'Kemuka bukti nama Allah merujuk Tuhan dalam kitab Bible'
PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, meminta pihak yang menyatakan nama Allah digunakan bagi merujuk Tuhan dalam kitab Bible supaya membuktikan dakwaan itu. Katanya, setahu beliau, tidak ada dalam mana-mana versi Bible di seluruh dunia yang menyebut Tuhan mereka adalah Allah. "Saya hendak tanya dalam kitab suci agama lain, adakah disebut Tuhan mereka adalah Allah? Kalau boleh ditunjukkan ada yang merujuk bahawa Tuhan yang mempunyai anak Jesus itu adalah Allah (kerana) Tuhan dalam agama Islam ialah Allah yang tidak ada anak dan tidak diperanakkan.
"Sebagai orang Islam, kalau ada mana-mana penganut agama yang sudi mengiktiraf dan berikrar bahawa Tuhan mereka adalah Allah seperti yang diyakini penganut agama Islam dan yakin Allah tidak ada anak dan tidak diperanakkan, saya adalah orang Islam yang paling gembira," katanya pada sidang media mengumumkan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1430 Hijrah, di pejabatnya di sini, semalam.
Menurut hemat saya, kenyataan sebegini sebenarnya boleh membahayakan kedudukan JAKIM dari sudut ilmiahnya. Ini kerana, kitab Bible versi bahasa Arab yang dicetak di Beirut dan lebih dikenali sebagai al-Kitab al-Muqaddas sememangnya menggunakan nama Allah.
Saya juga pernah mendownload kitab Injil dari versi Indonesia yang ternyata turut menggunakan kalimah Allah merujuk kepada tuhan mereka. Pada tahun lepas, pasangan pelancong dari Amerika telah mengunjungi rumah abang saya yang dijadikan homestay di kawasan Gugusan Jengka. Sewaktu ingin pulang dia menghadiahkan sebuah kitab Zabur dalam versi Indonesia yang turut menggunakan kalimah Allah.
Isu penggunaan nama Allah ini bukanlah suatu yang patut didebatkan dan ia tidak akan menjadi hak masyarakat Melayu di nusantara ini. Ini kerana pada zaman sebelum Islam iaitu zaman Jahiliyah sememangnya masyarakat Arab menggunakan nama Allah merujuk kepada tuhan yang di langit, manakala tuhan yang dijadikan sekutu seperti Latta, Manat dan Uzza adalah tuhan bumi yang dianggap dapat mempercepatkan doa mereka dikabulkan oleh Allah Taala.
Tidak hairanlah jika nama bapa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam sendiri adalah 'Abd Allah yang bermaksud hamba Allah. Jadi dalam masyarakat sebelum Islam sendiri telah menggunakan kalimah tersebut sebelum kelahiran agama Islam yang suci ini. Oleh itu, penggunaannya tidak membawa apa-apa kekeliruan dari sudut asalnya. Malah jika dibimbangi kekeliruan mengenai kalimah tersebut yang bakal digunakan oleh pihak agama lain. Saya merasakan ada baik buruknya larangan tersebut seperti berikut:
Kebaikan melarangnya:
1- Dapat mengelakkan kekeliruan bagi mereka yang tidak mempunyai asas yang mantap dalam agama dari terbaca buku-buku yang disangka dari penulisan agamawan Islam tetapi sebaliknya adalah dakyah agama lain. Kekeliruan ini telah berlaku di Indonesia sebagaimana yang dilihat pada masa kini, memandangkan tiadanya satu peraturan yang sabit dalam hal tersebut.
2- Dapat membezakan antara Allah sebagai tuhan yang sah di sisi umat Islam di Malaysia berbanding tuhan bagi anutan lain yang perlu menggunakan ungkapan mereka sendiri merujuk kepada tuhan mereka seperti God atau Lord bagi orang putih, Dio bagi orang Sepanyol, Baghwan bagi orang India, Elle atau Elohem bagi Yahudi, Ilah bagi orang Arab kafir dan sebagainya yang berkaitan.
3- Dapat memperteguhkan undang-undang rasmi di Malaysia yang memperuntukkan beberapa kalimah yang boleh dan tidak boleh digunakan secara sewenang-wenangnya.
Keburukan melarangnya:
1- Memperlahankan tersebarnya dakwah Islam kepada para penganut agama lain, terutamanya apabila bulan dakwah yang kembali dianjurkan ini mengehadkan perkara tersebut. Sedangkan apabila difahami bahawa Allah adalah yang Maha Berkuasa, maka penganut agama lain turut mengiktiraf kewujudan tuhan yang satu - monoteism - secara tidak langsung.
2- Hak mengakui kewujudan Allah hanya dimiliki oleh pihak tertentu sahaja dan ini menyukarkan pihak lain memahami Islam sebagai agama universal sebagaimana yang berlaku di Malaysia kini.
3- Pemantapan akidah bukan hanya sekadar penguatkuasaan undang-undang ataupun dengan mempertahankan satu kalimah sahaja, sedang ummah terumbang ambing dengan pemahaman akidah yang sebenar sebagaimana yang dibentuk oleh generasi salaf terdahulu.
Polemik ini hanya satu perkara yang tidak menguntungkan jika diperjuangkan kerana kelemahan kita bukanlah kerana adanya serangan luar yang begitu mendesak sebagaimana yang berlaku di negara Islam lain. Sebaliknya kurangnya kesedaran umat Islam dalam menempatkan Islam bersandarkan akidah sebenar sebagaimana 'MUDAH' nya Islam yang disebarkan oleh generasi salaf terdahulu.
Semoga Allah Taala mempermudahkan segala urusan kita insya Allah. Wassalam
Boleh menambah ilmu berkaitan hal ini jika anda rujuk di sini: http://effysaiful.blogspot.com/2008/02/penggunaan-nama-allah-oleh-non-muslim.html
Selasa, 3 Mac 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan