Allah Taala said:

Thus, GOD does not change the condition of any people unless they themselves make the decision to change. [13:11]

Pesan Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam

Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi dan al-Tirmizi berkata ia hadis sahih.
Daripada Abu Najih al-'lrbadh ibn Sariyah r.a. beliau berkata: Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam telah menasihati kami suatu nasihat yang menggetarkan hati dan mencucurkan airmata. Kami bertanya: Ya Rasulullah! la seolah-olah nasihat orang yang mahu mengucapkan selamat tinggal, maka berikanlah kami wasiat. Baginda bersabda: Aku mewasiatkan kamu supaya bertakwa kepada Allah 'Azza Wajala, supaya mendengar dan taat, sekalipun kamu diperintah oleh seorang hamba. Sesungguhnya, barangsiapa di kalangan kamu yang masih hidup nanti, nescaya dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa' Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan kuat (iaitu berpegang teguhlah kamu dengan sunnah-sunnah tersebut) dan berwaspadalah kamu dari melakukan perkara-perkara yang diada-adakan, kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat.

Selasa, 19 Mei 2009

Berjumpa di Alumni SMKASAS 2009

Aku dan member lama, Syeikh Ahmad Faisal Adnan.

Pada 16 Mei tahun ini, aku telah ke sekolah lamaku di Perak iaitu SMKASAS. Emmhh.. macam laporan ler plak. Arghh kira laporan laa ni. Aku sampai di situ dalam jam 11.00 pagi, sedangkan 11.30 majlis baru bermula. Aku menelefon kawanku yang masih lagi berada di rumahnya di Lahat. Beliau pula menantikan kedatanganku ke rumah ‘baru’nya. Aku tidak suka berpusing-pusing 2 3 kali, jadi aku terus sahaja melalui highway Lumut.

Aku dan isteri teringatkan nostalgia sewaktu kami masih berada di sana. Selama satu tahun setengah aku berada di situ. Aku tidak pernah menegusnya walaupun kami berada dalam satu kelas. Entah mengapa, aku pun tidak tahu… mungkin aura antara kami begitu kuat berselisih.

Nak kata aku seorang pendiam atau pemalu, hubungan dan interaksi aku dengan rakan pelajar perempuan yang lain okey saja. Sewaktu prep, kami rajin berbual dan berbincang dengan satu-satu topik ‘hangat’. Antara topik yang masih terbayang diingatanku ialah topik aurat wanita, topik jihad, topik perjuangan dan entah berapa macam topik yang hangat diperbincangkan sekitar tahun 1995 lalu.

Aku agak aktif di sekolah ini kerana kebaikan para ustaznya yang tidak sempat aku temui pada hari itu. Antara ustaz yang dikira agak ‘kamceng’ dengan kami pelajar enam atas ialah ustaz Halim Naam, ustaz Muhammad, ustaz Zahidan, ustaz Arshad, ustaz Mustafa Kamal, ustaz Sidek, cikgu Ashaari Omar dan ramai lagi. Mereka banyak membawa perubahan pada diriku. Ini kerana sewaktu aku berada di SMA al-Khairiah Temerloh. Aku adalah seorang yang pasif dan setiap pencalonan yang cuba diberikan kepadaku, aku masih mempunyai ruang untuk melepaskan diri kerana ramai pelajar lain yang akan mengambil posisi tersebut.

Hubungan antara guru dan pelajar juga mempunyai jurang yang terlalu luas. Hanya beberapa orang guru sahaja yang agak kamceng dengan pelajar mereka, seperti cikgu Pian, cikgu Lotepi, ustaz Naza, ustaz Tarmizi dan itu sahaja yang masih terlekat di mindaku. Manakala ustaz Din yang kami panggil ‘ulama’ pula adalah seorang cukup aku hormati kerana keterampilannya dalam mendidik kami. Setiap usrah dakwah yang beliau berikan kepada kami sepanjang enam tahun aku berada di sana. Cukup memberi kesan kepadaku hingga kini dalam melakukan keikhlasan untuk terus berdakwah.

Berbalik pada perjumpaan aku di SMKASAS kali ini. Aku berasa agak kecewa kerana tidak dapat bertemu dengan para guruku. Di sanalah aku dapat ‘berkawan’ dengan guru-guruku dan jurang yang rapat ini menjadikan aku lebih selesa untuk belajar. Setiap permasalahan yang timbul, aku secara langsung mengemukakannya kepada guruku di mana sahaja aku berada di sekolah tersebut. Hubungan rapat ini menjadikan diri aku lebih yakin untuk berinteraksi dan keyakinan itu mengikis sikap pasifku.

Walaupun aku hanya sebentar cuma berada di sana. Aku sempat meninggalkan beberapa bakti dan sumbangan kepada sekolah ini, walaupun aku sudah keluar darinya sejak tahun 1995 lagi. Aku masih dapat melihat tulisan khat ‘huduh’ yang aku buat seorang diri bertakhta di kantin sekolah ini (dalam gambar di atas). Bagi aku, khat itu cukup ‘huduh’ kerana kekurangan latihan dan itu antara ‘percubaan’ aku buat kali pertama menulis di atas dinding besar.
Bahagian luar dinding kantin tersebut dengan corak yang lebih menarik sudah dipadamkan dalam tahun ini agakku. Bentuk 3 kubah ala-Andalus itu dapat bertahan hampir 13 tahun sebagai tatapan generasi SMKASAS selepasku. Itu antara perkara yang cukup membanggakan dalam rekod peribadiku di bidang seni yang aku warisi daripada almarhum ayahandaku.

Sejak kecil aku sudah melihat bakat seni tulisan khat ayahandaku bertakhta di dinding masjid Felda kampungku. Beberapa buah hadis jelas terpampang gah menasihati jemaah masjid agar diam ketika khutbah dibacakan pada hari Jumaat. Sehinggalah pada tahun 2000 apabila ubahsuai dijalankan di masjid tersebut, paparan tersebut diturunkan dan tidak diangkat lagi selepas hampir mencapai usia 25 tahun ia berada di sana. Begitulah bakat penulisan khat yang aku pernah ceburi.

Tapi kini, aku sudah tidak menceburi bidang itu lagi. Aku lebih suka menumpukan pada seni penulisan karya agama yang masih banyak ruang untuk diisi. Bukan bidang penulisan dari aspek sastera, novel cereka, cerpen dan banyak lagi bidang penulisan ini. Tetapi aku ingin menumpukan beberapa buah penulisan ilmiah dalam beberapa topik besar yang masih belum disentuh oleh penulis Melayu mutakhir ini. Topiknya? Biarlah rahsia seperti kata Datuk CT.

Apa pun, aku cukup gembira apabila melihat sekolah lamaku sudah menjadi sebuah sekolah cluster. Pengetuanya pula akan berangkat keesokan harinya ke United Kingdom selama dua bulan bagi menghadiri kursus pentadbiran Sekolah Cluster. Alhamdulillah!

Moral: Gunakan apa sahaja bakat yang kita miliki untuk memajukan umat ini. Jadilah insan terbaik yang dapat memberi manfaat kepada orang lain. Pesan almarhum ayahandaku kepada anak-anaknya suatu masa dahulu yang melekat di pemikiranku: Jadilah 3 orang yang bermanfaat, apabila dia tinggal di kampung, ia akan bercucuk tanam, apabila dia tinggal di bandar, ia akan berniaga dan apabila berada di sekolah dia akan terus belajar.

RahimakaLlah ya abi, Allahummaghfir lahu warhamhu wa ‘afihi wa’fu ‘anhu, wa akrim nuzulahu, wa wassi’ madkhalahu, wa ba’id bainahu wa baina khothayahu kama ba’adTa ya Rabb baina al-Masyriqi wa al-Maghrib, wa naqqi min khothayahu kama yunaqqa al-Tsaubu al-Abyadh min al-danas, wa aghsil khothayahu bil maa wa al-tsalji wa al-barad. Allahumma amin!.

Ke Kuala Gula (Tg. Piandang)




Selepas aku berasa hampa dalam pencarian sebuah tapak baru untuk kedai bukuku di Parit Buntar. Aku menongkah arus menuju ke arah pantau Tg. Piandang. Setelah 6 tahun aku berulang alik dari Temerloh ke sana selepas bermertuakan orang di kawasan tersebut. Aku belum pernah sampai di Tg. Piandang.

Keretaku memecut laju menghala ke pekan tersebut dengan melintasi dua buah sekolah agama yang besar di situ iaitu SMA al-Tahzib dan SMA al-Falah. Perjalanan melalui jalan atau ‘batas’ yang agak sempit. Apabila sampai di Tg. Piandang, tiada apa yang menarik di situ. Sekadar pekan kecil biasa yang dipenuhi dengan peraih ikan dan pemborong ikan laut.

Aku melencong ke arah kiri menghala ke Kuala Gula. Di sana perjalanan lebih sunyi kerana melalui jalan ladang sawit yang terbentang indah. Ini kerana agak luas daripada jalan kampung menuju ke Tg. Piandang tadi. Bila sampai di simpang Kuala Gula, aku segera masuk meredahinya untuk melihat pemandangan di sana. Semakin hampir ke sana, bau hanyir ikan menusuk hidung hingga ke kalbu. Aku tetap meneruskan perjalanan ke sana.

Apabila sampai di situ, suasana yang agak pelik berada di kiri kanan kami. Kami semua tertanya-tanya apakah benda yang berada di kiri kanan kami berwarna kuning ini. Apabila semakin dekat. Barulah kami ketahui bahawa ‘benda’ itu adalah udang kering yang begitu digemari oleh suri rumah ketika menggoreng bihun @ beehon @ mihun @ meehoon dan apa sahaja yang sama rupa dan spesisnya.

Selepas melihat gambar di atas, mungkin ada pihak yang ingin membuat pertandingan atau rekod: hamparan udang kerieng terpanjang di dunia. Bukankah ini akan menaikkan taraf ‘kebolehan’ kita dengan melakukan apa sahaja yang terbesar, terlebar, tertinggi, terpanjang dan terpendek.

Sebaik sahaja kami pulang, aku terdengar isteriku melaporkan berita yang kami lihat itu kepadanya. Beliau yang mendengar setiap perincian laporan tersebut, terus tersenyum seraya berkata, “Itulah mak tak suka sangat beli barang buatan orang ca ya nun alif ni. Kalau ikan kering mereka tu, dijemur atas jalan. Kadang-kadang digonggong dek hanying [1] ke sana ke mari.”

Aku yang terdengar ‘pengalaman’ tersebut, terus berasa mual dan tak sedap badan bila teringatkan udang kering dan ikan kering yang cukup dibanggakan itu. !@#$%$&&^


Moral: Kita perlu membiasakan mencari apa yang tersirat daripada hanya menerima apa yang tersurat. Barulah daya pemikiran kita boleh dianggap kritis.
1- Hanying atau ha-nying adalah bahasa halus yang aku sering gunakan untuk tidak memproklamirkan istilah dog owk owk. Ini sama sahaja jika kita memperhaluskan isu selesema vavi atau influenza A H1N1 yang ditakuti kini dengan tidak memperoklamirkan istilah barat pig oink oink.

Keriuhan anak-anak murid di sekolahku....

Sambutan Hari Guru
di sekolahku....

Para guru mengucapkan ikrar... aku pula sedang mengambil gambar sambil berikrar.


Murid-murid yang berbual sambil mendengar.


Murid-murid yang agak ramai berbanding sekolah lain di sekitar Temerloh.


Sesi pagi dan petang yang ramai apabila dikumpulkan dalam satu sesi.


Hadiah dari murid-muridku... dan salah seorang muridku telah menghadiahkan
sebatang rotan yang dibelinya sendiri untukku bagi mendidiknya.
Hanya aku yang masih menggunakan rotan sewaktu mengajar
di dalam kelas (sunnah dalam mendidik mereka yang nakal).





Ke Jengka Pusat atau Bandar Jengka (kini – Bandar Tun Abdul Razak)


Selepas pulang dari kerja iaitu pagi di sekolah dan petang di kedai. Ibu saudara pupu aku atau jika dipanggil oleh orang Utara sebagai Mak Menakan Pupu aku telah datang dari Kedah untuk menghantar anaknya ke Pusat Matrikulasi Jengka. Pada jam 6.00 petang kami ‘berambat’ [1] pulang untuk menghantar mereka terus ke Jengka di rumah seorang lagi saudara yang bekerja di UiTM Jengka. Aku sendiri belum pernah berkenal dengannya.

Jadi, malam itu kami bersolat Maghrib di sana. Selepas berbual-bual dan makan malam di sana. Kami segera bertolak [2] pulang ke rumah. Semasa keluar dari rumah itu. Aku teringatkan sebuah buku yang aku pinjam dari Syeikh Ali bin Nayif yang masih belum sempat ku pulangkan. Aku meminta izin ibuku untuk menyinggah sebentar di rumah syeikh tersebut. Selepas itu, aku segera ke sana dan membawa sedikit buku hasil karyaku untuknya sebagai hadiah. Apabila sampai di hadapan rumahnya. Aku segera memberi salam dan kebetulan beliau sedang menghadap komputernya. Beliau menyambutku dan bertanya khabarku.
Aku masuk dan berbual-bual dengannya sebentar bagi menyatakan tujuan asalku. Agak lama kami berbual mengenai buku dan penulisan. Ratusan karyanya di dalam komputer masih belum dihasilkan sebagai buku. Berbeza dengan aku yang tidak setara ilmuku berbandingnya, sudah hampir 15 buah buku berjaya dihasilkan dan dipasarkan. Sementelah buku yang agak basis dalam setiap topiknya.

Aku rasa malu sendiri di hadapannya. Sedangkan bagi sesetengah pembaca, mereka menyatakan buku itu agak ilmiah dan sukar dihadam dengan sekali baca. Tapi bagi aku, aku malu dengan karya garapan aku yang tidak seberapa itu. Hingga kini aku tidak mahu menggelar diriku sebagai seorang penulis dan aku tidak merasa bangga dengan bakat yang jauh dari diriku.
Syeikh Ali begitu bersemangat apabila aku nyatakan yang aku akan cuba mencari pihak yang ingin mencetak bukunya itu. Berulang kali beliau nyatakan kepadaku. “Hasil tulisanku ini, semuanya untuk manfaat umat Islam seluruhnya.” Beliau menegaskan, “Kita semua akan mati, tapi ilmu ini tidak akan luput apabila dibaca sekalipun penulisnya telah mereput di dalam kubur.”

Aku berasa jauh… jauh dengan upayanya dan jauh dari niat utamanya. Kadangkala aku cuba mencari ‘makan’ dengan penulisan. Tapi hasilnya tidak seberapa bagi penulis buku agama seperti aku. Akhirnya, selepas aku menghilangkan cita-cita itu dan mengikhlaskan niatku sebagaimana Syeikh Ali berpesan semula kepadaku pada malam itu.

Baru aku lihat dan terkesan, bahawa 2 3 tahun hasil kerjaku terhenti kerana tidak punya dorongan daripada Allah. Sebaik sahaja aku memantapkan usaha dengan niat untuk menyebarkan ilmu kepada mereka yang ingin tahu. Aku berjaya menyiapkan hampir 8 penulisan dalam masa 3 tahun. Berbeza sungguh…

Walaupun tidak sampai 15 minit kami bertemu. Beliau sempat memberiku 3 biji buah epal sebagai bekal pulang. “Tiada apa yang boleh diberikan kepada tetamu.” Ujarnya selepas aku meminta izin pulang.

Moral: Kata ulama, “jika angan-angan itu adalah suatu yang buruk bagi orang awam. Namun, angan-angan itu adalah suatu yang baik bagi para penulis dakwah. Kerana jika mereka tidak berangan-angan sudah pasti sesebuah hasil penulisan itu tidak akan menjadi kenyataan.”

1- Berambat = hambat atau kejar - berkejar.
2- Bertolak = bergerak pulang. Bukan menolak kereta untuk pulang, jika bertolak kereta, mungkin dua hari lagi kami belum sampai ke rumah.

Kembara ke Kapar


Dalam minggu lepas, aku telah pergi ke Kapar dengan isteri yang tercinta. Kami bertolak seawal jam 6.00 pagi dari Temerloh. Apabila sampai di Kapar, jam baru menunjukkan pukul 9.00 lebih. Kami meronda-ronda di pekan Kapar untuk menjual ‘buku terpakai’ pada mulanya. Namun, kedai yang dicari tidak berjumpa.

Akhirnya kami berhenti makan sebentar dan menyambung semula pencarian, hampa jua akhirnya. Inilah akibat terlalu mengikut kata SMS. Apa pun kerana kesilapan ini juga, kami berjaya sampai ke Kapar buat pertama kalinya. Ini pun hanya sekadar meng’gagau’ mengikut signboard sahaja daripada gambaran yang diberikan oleh GPRS sebelum itu.

Apa pun best juga ke tempat orang, sambil berjalan-jalan. Boleh juga melihat suasana pemandangan yang cantik. Antaranya pemandangan pokok kelapa di atas, pada mulanya aku sangka ia adalah pokok kelapa. Tetapi selepas diamati, aku perhatikan ia adalah pokok kelapa sawit. Keratan pangkal pelepahnya tidak kelihatan dengan jelas sebagaimana sebelah negeri aku di sini (Pahang). Manakala batangnya pula berbentuk bengkok, sama dengan pohon kelapa. Jika di tempatku, pangkal pokoknya tegak lurus.

Pangkal pelepahnya pula tidak ada yang tertanggal kecuali beberapa batang pokok yang tidak subur dalam sesebuah ladang. Pemandangan ini begitu menarik pada diriku. Jika Malaysia boleh hasilkan ladang kelapa berhektar-hektar di sesebuah kawasan macam di Perak, sudah pasti negara kita mempunyai sebuah kawasan perladangan yang hebat di mata dunia.

Aku sendiri tidak tahu mengapa aku begitu memandang tinggi pada pohon kelapa yang sememangnya banyak di belakang rumahku. Tinggi sayup mencucuk langit. Aku sendiri tidak pernah memanjat dan apatah lagi meminum air kelapa muda hasil darinya. Cuma aku mengambil kelapa tua yang akan dikupas, dibelah dan dimesin untuk dibuat santan. Entah kenapa? Aku sendiri tidak pernah menemui jawapannya.

Moralnya: Berjalan-jalanlah mencari pengalaman. Seseorang yang tidak pernah nak berjalan, dia sendiri tidak akan mengetahui hakikat ‘kelelakian’ sebenar… ini peribahasa Arab Berber.
*Lupa nak cerita, sewaktu aku pulang melalui jalan Kelang, aku sempat bertemu dengan seorang rakan lama yang kebetulan bercuti pada hari itu. Banyak yang kami bualkan dalam tempoh sejam tersebut. Kalau nak tahu, masuklah ke dalam fotopagenya yang menarik...

Ahad, 17 Mei 2009

Doa Hari Guru 2009



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ
وَالصَّلاَة ُوَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ

Ya! Allah, ya Tuhan kami, segala puji dan syukur hanya untukMu di atas segala rahmat dan nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami sempena sambutan Hari Guru kali ini.

Ya! Allah, Tuhan Yang Maha Pengampun,
Dengan penuh rasa rendah diri kami menadah tangan bermohon keampunan dan rahmat dari sisiMu. Sesungguhnya kami hanyalah hambaMu yang lemah. Maka ampunilah segala kesalahan yang telah kami lakukan sama ada yang disedari atau tidak disedari. Kurniakan taufiq dan hidayah kepada kami dan guru-guru kami supaya jalan hidup kami sentiasa diberi petunjuk olehMu di dunia dan mendapat ganjaran setimpal di akhirat kelak.

Ya Allah, Tuhan Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat,
Dengarkanlan harapan dan pengaduan kami ini. Mustajabkanlah permohonan kami agar Engkau mengurniakan kesejahteraan dan kesihatan kepada guru-guru kami yang menjadi payung kepada generasi akan datang.

Semoga Engkau mengurniakan kekuatan kepada diri mereka untuk terus menjalankan amanah dan tanggungjawab dalam memainkan peranan bagi memartabatkan pendidikan generasi kami berteraskan al-Quran dan al-Sunnah.

Ya Allah, Ya Karim,
Jadikanlah guru-guru kami mempunyai darjat yang tinggi serta hiasilah mereka dengan kebijaksanaan, binakanlah benteng ketakwaan dan keimanan yang teguh kepada mereka. Hindarilah mereka daripada perkara yang memudaratkan diri, keluarga, agama, bangsa dan negara.

Ya Allah, Ya Aziz Ya Ghaffar,
Anugerahkanlah segala kemudahan kepada para guru kami agar mereka senantiasa mendapat kejayaan dan kecemerlangan di dunia dan akhirat. Berkatilah usaha dan sumbangan kebaikan mereka di dunia ini.

Berikanlah kekuatan kepada mereka untuk mencapai kejayaan dan kemajuan diri dalam mendidik anak bangsa ibu pertiwi. Anugerahkanlah kepada mereka kualiti kehidupan yang lebih baik dari hari-hari sebelumnya. Tinggikanlah darjat mereka di sisiMu, sucikanlah hati mereka dengan keikhlasan berbakti untuk agama, bangsa dan negara.

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا ءَاخِرُهُ
وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمُهُ وَخَيْرَ أيَّامِنَا يَوْمَ ألْقَاكَ فِيْهِ
اللَّهُمَّ اغْفِرْلَنَا ذُنُوْبَنَا وَلإِخْوَانِنَا الَّذِيْنَ سَبَقُوْنَا بِالإِيْمَانِ
وَلاَ تَجْعَلْ فِيْ قـُلُوْبِنَا غِلاًّ لِلَّذِيْنَ ءَامَنُوْا رَبَّنَاإنَّكَ رَءُوْفٌ رَحِيْمٌ
رَبَّنَا ءَاتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَة ً وَفِي الأخِرَةِ حَسَنَة ًوَقِنَا عَذَابَ النَّار ِ
وَصَلَّى اللهُ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ،
وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ


Selamat Hari Guru....