yang berbaki. Malang bagiku kerana aku telah mendaftarkan haji dan wang itu tidak dapat dikeluarkan. Perit rasanya ketika itu. Hanya Wifaq yang berjaya mengeluarkannya dan kami terpaksa berkongsi bersama bagi meneruskan lagi hayat kami di sana. Pulangnya kami di Port Jeddah, kami mencari Pok Od yang menghilangkan diri. Rupanya malam tersebut mereka yang ‘terkandas’ telah diserbu oleh penguatkuasa. Beliau terpaksa melarikan diri dengan memikul beg-beg kami ke bawah jejantas yang berhampiran mengelak dari ditangkap.
Kami meminta bantuan dari semua orang yang kami temui hinggakan ke pejabat Liga Arab, pejabat Belia Islam hatta pegawai besar Syarikat Coca Cola Jeddah yang pernah menemui rakanku di Sepanyol. Beliau sempat menghulurkan sedikit wang dan mengarahkan agar anak buahnya membantu kami ke Konsul Mesir bagi menyelesaikan masalah ini, namun semuanya hampa.
Doa dan Usaha Perlu Berterusan
Beberapa hari juga kami berada dalam keadaan demikian, akhirnya aku membuat keputusan untuk bertemu semula dengan pihak konsul Malaysia. Aku merayu kepada pegawai konsul itu agar membenarkan kami membawa seorang pegawai penterjemah berbangsa Sudan agar menyediakan satu surat pelepasan kepada kami.
Akhirnya beliau menyuruh agar pegawai tersebut menyediakan satu surat dan menyuruh beliau mengikuti kami. Semua tambang teksi dari konsul Malaysia ke konsul Mesir itu, kami keluarkan belanja sendiri. Sampai hati…. Tak sampai beberapa jam, semuanya beres!
Bayangkan, bagaimana jika beliau benarkan salah seorang pegawainya membantu kami dari 2 minggu lepas lagi? Sudah pasti tidak ada apa yang aku akan coretkan di sini. Kecuali, semuanya baik dan bagus. Semasa aku berada di Mesir beberapa hari kemudian, kebetulan Menteri Luar ketika itu, Tan Sri Syed Hamid al-Bar membuat kunjungan di Kaherah dan aku nyaris-nyaris nak membuat pengaduan berkaitan konsul Malaysia di Jeddah kepada beliau.
Ingin juga aku menggunakan ‘title’ jawatan presidenku bagi mahasiswa Maghribi yang tidak lebih 10 orang ahlinya ketika itu untuk mendapat tempat lebih baik bagi bantahan yang akan aku laporkan. Namun, aku rasa lebih baik aku maafkan dia, kerana kemaafan itu lebih besar.
p/s: Jadi, moralnya... sesiapa yang bekerja dan berjawatan besar. Bantulah orang lain dengan jawatan yang ada pada anda sebelum ia dilucutkan. Kerana kebaikan anda pasti dikenang orang, tetapi jika anda tidak gunakan sebaiknya. Anda pasti dikecam orang, sekalipun anda sudah tiada di atas dunia ini lagi.
Kisah Ramadan 1999-2000 Lampau (3)
Perangai Arab Jahiliyah
Pada hari aku dijanjikan untuk pulang, sekali lagi kami terkandas kerana kami mengagak pegawai imigresen Mesir yang ‘buta warna & hati’ itu tidak lagi bertugas. Tapi sangkaan itu meleset, kerana pattern mereka adalah sama sahaja iaitu suka menyusahkan orang lain. Pelbagai alasan diberikan mereka tetap tidak menerimanya.
Sedangkan pada masa itu, visa dua minggu baru sahaja diberikan kepada rakyat
Ketakutan kerana ketiadaan visa dengan cerita menyeramkan apabila berada dalam tahanan lokap Saudi mula melanda diri kami. Kisah ngeri seperti kehilangan teruna dan pelbagai lagi cerita yang membangkitkan trauma mula timbul tanpa diminta. Akhirnya kami terpaksa pergi ke Konsul Malaysia Jeddah bagi mendapatkan bantuan. Perghhh naik teksi
Perangai Orang yang Sukakan Kesenangan
Sampai di sana, masalah kami tidak dapat diselesaikan juga kerana pegawai konsulat Malaysia pada hari itu ‘tidak ingin membantu’ itu sahaja coretan penuh perasaan yang aku ingati hingga saat ini. Masih teringat lagi namanya ketika aku berbual-bual ‘mesra’ dengannya. Beliau yang banyak ‘mengutuk’ sistem Arab, tidak ubah ‘berperangai’ seperti orang Arab juga. Aku yang meminta bantuannya bagaikan tidak disambut.
Segala yang aku terangkan padanya, dia dengan cepat ingin menghubungi keluarga kami di
Macam aku lainlah, seorang ‘pengembara’ yang tidak mahu menyusahkan ibu bapa dan keluargaku. Aku buat keputusan sendiri, aku kena tanggung sendiri. Aku bertekad tidak mahu menyusahkan mereka selepas aku membuat keputusan belajar di luar negeri. Mereka semua sedaya upaya enggan melepaskanku keluar negeri selepas aku mendapat panggilan di universiti tempatan.
Akibatnya, semua benda terpaksa aku buat sendiri daripada mula membuat pasport, membeli tiket kapal terbang, membeli segala kelengkapan dan sebagainya yang difikirkan perlu. Keadaan itu membuatkanku matang dalam menghadapi segala saat getir sebegini.
Bagi kedua rakanku juga demikian, Wifaq tidak lagi punya ayah dan ia tidak mahu menyusahkan keluarganya di tanah air, manakala Pok Od nama manja bagi Dr. Daud pula, beliau lagi tidak mahu menyusahkan keluarganya memandangkan beliau sudah tidak punya ayah ibu di tanah air. Namun semangat belajar yang tinggi ditunjukkan beliau dari usia yang begitu muda patut dijadikan contoh bagi mereka yang membaca kisah ini.
Beliau yang berasal dari Selangor telah mula ke pondok di sekitar Kelantan dalam usia yang masih mentah. Kemudian demi mencapai impiannya, beliau menuju ke Pakistan, seterusnya di Syria selama 6 tahun dan menyambung ijazah sarjana mudanya di Libya pula selama 4 tahun. Akhirnya dia ke Maghribi untuk bertemu dengan kami di
Kami keluar dengan rasa hampa. Sudahlah sebelum itu, kami berjumpa dengan seorang pak syeikh dari Kedah yang sudah menetap di Saudi selama 25 tahun. Beliau juga memberikan jawapan yang hampir sama dengan cara yang teragak-agak untuk membantu kami. Sudahlah time raya, tak dak laa pulak nak ajak kami pergi ke rumahnya beraya. Bila kami tanyakan mana-mana bantuan muhsinin untuk membantu orang seperti kami. Dengan ringkas dia menjawab, “Muhsinin ini ramainya di penjara laaa. Mereka akan beri bantuan kepada orang tahanan dalam lokap.”
Sembang memang hebat, tapi jawapan itu tidak kena pada tempatnya. Rasa terbakar hati time tu, tapi apakan daya. Bersabar adalah lebih utama daripada dihamburkan! Kami pulang semula ke Port Jeddah dengan perasaan hampa untuk menunggu ketibaan feri seterusnya. Almaklum laa, 3 hari 2 malam perjalanan dari Jeddah ke
bersambung....
Kisah Ramadan 1999-2000 Lampau (2)
Kampung Bugis
Kami tanpa segan silu menerima jemputan tersebut. Rupanya di tengah Jeddah ada perkampungan Bugis yang suasananya seperti di nusantara. Seronok hati bukan kepalang kerana dapat juga beraya sakan di situ.
Apabila teringatkan kisah ini pasti aku teringatkan kisah Dr. Daud Gerahini yang berbual mesra dengan mereka ketika sedang makan. Situasi di Indonesia ketika itu agak meruncing hingga menyebabkan Suharto terpaksa melepaskan jawatannya.
Semua rakyat Indonesia membantah cara pemerintahan Suharto yang mengumpulkan kekayaan di Pulau Jawa dan meminggirkan kepulauan lain. Sewaktu berbual itu, Dr. Daud memberitahu bahawa nenek moyangnya juga berasal dari Indonesia, lantas mereka yang berada di situ bertanyakan beliau dari pulau mana asalnya. Dia menjawab, “Saya berketurunan Jawa!”.
Sebaik sahaja mendengar Jawa, wajah mereka semua berubah dan seperti tidak berminat lagi untuk mendengarnya. Aku yang berada di situ terus cuba mengalihkan topik kepada perkara lain dengan menyatakan aku dan Wifaq adalah berasal dari Malaysia. Menurut pemerhatianku, permusuhan etnik begitu ketara pada waktu tersebut. Aku bimbang, jika sesuatu berlaku pada kami pada malam itu. Paling tidak pun kami kena halau dari perkampungan tersebut.
Tapi alhamdulillah, semuanya terkawal dan selamat. Jadi jika hendak bercerita, perlu melihat situasi dan lokasinya. Silap teknik, ia pasti akan menjadi tragedi hi hi hi! Selama 2 malam juga kami berada di sana, mereka sungguh baik dan tidak terbalas jasa mereka, jika hendak dibandingkan orang kita di luar negara. Hematku, orang Indonesia di luar negara begitu rapat dengan rumpun bangsanya dan sanggup membantu sesama mereka. Semangat kebanggaan pada bangsa dan negara mereka begitu tinggi.
Tidak seperti sebahagian orang kita yang berada di luar negara. Kadang-kadang aku terjumpa dengan rakan pelajar Malaysia, mereka begitu sombong dan 'buat-buat' tidak nampak. Walaupun anda mempunyai biasiswa yang mahal dan belajar di bidang profesional. Apa salahnya jika bertegur sapa, sedangkan kita dari negara yang sama.
bersambung....
p/s: Jayakan 1Malaysia...
Kisah Ramadan 1999-2000 Lampau (1)
Senario di Jeddah
Semasa aku terkandas lebih kurang 2 minggu di Jeddah selepas menunaikan ibadah umrah selama 2 tahun. Mungkin ramai yang terfikir mengapa agak lama tempoh yang terpaksa aku lalui dalam menjalani ibadah umrah? Selalunya 2 minggu atau 1 bulan sahaja bagi sebahagian orang tetapi tidak bagiku, ia begitu istimewa.
Kebetulan pula pada tahun tersebut bulan Ramadan jatuh pada 9hb Disember 1999 dan Aidilfitri di sambut pada 8hb Januari 2000. Tidakkah dua tahun lamanya proses ibadah umrah tersebut? Malahan boleh juga disebut aku menjalani ibadah umrah ini selama dua kurun. Fuhhh susah nak dapat keistimewaan tersebut…
Terkandas
Namun, takdir penentu segalanya. Aku terkandas di Port Jeddah hampir 2 minggu bukan dua tahun atau dua kurun. Tapi hanya 2 minggu yang ku rasakan seperti 2 kurun setengah, tambah sikit sebab terlalu bosan berada di sana seperti pelarian atau PATI yang telah tamat tempoh visa umrah.
Hanya sedikit kesilapan teknikal yang terjadi, padahnya cukup terkesan hingga membuatkanku terasa begitu merana. Kalau tidak percaya boleh tanyakan kepada dua rakanku iaitu Dr. Ahmad Wifaq dan Dr. (perubatan alternatif) Daud Gerahini yang turut bersama-sama dalam kembara tersebut. Suasana cukup pilu apabila kami berada di perantauan dalam keadaan seperti PATI ketika suasana ceria hari raya. Allah Taala sahaja yang tahu ketika itu betapa sedihnya hatiku.
Semua tiket sudah dibeli bagi perjalanan aller-retour (pergi balik) daripada Casablanca – Kaherah – Port Said – Jeddah – Madinah – Makkah – Jeddah – Port Said – Kaherah – Casablanca. Tetapi apabila ingin pulang, seorang pegawai imigresen Arab Mesir yang ‘buta warna’ tidak mengizinkan kami pulang dengan ferinya itu. Jadi terpaksalah kami mendiami kawasan port Jeddah buat sementara waktu. Apabila bertemu pengawal keselamatan Saudi, terpaksa kami tunjukkan tiket dan pasport agar tidak ditahan mereka.
bersambung....
Sabtu, 11 Julai 2009
Mari Membaca Surah al-Fatihah
Sambil belajar, mereka boleh berbaring dan bermain. Kalau berlebih-lebih, ada yang kena 'rotan berbisa'.
Apabila boring belajar, boleh bermain dan berlari-lari dengan riang. Selalunya belum sempat belajar sudah mula berlari dan berpusing. Belajar kena perlu ceria... ehehehe..
Ini adalah salah seorang muridku yang ceria. Aku tidak mendengar makhraj hurufnya sewaktu membaca al-Fatihah, kecuali pada ayat akhir iaitu Amin....! Tapi mereka pasti menutup mulut sewaktu sebut amin, kerana amin tidak dibaca kecuali dalam solat sahaja.
_____________________________________________________
Hero Kelas...
Sepanjang Bengkel Penulisan AFN (5/7/2009)
Aku memberikan tumpuan kepada ahli panel slot pagi iaitu Puan Hasliza dari Berita Harian. Di sebelah beliau ialah Protaz Akob73 yang penuh 'macho'. Manakala di sebelah aku ialah Syeikh Efendi al-Johori atau Arradhi AFN, ex-Madinah. Dalam slot ini, Pn. Hasliza banyak memberikan tips yang tidak pernah aku belajar dalam menyediakan sesebuah rencana atau artikel sebelum ini. Semuanya adalah pakai 'taram' sahaja. Selepas sesi ini aku berhasrat untuk menyediakan rencana dengan tips-tips yang telah diberikan. Terima kasih Puan Hasliza!
Lihatlah ketekunan kami yang memberikan fokus pada ilmu yang diberikan. Memang seronok menimba ilmu sebegini, teringat zaman dulu-dulu waktu belajar. Sebelah kanan ialah akh Syarief, Aku dan Syeikh Efendi (Arradhi)