Allah Taala said:

Thus, GOD does not change the condition of any people unless they themselves make the decision to change. [13:11]

Pesan Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam

Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi dan al-Tirmizi berkata ia hadis sahih.
Daripada Abu Najih al-'lrbadh ibn Sariyah r.a. beliau berkata: Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam telah menasihati kami suatu nasihat yang menggetarkan hati dan mencucurkan airmata. Kami bertanya: Ya Rasulullah! la seolah-olah nasihat orang yang mahu mengucapkan selamat tinggal, maka berikanlah kami wasiat. Baginda bersabda: Aku mewasiatkan kamu supaya bertakwa kepada Allah 'Azza Wajala, supaya mendengar dan taat, sekalipun kamu diperintah oleh seorang hamba. Sesungguhnya, barangsiapa di kalangan kamu yang masih hidup nanti, nescaya dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa' Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan kuat (iaitu berpegang teguhlah kamu dengan sunnah-sunnah tersebut) dan berwaspadalah kamu dari melakukan perkara-perkara yang diada-adakan, kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat.

Isnin, 30 Mac 2009

SEKOLAHKU (Nasyid)

Sebuah lagi nasyid ad-hoc yang terpaksa aku simpan di sini sebagai memori di kala kecemasan...

SEKOLAHKU

Sekolahku sungguh indah,
Padangnya nan luas menghijau,
Bangunannya tersergam indah,
Pasti berkobar semangat belajar.

Sekolahku tempat menimba ilmu,
Tempat untuk mencurahkan bakat,
Tempatku belajar pengetahuan,
Tempat untuk disiplinkan diri.

Gurunya sentiasa berbakti,
Membangun nusa pertiwi,
Agar murid-muridnya berjaya.
Di dunia hingga Akhirat.

Kami kasih sekolah kami
Kami hormat gurunya jua
Kami berusaha untuk berjaya
Agar bangga di hari muka.

Rabu, 25 Mac 2009

Di Kelas 1


Aku cukup tidak menggemari murid-muridku bercakap tidak baik. Perkataan tidak senonoh sering membuatkan telingaku sakit. Tambahan pula dari mulut kanak-kanak yang masih belum cukup umur. Kalimah B*d*h, B*ng*ng, Bab*, Gamp*ng.... bla... bla... dan pelbagai lagi yang ntahapahapa itu cukup memeningkan.

Tindakan yang sering aku ambil terhadap mereka setiap kali dilaporkan oleh murid yang sememangnya jujur atau pengampu ini perlu ditimbang tara sebaik-baiknya. Kadangkala ada juga murid yang bijak berbohong dengan menuduh rakannya berkata sedemikian. Apa yang perlu dilakukan adalah ditampilkan saksi bagi kes tersebut. Tapi selalunya, murid atau kanak-kanak ini secara umumnya adalah mereka yang bercakap JUJUR.

Jiwa dan fitrah mereka yang masih bersih itu, menjadikan mereka bercakap jujur dan lurus dalam setiap tindakan mereka. Berlandaskan pengalaman melayani mereka, kita pasti mengenali mereka sama seperti kita mengenal hati budi anak-anak kita sendiri.

Apabila dilaporkan oleh rakan yang mendengar atau perbalahan sesama mereka dengan mengeluarkan kata-kata kesat sesama sendiri. Aku akan bertindak memanggil mereka dan bertanya sebab apa yang menjadi faktor utama tercetusnya kalimah sebegitu. Jika dia tidak menjawab, aku pasti membebel kepada mereka macam 'mak nenek'. Kalau aku membebel, isteri aku memang seorang penyabar sebab dia tidak boleh melarikan diri. Rakan-rakan ustazah yang berada di bawahku sering 'bising' jika mendengar bebelanku.

Aku sering bertanyakan kepada mereka terlebih dahulu, "Kenapa cakap begitu kepada rakan?", "Jika dia mulakan, ustaz akan pukul dia dulu dan kamu pun kena juga sebab cakap tak baik!" Selalunya mereka akur dengan tindakanku. Budak-budak....

Sama ada kena pulas telinga, cubit, pukul di tapak tangan dsbgnya yang difikirkan sesuai menurut fizikal dan ketahanan mentalnya. Semalam ada seorang pelajar baru yang agak bijak telah ponteng dari kelasku. Aku memberitahu rakan-rakannya agar membawakan beliau berjumpa denganku pada keesokan harinya. Dia yang datang apabila dibawa oleh rakannya terus memberitahu kepadaku, "Ustaz semalam saya sakit perut."

Aku tanya semula kepadanya, "Kawan-kawan kamu cerita kat ustaz, kamu yang memberitahu mereka yang kamu ingin ponteng kelas." Dia diam tak keruan. "Kamu beritahu mereka dulu kamu nak ponteng dan hari ini kamu datang jumpa ustaz beritahu yang kamu sakit perut. Jadi, mana yang betul? Ponteng atau sakit perut." Dia terus diam termangu-mangu dengan mata kemerahan ingin menangis.

Sebelum dia menangis, aku pukul tapak tangannya sebanyak dua kali dengan pukulan sederhana. Sebab muridku ini bukannya jenis yang selalu buat hal atau nakal. Jadi aku memberikan amaran kepadanya untuk memberitahu ibunya tentang perbuatannya itu. Dia terdiam dan keluar pantas selepas aku arahkan pulang ke kelas.

Aku memukul dengan dinyatakan alasan kepada mereka agar mereka mengetahui kesalahan yang mereka lakukan. Aku tidak memukul dengan pukulan yang mendera tanpa sebarang sebab. Jadi, di sini mereka boleh bezakan di mana yang patut dilakukan dan yang patut dihindari. Ini antara kemahiran yang patut digunakan dalam mendidik. Janganlah memukul pada tempat yang boleh mendatangkan bahaya seperti kepala dan muka. Menggunakan bahan berbahaya seperti besi, batang kayu penyapu, kasut tumit tinggi dsbgnya.

Kadangkala agak sukar juga bagiku seperti kes dalam kelas tahun lalu. Seorang murid datang melaporkan kepadaku mengenai rakannya yang bercakap tidak baik. Lalu aku terus memanggil murid tersebut dan bertanyakan apa yang telah dikatanya. Murid tersebut datang dengan kebimbangan. Lalu aku panggil pelapornya sekali, "Dia cakap apa tadi yang tak baik tu?"

Si pelapornya bercakap dengan tergagap-gagap, "Tttadi.. kan ustaz... dia cakap tak baik..."

"Dia cakap apa yang tak baik tu?" pintasku inginkan kepastian.

Dia menjawab, "Tttadi... dia cakap.... siput babi."

Sebaik sahaja aku mendengar jawapannya, aku rasa macam nak pecah perut menahan ketawa. Muka yang dibuat serius pun tak berapa nak menjadi. Dia yang penuh konfiden pun ulangi semula kepadaku, "Apa lagi ustaz, pukullah dia... dia cakap tak baik."

Aku pun beritahunya, "Nanti dulu, ustaz ada kerja lain lagi ni."

Kelas itu antara kelas yang paling memeningkan kepala, cuma guru lelaki sahaja yang mampu mendiamkan mereka. Jika guru wanita yang masuk, kebisingannya melampaui satu blok bangunan. Aku sendiri, spastik dibuatnya dek kerenah 40 orang dari mereka.

Selasa, 24 Mac 2009

Di Sekolah 1

sekadar gambar hiasan...
Pagi tadi aku terlibat dalam majlis sambutan Maulid al-Rasul yang diadakan saban tahun. Pagi-pagi lagi aku didatangi pasukan kompang salawat sekolah yang dilatih oleh aku. Aku bukan pandai sangat, tetapi demi komitmen sebagai guru yang serba boleh... aku hentam sajalah!

Hidup ini tidak perlu takut untuk mencuba. Dulu aku adalah seorang yang sangat pasif. Namun, selepas beberapa ketika menamatkan pengajian, aku merasakan diri ini perlu berubah. Sebenarnya, tiada siapa yang sukakan diri kita. Kita sahaja yang perasan orang melihat, merenung dan mengikuti apa sahaja perkembangan kita.

Kita pula bukanlah seorang artis? Tidak juga seorang yang terkenal? Tidak pula jutawan milyardir? Jadi siapa kita?

Bila direnung dan difikrikan.. ehh silap! Bila difikirkan dengan mendalam... kita hanyalah seorang insan yang lemah. Bila kita rasakan diri kita seorang yang pandai. Ada lagi yang lebih bijak dan pintar. Bila dirasakan diri sudah kaya. Ada lagi yang lebih jutawan dari kita. Tidak ke mana perginya kita. Sama seperti pesan al-Quran al-Karim yang sering kita lupa-lupakan...

Al-Isra [17:37] - Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, karena sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung.

Oleh itu, tidak perlu takut. Cuba sahaja! Orang yang tidak pernah mencuba dia tidak akan dapat merasakan pengalaman itu. Masa yang berlalu tidak akan berulang lagi. Peristiwa yang berlaku sama ada memalukan, mengaibkan, menakutkan, menggembirakan dan menyeronokkan itu adalah asam garam hidup kita. Orang tidak akan ingat dalam masa yang lama tentang suatu yang memalukan diri kita jika ia terjadi.

Jadi, tidak perlu bimbang. Apa yang penting? Kita ceria menghadapi hari-hari mendatang dan episod silam. Kita tinggalakn sebagai memori manis atau pahit yang akhirnya menjadi asama garam kehidupan.

Kalau kita rasa malu, ada lagi pengalaman orang lain yang mengaibkan dari kita. Jadilah insan yang cekal dan tabah dalam menghadapi apa jua cabaran. Barulah kita terus yakin berpijak di alam ini. Jika tidak, hidup kita tidak bahagia... hanya perkara negatif yang bersua di minda kita. Insya Allah!

Kita berubah.....

p/s: Tadi dengar ceramah Maulid, penceramah cerita kat bebudak pasal Nabi SAW melepaskan kijang yang dijerat oleh sahabat. Aku terfikir, adakah di Madinah terdapat kijang atau rusa? hmmm pelik-pelik! Lagi satu, dia beritahu... Nabi SAW amat menggemari buah anggur dan sup? Anggur tumbuh ker kat Madinah atau Makkah? No komen! Baik baca buku lagik....

Jumaat, 13 Mac 2009

AKIDAH PEMBENTUK JATI DIRI CEMERLANG 2

Iman dapat memberi kekuatan
Pada diri dan masyarakat
Iman membangun sanubari dalaman
Jasad dan roh dapat diturutkan

Akidah ditanam di dalam jiwa
Pegangan yang benar di dalam dada
Amalan dan kebajikan berteras takwa
Menjadi wadah penggerak ummah

Keberkatan hidup dengan pegangan
Panduan utama adalah al-Quran
Diiring dengan suruhan Sunnah Nabi
Membentuk umat gagah terbilang

Iman dan ihsan membentuk jati diri
Mereka membangun akhlak terpuji
Ummah cemerlang tabah diuji
Membangun dijiwa iman sejati

Ini nasyid sekolah saya, sempat saya ciplak dari sekolah zaujah saya sikit. Terbalikkan liriknya sahaja. Hari ini agak sibuk. Pagi tadi buat banner Maulid al-Rasul. Pening juga memikirkan ideanya.

Masuk ke kelas sekejap. Sambung balik buat banner. Lepas rehat ada murid-murid yang datang berlatih kompang salawat. Saya sendiri pun tidak banyak pengalaman. Guru muzik datang minta lirik nasyid. Fuhh pening...

Balik nanti, terus ke Ipoh untuk menghadiri kenduri anak saudara di sana. Okey semua... adios!

kepada warga guru, selamat bercuti....

Wassalam.... horray!

Selasa, 10 Mac 2009

Isu PPSMI


Isu PPSMI yang semakin menjadi-jadi pada hari ini adalah satu isu lapuk. Seingat aku pada masa isu ini akan dilaksanakan, sudah banyak pihak yang menentangnya secara habis-habisan. Aku sendiri menentang penggunaan Bahasa inggeris dalam pelajaran Matematik dan Sains. Kenapa perlu ditukar bahasa bagi memantapkan penguasaan Matematik dan Sains? Adakah bahasa Melayu ini tidak sampai ke tahap tersebut?

Kejahilan mereka yang mencadangkannya suatu masa dahulu adalah kerana merasakan apa yang mereka pelajari adalah satu subjek yang paling baik dan wajar diikuti oleh orang lain. Jika bahasa Inggeris perlu digunakan untuk lebih memahami Sains dan Matematik. Mengapa bahasa Arab tidak digunakan dalam pelajaran agama dan pendidikan Islam? Adakah ini juga lebih baik?

Kelembapan akal dalam hal ini akan memandulkan minda masyarakat. Jika semua pemimpin merasakan apa sahaja tanggapan mereka baik dan perlu diikuti. Sudah pasti congakan kita dalam menguasai monopoli di lapangan ekonomi kini yang banyak dikuasai oleh masyarakat Cina memerlukan kita mempelajari bahasa Mandarin. Suatu yang sememangnya sukar dihadam menerusi akal yang tegar.

Saya tidak menyatakan bahawa mempelajari bahasa lain adalah tidak baik. Tetapi usaha pemantapan bahasa kita perlu diperteguhkan terlebih dahulu daripada kita menyingkirkannya dan menempatkan bahasa lain menggantikannya. Ini adalah pelaksanaan yang mudah tetapi sukar dibaiki pada masa akan datang.

Kemungkinan ramai tidak menyedari sebahagian orang terkenal di negara kita sama ada artis atau pun tokoh politik mahu pun orang awam, apabila diwawancara mereka pasti menggunakan dialek Inggeris-Melayu. Contohnya, "Pada pendapat saya, kelakuan thats people semakin teruk. Very very teruk laa, mana boleh student ni bully-bully student lain di sekolah. Their have keluarga jugak. Actually, pihak berkuasa like police dan juga kementerian perlu buat observation secara rapi di sekolah and asrama bla.. bla..."

Aku selalunya rasa nak termuntah bila mendengar perkataan begitu dari mulut anak melayu kini. Kenapa bila tidak disebut dalam english word itu, mungkin mereka rasa tidak maju atau dilahirkan sebagai seorang yang mundur. Malah kadang-kadang apa yang aku lihat mereka lebih sesat di dalam negara sendiri. Cara berpakaian, cara berketerampilan dan sebagainya yang menjelekkan. Aku yang sering ke Kuala Lumpur rasa seperti di Amsterdam. Semasa aku di Amsterdam dalam perjalanan menuju ke Groningen untuk ke Jerman. Pemandangan amat memenatkan. Keadaan itu cukup memualkan dengan kepelbagaian fesyen yang tidak pernah ku lihat. Tapi kini suasananya sama sahaja di Bukit Bintang yang layak di sebut juga Bukit Binatang.

Alahai... berpakaian mencolok mata. Menari di tengah-tengah masyarakat, terlompat-lompat 'shuffle', berpelukan lelaki dan wanita dan pelbagai lagi kerenah remaja yang tidak dipantau. Ke mana jabatan agama Islam Wilayah dan wang zakat yang patut digunakan untuk membelanjakan kepada para penguatkuasanya dalam meleraikan perkara maksiat dan haram. Suasana ini telah dijangkiti oleh remaja di bandarku. Mereka yang terjebak ke sana ke mari dengan pakaian yang tidak senonoh.

Adakah ini hasil daripada isu PPSMI yang dibangkitkan kini? Atau adakah dari kesilapan guru yang mengajar di sekolah? Atau ibu bapa yang sibuk mencari sesuap makanan untuk anak-anak manja mereka di rumah? Atau kesilapan polis yang tidak menjalankan tugas? Atau penguatkuasa agama yang bekerja mengikut waktu pejabat? Atau Perdana Menteri yang berkunjung ke sana ke mari? Atau sultan yang hanya bermukim di istananya?

Hakikatnya, semua tanggungjawab itu perlu dimulakan dari diri kita. Jika kita tidak menggerakkannya. Siapa lagi?
Wallahu a'lam.

Memori Wayang Suatu Ketika Dahulu


Masa aku bersekolah, aku suka menonton wayang. Setiap cerita aku akan tonton sama ada dengan rakan-rakan atau sendirian. Di bandar aku yang sepi, tiada sebarang petanda jelas yang aku perhatikan sebagaimana sekumpulan manusia yang menyatakan panggung wayang adalah tempat maksiat dan membawa keburukan. Ini tidak terjadi di bandar yang aku diami kerana seingat aku, aku tidak pernah melihat ada pasangan 'couple' yang menonton wayang bersama.

Pada saat itu, tidak seteruk masa kini. Pasangan muda berdua-duaan di atas motor ke sana ke mari juga kurang dapat dilihat. Mereka tidak datang ke panggung wayang untuk bercumbu rayu atau mencari peluang yang lain. Sebab kebanyakan yang datang pada masa itu adalah mat-mat rempit yang bercuti menghabiskan wang dari kerja menoreh di kampung. Keadaannya memang berbeza di bandar besar. Jika ada pun hanyalah suami isteri dengan anak-anak mereka dan pemandangan sebegitu terlalu kurang dan boleh dibilang bagi kaki wayang seperti aku.

Filem yang ditayangkan juga adalah jenis filem lama yang sudah sebulan terbit di pawagam besar di bandar besar. Jadi bagi aku yang tidak mempunyai video apatah lagi vcd dan dvd pada masa itu selain RTM1, RTM2 dan TV3 lebih banyak ke panggung wayang kecil berhampiran bandar ini. Lagi pun masa itu aku berada di asrama, TV pun tiada di asrama kecuali beberapa tahun aku ingin keluar darinya. Hiburan amat terhad dan almaklumlah sebagai seorang remaja aku perlukan hiburan.

Kini panggung itu tidak lagi berfungsi dan lambakan vcd serta dvd membuatkannya bankrupt secara perlahan-lahan. Panggung yang gelap dan berbau, cukup mendebarkan dengan lintasan tikus atau lipas di dalamnya. Tempat duduk dari kerusi kayu yang keras dan kipas besar yang bising bunyinya kerap mengganggu tontonan. Tapi kami tidak pernah bosan kerana itu sahaja sarana yang ada untuk berhibur. Filem-filem pula seingat aku yang pernah aku tonton adalah filem yang top tiada filem yang romantis lagi pada masa itu seperti filema hindi dsbgnya. Zaman aku bermulanya karier Jet Li sebagai Wong Fei Hong.

Ada sahaja filem Cina pasti aku dan rakan-rakanku yang menontonnya. Keadaan ini menjadikan kami kerap keluar asrama pada setiap malam hujung minggu. Aktiviti ini adalah antara aktiviti paling rahsia di sekolahku, jika diketahui oleh ustaz warden, bahaya besar yang bakal menanti. Tahu tak kenapa? Kerana setiap permasalahan disiplin akan dilaporkan kepada ibu bapa. Jika bapa aku tahu aktiviti ini, sudah pasti tongkat semambunya hinggap di belakang badanku yang sasa ini. Ayat yang akan diulanginya adalah, "orang suruh belajar rajin-rajin, dia perabihkan duit buat tengok wayang!"

Jadi aku terus menyimpan rahsia ini sehinggalah aku dewasa dari pengetahuan ibu bapaku. Ini kerana menonton wayang adalah satu sikap yang tidak baik bagi mereka. Walaupun ketika itu filem wayang ditapis dengan ketat. Pada hari ini, aku lihat filem dari VCD dan DVD tidak ditapis dengan baik. Penjualannya lebih berleluasa dan mampu dimiliki oleh kanak-kanak dan orang dewasa, malah ia tidak sesuai ditonton oleh keluarga di rumah.

Jadi perbezaan ketara antara wayang dan VCD dan DVD ini perlukan tapisan yang lebih baik bagi mereka yang menonton di rumah. Kalau tidak kantoi! Macam cerita yang aku dengar daripada rakanku bila waktu terluang si ayah membawa pulang kaset video cerita seram untuk ditonton bersama keluarga. Sebaik sahaja ditonton bermulalah adegan seram dan memalukan ditayangkan. Maka filem seram itu bertukar menjadi filem yang 'memalukan' pernah ditonton seisi keluarga. Berhati-hatilah...

Wallahu a'lam!

Selasa, 3 Mac 2009

Isu penggunaan nama Allah

'Kemuka bukti nama Allah merujuk Tuhan dalam kitab Bible'

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, meminta pihak yang menyatakan nama Allah digunakan bagi merujuk Tuhan dalam kitab Bible supaya membuktikan dakwaan itu. Katanya, setahu beliau, tidak ada dalam mana-mana versi Bible di seluruh dunia yang menyebut Tuhan mereka adalah Allah. "Saya hendak tanya dalam kitab suci agama lain, adakah disebut Tuhan mereka adalah Allah? Kalau boleh ditunjukkan ada yang merujuk bahawa Tuhan yang mempunyai anak Jesus itu adalah Allah (kerana) Tuhan dalam agama Islam ialah Allah yang tidak ada anak dan tidak diperanakkan.
"Sebagai orang Islam, kalau ada mana-mana penganut agama yang sudi mengiktiraf dan berikrar bahawa Tuhan mereka adalah Allah seperti yang diyakini penganut agama Islam dan yakin Allah tidak ada anak dan tidak diperanakkan, saya adalah orang Islam yang paling gembira," katanya pada sidang media mengumumkan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1430 Hijrah, di pejabatnya di sini, semalam.


Menurut hemat saya, kenyataan sebegini sebenarnya boleh membahayakan kedudukan JAKIM dari sudut ilmiahnya. Ini kerana, kitab Bible versi bahasa Arab yang dicetak di Beirut dan lebih dikenali sebagai al-Kitab al-Muqaddas sememangnya menggunakan nama Allah.

Saya juga pernah mendownload kitab Injil dari versi Indonesia yang ternyata turut menggunakan kalimah Allah merujuk kepada tuhan mereka. Pada tahun lepas, pasangan pelancong dari Amerika telah mengunjungi rumah abang saya yang dijadikan homestay di kawasan Gugusan Jengka. Sewaktu ingin pulang dia menghadiahkan sebuah kitab Zabur dalam versi Indonesia yang turut menggunakan kalimah Allah.

Isu penggunaan nama Allah ini bukanlah suatu yang patut didebatkan dan ia tidak akan menjadi hak masyarakat Melayu di nusantara ini. Ini kerana pada zaman sebelum Islam iaitu zaman Jahiliyah sememangnya masyarakat Arab menggunakan nama Allah merujuk kepada tuhan yang di langit, manakala tuhan yang dijadikan sekutu seperti Latta, Manat dan Uzza adalah tuhan bumi yang dianggap dapat mempercepatkan doa mereka dikabulkan oleh Allah Taala.

Tidak hairanlah jika nama bapa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam sendiri adalah 'Abd Allah yang bermaksud hamba Allah. Jadi dalam masyarakat sebelum Islam sendiri telah menggunakan kalimah tersebut sebelum kelahiran agama Islam yang suci ini. Oleh itu, penggunaannya tidak membawa apa-apa kekeliruan dari sudut asalnya. Malah jika dibimbangi kekeliruan mengenai kalimah tersebut yang bakal digunakan oleh pihak agama lain. Saya merasakan ada baik buruknya larangan tersebut seperti berikut:

Kebaikan melarangnya:

1- Dapat mengelakkan kekeliruan bagi mereka yang tidak mempunyai asas yang mantap dalam agama dari terbaca buku-buku yang disangka dari penulisan agamawan Islam tetapi sebaliknya adalah dakyah agama lain. Kekeliruan ini telah berlaku di Indonesia sebagaimana yang dilihat pada masa kini, memandangkan tiadanya satu peraturan yang sabit dalam hal tersebut.
2- Dapat membezakan antara Allah sebagai tuhan yang sah di sisi umat Islam di Malaysia berbanding tuhan bagi anutan lain yang perlu menggunakan ungkapan mereka sendiri merujuk kepada tuhan mereka seperti God atau Lord bagi orang putih, Dio bagi orang Sepanyol, Baghwan bagi orang India, Elle atau Elohem bagi Yahudi, Ilah bagi orang Arab kafir dan sebagainya yang berkaitan.
3- Dapat memperteguhkan undang-undang rasmi di Malaysia yang memperuntukkan beberapa kalimah yang boleh dan tidak boleh digunakan secara sewenang-wenangnya.

Keburukan melarangnya:

1- Memperlahankan tersebarnya dakwah Islam kepada para penganut agama lain, terutamanya apabila bulan dakwah yang kembali dianjurkan ini mengehadkan perkara tersebut. Sedangkan apabila difahami bahawa Allah adalah yang Maha Berkuasa, maka penganut agama lain turut mengiktiraf kewujudan tuhan yang satu - monoteism - secara tidak langsung.
2- Hak mengakui kewujudan Allah hanya dimiliki oleh pihak tertentu sahaja dan ini menyukarkan pihak lain memahami Islam sebagai agama universal sebagaimana yang berlaku di Malaysia kini.
3- Pemantapan akidah bukan hanya sekadar penguatkuasaan undang-undang ataupun dengan mempertahankan satu kalimah sahaja, sedang ummah terumbang ambing dengan pemahaman akidah yang sebenar sebagaimana yang dibentuk oleh generasi salaf terdahulu.

Polemik ini hanya satu perkara yang tidak menguntungkan jika diperjuangkan kerana kelemahan kita bukanlah kerana adanya serangan luar yang begitu mendesak sebagaimana yang berlaku di negara Islam lain. Sebaliknya kurangnya kesedaran umat Islam dalam menempatkan Islam bersandarkan akidah sebenar sebagaimana 'MUDAH' nya Islam yang disebarkan oleh generasi salaf terdahulu.

Semoga Allah Taala mempermudahkan segala urusan kita insya Allah. Wassalam

Boleh menambah ilmu berkaitan hal ini jika anda rujuk di sini: http://effysaiful.blogspot.com/2008/02/penggunaan-nama-allah-oleh-non-muslim.html