Allah Taala said:

Thus, GOD does not change the condition of any people unless they themselves make the decision to change. [13:11]

Pesan Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam

Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi dan al-Tirmizi berkata ia hadis sahih.
Daripada Abu Najih al-'lrbadh ibn Sariyah r.a. beliau berkata: Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam telah menasihati kami suatu nasihat yang menggetarkan hati dan mencucurkan airmata. Kami bertanya: Ya Rasulullah! la seolah-olah nasihat orang yang mahu mengucapkan selamat tinggal, maka berikanlah kami wasiat. Baginda bersabda: Aku mewasiatkan kamu supaya bertakwa kepada Allah 'Azza Wajala, supaya mendengar dan taat, sekalipun kamu diperintah oleh seorang hamba. Sesungguhnya, barangsiapa di kalangan kamu yang masih hidup nanti, nescaya dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa' Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan kuat (iaitu berpegang teguhlah kamu dengan sunnah-sunnah tersebut) dan berwaspadalah kamu dari melakukan perkara-perkara yang diada-adakan, kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat.

Khamis, 12 Februari 2009

Memori lampau...

Baru-baru ini saya ada menghadiri mesyuarat PIBG di sekolah. Sebagaimana biasa, saya disenaraikan sebagai ajk yang terlibat dan tugasan yang pasti ialah 'pembaca doa'. Namun, kepakaran saya dalam menghindari dari menjadi pembaca doa yang tetap dan berpencen sebagaimana kebiasaan ustaz dan tok guru, akhirnya berjaya juga. Kehadiran seorang ustaz baru membuatkan saya dapat mengalihkan tugas itu kepadanya.

Skrip bacaan doa itu akan dikarang oleh saya sendiri sebagai satu cara melibatkan diri secara tidak langsung, skripnya begini:

DOA MESYUARAT PIBG
Bismillah
Tahmid
Selawat


Segala puji dan syukur kami panjatkan kepadaMu Ya Allah. Selawat serta salam buat Rasul pilihan, Muhammad SAW nabi akhir zaman. Kesejahteraan buat keluarga baginda, kemuliaan buat sahabatnya dan seluruh muslimin dan muslimat yang menurut jejak langkah mereka.

Ya Allah Ya Karim,
Sesungguhnya pada hari ini kami berkumpul keranaMu Ya Allah, dengan mengharap keredaanMu dalam seluruh hidup kami, kami berkumpul untuk bermusyawarah, bertukar-tukar pendapat dan menyumbangkan buah fikiran, tenaga dan sokongan, ke arah memajukan lagi sekolah ini, demi kebaikan anak-anak kami.

Ya Allah, Ya Munzilal Barakat,
Berkatilah usaha-usaha kami, mudah-mudahan dengan usaha kami yang sedikit ini dapat menjadikan sekolah ini sebuah institusi pendidikan yang cemerlang, gemilang dan terbilang, sekolah yang disegani dan dihormati, sekolah yang akan melahirkan pelajar-pelajar yang berjaya di dunia hingga ke akhirat.

Ya Rahman Ya Rahim,
Perbaikilah segala kesilapan kami, jernihkanlah hubungan antara kami, jinakkan dan lembutkanlah hati-hati kami dan tunjukkanlah kami jalan yang membawa keharmonian dalam menyelesaikan masalah yang timbul di antara pihak pentadbir, guru-guru dan juga ibu bapa serta penjaga para pelajar di sekolah ini.

Ya Hayyu Ya Qayyum, kurniakanlah kepada kami kekayaan ilmu pengetahuan, hiasilah diri kami dengan sifat lemah-lembut, muliakanlah kami dengan ketakwaan dan indahkanlah diri kami dengan kesihatan.

Penutup doa



Begitulah yang sempat dilakarkan untuk mendoakan keselamatan antara pihak sekolah dan ibu bapa yang kadangkala agak meruncing dalam soal pendidikan anak generasi kita pada hari ini.

Sebelum bermulanya majlis, saya dan rakan telah diajak oleh GPK 1 untuk bersarapan terlebih dahulu. Kalau orang di tempat saya mereka istilahkan sebagai menge'teh' yang membawa maksud 'pekena teh' atau minum teh. Teh yang selalu diminum pula ialah teh tarik. Sesetengah Mamak India cakap tey tarik iaitu teh dicampurkan dengan susu isian pekat, bukan tey woo atau teh kosong.

Kami berbual sambil bersarapan dengan nasi dagang yang berasal dari negeri Terengganu, bukannya nasi dugong yang masih belum mempunyai sebarang resipi lagi berkaitan dengannya. Topik yang dibualkan tidak keruan dan melompat dari satu topik ke topik yang lain. GPK 1 saya yang baru ini, walaupun masih muda tetapi mempunyai banyak pengalaman dalam bidang perniagaan insurans. Kebiasaan para pendidik membuat kerja sampingan dalam menambahkan pendapatan harian mereka adalah dengan menceburi bidang insurans.

Saya juga pernah temuduga untuk mendapatkan kelulusan sebagai agen insurans. Selepas berjaya menyertainya, projek itu 'bungkus' begitu sahaja kerana kerancuan saya dalam 'membodek' orang menyertai program insuran ini. Penglibatan saya lebih kepada 'suka-suka' dan tidak serius. Dalam tempoh 6 bulan, keahlian saya terlucut dengan sendirinya kerana tidak mampu mencari pelanggan, biarpun hanya seorang.

Sememangnya saya seorang yang tidak 'petah' bercakap. Saya akan 'petah' apabila darah sudah menyirap sampai ke kepala, biasanya bila berlawan hujah atau berdebat dalam apa jua situasi. Waktu sebegitu, otak akan ligat berfikir dan idea baik dan jahat datang mencurah-curah. Itulah yang dikatakan sebagai emosi tidak menentu, situasi sebegini tidak boleh diperpanjangkan kerana ia boleh mengakibatkan penyakit mental jika tidak diatasi dengan baik.

Berbalik kepada kisah tadi, saya mendengar GPK 1 saya ini akan ke Itali pada bulan 3 nanti. Memang hebat perniagaan insuransnya dan setiap tahun beliau akan keluar negara bersama dengan agen-agen lain yang mendapat kutipan tertinggi. Beliau menceritakan perjalanannya ke Sepanyol baru-baru ini dan ia mengingatkan saya kepada negara tersebut yang cukup indah. Saya pasti terbayangkan kewujudan umat Islam di sana suatu ketika dulu. Terkenangkan kerakusan penguasa Kristian dalam melakukan pembantaian terhadap umat Islam selama hampir 2 abad.

Kisah ketamadunan Sepanyol dalam era pemerintahan umat Islam sering didendangkan di telinga kita, namun kisah pembunuhan kejam mereka selepas kejatuhan Granada jarang disebut dan tidak terdapat sebarang karya atau catatan di kalangan masyarakat kita. Kisah Hakim al-Taftisy yang sama fungsinya dengan Gestapo cukup menggerunkan apabila dibuka lembaran kisah tersebut bagi diri saya.

Insya Allah, jika ada ruang waktu yang membolehkan saya mengkaji semula kisah-kisah tersebut untuk dikongsikan bersama, saya akan lakukan dan doakan untuk saya. Wallahu al-Musta'an. Jadi dalam kisah ini saya abadikan foto lama saya di Kota Toledo yang bersejarah dan kemilau sejarahnya masih membungkam di benak saya. Tiada siapa di Malaysia yang mahu membicarakan sejarahnya nan panjang dengan penuh onak duri.

Wallahu a'lam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan