Aku cukup tidak menggemari murid-muridku bercakap tidak baik. Perkataan tidak senonoh sering membuatkan telingaku sakit. Tambahan pula dari mulut kanak-kanak yang masih belum cukup umur. Kalimah B*d*h, B*ng*ng, Bab*, Gamp*ng.... bla... bla... dan pelbagai lagi yang ntahapahapa itu cukup memeningkan.
Tindakan yang sering aku ambil terhadap mereka setiap kali dilaporkan oleh murid yang sememangnya jujur atau pengampu ini perlu ditimbang tara sebaik-baiknya. Kadangkala ada juga murid yang bijak berbohong dengan menuduh rakannya berkata sedemikian. Apa yang perlu dilakukan adalah ditampilkan saksi bagi kes tersebut. Tapi selalunya, murid atau kanak-kanak ini secara umumnya adalah mereka yang bercakap JUJUR.
Jiwa dan fitrah mereka yang masih bersih itu, menjadikan mereka bercakap jujur dan lurus dalam setiap tindakan mereka. Berlandaskan pengalaman melayani mereka, kita pasti mengenali mereka sama seperti kita mengenal hati budi anak-anak kita sendiri.
Apabila dilaporkan oleh rakan yang mendengar atau perbalahan sesama mereka dengan mengeluarkan kata-kata kesat sesama sendiri. Aku akan bertindak memanggil mereka dan bertanya sebab apa yang menjadi faktor utama tercetusnya kalimah sebegitu. Jika dia tidak menjawab, aku pasti membebel kepada mereka macam 'mak nenek'. Kalau aku membebel, isteri aku memang seorang penyabar sebab dia tidak boleh melarikan diri. Rakan-rakan ustazah yang berada di bawahku sering 'bising' jika mendengar bebelanku.
Aku sering bertanyakan kepada mereka terlebih dahulu, "Kenapa cakap begitu kepada rakan?", "Jika dia mulakan, ustaz akan pukul dia dulu dan kamu pun kena juga sebab cakap tak baik!" Selalunya mereka akur dengan tindakanku. Budak-budak....
Sama ada kena pulas telinga, cubit, pukul di tapak tangan dsbgnya yang difikirkan sesuai menurut fizikal dan ketahanan mentalnya. Semalam ada seorang pelajar baru yang agak bijak telah ponteng dari kelasku. Aku memberitahu rakan-rakannya agar membawakan beliau berjumpa denganku pada keesokan harinya. Dia yang datang apabila dibawa oleh rakannya terus memberitahu kepadaku, "Ustaz semalam saya sakit perut."
Aku tanya semula kepadanya, "Kawan-kawan kamu cerita kat ustaz, kamu yang memberitahu mereka yang kamu ingin ponteng kelas." Dia diam tak keruan. "Kamu beritahu mereka dulu kamu nak ponteng dan hari ini kamu datang jumpa ustaz beritahu yang kamu sakit perut. Jadi, mana yang betul? Ponteng atau sakit perut." Dia terus diam termangu-mangu dengan mata kemerahan ingin menangis.
Sebelum dia menangis, aku pukul tapak tangannya sebanyak dua kali dengan pukulan sederhana. Sebab muridku ini bukannya jenis yang selalu buat hal atau nakal. Jadi aku memberikan amaran kepadanya untuk memberitahu ibunya tentang perbuatannya itu. Dia terdiam dan keluar pantas selepas aku arahkan pulang ke kelas.
Aku memukul dengan dinyatakan alasan kepada mereka agar mereka mengetahui kesalahan yang mereka lakukan. Aku tidak memukul dengan pukulan yang mendera tanpa sebarang sebab. Jadi, di sini mereka boleh bezakan di mana yang patut dilakukan dan yang patut dihindari. Ini antara kemahiran yang patut digunakan dalam mendidik. Janganlah memukul pada tempat yang boleh mendatangkan bahaya seperti kepala dan muka. Menggunakan bahan berbahaya seperti besi, batang kayu penyapu, kasut tumit tinggi dsbgnya.
Kadangkala agak sukar juga bagiku seperti kes dalam kelas tahun lalu. Seorang murid datang melaporkan kepadaku mengenai rakannya yang bercakap tidak baik. Lalu aku terus memanggil murid tersebut dan bertanyakan apa yang telah dikatanya. Murid tersebut datang dengan kebimbangan. Lalu aku panggil pelapornya sekali, "Dia cakap apa tadi yang tak baik tu?"
Si pelapornya bercakap dengan tergagap-gagap, "Tttadi.. kan ustaz... dia cakap tak baik..."
"Dia cakap apa yang tak baik tu?" pintasku inginkan kepastian.
Dia menjawab, "Tttadi... dia cakap.... siput babi."
Sebaik sahaja aku mendengar jawapannya, aku rasa macam nak pecah perut menahan ketawa. Muka yang dibuat serius pun tak berapa nak menjadi. Dia yang penuh konfiden pun ulangi semula kepadaku, "Apa lagi ustaz, pukullah dia... dia cakap tak baik."
Aku pun beritahunya, "Nanti dulu, ustaz ada kerja lain lagi ni."
Kelas itu antara kelas yang paling memeningkan kepala, cuma guru lelaki sahaja yang mampu mendiamkan mereka. Jika guru wanita yang masuk, kebisingannya melampaui satu blok bangunan. Aku sendiri, spastik dibuatnya dek kerenah 40 orang dari mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan