Allah Taala said:

Thus, GOD does not change the condition of any people unless they themselves make the decision to change. [13:11]

Pesan Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam

Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi dan al-Tirmizi berkata ia hadis sahih.
Daripada Abu Najih al-'lrbadh ibn Sariyah r.a. beliau berkata: Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam telah menasihati kami suatu nasihat yang menggetarkan hati dan mencucurkan airmata. Kami bertanya: Ya Rasulullah! la seolah-olah nasihat orang yang mahu mengucapkan selamat tinggal, maka berikanlah kami wasiat. Baginda bersabda: Aku mewasiatkan kamu supaya bertakwa kepada Allah 'Azza Wajala, supaya mendengar dan taat, sekalipun kamu diperintah oleh seorang hamba. Sesungguhnya, barangsiapa di kalangan kamu yang masih hidup nanti, nescaya dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa' Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan kuat (iaitu berpegang teguhlah kamu dengan sunnah-sunnah tersebut) dan berwaspadalah kamu dari melakukan perkara-perkara yang diada-adakan, kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat.

Ahad, 15 Februari 2009

Goresan Luka I

Gambar aku berposing di tangga feri
untuk merentasi Selat Gibraltar.
Impian yang tidak pernah aku angankan
sebagai seorang anak Felda.


Kadangkala bila kita perhatikan kepada diri kita, kelemahan begitu banyak kelihatan. Kita mudah berasa lemah dan cepat berputus asa. Kelemahan itu tampak jelas sekalipun kita belum lagi melakukannya. Bila baru mahu mencubanya, buat pertama kali, kita pasti berfikir semula, "Haruskah aku melakukannya, atau patutkah aku berhenti sahaja di sini?"


Apabila kita tanyakan kepada orang lain, tidak terbayang di minda kita pelbagai respon diberikan. Antara yang paling banyak dinyatakan ialah, "Dah fikir habis ke?", "Dah buat kajian ke?", "Dah ramai orang buat benda tu dan kenapa mereka tidak berjaya?"

Semua kalimat tersebut adalah kalimat yang 'melemahkan' semangat. Kalimah negatif yang mampu membuatkan jiwa lemah semakin lemah.


Semua kalimat tersebut tersemat padat di dadaku. Sebab dulu pernah aku di'lekeh'kan. Bila aku menyuarakan impian untuk pergi melanjutkan pelajaran di luar negeri. Pelbagai respon yang diterima dari keluarga terdekat. Kalau ada 10 orang, hanya seorang sahaja yang menyokong hasrat itu. Orang yang paling rapat dengan aku iaitu ibu bapa aku sendiri pada mulanya tidak mengizinkan. Pelbagai alasan dan hujah yang dikemukakan untuk membatalkan hasratku ke sana.


Tapi keinginan kuat aku untuk engkar kepada perintah ibu bapaku membuatkan aku terus juga berusaha untuk ke sana. Bukan perkara mudah untuk kita mengengkari perintah ibu bapa kita. Tetapi ada benda yang kita terpaksa 'korban'kan untuk maslahah yang lebih besar. Semua usaha dilakukan sendiri untuk mencapainya dan akhirnya mereka akur dengan kehendakku.


Pernah aku nyatakan kepada mereka, "saya pergi ke luar negeri untuk belajar agama, bukan menghabiskan duit untuk menghisap dadah." Kadangkala ayat 'laser' begitu mampu merubah minda manusia dan menterbalikkan apa yang difikirkannya. Kita berhak mencuba terlebih dahulu dan berusaha sedaya upaya untuk mencapainya sebelum kita mengaku kalah. Impian perlu diiringi dengan usaha. Sekali lagi diulang taip, "Impian perlu diiringi dengan usaha."


Semasa aku di Tingkatan 4, aku melihat rakan-rakanku yang baru habis SPM dapat melanjutkan pelajaran mereka ke matriks di beberapa buah universiti tempatan. Di situ aku mula menyimpan impian ke menara gading. Tetapi, aku bukanlah seorang yang cemerlang dalam setiap mata pelajaranku. Aku melihat kakakku dapat melanjutkan pelajaran ke USM pada tahun itu dan sedikit sebanyak ia membangkitkan keinginanku untuk menandinginya.


Semasa SPM, aku menyimpan hasrat untuk menjejakkan kaki aku ke matrikulasi. Tapi apakan dayaku dengan SPM 9 subjek dan SMA 7 subjek yang perlu diambil selang 2 minggu kemudian membuatkan aku tumpas....


Kekecewaan selepas mengetahui keputusan SPM yang hanya berpangkat dua membuatkan aku hanya dapat ditempatkan di tingkatan 6. Aku teruskan nekad aku untuk mencapai yang terbaik dalam STPM dan cuba melanjutkan pelajaran ke luar negeri kerana aku inginkan suatu yang lebih baik. Setakat ini, belum ada lagi di kalangan ahli keluarga dan sepupu aku yang melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Aku terus berusaha, berusaha dan berusaha....


Impian aku akan tertunai dalam 5 tahun, aku tekad dari tingkatan 4 (sekitar tahun 1992) yang aku akan mencapai suatu yang aku impikan dalam pelajaran ini melebihi orang lain dari kalangan keluarga aku. Lantas aku terus mencuba dan pada penghujung 1996 aku berjaya juga mendapatkannya. Itu pun keputusan aku ditentang hebat kerana aku mendapat tempat di sebuah universiti di utara tanah air. Ramai yang tidak menyokong dan aku berada dalam keadaan 'dilema'.


Hanya aku dan seorang rakan sahaja yang cuba dibantu oleh ustazku (Syeikh Abdul Halim Naam yang sedang melanjutkan Ph.D di UK dalam bidang pendidikan) untuk ke luar negeri. Tiba-tiba dalam waktu yang agak kritikal itu, rakanku memberitahu yang dia hanya mahu melanjutkan pengajian di dalam negeri sahaja atas kemampuan keluarganya. Sekali lagi aku rasa seperti terhempas dari piring UFO tanpa paracut. Hingga aku katakan, apa yang akan terjadi, aku tak kira, kemahuanku pada suatu benda yang aku sendiri pun masih kabur untuk mencapainya. Aku tetap berkeras untuk mencapainya, hatiku mendesak agar aku teruskan usaha, lawan tetap lawannn!


Akhirnya, atas desakan dan pujukan kepada rakanku itu. Beliau bersetuju untuk terus bersama berjuang. Kami bersama membendung segala masalah dengan hati tekad bulat berserah kepada Allah Taala. Kuasa Allah mengatasi segalanya, dan akhirnya kami berjaya mendapat persetujuan keluarga dan dengan berbekalkan duit yang sedikit kami menaiki pesawat untuk ke luar negeri.


Antara tahun 1992 hingga tahun 1996 suatu waktu yang panjang, tapi dengan doa dan usaha yang tidak putus-putus, akhirnya aku berjaya mencapai impianku itu. Alhamdulillah. Tidak semua perkara yang kita mahukan dapat dalam sekelip mata, tapi dengan penat jerih yang tidak mampu diberitahu kepada sesiapa dan hanya Allah yang Maha Mengetahuinya. Bila kejayaan itu dapat dicapai, azab yang ditanggung dalam masa 5 tahun lalu hanya sekadar 'gores-gores luka' yang mengentalkan jiwa.


Segala puji-pujian seisi alam hanya untuk Allah Taala sahaja. :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan