Allah Taala said:

Thus, GOD does not change the condition of any people unless they themselves make the decision to change. [13:11]

Pesan Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam

Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi dan al-Tirmizi berkata ia hadis sahih.
Daripada Abu Najih al-'lrbadh ibn Sariyah r.a. beliau berkata: Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam telah menasihati kami suatu nasihat yang menggetarkan hati dan mencucurkan airmata. Kami bertanya: Ya Rasulullah! la seolah-olah nasihat orang yang mahu mengucapkan selamat tinggal, maka berikanlah kami wasiat. Baginda bersabda: Aku mewasiatkan kamu supaya bertakwa kepada Allah 'Azza Wajala, supaya mendengar dan taat, sekalipun kamu diperintah oleh seorang hamba. Sesungguhnya, barangsiapa di kalangan kamu yang masih hidup nanti, nescaya dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa' Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan kuat (iaitu berpegang teguhlah kamu dengan sunnah-sunnah tersebut) dan berwaspadalah kamu dari melakukan perkara-perkara yang diada-adakan, kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat.

Khamis, 14 Januari 2010

Sampai di Makkah (Haji 2009)


Gambar ini aku ambil dalam jam 4 pagi sebelum sampai di kota Makkah. Kawasan ini sudah termasuk dalam kawasan Makkah dan termasuk salah satu tempat persinggahan utama para jemaah haji yang datang dari Madinah atau ingin ke Madinah. Harga makanan boleh tahan! Biasa laa... Inilah masanya untuk mengayakan diri.
Aku mengambil gambar ini selepas keluar dari tandas 'Arab Badwi'. Jika negara Arab ni, antara cerita paling banyak digunakan oleh para pelancong Barat untuk 'menikam' Islam adalah tentang kebersihan tandas.
Rata-rata umat Islam sendiri mengetahui mengenai hadis "al-Nazhafat min al-Iman" bermaksud kebersihan itu sebahagian dari agama. Jadi, konklusi mudahnya, orang yang tak bersih di kira tidak berpegang dengan satu 'ranting' agamanya dengan baik. Jadi, janganlah jadi macam tandas Arab yang bukan sahaja tidak sempurna dan kotor, malah strukturnya juga tidak selesa.
Akhirnya, itulah salah satu bentuk 'ujian' yang Allah berikan kepada orang yang ingin menunaikan haji. Apatah lagi sewaktu mereka berada di Mina. Keadaan sungguh menyesakkan. Oppsss.. nanti kita cerita bab tu.. okey?
Kami sampai di Makkah, belum lagi masuk waktu Subuh. Akibat terlalu keletihan, aku agak lewat menunaikan solat Subuh pada pagi itu. Tidak berapa lama di Masjidil Haram, aku menyaksikan fajar menyinsing di dalamnya. Pemandangan yang aku rindukan itu, kini terubat rasanya.
Kaabah!
Tersergam di hadapanku!
Hitam Megah!
Hebat!
Mengulit resah...
Dikunjungi berabad lampau!
Pelbagai manusia dilihatnya!
Kiranya mampu bersuara..
Pasti dicerita dan dikisahkannya kepada kita...
Perihal manusia.
Sikap!
Perangai!
Tingkah laku!
Peribadi mereka di hadapannya!
Sungguh...
Ada yang teguh...
Ada yang rusuh...
Ada yang lusuh...
Ada juga yang berkeluh!
Mereka semua mencari DAMAI di sana...
Mengharap rahmat yang Maha Esa.

Dalam pukul 8.00 pagi, semua jemaah bersiap turun dari hotel untuk membuat umrah. Aku berseorangan kerana 'orang rumah' baru sahaja mendapat kebenaran 'bercuti'. Hari cutinya bermula 28hb Oktober 2009, bila dihitung semula. Hari wukuf akan belangsung pada 26hb November.
Jika ditakdirkan Allah, dipercepatkan sehari dua dalam waktu wukuf itu, kacau juga jadinya. Kalau nak makan pil pula, ia mampu merosakkan kitaran 'uzur' tersebut yang selalunya tepat pada hari-harinya. Jadi, kepada Allah sahaja kami meminta pertolongan...

Kelihatan jemaah sedang bergerak menuju ke Masjidil Haram. Hampir 350 orang dalam satu KT kalau tak silap aku. Ramai juga laa. Alhamdulillah, aku dapat tidur di Hotel Ghazzah yang terletak dalam kejauhan 450 meter dari Masjidil Haram. Kira rezeki juga laa... untuk aku dan isteri. Pada asalnya kami hendak ditempatkan di Hotel Janadriyah yang berada sejauh 750 meter dari masjid. Entah bagaimana rezeki menyebelahi kami, dapat juga kami ditempatkan di situ.
Walaupun begitu, semasa aku tinggal di situ. Kedengaran juga cerita seorang pakcik yang tidak 'berminat' turun ke Masjidil Haram. Dia lebih suka turun berjemaah di Masjid Kucing yang terletak di hadapan hotel penginapan kami. Mungkin ada pihak yang mendakwa sebagaimana yang aku dengari mereka menyatakan, "Solat di masjid Makkah ini pasti mendapat 100 ribu pahala. Kalau tak turun di Masjidil Haram pun tetap juga mendapat ganjaran sebesar itu."
Jika mengikut firasatku berlandaskan hadis yang sahih. Nabi SAW jelas mengkhususkan dalam hadisnya. Sabda Rasulullah SAW : "Solat di masjidil Haram bersamaan 100,000 solat, bersolat di masjidku bersamaan dengan 1000 solat, dan bersolat di masjid al-Aqsa bersamaan dengan 500 solat". (al-Thabrani) dan dari Jabir r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Satu sembahyang di masjidku lebih afdhal daripada seribu sembahyang di masjid-masjid yang lain, kecuali masjidil Haram (di Makkah): dan satu sembahyang di Masjidil Haram pula lebih afdhal daripada seratus ribu sembahyang di masjid-masjid yang lain.” (Imam Ahmad)
Dua hadis yang aku kemukakan di atas cukup membukikan bahawa solat di masjid-masjid lain tidak akan menyamai dengan Masjidil Haram dari aspek pahalanya. Ada pula yang bertanyakan soalan, "Adakah kita akan mendapat ganjaran yang sama apabila kita solat di bahagian Safa dan Marwah kerana bahagian tersebut ulama berpendapat tidak dikira sebahagian Masjidil Haram?"
Aku pula berfirasat, solat di bahagian tersebut juga masih dikira masjid kerana pada awalnya ia adalah bukan kawasan masjid. Begitu juga di bahagian lain masjid itu merupakan pasar kurma dan haiwan pada masa dahulu. Tetapi setelah ia diperbesarkan sebagai sebuah kompleks masjid yang begitu besar. Ia juga termasuk kawasan masjid.
Hal ini sama dengan makam Nabi SAW di masjid Nabawi yang pada mulanya berada di bahagian luar (rumah atau bilik Sayyidah 'Aisyah r.a.). Tetapi setelah dibesarkan, makam tersebut kini berada di bahagian tengah kompleks masjid. Jadi adakah ia masih dikira bahagian luar lagi?
Logik 'kampungnya', kalau serambi rumah jiran kita yang tinggal berhampiran masjid dijadikan tempat bersolat dengan disambung ke bangunan masjid. Adakah ia masih lagi dikira serambi rumahnya? Sudah tentu ia telah menjadi sebahagian masjid kan...?
Kalau orang bertanya kepada saya, apakah boleh bagi wanita haid berada di kompleks sa'ie Safa dan Marwah. Saya akan jawab, "Boleh berada di situ, kerana ia bukanlah sebahagian masjid dan tidak boleh dia berada di situ jika dia anggap kawasan itu adalah kawasan masjid." Susah tak nak faham?
Kalau susah lagi, saya mudahkan... Seorang perempuan yang uzur boleh berada di dalam masjid jika dia ingin mendengar pengajian agama dengan syarat dia yakin bahawa pakaian atau alat yang dia gunakan ketika itu dapat menghalang kotoran dari mengotori masjid. Jika dia tidak yakin, maka tidak perlulah dia berada di situ. Hal ini bukanlah suatu hal yang besar, sebagaimana yang ditanggapi oleh sebahagian orang kita. Kita perlu berkompromi dalam semua hal dengan memberikan penjelasan yang baik dan bijaksana. (Baca hadis bagaimana Nabi SAW menyekat para sahabat dari memukul badwi yang mmbuang air di dalam masjid, agar anda lebih memahami sunnah). Wallahu a'lam.

Menara besar itu akan siap tidak berapa lama lagi. Ia pasti akan menjadi mercu Makkah sebagai sebuah kota antarabangsa yang paling sibuk di dunia. Ia mampu mengalahkan kesibukan New York dan mana-mana ibu kota dunia pada masa kini.



Allahu Akbar! Syahdunya bila berada di hadapan Kaabah yang begitu agung. Usai tawaf aku mencari tempat di belakang makam Ibrahim untuk mendirikan solat sunat tawaf. Agak sukar berada di sana kerana kadangkala ada jemaah lelaki dan wanita yang sengaja mencari ruang hingga menjadi bercampur aduk. Jadi ini antara ujian biasa apabila berada di sana. Maka berwaspadalah bagi jemaah haji yang masih muda.

Alhamdulillah! Sebaik saja lepas bertahallul, aku berpusing-pusing mencari tempat makan kerana dari pagi lagi masih belum bersarapan. Berpusing di sini bukan 'kepala pusing' tetapi bersiar-siar menjamu mata dengan melihat-lihat keindahan Masjidil Haram ini. Kompleks yang semakin membesar ini cukup mengujakan.
Bangunan sa'ie antara Safa dan Marwah (Merve ditulis dalam bahasa Turki) kini sudah siap tingkat ke-4. Apabila dihitung dari bahagian tingkat bawahnya, bangunan itu kini mencapai 9-10 tingkat termasuk tingkat kereta tolak. Ehmmm... tinggi jugak!

Selepas aku siap bersarapan pagi, aku terus sahaja beriktikaf di Masjidil Haram untuk menunggu solat Jumaat. Sempat aku melihat para pekerja sedang menolak mimbar Jumaat keluar dari tempat simpanannya. Tengok mimbar kayu di tengah gambar ini. Susah nak dapat ni, kebetulan aku melihat kesesakan di situ dah macam rusuhan nak bawa keluar mimbar tersebut.


Gambar yang sempat aku ambil dari sebelah atas tangga. Indah sungguh pemandangannya. Selalu aku hanya menonton di TV sahaja. Kini aku melihat Kaabah tersergam di hadapanku. Memandang ke arahnya cukup mengasyikkan. Allahu Akbar!


Semasa aku cari 'port' untuk berlabuh. Aku melihat suatu situasi yang jarang dapat ku lihat. Seorang pemuda yang berdiri berhampiran tiang itu iaitu sebelah lelaki berjubah putih itu, sedang asyik mengoyangkan tubuhnya seolah-olah menari sambil berzikir. Aku kira hampir 1 jam lebih dia berkeadaan begitu, hinggalah muazzin melaungkan azan Jumaat.
Hari itu, Syeikh Abd al-Rahman al-Sudais menyampaikan khutbah Jumaat mengenai perpaduan umat Islam. Sungguh menusuk di jiwa aku mendengarnya secara langsung. Selepas habis solat Jumaat aku terus pulang ke hotel....
Sungguh indah hari itu ku rasakan....
P/S: Ya Allah! Izinkan aku menjengah ke sana lagi... Amin!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan