Allah Taala said:

Thus, GOD does not change the condition of any people unless they themselves make the decision to change. [13:11]

Pesan Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam

Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi dan al-Tirmizi berkata ia hadis sahih.
Daripada Abu Najih al-'lrbadh ibn Sariyah r.a. beliau berkata: Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam telah menasihati kami suatu nasihat yang menggetarkan hati dan mencucurkan airmata. Kami bertanya: Ya Rasulullah! la seolah-olah nasihat orang yang mahu mengucapkan selamat tinggal, maka berikanlah kami wasiat. Baginda bersabda: Aku mewasiatkan kamu supaya bertakwa kepada Allah 'Azza Wajala, supaya mendengar dan taat, sekalipun kamu diperintah oleh seorang hamba. Sesungguhnya, barangsiapa di kalangan kamu yang masih hidup nanti, nescaya dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa' Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan kuat (iaitu berpegang teguhlah kamu dengan sunnah-sunnah tersebut) dan berwaspadalah kamu dari melakukan perkara-perkara yang diada-adakan, kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat.

Sabtu, 4 April 2009

Di Sekolah 2

Aku sering rasa begitu bermasalah jika mengendalikan kelas pemulihan. Sekalipun aku seorang guru pemulihan agama. Aku kadangkala tidak cukup bersabar untuk menjadikan murid-muridku lekas pandai. Sudah empat tahun aku membebel kepada mereka mengenai keupayaan mereka dalam menguasai huruf Arab atau Jawi. Namun, mereka masih di tahap itu juga.

Salah akukah tidak mampu mengajar?
Salah guru yang lainkah tidak mahu mengajar?
Salah ibu bapa merekakah tidak mahu menghantar?
Salah mereka sendirikah tidak mahu belajar?

Aku tidak keruan. Sekali sekala aku mengugut mereka dengan kata-kata yang tidak baik dilontarkan oleh seorang guru. Aku katakan pada mereka:

"Sudah 4 tahun kita belajar huruf yang sama!"

"Sudah berbuih mulut ustaz dan ustazah beritahu huruf yang sama."

"Huruf-huruf ini tidak akan berubah bunyinya."

"Huruf-huruf ini hanya berubah pada bentuk dan titiknya."

Mereka terlopong mendengar bebelanku yang tidak berhenti-henti.

"Kamu nak jadi orang tak pandai ke, orang yang pandai?" Soalku, menghentikan lamunan mereka.

"Orang pandai!" Jawab mereka ringkas.

"Kalau nak jadi orang yang pandai, beritahu kat ustaz mana satu huruf NYA." Ujiku pada tahap kemampuan dan 'kepandaian' mereka.

Mereka terdiam sambil memerhatikan kad huruf Jawi yang terpapar di dinding satu persatu. Ada yang tersengih-sengih tidak keruan kerana masih lagi tidak mampu mengenali huruf NYA.

"Hah, mana satu huruf NYA!" Sergahku.

Kelihatan mereka semakin panik. Aku mengambil buku huruf Jawi bersaiz besar untuk pra-sekolah.

"Kalau huruf NYA pun tak tahu, kita baca semula buku Jawi untuk pra-sekolah ni!" Bebelku lagi.

"Dari darjah 1, naik darjah 2, masuk darjah 3 dan sekarang darjah 4, huruf NYA tak hafal lagi, masih tak kenal lagi?"

"Okey, ustaz nak ajar kamu guna buku huruf pra-sekolah. Pemikiran kamu, masih lagi peringkat pra-sekolah. Kamu nak ustaz masukkan kamu semula dalam kelas pra-sekolah?"

Mereka menggelengkan kepala tersengih-sengih macam 'kerang busuk'.

Aku tahu mereka boleh berfikir dengan baik, tetapi ugutan itu penting kerana mereka ini dimanjakan dengan kemalasan di rumah. Ibu bapa mereka tidak menghiraukan pelajaran mereka di rumah, tidak mahu menghantar ke tusyen atau ke kelas KAFA.

Bukan kerana kesempitan wang ringgit, tetapi kerana kesibukan kerja atau menganggapkan hal itu tidak perlu. paling malang jika si ibu bapa itu sendiri tidak mementingkan nilai agama. Malah kebanyakan anak muridku ini memberitahu mereka sendiri jarang melihat ibu bapanya bersolat, bahkan ada yang tidak pernah kecuali hari Jumaat dan solat hari raya.

Aku terpaksa 'membasuh' anak-anak ini dengan kuat. Bukan untuk mematahkan semangat mereka, tetapi utuk menyedarkan mereka kembali. Aku sering mengatakan kepada mereka bahawa orang yang berjaya di dunia ini adalah orang yang akan berjaya di akhirat dengan sebab mereka bersolat dan membuat kebajikan.

Bila mereka berbuat baik, bukan sahaja guru dan ibu bapa yang mengasihi mereka, bahkan Allah Taala juga mengasihi mereka dan memasukkan mereka ke dalam syurga.

"Kamu semua nak masuk ke syurga?"

"Nak!" Jawab mereka serentak.

Seingat aku dulu ada seorang budak yang tidak mahu ke syurga. Bila ditanya kepadanya, "Kenapa kamu tidak mahu masuk ke syurga?"
Dia menjawab dengan serius, "Mak saya kata lepas ke sekolah jangan pergi ke mana-mana lagi, pulang terus ke rumah." Itu jawapan biasa di kalangan murid-murid.

Berbalik kepada pelajaran di kelas pemulihan Jawi tadi. Aku membuka setiap helaian halaman tersebut dan menyuruh mereka meneka setiap huruf tersebut. Ada yang tahu dan ada yang tidak berapa tahu. misalnya huruf 'Ain, Ghain dan Nga. Huruf-huruf ini sering mengelirukan mereka sekalipun jelas titiknya terpampang.

Setiap huruf yang disebutkan oleh mereka, aku akan katakan: "Huruf Lam ni, apa yang kita boleh sebutkan benda yang bermula daripadanya?" Mereka sebutkanlah setiap seorang, "Lampu!", "Lipas!", "Limau!", "Lipan!" bla... bla... "Bagusss!" pujiku pada mereka yang dapat menjawab dengan baik.

Pujian dan pujukan antara dua elemen penting dalam mendidik kanak-kanak. Jangan terlalu beremosi dengan mengherdik dan mencubit mereka. Tetapi usapan, pujian dan pujukan adalah lebih perlu dalam menarik minta mereka belajar.

Aku seringkali juga menepuk, memukul, menampar dan mencubit mereka jika berlaku kesalahan yang mereka lakukan dengan sengaja. Pukulan juga ada tahapnya. Bila tidak membawa buku, pukulannya begini. Jika salah menjawab, tepukannya begini. Jika mengganggu rakan, tamparannya begini. Bila engkar arahan, cubitannya begini. Setiap kesalahan ada tahap dendanya.

Aku suka melayani murid-muridku bercakap. Aku akan berbual jika hal itu penting. Menjawab persoalan yang dikemukakan. Jika tidak penting aku akan menyuruhnya diam atau membuat kerja atau pun membaca.

Mereka akan melaporkan kesalahan rakan mereka sekalipun perkara itu berlaku di rumah. Jika serius seperti bermain game di CC atau melihat paparan 'tidak baik' di internet sekalipun di rumah. Aku masih mengambil tindakan atas kesalahan tersebut dengan merotan tangan mereka.

Ini bagi mengelakkan, mereka melakukan kesalahan secara berganda, secara berkumpulan dan beranggapan perkara tersebut tidak mengapa dan bukan satu kesalahan. Bila tiada tindakan diambil, mereka akan merasa selamat untuk melakukan kesalahan tersebut. Ini adalah skill yang kadang kala ada yang terlepas pandang. Kanak-kanak amat suka jika mereka dianggap sebagai seorang yang sudah menjadi dewasa. Berhati-hati dalam membimbing mereka...

"Ini huruf apa. WAU tapi ada titik?"
"Vi!" Mereka menjawab.

Aku betulkan mereka. "Ini huruf VA! jika huruf Vi ia adalah huruf V dalam tulisan rumi."
Wujud kesalahan dalam sesetengah tulisan kad imbas yang menulis huruf Vi, bagi huruf Wau ada titik. Sedangkan huruf Vi dalam sebutan kita ialah huruf V rumi. Sepatutnya dibezakan agar murid-murid tidak terkeliru sebutan dan bentuk hurufnya.

Jika DBP juga menyatakan bahawa huruf tersebut adalah huruf Vi, aku tetap mengekalkan bahawa huruf tersebut adalah huruf Va. Biar dapat dilihat perbezaannya. Manakan boleh bentuk huruf berbeza tetapi bunyinya sama.

Aku teruskan bertanya, "Daripada huruf Va ini, apa benda yang bermula dengannya?"

Ada yang menjawab, "Van!"

"Bagus!" pujiku.

Seorang lagi mengangkat tangan.

"Viva!"

"Bagus!" pujiku. Sekalipun tidak menepati kehendakku, aku tetap memujinya sekadar percubaan atas tahap pengetahuan sedia adanya. Mujurlah nama kereta nasional itu dinamakan dengan huruf V, ada juga perkataan yang boleh dibuat selain Van.

Seorang murid perempuanku mengangkat tangan ingin menjawab, selepas semuanya terdiam berfikir dan mengelamun.

"Okey, apa lagi daripada huruf Va, akak!"

Selamba dia menjawab, "Virafah."

"Haa! VIRAFAH?"

"Salah! bukan virafah, tapi zirafah! cuba lagi yang lain!"

Rakan-rakannya ketawa bagai nak pecah perut. Ustazah yang berada di kelas tersebut juga turut ketawa mendengar jawapan tersebut. Itulah darjah 4 dalam kelas pemulihan. Masih ada yang pelat kerana kurangnya membaca buku dan melihat perkataan. Keluarga di rumah tidak membantu mereka untuk membaca, mungkin tidak membeli surat khabar tetapi hanya membeli majalah hiburan atau kereta.

Bila mereka ini disuruh membaca, hanya gambar yang dibeleknya bagaikan buku komik.

Itulah nasib murid-muridku...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan