Allah Taala said:

Thus, GOD does not change the condition of any people unless they themselves make the decision to change. [13:11]

Pesan Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam

Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi dan al-Tirmizi berkata ia hadis sahih.
Daripada Abu Najih al-'lrbadh ibn Sariyah r.a. beliau berkata: Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam telah menasihati kami suatu nasihat yang menggetarkan hati dan mencucurkan airmata. Kami bertanya: Ya Rasulullah! la seolah-olah nasihat orang yang mahu mengucapkan selamat tinggal, maka berikanlah kami wasiat. Baginda bersabda: Aku mewasiatkan kamu supaya bertakwa kepada Allah 'Azza Wajala, supaya mendengar dan taat, sekalipun kamu diperintah oleh seorang hamba. Sesungguhnya, barangsiapa di kalangan kamu yang masih hidup nanti, nescaya dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa' Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan kuat (iaitu berpegang teguhlah kamu dengan sunnah-sunnah tersebut) dan berwaspadalah kamu dari melakukan perkara-perkara yang diada-adakan, kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat.

Selasa, 26 Januari 2010

Pro Kontra Isu Penggunaan Kalimah ALLAH


Oleh: Mohd Fikri Bin Che Hussain

Saban hari masyarakat dipaparkan dengan isu nama Allah yang dituntut penggunaannya oleh pihak Gereja Katolik yang membuatkan jalan penyelesaiannya seolah-olah semakin buntu. Permohonan pihak Gereja Katolik untuk menggunakan kalimah Allah yang merujuk sebagai tuhan mereka telah mendorong reaksi banyak pihak terutamanya penganut agama Islam yang sekian lama mengunggulinya.
Penggunaan kalimah ini menjadi semakin ‘panas’ apabila keputusan pihak Mahkamah Tinggi telah membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Majalah Herald The Catholic Weekly dalam rencana terbitan mereka. Usaha menghalangnya oleh individu dan kelompok masyarakat Islam menjadi semakin ‘parah’ hingga membawa kepada serangan ke atas gereja penganut Kristian di beberapa negeri dan tindakan balas ke atas surau dan masjid milik umat Islam.
Isu ini sebenarnya mempunyai nilai negatif dan positifnya yang mengundang reaksi pelbagai pihak di kalangan umat Islam hatta membawa pertikaian yang cukup ‘tegang’. Kebiasaannya di kalangan masyarakat Melayu Islam, mereka akan berpandangan lebih negatif dan tidak mahu kedudukan dan keselesaan mereka diganggu gugat oleh mana-mana pihak.
Malahan dalam isu ini, kalimah Allah dianggap sebagai satu ‘kalimah kudus’ yang ‘harus’ dimiliki oleh umat Islam berbangsa Melayu sahaja sebagai satu peletakan kesucian agama. Perkongsian kalimah tersebut tidak ‘boleh’ diguna pakai oleh anutan agama, bangsa atau kaum lain dengan anggapan bahawa Kalimah Allah adalah kalimah yang tertinggi yang tidak wajar dikongsi bersama.
Alasan mereka yang berpendirian sedemikian adalah disebabkan pandangan negatif mereka yang dinyatakan sebagai satu fokus pada pensucian Islam itu sendiri. Mereka menjelaskan bahawa kalimah Allah itu berasaskan Tauhid iaitu keesaan yang tidak boleh diguna pakai oleh agama lain. Malahan mereka turut berpendapat bahawa Allah yang dimaksudkan oleh agama lain adalah berbeza dengan Allah yang dimaksudkan oleh Islam.
Mereka juga berpandangan tidak wajar digiringkan bersama Allah dengan tuhan-tuhan yang lain sebagai sekutu padanya. Sebagai contoh, al-Quran pernah mendedahkan dalam surah al-Taubah yang membawa maksud bahawa orang Yahudi menyatakan Uzair itu adalah anak Allah, manakala penganut Kristian pula mengatakan Isa al-Masih itu adalah anak Allah. Dalam penjelasan ringkas ini, didapati Allah yang dimaksudkan oleh Yahudi dan orang-orang Kristian merupakan tuhan lain daripada Allah yang menjadi asas tauhid bagi umat Islam.
Ini kerana ketauhidan dari aspek makna al-Ahadiyah dan al-Samadiyah itu merupakan satu tunggak kepercayaan bagi umat Islam. Ini amat berbeza dengan apa yang didakwa oleh penganut agama lain, sedangkan bagi kaum muslimin mereka berpegang bahawa Allah tidak mempunyai anak, tidak diperanakkan dan tidak ada generasi yang menjadi pengganti pada kekuasaanNya.
Sehubungan dengan itu, pihak yang berpendapat sedemikian mahukan penegasan mengenai perkara berkenaan agar ia dapat mengelakkan kekeliruan dan pertelingkahan yang dikhuatiri menatijahkan pertembungan yang sengit dan mampu menggugat keharmonian kaum dan agama di negara ini.
Alasan kedua bagi pihak yang menolak penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain adalah berfaktorkan sentimen keagamaan yang banyak membangkitkan huru-hara dan ketidakamanan sosial di negara-negara lain sejak dulu hingga kini. Mereka menjuruskan peringatan tentang bahaya ini jika nama Allah terus digunakan oleh agama lain. Akan mengundang reaksi lebih agresif dari pelbagai pihak yang tidak mampu berkompromi dalam penggunaannya. Isu toleransi beragama ini semakin hampir dilupakan hingga kemuncaknya apabila kejadian membakar gereja berlaku selepas itu.
Berkemungkinan ada di kalangan individu atau kumpulan pelampau Islam yang marah dengan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Majalah Herald The Catholic Weekly. Wujud juga kebarangkalian pihak lain yang cuba menangguk di air keruh dengan menjadi dalang bermotifkan politik semata-mata. Mereka cuba sedaya upaya untuk memburukkan lagi keadaan selain menjejaskan imej Melayu Islam di mata dunia. Segala-galanya mungkin, kerana senantiasa wujud anasir luar yang tidak pernah berputus asa untuk mensabotaj negara ini.
Pembakaran rumah ibadat penganut agama lain adalah perkara yang sangat terkutuk dan tidak wajar dihalalkan atas nama menjaga atau memelihara kesucian agama. Apa yang lebih dikhuatirkan, kejadian sebegini dicetuskan oleh mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan atas isu ini.
Seluruh individu masyarakat pastinya tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada kejadian buruk sebegini. Sungguhpun kejadian membakar rumah ibadat boleh dianggap remeh daripada kesan fizikal yang menimpanya, namun ia memberi kesan emosi yang mendalam antara penganut kedua agama. Jurang emosi ini jika tidak ditangani segera boleh menjadi satu lagi akar perpecahan dan pemisahan dalam negara.
Alasan mereka yang menolak penggunaan kalimah Allah ini dari digunakan oleh penganut agama lain adalah disebabkan kebimbangan terhadap generasi muda Islam pada masa akan datang akan berpendapat dan melihat semua agama adalah sama. Penularan ideologi Liberalisme dalam beragama yang kian menjadi-jadi dewasa ini di kalangan generasi baru umat Islam pasti menjadi barah yang lebih parah dengan timbulnya isu ini.
Ini disebabkan penggunaan nama Allah boleh digunakan oleh banyak anutan dan agama lain selain Islam. Malah ia akan menjadi kesinambungan pada isu murtad yang pernah menggegarkan negara pada suatu masa dahulu. Permohonan secara terbuka dari pihak Kristian ini juga dilihat sebagai satu sarana dakyah Kristianisasi mereka secara ‘halus’ di bumi umat Islam. Dalam situasi generasi umat Islam yang lemas dalam budaya Hedonisme ini, membuatkan cara ini mampu menebarkan lagi usaha dakyah mereka.
Selain itu, larangan dan tentangan ini bagi mengelakkan mereka mempersendakan Allah dalam sebaran kepada masyarakat Islam atau mempermain-mainkan nama Allah dalam tulisan, lukisan, filem dan seumpamanya seperti yang sering berlaku dalam masyarakat Barat dekad ini. Sekalipun isu ini lebih bersifat tempatan atau keselamatan setempat, ia bukan membabitkan larangan secara khusus dari nas Islam.
Jadi, golongan umat Islam yang lebih mengambil sikap bertegas dengan keras membantah segala bentuk keizinan dan apa sahaja cara yang menghalalkan penggunaan kalimah Allah ini dari digunakan oleh penganut agama lain.
Manakala dari aspek positifnya pula yang banyak dipelopori oleh mereka dari kelompok generasi muda dalam bidang agama dan parti politik. Mereka ini dilihat cukup liberal pendiriannya berbanding dengan pendirian pihak konservatif yang meletakkan pensucian agama mengatasi kepentingan peribadi dan kepartian.
Mereka yang pro dalam hal ini berpendirian bahawa, keinginan masyarakat bukan Islam menggunakan kalimah ‘Allah’ sebagai tuhan adalah suatu perkembangan yang positif dan perlu diterima secara terbuka. Tidak perlu mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan untuk menjadikan isu ini sebagai agenda peribadi atau politik untuk menampakkan bahawa mereka adalah jaguh dalam mempertahankan agama Islam di negara ini.
Fenomena ini adalah satu manifestasi dari fitrah insani bahawa manusia mengaku dan mengiktiraf penciptaan dunia oleh Allah Taala sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Dan jika kamu bertanyakan mereka (orang kafir), siapakah yang telah menciptakan langit dan bumi? Mereka pasti akan menjawab: Allah!” (Surah al-Zumar -39:38).
Hal ini adalah jelas bahawa penggunaan kalimah Allah untuk mengiktiraf dan membesarkan Allah sebagai Tuhan, adalah hak asasi setiap insan. Malah perlembagaan negara ini turut menjamin kesucian dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan lain-lain agama boleh diamalkan dengan aman dan damai.
Hal ini juga bersesuaian bagi mereka yang berpandangan dalam memperjuangkan agama Allah bahawa sebahagian usaha dakwah ke atas non-Muslim akan bertambah senang. Malahan usaha untuk menegak yang makruf dan mencegah yang mungkar akan menjadi lebih mudah dan selesa berasaskan firman Allah: “Katakan wahai Ahli Kitab, mari tegakkan kalimah yang sama antara kami dan kamu iaitu bahawa kita tidak akan menyembah selain Allah dan tidak mensyirikkan Allah dengan suatu apapun serta janganlah ada di antara kita yang mengambil tuhan-tuhan selain Allah. Dan jika mereka berpaling maka katakanlah bahawasanya kami adalah orang Islam (menyerah diri pada Allah).” (Surah Ali-`Imran - 3:64).
Tidak ada yang perlu digusarkan dengan pengambilan kalimah Allah ini kerana sepanjang sirah Nabi Muhammad SAW, baginda tidak pernah meminta ditukar nama dengan memarahi Abdullah bin Ubai yang ternyata munafik dan memusuhi diri baginda dan umat Islam ketika itu. Sekiranya penggunaan nama Allah itu adalah suatu hal yang dianggap penting, sudah pasti Nabi Muhammad dan para sahabat akan melarang penggunaannya di kalangan penduduk Yahudi yang bertebaran di sekitar Madinah ketika itu. Salah seorang tokoh agama Yahudi yang bernama Abdullah bin Salam, akhirnya menganut Islam atas dakwah dan toleransi Nabi Muhammad serta para sahabat baginda yang lain.
Penjelasan di atas secara pasti menyatakan tidak ada salahnya penganut agama lain menggunakan nama Allah dan larangan mengenainya akan memberikan gambaran bahawa Islam adalah agama tertutup dan rigid. Walaupun demikian perlu ditegaskan bahawa non-Muslim tidak boleh memutarbelitkan ajaran Islam dengan mempergunakan nama Allah sebagai umpannya. Tindakan jahat seperti itu wajar diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa kerana ia menyalahi peraturan dan norma kemanusiaan yang dipegang oleh Islam bahawa tiada siapa boleh memutar belitkan maksud ajaran golongan lain. Malah, kaum muslimin juga tidak boleh memutarbelitkan ajaran agama yang dianuti oleh orang lain.
Dari sudut sejarahnya, penggunaan nama Allah telah berlaku semenjak zaman lampau. Ini kerana asal anutan manusia adalah Islam dan nabi Adam yang diturunkan ke bumi adalah beragama Islam. Para rasul membawa anutan yang sama iaitu konsep tauhid atau mengesakan Allah sebagai tuhan yang satu dan paling layak disembah. Sementara –tuhan-tuhan yang diciptakan oleh manusia di muka bumi ini sebagai suatu sembahan lain adalah rekaan baru yang datang kemudian dari penggunaan nama Allah. Oleh itu, tidak hairan mengapa nama Allah telah digunakan dengan meluas.
Pada zaman jahiliyah, kaum Arab menyatakan bahawa salah satu tuhan mereka ialah Allah. Namun mereka menyembah tuhan lain selain dari Allah sebagai perantara antara mereka dengan Allah. Perbuatan berkongsi Allah dengan tuhan atau dewa yang lain inilah yang menjadikan mereka lebih dikenali sebagai kaum musyrikin. Golongan musyrik ini adalah mereka yang mensyirikkan Allah dengan mempercayai wujudnya tuhan-tuhan lain yang mampu menyampaikan maksud mereka kepada Allah.
Percubaan untuk melarang dari pihak agama lain menggunakan nama Allah bukanlah pencabulan terhadap kesucian Islam secara langsung. Bahkan percubaan menghalang penggunaan nama Allah ini tidak terdapat dalam al-Quran dan sunnah untuk diikuti. Meskipun begitu, tidak bermakna cadangan untuk menghalang itu salah dan perlu ditolak secara total. Ini kerana isu sebegini lebih patut dinilai dalam konteks ijtihad semasa yang berkisar dalam aspek dalil zhanni iaitu dalil kabur yang bersifat mungkin betul atau salah.
Jadi ada baiknya fatwa dan ijtihad para ulama ini dinilai dengan sebaiknya untuk diguna pakai oleh pihak berkuasa dan diterapkan dalam masyarakat. Segala pertikaian yang wujud hingga membawa kepada pencerobohan terhadap tempat suci agama lain adalah disebabkan kejahilan umat Islam. Umat Islam harus digesa agar tidak menggunakan keganasan sebagai jalan penyelesaian dalam hubungan dengan agama lain. Bahkan mereka perlu menggunakan teknik dialog, perbincangan dan berbagai cara yang lebih baik dan menarik.
Islam sendiri sebenarnya suatu agama yang sangat menekankan sikap toleransi sesama manusia. Malah Islam berprinsip tegas dengan tidak memaksa manusia untuk menganut Islam secara kekerasan dan paksaan. Sebaliknya Islam menggunakan pendekatan dakwah yang logik dan menerangkan segala bentuk keistimewaan dan kehebatannya.
Sehubungan itu, demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara, semua pihak perlulah menyelesaikan konflik ini dengan cara bijaksana atau lebih berhikmah sebagaimana saranan Allah mengenainya di dalam surah al-Nahl ayat 125 yang bermaksud: “Serulah (manusia) ke jalan tuhanmu dengan penuh hikmah dan bimbingan yang baik. Bantahlah mereka dengan cara yang terbaik. Sesungguhnya tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”
Pendekatan dialog dengan menyuburkan budaya dialog antara agama secara matang dan berkesan perlu diterapkan sebagaimana firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 46 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu berdebat dengan ahli kitab, melainkan dengan cara yang paling baik kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka (yang melampaui batas kemanusiaan). Dan katakanlah: Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu. Tuhan kami serta tuhanmu adalah satu (Allah) dan hanya kepadaNya kami berserah diri.”

Wallahu a'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan