Allah Taala said:

Thus, GOD does not change the condition of any people unless they themselves make the decision to change. [13:11]

Pesan Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam

Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi dan al-Tirmizi berkata ia hadis sahih.
Daripada Abu Najih al-'lrbadh ibn Sariyah r.a. beliau berkata: Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam telah menasihati kami suatu nasihat yang menggetarkan hati dan mencucurkan airmata. Kami bertanya: Ya Rasulullah! la seolah-olah nasihat orang yang mahu mengucapkan selamat tinggal, maka berikanlah kami wasiat. Baginda bersabda: Aku mewasiatkan kamu supaya bertakwa kepada Allah 'Azza Wajala, supaya mendengar dan taat, sekalipun kamu diperintah oleh seorang hamba. Sesungguhnya, barangsiapa di kalangan kamu yang masih hidup nanti, nescaya dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa' Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan kuat (iaitu berpegang teguhlah kamu dengan sunnah-sunnah tersebut) dan berwaspadalah kamu dari melakukan perkara-perkara yang diada-adakan, kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat.

Isnin, 31 Ogos 2009

Matlamat Puasa Melahirkan Jiwa Bertakwa

Oleh: Mohd Fikri bin Che Hussain

Para ulama sering mendahulukan hikmah yang diperolehi dalam sesuatu amalan ibadah itu sebagai satu pemangkin dan penggalak kepada orang lain untuk turut sama mengerjakannya.
Imam Ibn Taimiyah menjelaskan perkara ini dengan kenyataan yang amat menarik: Sesiapa yang memahami hikmah yang terkandung di dalam hukum syariat itu, beliau adalah seorang faqih (ulama) yang sebenar. Malah, Imam Ibnu Taimiyah turut berpendapat bahawa pengetahuan di dalam ilmu Maqasid ini merupakan suatu keutamaan bagi seseorang itu mendalami topik ini secara khusus dalam kajian fekahnya.

Apa yang penting bagi kita yang mempunyai akal untuk berfikir. Kewujudan kita di muka bumi ini adalah sebagai hamba Allah yang mengakui keagungan Allah, menuruti segala kewajipan yang dipertanggung jawabkan serta melaksanakan suruhan dan titah perintah-Nya tanpa berbelah bagi. Bertitik tolak dari sinilah, kita memahami bahawa ibadah puasa itu merupkan syariat yang mempunyai makna yang begitu mendalam untuk dikaji serta difahami.

Bertepatan dengan pandangan yang diutarakan oleh Imam Ibnu al-Qayyim: Kebaikan berpuasa itu sekiranya dinilai dari pandangan yang sejahtera dan naluri yang berprinsip teguh dapat dijelaskan bahawa Allah mensyariatkan kepada para hamba-Nya sebagai satu rahmat. Selain itu, puasa juga sebagai satu kebaikan dan perlindungan buat mereka.

Secara ringkas dapat dinyatakan bahawa keistimewaan puasa di dalam syariat Islam serta kebaikan yang terkandung di dalamnya mempunyai beberapa matlamat dan hikmah yang tersirat, antaranya ialah melahirkan jiwa yang bertakwa.

Ibadah puasa ini merupakan suatu cara untuk menghampirkan diri kepada Allah dengan meninggalkan apa yang disukai, mengekang nafsu syahwat serta mengawal diri semata-mata kerana Allah dalam setiap masa dan tempat. Sebagaimana firman Allah Taala di dalam surah al-Baqarah: Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan kepada kamu untuk berpuasa sebagaimana telah diwajibkan kepada mereka yang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.

Arahan agar disempurnakan ibadah puasa ini supaya dilakukan dengan perasaan penuh taqwa merupakan hikmah utama disyariatkan ibadah ini. Imam Ibnu al-Qayyim di dalam kitabnya Zaad al-Ma'ad menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai hikmah yang terkandung di dalam ibadah puasa ini, "Puasa adalah pelindung yang mampu mengekang nafsu seseorang mukmin, memelihara dirinya daripada terjerumus kepada pergaduhan serta mampu melatih jasmani seseorang itu dalam mendekatkan dirinya kepada tuhan sekalian alam."

Ibadah puasa ini seperti ibadah yang lain juga menghendaki orang yang melaksanakannya agar tidak melakukan sesuatu yang buruk. Mereka perlu meninggalkan kehendak syahwat, nafsu makan dan minum semata-mata kerana Allah. Orang yang berpuasa juga perlu meninggalkan apa yang disukainya kerana mengharapkan ganjaran dan keredhaan Allah, bahkan inilah rahsia di antara seseorang hamba dengan tuhannya tanpa diketahui oleh makhluk yang lain.

Perkara ini telah disampaikan oleh Rasulullah SAW menerusi sebuah hadis Qudsi yang sahih dan diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, Allah berfirman: "Setiap amalan anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk-Ku dan Akulah yang akan memberikan ganjarannya, kerana beliau meninggalkan syahwat, makan dan minumnya semata-mata untuk-Ku."

Matlamat Puasa Membersihkan Hati Nurani


Oleh: Mohd Fikri bin Che Hussain

Matlamat utama ibadah puasa ini disyariatkan antara lainnya adalah untuk membersihkan jiwa nurani daripada akhlak dan sifat yang buruk. Kewajiban berpuasa ini disyariatkan pada satu bulan yang mulia dengan dibelenggu para syaitan sepanjang waktunya. Penjelasan ini diperkuatkan oleh sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Apabila tibanya bulan Ramadan akan dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka serta di belenggu para syaitan.”

Di samping itu, puasa juga dapat melumpuhkan gejolak nafsu yang membara. Keadaan lapar dan dahaga ini sebenarnya dapat mematahkan nafsu syahwat dan hasutan iblis. Oleh itu, di dalam sebuah hadis Rasulullah pernah mengingatkan kepada para pemuda yang tidak mampu berkahwin agar berpuasa untuk mengekang nafsu mudanya. Terdapat juga di dalam sebuah hadis yang lain Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, “Puasa itu adalah pelindung yang menjadi salah satu benteng daripada benteng-benteng orang Mukmin.”

Pernah suatu ketika seorang saintis pernah membentangkan kajiannya bahawa antara sebab galakan Nabi Muhamad agar kaum muslimin berpuasa pada hari Abyadh iaitu hari 13, 14, dan 15 menurut kalendar hijrah (lunar). Pada malam-malam bulan mengambang penuh itu berlaku pasang surutnya air laut. Air laut akan berlaku proses pasang surut dalam tempoh tersebut disebabkan graviti yang dihasilkan oleh bulan sejak jutaan tahun silam dengan kuasa Allah.

Begitu juga darah yang terkandung dalam tubuh badan manusia pada tempoh tersebut. Lalu Rasulullah s.a.w menggalakkan agar kaum muslimin berpuasa pada hari-hari tersebut kerana syaitan turut memainkan peranannya dengan bergerak cergas membisikkan kejahatan melalui salur darah yang turut mengembang pada diri setiap anak Adam ketika itu.

Kenyataan ini cukup jelas jika dinilai dengan saksama serta tidak langsung menyanggahi dalil yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW seperti yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, "Sesungguhnya syaitan bergerak di dalam saluran darah anak Adam."

Oleh itu, puasa dari aspek rohani dapat menguatkan keperibadian dan meluhurkan budi, mencantikkan pekerti, membersih dan meningkatkan jiwa dari segala hasutan dan bisikan nafsu syahwat bukan hanya pada bulan Ramadan sahaja tetapi tetap berkekalan pada masa yang seterusnya.

Kedatangan Ramadan setiap tahun diumpamakan sebagai stesen tahunan yang dapat menjadi pencetus kepada setiap individu muslim untuk menyuci jiwa dari segala noda dan dosa serta berupaya meningkatkan keimanan kepada Allah yang Esa. Ramadan juga secara tidak langsung menjadi sesi pemangkin kekuatan iman pada bulan-bulan mendatang, sesi didikan untuk melatih diri dalam melakukan amalan baik, sesi penilaian diri serta meninjau keburukan yang patut dihindari.

Matlamat Puasa - Merasai Penderitaan Orang Lain



Oleh: Mohd Fikri bin Che Hussain

Antara matlamat ibadah puasa ini di syariatkan ialah sebagai satu ujian bagi merasai penderitaan yang ditanggung oleh orang lain terutamanya anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal dan selainnya.

Orang yang berpuasa pasti terkenangkan penderitaan golongan ini yang sering memerlukan bantuan dan pertolongan dari mereka. Golongan yang berkemampuan ini pasti akan terfikir mengenai nasib yang menimpa saudara seagamanya yang sedang mengalami kebuluran, penderitaan dan kesengsaraan akibat perang mahupun ancaman bencana alam.

Syeikh Ibnu al-Hammam menjelaskan mengenai keinsafan dalam ibadah puasa ini, “Bagi orang yang berpuasa mereka pasti merasai derita kelaparan dalam tempoh waktu tertentu sepanjang hari tersebut. Kemudiannya, mereka akan terkenang golongan yang senantiasa berkeadaan sebegitu pada setiap waktu. Akhirnya perasaan belas kasihan dan simpati akan timbul terhadap golongan tersebut.”

Apabila diamati dengan teliti perasaan ini, pasti akan mewujudkan rasa sedih terhadap golongan fakir miskin dari kalangan mereka seanutan dengannya yang sememangnya memerlukan bantuan berupa harta, makanan, pakaian, penginapan dan sebagainya. Fenomena yang lahir dari rasa insaf ini secara tidak langsung akan mewujudkan kerjasama dan tanggungjawab di kalangan anggota masyarakat serta keprihatinan sesama Islam dalam membantu golongan yang tidak berkemampuan.

Ibnu Rajab al-Hanbali pernah menyebutkan kisah di kalangan Salaf al-Ummah yang disoal mengenai puasa, “Kenapa disyariatkan ibadah puasa? Dijawab oleh mereka: Agar golongan kaya merasai kelaparan dan dia pasti tidak akan melupai golongan yang sedang kelaparan.”

Dengan ini, para ulama berpandangan agar golongan yang kaya dapat menghulurkan bantuan kepada goplongan miskin, memberikan pertolongan berupa makanan, pakaian dan harta. Perasaan ini pasti membangkitkan kerjasama dalam masyarakat, mengeratkan hubungan di kalangan mereka serta menyemarakkan semangat persaudaraan sesama muslim.

Nabi Muhammad SAW suatu ketika telah menemui Umm 'Amarah Bintu Ka'ab al-Ansariyah. Beliau menyediakan makanan kepada Baginda. Maka, Baginda mengajaknya dengan bersabda: “Makanlah! Dia menjawab: Aku berpuasa. Nabi Muhammad SAW bersabda: Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila dihidangkan makanan kepadanya, para malaikat akan mendoakan kesejahteraan kepada orang yang menyediakannya sehingga dia berlalu.” (Riwayat al-Baihaqi)
Namun di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi beliau menambah, sehingga dia berlalu itu kemungkinan sehingga dia kekenyangan.

Di sini, bukanlah menghidangkan sesuatu kepada orang yang berpuasa itu sama ada rakan ataupun orang miskin dengan beberapa biji tamar dan air sahaja, kemudian membiarkan dia berlalu pergi. Bahkan, maksud yang sebenar ialah menghidangkan mereka dengan segala seuatu yang mampu mengenyangkan.

Matlamat Puasa Menjaga Kesihatan

Oleh: Mohd Fikri bin Che Hussain

Hikmah berpuasa secara tidak langsung dapat memberikan faedah besar terhadap kesihatan tubuh badan. Kerehatan yang diberikan kepada saluran pemakanan dalam tempoh sebulan cukup untuk meregang dan melegakan bahagian penghadaman tersebut. Dalam ertikata lain mengembalikan kekuatan dan kecergasannya pada waktu selepas berlalunya Ramadan.
Tidak dinafikan bahawa perut adalah ‘rumah penawar’ dan 'pencegahan'nya merupakan mahkota segala penawar seperti yang disebutkan oleh tokoh perubatan Arab iaitu al-Harits Bin Kaldah.

Puasa memberikan kerehatan kepada setiap manusia yang melakukannya selain turut menjadi benteng kepada pelbagai penyakit yang menyerang tubuh manusia. Penyakit yang nyata berjaya dihindari dengan melakukan ibadah ini ialah sakit perut, obesiti, pertambahan kolestrol, tekanan darah tinggi, kencing manis dan sebagainya.

Apabila merujuk kepada Hippocrate yang bergelar 'Bapa Perubatan Greek', beliau turut menggunakan puasa sebagai kaedah perubatan pada hari pertama para pesakitnya mendapatkan rawatan. Beliau juga menyifatkan kepelbagaian rawatan yang dihasilkan daripada puasa amat sesuai dengan setiap penyakit yang menghinggapi para pesakitnya.

Seorang pakar perubatan Arab iaitu Dr. Umayyah Lahud di dalam bukunya telah menjelaskan, “Saya sering melakukan kajian kepada pelajar saya yang berpuasa, hanya dalam tempoh singkat mereka dapat menambahkan kemampuan dari aspek penghasilan idea. Ini menjadikan mereka di kalangan pelajar yang mampu menggunakan segala kemampuan akal untuk menguasai pelajaran mereka. Ini hasil dari puasa yang menjadikan tubuh mampu merangsang satu asid yang menolak segala toksin daripada tubuh individu tersebut. Seterusnya menjadikan sel darah kembali normal dan bersih dari segala zat yang diperolehi dari pemakanan harian. Manakala pengaliran darah ke otak lebih lancar.”

Tidak diragukan lagi ibadah puasa ini merupakan tanda kekuasaan Allah yang mensyariatkan kepada kita suatu ibadah yang amat bermanfaat. Hatta pakar perubatan lain turut mengutamakan teknik berpuasa bagi para pesakit mereka berbanding dengan pemberian ubat atau sebarang rawatan lain. Seorang doktor perubatan Rusia menyatakan, “Adalah lebih penting kami mengarahkan kepada pesakit agar berpuasa dan mengosongkan perutnya supaya berat badannya turun dan mereka mampu sembuh dengan lebih cepat. Hal ini lebih baik daripada kami memenuhkan perut mereka dengan ubatan seperti pil dan kapsul serta makanan yang bakal menambahkan lagi penyakit lain.”

Allamah Rasyid Ridha penulis Tafsir al-Manar menjelaskan pengakuan daripada beberapa orang pakar perubatan Eropah yang mengakui dengan berpuasa sebulan Ramadan dalam setahun mampu menyingkirkan sel-sel tambahan yang mati atau tidak berfungsi dalam badan seseorang individu itu.

Apa yang menghairankan, didapati majoriti yang menyambut bulan mulia ini dengan ‘menyerbu’ ke bazar Ramadan. Hinggakan keperluan kos perbelanjaan makanan pada bulan ini ‘meningkat’ mengatasi tiga bulan yang lalu. Pihak peniaga pula mengambil kesempatan dengan meningkatkan harga barangan keperluan hatta ‘gula’ mulai disorok bagi menjadikan harga di pasaran melambung tinggi. Sedangkan dalam hadis riwayat Muslim ada menyebutkan, “Barangsiapa yang ‘menyorok’ barang keperluan, dia adalah seorang yang berbuat maksiat.”

Kewujudan pasar Ramadan bagai ‘cendawan tumbuh’ menjadikan seolah-olah bulan puasa adalah ‘pesta makanan’. Segala jenis makanan yang muncul dibeli oleh pelanggan untuk dihidangkan kepada keluarga. Maka bertambahlah ‘penyakit’ lain dari aspek fizikal sama ada penyakit obesiti, diabetes, darah tinggi, jantung dan sebagainya. Manakala penyakit hati yang timbul pula seperti sifat tamak, tidak sabar atau gelojoh, kedekut dan mementingkan diri tetap bersarang di jiwa.

Apabila mereka merujuk kepada pihak hospital akibat penyakit yang dihidapinya, sudah pasti banyak penyakit tersebut berpunca dari perut yang kekenyangan. Allah berfirman, “Makan dan minumlah kamu sekalian dan jangan kamu membazir.” Ayat ini dengan jelas menerangkan keharusan makan dan minum bagi setiap manusia, tetapi larangan pada akhirnya melarang dari berlebihan dan membazirkannya. Para ulama sendiri menyatakan, “Dalam ayat yang ringkas ini Allah Taala mengumpulkan rahsia perubatan untuk semua perkara kepada diri manusia.”

Kaum terdahulu turut melarang daripada mengambil makanan dan minuman yang banyak dan melampaui batasan keperluan. Luqman al-Hakim pernah mengingatkan kepada anaknya, “Wahai anakku! Seandainya perut dipenuhi makanan, akan tidurlah akal fikiran, tergendala segaka hikmah dan lumpuhlah anggota badan untuk beribadah.”

Justeru, setiap muslim perlu menggunakan kesempatan terbaik ini bagi membetulkan kesilapan mereka pada masa lalu. Khidmat percuma ini didatangkan Allah dengan penuh nikmat kepada setiap para hambaNya. Tidak perlu mereka merosakkan puasa ini dengan membanyakkan makan minum hingga membawa kepada pembaziran.
Sebagaimana pesan Imam Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani, “Pembaziran makanan ini adalah makan dengan banyak hingga melampaui rasa kenyang. Termasuk juga pembaziran adalah dengan memperbanyakkan juadah dan kepelbagaian jenisnya. Bahkan dikirakan pembaziran juga apabila diletakkan dalam hidangan itu pelbagai ragam makanan melebihi keperluan yang sepatutnya.”

Selasa, 18 Ogos 2009

Sorok Gula Dilarang Agama




Oleh: Mohd Fikri Bin Che Hussain

Ketibaan bulan-bulan perayaan seperti bulan ramadan yang bakal menjelang tidak berapa lama lagi, pelbagai fenomena sosial pasti akan berlaku. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, krisis kekurangan bahan keperluan seharian kerap terjadi. Antara yang paling kerap berlaku adalah kekurangan bekalan gula walaupun negara kita antara negara pengeluar gula terbesar di Asia Tenggara.

Fenomena ‘pelik’ sebegini kian menjadi-jadi, meski pun pihak kerajaan melaksanakan pelbagai usaha membenterasnya dalam skala kecil mahu pun besar. Terbaru, lesen pemborong akan ditarik bagi para peruncit yang tinggal di kawasan 10 kilometer berhampiran dengan sempadan negara. Taktik ini bagi menyekat penyeludupan gula ke negara sempadan yang mana harga gulanya jauh lebih tinggi berbanding dengan negara kita.

Segala kesempatan yang ada untuk mengaut keuntungan dengan cara yang merugikan negara haruslah dijauhi dan dihindari. Hampirnya bulan Ramadan tidak berapa lama lagi antara faktor utama aktiviti menyorok gula di kalangan pemborong tempatan yang jauh dari daerah persempadanan berulang lagi.

Pihak peniaga dan usahawan kecil mulai mengambil kesempatan dengan menyorok ‘gula’ agar harga barangan keperluan ini melambung tinggi dalam pasaran tempatan. Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa hal sebegini pernah dilarang oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam sebuah hadis sahih riwayat Muslim yang menyebutkan, “Barangsiapa yang ‘menyorok’ barang keperluan, dia adalah seorang yang berbuat maksiat.”

Perbuatan menyorok barang ini di dalam bahasa Arab disebut sebagai ihtikar iaitu perbuatan memonopoli barangan secara individu bagi meningkatkan harga jualannya di pasaran umum. Menurut Islam, perbuatan ini adalah satu kezaliman yang dilakukan oleh peniaga kepada para pembeli dengan menggandakan harga barangan tersebut bagi mengaut keuntungan yang lebih.

Terdapat banyak hadis yang melarang dilakukan perkara sedemikian sama ada daripada golongan peniaga di kalangan orang awam hinggalah kepada peringkat pemerintah dan kerajaan. Ini kerana perbuatan sebegini akan menyusahkan semua lapisan masyarakat. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Hakim daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Usahawan diberi rezeki dan orang yang menyorok barang dilaknat.”

Dalam hadis ini jelas menunjukkan bahawa golongan usahawan yang mencari pendapatan dengan konsep memudahkan masyarakat pasti akan dipermudahkan rezeki mereka oleh Allah. Berbanding dengan pihak yang menyimpan barang atau memonopoli suatu jenis perniagaan yang mencari keuntungan dengan kesusahan orang lain pasti akan dimarahi dan dibenci masyarakat.

Hadis yang diriwayatkan pula oleh Imam Ahmad dan al-Hakim ada menyebutkan bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Sesiapa yang menyorokkan bahan makanan selama 40 malam. Sesungguhnya dia telah berlepas diri daripada (perlindungan) Allah dan Allah juga berlepas diri daripadanya.”

Para ulama fekah telah menetapkan syarat mengenai pengharaman barangan keperluan ini seperti berikut:

Pertama, hendaklah barangan yang disorok itu merupakan ‘lebihan’ keperluan peribadinya dalam tempoh setahun. Sekiranya dia menyimpan barangan itu sebagai keperluan dirinya sepanjang tempoh setahun itu sebagai bekalan peribadi, ia tidak dikira sebagai ihtikar.

Kedua, individu tersebut menunggu masa harga dinaikkan dan ketika itu barulah beliau menjualkannya kepada umum masyarakat.

Ketiga, barangan yang disorok itu merupakan barangan keperluan masyarakat setempat pada setiap masa, misalnya makanan ruji seperti beras, tepung, gula dan sebagainya.

Sekiranya perbuatan itu tidak menepati syarat-syarat ini, maka penyimpanan barangan tersebut tidak dianggap ihtikar atau menyorok barangan untuk memanipulasikannya. Perbuatan buruk sebegini sebaiknya harus dihindari oleh kaum muslimin dan golongan lain. Ini kerana perbuatan buruk ini akan menyusahkan masyarakat dan juga diri sendiri apabila perbuatan mereka diambil tindakan oleh pihak berkuasa tempatan di dunia ini dan diberi balasan buruk di akhirat kelak.
Sebuah kisah yang perlu dijadikan renungan bersama yang termaktub di dalam kitab Musnad Imam Ahmad mengenai kisah Farrukh pembantu ‘Utsman. Beliau menceritakan mengenai ‘Umar al-Khattab yang menjadi khalifah ketika itu sedang keluar menuju ke masjid dan beliau melihat lambakan makanan.

Beliau lantas bertanya, “Makanan apakah ini?” Mereka yang berada di situ menjawab, “Makanan yang kami usahakan.” Beliau berkata, “Semoga Allah memberkatinya dan mereka yang mengusahakannya.” Namun, sebahagian mereka memberitahunya, “Wahai Amir al-Mukminin, semua makanan ini akan disorok.” Beliau lalu bertanya, “Siapakah yang akan menyorokkannya?” Mereka memberitahunya, “Farrukh pembantu ‘Utsman dan si fulan pembantu ‘Umar.”

Beliau yang mengetahui hal itu terus menghantar orang agar memanggil mereka berdua untuk bertemu dengannya. Apabila bertemu beliau lantas bertanya, “Apa yang membuatkan kamu cuba menyorok makanan kaum muslimin?” Mereka berdua menjawab, “Wahai Amir al-Mukminin, kami membeli dengan wang kami dan kami ingin menjualnya.” Jawab ‘Umar, “Aku sendiri mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang menyorokkan makanan kaum muslimin, nescaya Allah akan membalas perbuatannya dengan kemuflisan dan penyakit kusta.”

Mendengar kenyataan ‘Umar itu, Farrukh segera berkata: “Aku berjanji demi Allah dan di hadapan engkau, aku tidak akan menyentuh makanan tersebut sampai bila-bila.” Manakala, pembantu ‘Umar itu masih lagi menjawab, “Kami membeli dengan wang kami dan kami ingin menjualnya.” Abu Yahya yang meriwayatkan hadis ini menceritakan, “Akhirnya, aku sendiri melihat pembantu ‘Umar itu menghidap penyakit kusta di akhir umurnya.”

Ahad, 16 Ogos 2009

Bersabarlah! Mereka Juga Saudaramu


Oleh: Mohd Fikri Bin Che Hussain

Dalam kancah kehidupan hari ini, pihak kerajaan menggesa agar dilaksanakan Kempen 1Malaysia bagi mewujudkan perpaduan di kalangan semua anggota kaum dan etnik. Kesatuan dan perpaduan ini akan menguatkan pertalian hidup masyarakat, mengukuhkan hubungan mereka dan secara langsung dapat menstabilkan sosial, politik dan juga ekonomi negara kita.

Malangnya ada segelintir pihak yang memandang 'sepi' kempen sebegini dengan anggapan tidak sama manhaj ideologi dan juga jauhnya jurang perbezaan mazhab politik. Lebih malang lagi, ada yang membuat tohmahan bahawa kempen sebegini hanya menguntungkan sesetengah pihak yang cuba menerapkan ideologi penjajah dan barat di minda generasi umat Islam khususnya.

Semua ini hanyalah ilusi yang perlu dihindari dan diketepikan kerana ia menyalahi prinsip agama Islam dan juga prinsip pegangan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang meniti di landasan sunnah yang mulia. Ini kerana setiap perintah pemimpin yang menyeru ke arah kebaikan perlu dipatuhi dan ditaati, sebagaimana sebuah hadis dari Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma dari Nabi sallallahu 'alaihi wasallam sabdanya, "Wajib atas seseorang Muslim untuk mendengar dengan patuh serta mentaati, baik dalam hal yang ia senangi dan yang ia benci, melainkan jikalau ia diperintah untuk melakukan sesuatu kemaksiatan. Maka apabila ia diperintah oleh pemerintahnya dengan sesuatu kemaksiatan, maka tidak boleh ia mendengar perintah itu dan tidak boleh pula mentaatinya." (Muttafaq 'alaih)

Segala dendam kesumat atas kesilapan silam, kesalahan peribadi dan apa jua yang berlaku perlulah dimaafkan sahaja. Itulah jalan terbaik yang perlu diikuti sepertimana kemaslahatan untuk kelompok ramai lebih diutamakan dari kemaslahatan peribadi akibat pertelingkahan peribadi berdasarkan Fiqh Awlawiyat (keutamaan). Jelas dalam satu kaedah fekah (Qawa'id Fiqhiyah) yang menyebutkan "al-Khuruj min al-Khilaf Mustahab" membawa maksud, menghindari perbezaan pendapat itu adalah sunnah.

Menjaga persatuan umat Islam dan menjauhkan diri daripada sebarang perselisihan merupakan suatu hal yang wajib. Malah hal ini lebih diutamakan daripada melakukan perkara-perkara yang sunnah. Apabila berlaku percanggahan antara yang wajib dan sunnah, melaksanakan perkara yang wajib adalah diutamakan walau terpaksa meninggalkan yang sunnah.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah menjelaskan, "Disunnahkan seseorang itu menjaga persatuan meskipun harus meninggalkan sunnah. Disebabkan maslahat (kebaikan) memelihara kesatuan umat lebih utama daripada melaksanakan sunnah sebagaimana yang dicontohkan Nabi sallallahu 'alaihi wasallam. Baginda tidak mengubah bangunan Kaabah kerana dengan membiarkannya seperti yang sedia ada dapat menjaga perpaduan."

Beliau menegaskan lagi, "Sama juga dengan Ibn Mas'ud yang tidak sependapat dengan 'Utsman bin 'Affan yang mendirikan solat dalam musafir secara tamam (sempurna tanpa mengqasarkannya). Biar pun demikian, dalam musafir tersebut beliau melaksanakan solat secara tamam sebagai makmum di belakang 'Utsman. Bila ditanya tentang perbuatannya itu, dia menjawab ringkas, "Perselisihan itu membawa natijah buruk".

Beginilah yang dilakukan oleh tokoh sahabat dalam menghindari perselisihan dan pertikaian sesama mereka. Sahabat seperti Ibn Mas'ud yang dilantik oleh Umar al-Khattab sebagai pembantu kepada 'Ammar di Kufah turut dilantik sebagai pendakwah di sana kerana pengetahuannya yang mendalam tentang ajaran Islam.

Umar sendiri menyatakan di lembaran terakhir suratnya kepada penduduk Kufah agar mematuhi perintah dan ajaran yang disampaikan oleh 'Ammar dan Ibn Mas'ud ini dengan ungkapan, "Aku telah mengutuskan untuk kamu 'Ammar sebagai pemimpin dan Ibn Mas'ud sebagai pembantunya dan guru kepada kamu. Mereka berdua adalah sahabat Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam yang bijak dari kalangan ahli Badar. Maka taatilah perintah dan contohilah mereka berdua. Aku sendiri amat terkesan dengan keperibadian 'Abdullah Ibn Mas'ud dalam berpegang dengan sunnah."

Perhatikan sikap para ulama terdahulu yang cuba mencari jalan untuk mengelakkan sebarang perselisihan dan pertikaian. Tiada untungnya perpecahan dan pertelingkahan ini melainkan bakal membawa natijah yang buruk dan kemusnahan. Ada baiknya dibawakan kisah Ibn Taimiyah yang pernah difitnah oleh musuh ilmiahnya hatta dihukumkan kafir dan sesat. Beliau yang menjawab dan mengkritik sebuah buku yang ditulis oleh seorang ulama sufi di zamannya berjudul al-Istighatsah telah menimbulkan kemarahan syeikh tersebut.

Fitnah tersebut antara yang terburuk berlaku ke atas peribadi Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah pada tahun 707H. Beliau bukan sahaja digesa agar dihukum penjara malahan turut diminta agar dihukum bunuh oleh syeikh sufi tersebut. Tindakan yang tidak diambil oleh pihak pemerintah tersebut semakin memburukkan lagi kepada Ibn Taimiyah yang telah diserang oleh kumpulan tersebut pada tahun 711H.

Mendengar berita Ibn Taimiyah diserang oleh pihak terbabit yang memusuhinya, anak muridnya yang terdiri daripada masyarakat awam telah menggesa pihak kerajaan mengambil tindakan atas kumpulan tersebut, namun tidak diendahkan. Akhirnya mereka semua berjaya mengumpulkan sebahagian tentera dan golongan yang bersimpati dengannya untuk menuntut bela dengan apa yang terjadi ke atas Ibn Taimiyah. Ramainya kumpulan tersebut sehingga ada pihak yang menyatakan, "Syeikh, telah datang pasukan dari al-Husainiyah ke sini. Seandainya tuan ingin mereka hancurkan seluruh negara Mesir, nescaya mereka akan laksanakan perintahmu."

Ibn Taimiyah tidak mengambil peluang ini untuk melaga-lagakan sesama umat Islam kerana beliau menganggap apa yang dilakukan oleh syeikh sufi itu tetap mendapat satu pahala kerana kesalahan ijtihad beliau ke atasnya. Malah beliau tidak langsung menyatakan rasa marah atau bertindak balas dengan apa yang dilakukan oleh mereka ke atas dirinya.

Sebaliknya beliau menolak bantuan tersebut dengan memberi amaran kepada mereka dengan katanya, "Apa sahaja tujuan kamu datang ke sini bagi membela diriku, atau demi kepentingan kamu atau pun kerana Allah Taala, aku tidak tahu. Sekiranya untuk diriku, aku memaafkan mereka. Jika demi kepentingan kamu, seandainya kamu tidak mendengar fatwaku, janganlah kamu meminta lagi fatwa daripadaku dan lakukanlah sekehendak hati kamu. Jika kerana Allah kamu ke sini, Allah Taala yang lebih berhak ke atas mereka dengan kehendak dan bila masa yang dikehendakiNya."

Perlu diketahui, syeikh sufi tersebut tidak ada tempat untuk bersembunyi dari pihak penguasa yang didesak oleh orang ramai agar menangkapnya. Akhirnya beliau sendiri terpaksa meminta bantuan daripada Ibn Taimiyah untuk bersembunyi di dalam rumahnya. Beliau berada di sana beberapa lama sehinggalah Ibn Taimiyah sendiri berjumpa dengan khalifah bagi menggugurkan tangkapan tersebut.

Beginilah sikap ulama yang mengutamakan hak masyarakat melebihi hak peribadi demi menjaga kesatuan umat Islam. Moga Allah menjadikan kita semua di kalangan hamba yang bersikap sabar dan bertolak ansur sesama saudara seIslam. Insya Allah.

Selasa, 11 Ogos 2009

METOD IMAM MALIK DALAM MENGHADAPI KERENAH POLITIK


Oleh: Mohd Fikri Bin Che Hussain

Imam Malik berada pada zaman kegawatan politik yang meruncing akibat perbalahan bersenjata di antara pihak Abbasiyah dan Umawiyah. Salah seorang tokoh ulama atau tuan guru yang terkenal di kalangan Ahl al-Bait atau keturunan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pada zaman tersebut adalah Muhammad al-Nafs al-Zakiyyah yang berjaya merapatkan pakatan antara pihak Bani Hasyim dan golongan Abbasiyah pada mulanya. Pakatan ini telah berbai’ah dengan melantik Muhammad al-Nafs al-Zakiyyah sebagai bakal khalifah selepas kejatuhan Dinasti Umawiyah.

Malangnya, pihak Abbasiyah lebih cekap dalam urusan menjatuhkan pemerintah Umawiyah dan mereka telah melantik Abu al-Abbas al-Saffah sebagai khalifah. Manakala al-Saffah pula dengan segera melantik adiknya iaitu Abu Jaafar al-Mansur sebagai pemangkunya dalam usaha meminggirkan Muhammad al-Nafs al-Zakiyyah. Akibatnya, mereka merasa gerun dengan gerakan Muhammad al-Nafs al-Zakiyyah dengan adiknya Ibrahim yang semakin besar dalam usaha menuntut jawatan tersebut.

Antara usaha awal yang dilaksanakan oleh al-Saffah sebagai pemerintah adalah dengan menangkap Muhammad al-Nafs al-Zakiyyah dan penyokongnya. Namun usaha ini tidak berjaya dengan kematian al-Saffah tidak berapa lama kemudian. Abu Jaafar al-Mansur yang lebih pintar telah menangkap bapa Muhammad al-Nafs al-Zakiyyah dan adiknya iaitu Abdullah bagi memaksa mereka keluar menyerah diri.

Taktik yang dilakukan oleh Abu Jaafar ini akhirnya berjaya, apabila Abdullah didera dengan teruk di dalam tahanannya. Akhirnya pertempuran berlaku di antara al-Nafs al-Zakiyyah dan tentera al-Mansur pada tahun 145 Hijrah. Hasilnya pasukan al-Nafs al-Zakiyyah ditumpaskan dan Muhammad sendiri terbunuh.

Bersandarkan kisah ini yang dinyatakan secara panjang lebar dalam kitab Sejarah Imam al-Thabari, apabila Imam Malik mendengar kenyataan penduduk Madinah, “Di leher kami ‘belenggu perjanjian’ dengan Abu Jaafar al-Mansur.” Beliau menyatakan, “Kamu semua mengikat janji (bai’ah) dalam keadaan terpaksa. Tiada sumpah janji pada orang yang dipaksa, maka bersegeralah berbai’ah dengan Muhammad al-Nafs al-Zakiyyah.” Namun tiada yang berpaling di kalangan mereka itu kecuali hanya segelintir sahaja.

Al-Asfahani pula menyatakan, bahawa segelintir dari anak muridnya mengadu kepadanya mengenai penderitaan mereka kerana ditangkap dan ditahan dalam penjara. Beliau menjelaskan kepada mereka, “Bersabarlah sehingga ditafsirkan ayat Allah ini: “Dan Kami ingin mengurniakan kepada orang-orang yang tertindas di bumi itu dan menjadikan mereka sebagai pemimpin dan juga menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi bumi.” (Surah al-Qasas, ayat 5)
Pernah juga Khalifah Harun al-Rasyid memintanya berfatwa mengenai golongan yang memberontak terhadapnya. Imam Malik menjawab, “Seandainya mereka memberontak kerana kezaliman pemerintah, maka tidak halal anda memerangi mereka Tetapi jika mereka sengaja tidak mentaati pemerintah (tanpa alasan kukuh), maka anda halal memerangi mereka.”

Kenyataan kontra ini, kadangkala tidak difahami segelintir manusia kerana mereka beranggapan Imam Malik menyeru kepada ‘pemberontakan’ terhadap pemerintah Abbasiyah dan menghulurkan tangan agar berbai’ah kepada Muhammad al-Nafs al-Zakiyyah. Sedangkan Imam Malik sendiri tidak pernah menyertai mana-mana pemberontakan bersenjata, demonstrasi dan juga tunjuk perasaan terhadap pemimpin Abbasiyah.

Jawapannya secara mudah bagi ketiga-tiga kisah di atas, Imam Malik menjelaskan persoalan pertama mengenai ‘golongan yang dipaksa’ dalam apa jua situasi. Bahkan adalah dibolehkan untuk mereka mengikat janji atau berbai’ah kepada Muhammad al-Nafs al-Zakiyyah yang ‘tidak memaksa’ rakyat berbai’ah kepadanya berbanding pemimpin Abbasiyah. Sedangkan paksaan oleh pihak kedua ke atas diri orang lain itu dianggap tidak sah dan batil dalam apa jua situasi. Namun, tidak ada langsung kenyataan Imam Malik yang mengharuskan rakyat bangkit memberontak terhadap pemerintah Abbasiyah, selepas terbatalnya bai’ah tersebut.

Ini menunjukkan Imam Malik mempunyai pandangan kritis dalam bidang politik. Sekiranya tidak disekat gerakan penentangan kepada pemerintah Abbasiyah ini, mafsadah atau keburukan lebih besar pasti berlaku. Lantas beliau mengambil sikap untuk tidak menentang, sama ada daripada pandangan fatwanya atau menyeru agar bangkitnya pemberontakan terhadap kerajaan era tersebut.

Bahkan beliau turut berpendapat perlunya rakyat mematuhi arahan pemimpin ‘zalim’ dalam keadaan darurat demi kesatuan umat. Kesatuan ini lebih penting dipelihara daripada menggadaikan ‘kehormatan’ agama dan bangsa ke tangan pihak musuh yang sering menantikan kejatuhan umat Islam. Mereka pasti lebih ‘ganas’ bertindak ke atas umat Islam yang lemah dan berpecah belah.

Tidak hairanlah pendapat tokoh Islam ini dinukilkan di dalam kitab al-Mudawwanah al-Kubra yang mana beliau berfatwa, “Aku tidak merasakan ia menjadi satu masalah jika rakyat bangkit memerangi Rom (bangsa asing) bersama-sama dengan pemerintah yang zalim ini.” Anak muridnya iaitu Ibn al-Qasim pula menjelaskan, “Malik berkata: “Tidak mengapa rakyat bersekongkol dengan para pemimpin ini… seandainya mereka membiarkan pemimpin ini bersendirian sudah pasti berlaku kemudaratan yang lebih besar terhadap umat Islam.”

Apa yang diwartakan oleh Imam Malik ini adalah larangan menentang kepada pemimpin sekalipun mereka ini zalim. Cukup dengan cara menasihati mereka dan berusaha menegakkan kebaikan bersama-sama dengan mereka dalam apa jua cara yang termampu. Bahkan Imam Malik tidak melampaui batas dalam usaha menggerakkan aktiviti politik, idelogi dan reformasi negara.

Malah Imam Malik tidak pernah menggesa agar dilaksanakan pemberontakan bersenjata. Ini kerana negara Islam di bawah naungan Abbasiyah ketika itu masih bersandarkan Islam pada dasarnya seperti melarang judi, arak dan zina. Meskipun pemerintah tidak melaksanakan syariah 100% dan tidak mengikuti sistem syura Islami dengan menukarkan pemerintahan mereka berteraskan monarki yang tidak pernah wujud sebelum itu.

Beliau berpendapat, sekiranya dibiarkan satu golongan pemberontak yang bersenjata wujud dan berjaya menggulingkan kerajaan. Golongan ini lebih berbahaya daripada kerajaan yang sedia ada dan lebih kejam terhadap rakyat jelata. Buktinya jelas, apabila diperhatikan dalam era moden ini, seandainya dibiarkan golongan bawahan memberontak seperti di negara Kemboja, Myanmar, Vietnam, Laos dan beberapa buah negara Asia lain di sekitar negara kita dalam dekad lalu. Pasti Malaysia tidak akan makmur sebagaimana yang dapat dinikmati pada hari ini.

Natijah daripada pemberontakan yang berlaku, penindasan terhadap masyarakat bawahan akan berleluasa. Mereka inilah yang bakal menjadi mangsa daripada perkembangan situasi buruk yang tercetus. Tidak hairanlah dalam hukum Islam sendiri, bagi golongan bughah atau pemberontak bersenjata, mereka akan dikenakan hukum hudud setimpal dengan keganasan yang mereka lakukan. Pengeboman di tempat awam dalam negara Islam adalah satu anasir jenayah bughah yang wajar dikenakan hukuman hudud kepada si pelakunya.

Justeru itu, metod Imam Malik dalam menghadapi kerenah pemerintah di zamannya adalah dengan ‘mengasingkan diri’ dari segala bentuk aktiviti politik tanpa meminggirkannya. Beliau lebih bersandar kepada metod membetulkan minda masyarakat dari aspek perkongsian politik setempat dengan menerima kedudukan jawatan atau pangkat tertinggi di dalam negara.

Meskipun pada pendapat ‘segelintir manusia’ kini yang melabelkan ulama sedemikian sebagai ‘ulama su`’ atau ulama kerajaan. Namun, apa yang dilakukan oleh Imam Malik adalah sebahagian usaha dakwahnya yang menyeluruh di antara pemerintah dan rakyat.

Sekiranya metod kontra yang digunakan oleh Imam Malik sebagaimana pandangan sebahagian besar aktivis politik Melayu yang berfikiran bahawa “kata-kata yang benar patut diungkapkan di hadapan pemimpin zalim.” Maka sudah pasti banyak usaha akan berlaku sebaliknya, pihak rakyat akan disekat secara umumnya dan para ulama terus menerus di’gam’ sama ada dari aspek dakwah secara lisan mahu pun tulisan. Segala kenyataan mereka akan dihalang dan penjelasan mereka dikira sebagai ‘musuh yang perlu ditentang’. Kerugian dan kehilangan akan mencengkam di benak umat, lantas kejahilan melata dan berkembang ke serata tempat.

Biarpun Imam Malik pernah dipenjara dan didera, beliau tidak pernah berdendam terhadap orang yang bercanggah pandangan dengannya. Hanya golongan itu sahaja yang merasa tertekan tanpa sebarang manfaat daripada tindakan menahan, mengurung, sekalipun dengan membunuhnya. Kerana suara mereka terus didengari dan diikuti hingga kini dengan kemaslahatan dan kebaikan buat seluruh umat.

Tidak pernah juga dicatatkan dalam mana-mana kitab mengenai ungkapan Imam Malik yang menyampaikan khutbah dengan mencerca para pemimpin atau mendoakan keburukan buat mereka. Sedangkan para khatib dan imam perlu mendoakan para pemimpin dan pemerintah umat Islam biar bagaimana sikap dan perangai mereka.

Ini kerana perbuatan mendoakan para pemimpin kaum muslimin merupakan metod Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah dan para imam mereka semisal Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Imam al-Syafii, manakala usaha meninggalkan doa kepada mereka adalah perbuatan golongan bidaah.

Berkata Imam Ahmad: “Sekiranya kami diberikan doa yang benar-benar mustajab, nescaya kami akan mendoakan para pemimpin kami.” Ini kerana, seandainya mereka baik, maka baiklah kehidupan umat Islam. Jika berleluasa peninggalan doa yang disunatkan di dalam khutbah Jumaat ini di kalangan umat Islam, maka ia akan menjadikan orang ramai bertambah keliru. Bahkan wujud di kalangan sesetengah mereka yang bersangka buruk dengan menuduh para imam serta khatib yang mendoakan para pemimpin sebagai ‘pengampu’ kepada pihak pemerintah.

Hal ini begitu jauh daripada metod politik yang digunakan oleh Imam Malik yang begitu mementingkan kemaslahatan umat dalam menjiwai politik semasa di zamannya. Ini juga merupakan bukti jelas kepada pelbagai pihak di ‘luar sana ’ bahawa kepentingan utama merupakan usaha dalam memelihara kemaslahatan umat daripada terjerumus ke dalam jurang kemusnahan dan perpecahan.

Memelihara maslahat dan kebaikan ini merupakan prinsip tetap yang bakal dinilai oleh syariat Islam. Justeru, usaha yang bersungguh-sungguh dalam memantapkan prinsip ini adalah lebih penting daripada prinsip ideologi politik yang kian bercelaru dewasa ini. Metod Imam Malik ini boleh dijadikan sandaran bagi aliran ideologi politik moden dan parti politik Islam mutakhir ini dalam usaha mencapai kesepakatan dan perpaduan di kalangan umat Islam di Malaysia.