Oleh: Mohd Fikri Che Hussain
Baru-baru ini, berlaku lagi satu demonstrasi membantah perlaksanaan undang-undang I.S.A di Malaysia . Tindakan huru hara ini bukanlah satu tindakan yang wajar dilakukan oleh umat Islam. Perbuatan ini tidak akan membawa sebarang kebaikan, melainkan huru hara, kerugian dan kemusnahan kepada pelbagai pihak.
Perbuatan demonstrasi atau tunjuk perasaan adalah satu perbuatan yang tidak layak dilakukan oleh mana-mana muslim yang bermazhab Ahl al-Sunnah wa al Jama’ah iaitu golongan yang berpijak nyata dengan jalan sunnah. Bukan golongan yang menyatakan, “kami pun Ahl al-Sunnah”, tetapi mereka ini mengenepikan saranan dan tuntunan sunnah Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka berada di jurang yang lain dan kita pula berada di dalam jurang yang lain.
Tindakan demonstrasi ini yang melabelkan untuk memartabatkan Islam pada awalnya. Namun, pada akhirnya mereka meninggalkan kesejahteraan Islam dengan melakukan perbuatan yang menjerumuskan nama Islam ke mercu kenistaan. Islam akhirnya dipandang buruk akibat perbuatan tidak bertanggungjawab ini yang disangka ‘jihad’.
Apatah lagi tindakan ini pada hakikatnya dipelopori oleh individu-individu yang berkepentingan serta mempunyai tujuan dan matlamat tertentu. Timbulnya semangat dan bahang untuk berdemontrasi kerana ada penghasut yang menyemarakkan kekeruhan ini.
Walaupun demonstrasi kadang kala dianggap sebagai satu cetusan ungkapan nurani rakyat yang terjadi di seluruh pelusuk negara Islam, namun ia tidak dapat diterima oleh jiwa yang berakal dan beriman. Kerana pada kebiasaanya demonstrasi didalangi oleh pihak-pihak tertentu sebagai satu cara untuk mencapai rancangan atau konspirasi mereka.
Perbuatan tunjuk perasaan ini adalah perbuatan golongan yang bukan Islam yang dipelopori oleh Syiah sejak dahulu hingga kini dan bahana ini mencengkam situasi masyarakat kita, apabila kejayaan Revolusi Iran yang dipimpin oleh Khomeini suatu ketika dahulu. Demonstrasi hanya dipertahan dan didukung bermati-matian hatta dianggap sebagai satu jihad oleh mereka yang jahil terhadap syariat dan agama Allah.
Dalam sirah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sendiri tidak ada satu petunjuk yang membuktikan hal ini pernah dilakukan oleh Baginda dalam menentang institusi pentadbiran Makkah ketika itu. Walaupun ketika itu, kekuatan sokongan yang ditonjolkan oleh golongan marhaen yang mulai ramai memeluk Islam di sekitarnya.
Malah ditambah lagi dengan beberapa orang sahabat yang mempunyai kedudukan ‘tinggi’ telah memeluk Islam seperti Abu Bakar, ‘Umar al-Khattab, Hamzah Abdul Muttalib dan ramai lagi. Namun perkara ini tidak pernah dilakukan oleh Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam kerana ajaran Islam menekankan pada hikmah kebijaksanaan.
Petunjuk Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam ini terus diteladani oleh para ulama kurun terawal yang telah mengharamkan perbuatan demonstrasi yang tidak berfaedah ini. Malah perbuatan ini hanya mengganggu ketenteraman awam bahkan mencemarkan nama dan dakwah Islam yang sewajarnya dijalankan secara lebih berhikmah. Oleh itu, demonstrasi merupakan suatu bidaah sesat yang wajib dijauhi oleh setiap orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya.
Wajarkah Demonstrasi Kerana Menentang Pelaksanaan Hukum Pemerintah?Allah yang Maha Adil akan menganugerahkan kepada golongan beriman seorang pemimpin yang bijaksana. Sebaliknya Dia akan mengurniakan seorang pemimpin zalim yang menguruskan kehidupan mereka bagi rakyat yang sering berbuat maksiat dan derhaka kepadaNya. Justeru, jika terdapat pada suatu masyarakat seorang pemimpin yang zalim dan korup, sesungguhnya kezaliman tersebut dimulakan oleh rakyatnya.
Meskipun demikian, apabila rakyat itu pula dipimpin oleh seorang pemerintah yang sering melakukan kemaksiatan dan mengengkari syariat Allah selagi tidak mengakibatkan ia kufur dan terkeluar dari Islam. Wajib bagi rakyat untuk menasihati mereka dengan cara yang sesuai dengan syariat. Memilih atau mengundi mereka dengan cara yang adil dalam usaha memartabatkan Islam dan mampu melaksanakannya.
Bantulah para pemimpin yang ada sekarang ini dengan nasihat yang baik sebagaimana perintah Allah kepada Nabi Allah Musa dalam menasihati Firaun. Kalau 'buruk perangai' mereka pun, tidak sekeji Firaun yang mengaku menjadi tuhan dan jika baik akhlak kita pula, tidaklah semulia akhlak Nabi Allah Musa. Muhasabahlah diri kita...
Sememangnya tidak wajar menasihati seseorang itu, apatah lagi seorang pemimpin dengan ucapan yang kasar di khalayak ramai. Bayangkan anda sendiri yang dimaki hamun di hadapan orang ramai, sudah tentu anda akan marah dan bersikap emosional melampaui batas. Tidak ada manusia yang boleh ‘menahan telinga’ apabila difitnah dengan pelbagai tuduhan di khalayak ramai, maka adalah dilarang sama sekali menggunakan cara ‘kasar’ tersebut dalam usaha membimbing atau menasihati orang lain.
Namun perlu diingat, bahawa orang yang menyeru pengamalan ini agar dilaksanakan dengan memberikan nasihat kepada pemerintah dengan cara sembunyi-sembunyi tidak lain berpandukan pada sebuah hadis Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Hadis ini telah diriwayatkan oleh al-Khaitsami dalam kitab Majma’ karya beliau yang berbunyi:
“Barangsiapa yang ingin menasihati pemerintah dengan suatu perkara, maka janganlah dipaparkan di khalayak ramai, tetapi hendaklah ia memegang tangan pemerintah dan bersemuka dengannya empat mata (secara berhadapan hanya dua orang). Jika pemerintah itu menerima nasihat tersebut, maka itu (yang diinginkannya) dan kalau tidak dia telah menyampaikan nasihat kepadanya. Dosa bagi dia (pemerintah) dan pahala baginya (orang yang menasihati).”Ringkasan dari hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam ini, para ulama salaf menyarankan agar bertindak sesuai dengan kandungan hadis tersebut. Di antara mereka adalah Imam al-Syaukani rahimahullah yang berkomentar:
“Bagi orang-orang yang ingin menasihati pemimpin dalam beberapa masalah dan kesilapan pemerintah tersebut. Seharusnya dia tidak mengeluarkan kata-kata kesat di hadapan khalayak ramai. Sebagaimana panduan dalam hadis di atas, perlunya seseorang itu mengambil tangan pemimpinnya dan berbicara secara empat mata dengannya, kemudian menasihatinya tanpa menyelewengkan perintah Allah”.
Hadis-hadis dalam masalah ini adalah mutawatir, tetapi wajib ke atas rakyat mentaati pemimpin dalam urusan ketaatan kepada Allah dan tidak mentaatinya dalam urusan maksiat kepada Allah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi:
“Aku (Abu Bilal) duduk di samping Abu Bakrah (sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam) yang juga berada di bawah mimbar Ibnu Amir. Sementara itu Ibnu Amir sedang berkhutbah dengan memakai pakaian nipis. Maka Abu Bilal berkata: Lihatlah pemimpin kita, dia memakai pakaian orang fasik. Lantas Abu Bakrah berkata: Diam kamu! Aku pernah mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Barangsiapa yang menghina pemerintah yang dilantik Allah di muka bumi, maka Allah akan menghinakannya.”Diriwayatkan dari al-Bukhari daripada Usamah bin Zaid radhiallahu ‘anhu yang pernah ditanya:
“Mengapa engkau tidak menghadap Utsman untuk menasihatinya?” Maka jawab beliau: “Apakah kamu berpendapat semua nasihatku kepadanya itu harus diperdengarkan kepada kamu? Demi Allah! Sesungguhnya aku telah menasihatinya hanya antara aku dan dia. Dan aku tidak ingin menjadi orang pertama yang membuka pintu (fitnah) ini.”Demikian metod atau manhaj Salaf dalam menasihati kepada para pemerintah atau mereka yang mempunyai jawatan dan kuasa. Wajib ke atas umat Islam apabila hendak menasihati pemerintah, hendaklah dengan metod salaf yang jelas menghasilkan akibat yang lebih baik dan tidak menimbulkan perpecahan antara rakyat dan pemimpin dan ini di antara akibat mengadakan demonstrasi yang akhirnya akan membawa kepada kerugian pada kedua belah pihak.
Selusuri Metod Para Imam Salaf al-Ummah Dalam Menghadapi PemerintahApabila dirujuk pada sirah Salaf al-Soleh, mereka tidak pernah mengadakan suatu demonstrasi dalam menekan pihak pemerintah pada zaman mereka. Kita lihat beberapa fakta sejarah yang ada dalam sejarah keemasan umat Islam untuk diteladani:
Kes 1 - Imam Malik Bin Anas
Imam Malik pernah dihukum oleh gabenor Kota Madinah pada tahun 177H/764M kerana telah mengeluarkan fatwa bahawa hukum talak yang cuba dilaksanakan oleh kerajaan Abbasiyah sebagai tidak sah. Kerajaan Abbasiyah ketika itu telah membuat fatwa sendiri bahawa semua penduduk perlu taat kepada pemimpin dan barangsiapa yang enggan akan terjatuh talak ke atas isterinya.
Memandangkan rakyat yang lebih taatkan ulama daripada pemimpin, pemerintah Abbasiyah telah memaksa Imam Malik untuk mengesahkan fatwa mereka. Imam Malik enggan, malah mengeluarkan fatwa menyatakan bahawa talak sedemikian tidak sah dan tidak akan jatuh talaknya. Mendengar ketegasan fatwa yang dilaksanakan oleh Imam Malik itu, pihak pemerintah telah mengeluarkan waran tangkap ke atasnya.
Imam Malik ditangkap dan dipukul oleh gabenor Madinah sehingga tulang bahunya patah dan terkeluar daripada kedudukan asalnya. Kecederaan teruk ini menyebabkan beliau tidak dapat bersolat dengan memegang kedua tangannya di dada (bersedekap). Lalu tangannya itu dibiarkan sahaja terkulai sewaktu beliau bersolat. Imam Malik kemudiannya dibebaskan dari penjara dan beliau terus kembali mengajar di Madinah sehinggalah beliau meninggal dunia pada 11 Rabiulawal tahun 179H/796M, ketika berusia 86 tahun.
Ketegasan Imam Malik dalam mempertahankan fatwanya, tidak mengajak beliau menjadi ketua pemberontak atau penganjur tunjuk perasaan bagi menjatuhkan kerajaan di zamannya. Beliau mempunyai ribuan murid yang mampu dikerahkan sebagai para penunjuk perasaan jika hal itu benar-benar perlu dilaksanakan. Namun akibat yang lebih berat akan berlaku dengan kerugian yang besar bakal ditanggung oleh kedua belah pihak.
Kes 2 - Imam Ahmad bin Hanbal
Imam Ahmad bin Hanbal pernah hidup di dalam penjara kerana kekerasannya menentang Mazhab Muktazilah yang diterima pakai oleh pemerintah Abbasiyah ketika itu. Mazhab Muktazilah ini adalah mazhab yang mendorong penggunaan akal melebihi nas dan dalil dan ia amat bertentangan dengan mazhab Ahl al-Sunnah. Para pemerintah Abbasiyah ini memaksa Imam Ahmad mengesahkan mazhab baru tersebut dengan fatwa mereka yang pelik-pelik. Lantas Imam Ahmad enggan mengiktiraf fatwa tesebut yang bercanggah dengan akidah Ahl al-Sunnah.
Tindakannya ini mengundang kemarahan pemerintah Abbasiyah (Muktazilah) yang menyebabkan beliau dihukum sebat di dalam bilik kurungannya sehingga tidak sedarkan diri. Beberapa tahun beliau dikurung dan dikenakan tahanan rumah yang menyebabkan anak muridnya yang dahagakan ilmu merasa kerugian untuk mendapatkan ilmunya.
Namun, kebenaran adalah segala-galanya. Namanya terus dijulang hingga kini dan nama mereka yang melakukan kekejaman ke atasnya tidak langsung diingati oleh ummah. Hanya mereka yang jahat diingati kerana kezalimannya yang perlu dihindari dan dijauhi sebagaimana Firaun, Abu Jahal, Abu Lahab dan mereka yang seangkatan dengannya.
Penindasan yang dialami oleh tokoh ummah ini, tidak membuatkan beliau ‘tergesa-gesa’ menganjurkan tunjuk perasaan terhadap pemerintah Islam bermazhab Muktazilah. Walaupun mereka ternyata berlainan dan berbeza mazhab serta ideologi agama, Imam Ahmad tidak pernah mengisytiharkan agar para pemerintah ini diperangi dan digulingkan oleh umat Islam.
Sekalipun tokoh-tokoh ini mempunyai ‘kuasa rakyat’ yang mampu berbuat demikian dalam menjatuhkan kezaliman pemerintah. Begitu juga dengan tahanan dan kurungan yang dikenakan terhadap mereka yang lebih teruk daripada penderaan I.S.A. Beliau tidak membantah secara terbuka atau bertulis mengenai fatwa pengharaman tersebut sekiranya diteliti dengan adil dan saksama oleh para pengkaji buku hasilan karya beliau dan anak murid selepasnya.
Kes 3 - Imam Ibn Taimiyyah
Bahkan jika disoroti kisah Imam Ibn Taimiyyah penerus mazhab Hanbali yang menjadi ‘pembaharu’ kepada akidah umat dizamannya. Beliau turut sama dipenjarakan oleh pemerintah akibat tohmahan oleh pihak ulama yang berdengki dan tidak berpuas hati dengan ketegasan fatwanya. Bukan sekali beliau ditangkap dan dipenjarakan dengan akta seakan I.S.A tanpa bicara dan pengadilan. Malahan hingga 4 kali beliau dikurung dan dipenjarakan dengan hayatnya turut berakhir di dalam penjara keseorangan.
Namun, pada hari kematiannya seluruh kedai di kota Damsyik turut tutup dan jenazahnya diiringi hampir 100 ribu orang dari seluruh pelusuk bumi Syam yang mendengar berita kematiannya. Tiada seorang pun pemerintah dizamannya yang pernah dihadiri begitu ramai pelawat sebagaimana orang yang menghadiri jenazah Ibn Taimiyyah. Bukti kebenaran ini dapat dilihat pada penghujung hayatnya sepertimana yang pernah ditulis di dalam kitab sejarah tokoh Islam oleh Imam al-Zahabi.
Ini kerana suaranya bertakhta di hati rakyat dan hingga kini tiada siapa yang mampu menandingi karyanya sebagai ‘penyuluh’ umat. Tidak hairanlah jika para pemerintah dizaman itu amat gerun kepada mereka ini, seandainya mereka melaungkan slogan anti I.S.A, sudah pasti pihak pemerintah di zaman itu tiada ‘pilihan’ melainkan melepaskan jawatan mereka.
Metod Sunnah Terhadap PemerintahNamun itu semua bukan metod ulama Ahl al-Sunnah zaman silam kerana ajaran Islam melarang umat Islam memberontak menumbangkan kerajaan yang diperintah oleh pemimpin Islam selagi mana ianya bersolat. Sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dari hadis Muslim ada menyebutkan:
“Dari Wail radhiallahu ‘anhu berkata: Kami bertanya: Wahai Rasulullah! Apa pendapatmu jika kami mempunyai pemimpin yang menghalang hak kami dan dia juga memeras kami? Baginda menjawab: (Sewajarnya kamu) sentiasa mendengar dan mentaati mereka, ini kerana mereka akan menerima ganjaran amalan mereka dan kamu akan mendapat ganjaran apa yang kamu kerjakan.”
Bahkan sebuah hadis sahih yang diriwayatakan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim ada menyatakan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam melarang seseorag muslim menjatuhkan pemerintahnya sama ada dengan demonstrasi atau pemberontakan bersenjata untuk mengguling kuasa.
Bacalah dengan hati yang terbuka sabda Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam:
“Akan datang selepas peninggalanku nanti, para pemimpin yang tidak mengikut pentunjukku, tidak beramal dengan sunnahku dan panduan sunnahku. Seterusnya akan muncul pula di kalangan kamu orang-orang yang hatinya adalah hati syaitan (manusia berhati syaitan). Aku (Huzaifah) bertanya: Apakah yang harus aku lakukan jika aku menemuinya? Baginda bersabda: Hendaklah kamu mendengar dan taat kepada pemimpin walaupun dia memukul belakangmu dan merampas harta bendamu (dengan tiada alasan yang benar).”