Tapi, sepanjang aku berada di Makkah dan juga Madinah, terdapat juga segelintir Arab dan Bangla yang berbual denganku menganggap aku pelajar di sana. Hinggakan ada yang bertanya hukum dalam bab haji yang aku kurang mahir mengenainya. Puas juga ke sana ke mari mencari guru agama Tabung Haji untuk menyelesaikan masalah itu. Alhamdulillah, segalanya selesai.
Syeikh Pertama:
Ini adalah seorang syeikh yang kerap juga aku cuba mengenalinya dengan lebih dekat. Alhamdulillah semasa aku berada di sana, sempat sekali aku mendengar kuliahnya. Perhatikan syeikh ini lama-lama dan sememangnya anda tidak akan mengenalinya. Beliau ini bernama al-Syeikh Abu Bakar Jabir al-Jazairi.
Beliau sememangnya sudah terlalu uzur untuk mengajar. Pada setiap hari Selasa dan Khamis tidak silap aku (jadual kelas pengajian Masjid Nabawi dah hilang) selepas Maghrib di masjid Nabawi, beliau akan mendengar muridnya membacakan kitab beliau seperti kitab Haza al-Habib dsbgnya. Beliau hanya menegur atau menghuraikan kenyataan yang beliau anggap penting untuk dihuraikan kepada pendengar.
10 tahun lalu aku pernah menonton TV Saudi (KS1) di rumah sewaku di Kenitra. Syarahan beliau mengenai perkembangan seorang manusia itu begitu menyentuh perasaan. Bagaiman beliau mengupas teknik tarbiyah anak sejak dilahirkan, sewaktu membesar hingga usia 6 tahun di bawah belaian ibu, umur 7 tahun dialih kepada pengawasan bapa dalam bentuk lunak dan umur 10-15 tahun dalam bentuk yang lebih tegas. Bagi anak yang sudah berusia 15 tahun hingga 17 tahun, mereka ini perlukan perhatian yang lebih daripada bapa kerana di waktu ini proses kekalutan identiti berlaku di kalangan remaja.
Beliau juga menjelaskan, bagaimana si bapa ingin membentuk anak yang berusia 17 hingga 21 mengikut terapan atau acuannya tersendiri. Menurutnya lagi, dalam usia sebegitu, anak akan lebih memerhatikan tata cara kehidupan si bapa atau si ibunya. Proses ini terbentuk dan ia akan membawa set minda ini hingga ke tua, ini menurut pendapatnya. Malah bagi aku sendiri yang melihat proses ini, ketika abangku dalam usia 17, 18, 19 tahun, ketika itu bapaku adalah seorang tukang rumah atau tukang kayu yang banyak menghasilkan bahan artistik.
Pernah aku meminta kepada arwah ayahku sebilah keris kayu dan dalam masa beberapa jam, keris itu sudah boleh dibawa olehku kepada rakan-rakan. Abangku yang membesar dalam suasana itu cukup menggemari pembuatan perabot kayu dan kini dia sedang menyiapkan sebuah bengkel kayunya dengan anak daranya yang sulung sudah tamat kelas ukiran kayu dari Institut Kraftangan Negara beberapa tahun lepas.
Manakala aku pula yang membesar dalam keadaan dia sering menulis buku-buku berkaitan ilmu tajwid, haji, solat-solat sunat dalam bentuk ala kadar dengan teknik fotostat dan sebagainya, membuatkanku cukup terpengaruh dengan situasi ini. Kadangkala, di awal pagi beliau membongkok menulis untuk anak-anak murid dewasanya yang sudah insaf. Dari pagi hingga ke malam dia sudah mempunyai kelas-kelas pengajian sama ada di rumah, surau dan masjid. Pernah dia mempunyai 30 kelas seminggu tanpa sebarang caj tambahan. Betapa sabarnya dia... Allahummaghfir lahu, ya Rabb.
Pengaruh dari ceramah Syeikh Jabir ini begitu kuat dalam setiap pandangan dan pemerhatianku selepas itu. Walaupun sekali aku mendengarnya, aku dapat mengingatinya hingga ke saat ini. Betapa hebat insan ini, getus hatiku. Dia bukan sahaja seorang yang terpelajar di bidang keilmuannya, malah dapat berinteraksi dengan persekitarannya. Selepas sahaja terhenti kuliah pengajiannya ini. Mereka yang berada di sekitarnya beralih ke arah kiblat. Aku yang menyaksikan keadaan itu terpinga-pinga dan turut berpusing sama.
Rupanya, Syeikh Jabir berdoa berulang-ulang kali dengan diaminkan oleh semua jemaah di situ. Beliau berdoa sekitar 3 doa yang ma'tsur dari Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Antaranya ialah doa Allahumma aati nafsi taqwaahaa.... lebih 30 kali dia membacanya berulang kali. Hinggakan di hatiku timbul kebosanan. Namun, itulah sunnah dalam berdoa agar permohonan kita dikabulkan Allah Taala dengan penuh harap tanpa rasa jemu dan bosan. Cuma 3 doa yang dibacanya, tapi berulang-ulang dan diaminkan oleh orang ramai agar dianugerahkan kepada yang hadir di situ sifat taqwa kepada Allah Taala.
Orang kita, berdoa sekali atau dua kali lantas bertanyakan, mengapa Allah tidak kabulkan permohonannya? Bersolat sunat memohon sebarang hajat 2 rakaat, sudah bertanya mengapa keperluannya belum sampai? Jadi, aku belajar di sini, bahawa setiap doa yang kita pohon tidak akan dapat dikabulkan, melainkan kita terus menerus bermohon kepada Allah Taala pada setiap waktu dan ketika.
Inilah buku yang baru diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia dari bahasa Inggeris dari bahasa Arab yang ditulis oleh syeikh di atas. Entah bila pula akan diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia. Jadi di gerai buku kat Temerloh ini, aku tengok ada lagi dalam 3 buah buku ini. Baik untuk dibaca atau disimpan. Seorang penggemar buku yang sering bertanyakan buku-buku baru telah dipromot olehku untuk membaca buku ini. Selepas dia membaca buku ini, dia memberitahuku, "Selama saya baca buku bab sirah ni, (buku) yang ini memang mencerahkan apa yang terbuku di hati saya daripada kitab yang pernah saya baca. Banyak faedah yang saya dapat dari buku ini." Alhamdulillah!
Syeikh Kedua:
Syeikh yang ini pula, akan berada di tempatnya sebelah kawasan perempuan di pintu 5. Namanya Syeikh Abdul Muhsin al-Abbad, masa ini dia mengajar kitab Sunan Ibn Majah. Perghh!! Memang best, sebab dia syarah pulak bab haji yang memang ana tak berapa fokus sangat. Jadinya, bila anak murid dia baca, dia pun syarah (hurai). Langkah pertama, dia akan sebut nama periwayat hadis dan taraf dia dari aspek Jarh dan Takdil. Lepas tu, dia akan hurai matan pula. Memang best!. Selalunya ana dapat duduk di belakang-belakang. Budak-budak student ni dah booking kawasan depan dan yang paling dekat dengan syeikh. Aku yang tak ada buku ini, memang tak berpeluang laa nak dapat duduk depan.
Gambar ini yang terdekat aku dapat snap, sebab selalunya dari jauh je aku dapat duduk. Cuba perhatikan kanta matanya cukup tebal berbanding kita, setebal ilmunya. Seingat aku, masa aku belajar dulu, ada seorang pensyarah aku yang memang tidak nampak (rabun). Sebab terlalu kuat membaca hingga mengganggu saraf optiknya. Bab ini lenkali cerita laa..
Syeikh Abbad memang cemerlang dan antara syeikh yang paling ramai dikelilingi oleh murid-murid berbanding masyayikh yang lain. Muridnya juga terdiri daripada pelbagai etnik dan puak. Boleh tengok dalam kelasnya itu ada group Kavkaz (Caucasus), ada group Jepun, ada group Afrika, ada group Indon dan sebagainya. Kadangkala mereka duduk bercampur dan kadangkala ikut group.
Moralnya: Bila kita belajar, kena belajar rajin macam syeikh 'Abbad yang cair dengan ilmunya. tanya kat mana sahaja dalam kitab Sunan Ibn Majah dia boleh jawab dengan tepat dan padat. Allahu Akbar!
Syeikh Ketiga:
Manakala syeikh yang terakhir ini adalah Syeikh al-Muslih yang mengajar setiap Kitab Tafsir selepas Maghrib dan Subuh. Sememangnya aku akan hadir pada setiap selepas solat Subuh di situ. Huraiannya mengenai kisah Nabi Allah Yunus cukup memikat hatiku, banyak manfaat yang aku perolehi di situ. Huraiannya cukup jelas dan menarik. Hampir 3 orang anak muridnya yang akan membaca ayat yang sama dan kemudiannya seorang yang akan membaca tafsir tersebut. Selepas mereka selesai membacakannya, barulah dia akan menghuraikannya dengan panjang lebar.
Peliknya, aku tidak pergi ke sebelah lain (sebelah Jannatul Baqi') pada kali ini. Sekalipun ada beberapa nama tokoh yang mengajar di sana, namun aku lebih tertumpu kepada pengajaran Syeikh al-Muslih yang boleh dikatakan tidak pernah 'ponteng'. Ini kerana bagi sesetengah syeikh mereka mempunyai tugasan lain dan waktu yang dijadualkan kepada mereka agak terhad kerana faktor luaran seperti banyak jemputan di tempat lain atau faktor keuzuran.
Berbeza dengan syeikh al-Muslih yang membuatkan aku istiqamah mendengar kuliahnya setiap lepas Subuh. Usai dari kuliahnya, aku akan pulang selepas Dhuha dan mencari sarapan pagi. Waktu itu, Allah sahaja yang mengetahui betapa laparnya perutku. Apa pun, alhamdulillah aku tetap dapat melakukan perkara terbaik sewaktu berada di sana, sebagaimana pesan syeikh al-'Ajlan kepada anak muridnya di Makkah. Lenkali aku ceritakan pula mengenai kelas pengajian Syeikh al-'Ajlan di Masjidil Haram.
Moralnya: Dalam usaha menuntut ilmu, kita perlu beristiqamah sebagaimana Syeikh al-Muslih yang cukup beristiqamah dalam menyampaikan ilmunya. Allahu Akbar! Jadikanlah kami termasuk di kalangan mereka yang beristiqamah dalam ilmu. Amin, Ya Rabb!