Kelas I
Pagi tadi, semasa aku masuk ke kelas muridku sudah bersedia. Aku agak lama berada di dalam pejabat menguruskan pemergianku untuk menunaikan haji bersama isteri nanti. Insya Allah, doakan kami dapat pergi bersama-sama. Sebaik sahaja aku memberi salam, aku menyuruh mereka membuka buku pelajaran Jawi.
"Hah Jawi!?" Keluh 2 3 orang muridku seperti tidak berpuas hati.
"Kenapa?" Tanyaku, buat-buat lupa.
"Semalam ustaz kata nak ajar kami sembahyang!" Jawab Akmal dengan penuh harapan.
"A'ah, semalam ustaz kata nak ajar sembahyang, tapi hari ini tak nak pulak. Ustaz ni penipu laaa..." Bebel Iskandar yang petah bercakap.
"Aikk! Betul ke kamu semua nak belajar sembahyang ni?" Soalku semula inginkan kepastian daripada mereka.
"Yer laaaa, ustaz dah janji semalam." Jawab mereka serius.
"Ok! Hari ini kita belajar sembahyang, hari itu kita dah belajar wuduk kan?"
"Yer, ustaz!" Jawab pun dengan penuh semangat.
"Ok, mari semua kita ke belakang." Arahku kepada mereka ke kawasan yang lebih luas dalam bilik tersebut. Lega hatiku, melihatkan murid-muridku bersedia untuk belajar sembahyang. Semalam aku ceritakan kepada mereka tentang dahsyatnya ancaman azab kubur dan neraka bagi mereka yang tidak mengikut perintah Allah Taala.
Antara amalan yang Allah perintahkan itu adalah sembahyang, puasa dan melakukan perkara baik. Pelbagai soalan diajukan kepadaku hingga pening kepala aku menjawabnya.
"Ustaz, macam mana Allah bagitau kat kita suruh sembahyang, kan Allah tu kat langit?"
"Ustaz, kalau dah mati, macam mana kita kena seksa lagi sebab kita dah mati?"
"Ustaz, macam mana kita tahu yang neraka tu ada api?"
"Ustaz, benda apa yang ada dalam syurga tu yang best sangat masuk ke syurga?"
Letih juga menjawabnya, berfikir nak menjawab satu hal. Nak jelaskan kepada mereka satu persatu pun satu hal lagi. Nak diamkan mereka juga satu hal. Sememangnya banyak hal yang perlu dibereskan terlebih dahulu.
Alhamdulillah, mereka dapat belajar sembahyang dengan baik hari ini kerana takutkan azab Allah di akhirat kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan