Allah Taala said:

Thus, GOD does not change the condition of any people unless they themselves make the decision to change. [13:11]

Pesan Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam

Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi dan al-Tirmizi berkata ia hadis sahih.
Daripada Abu Najih al-'lrbadh ibn Sariyah r.a. beliau berkata: Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam telah menasihati kami suatu nasihat yang menggetarkan hati dan mencucurkan airmata. Kami bertanya: Ya Rasulullah! la seolah-olah nasihat orang yang mahu mengucapkan selamat tinggal, maka berikanlah kami wasiat. Baginda bersabda: Aku mewasiatkan kamu supaya bertakwa kepada Allah 'Azza Wajala, supaya mendengar dan taat, sekalipun kamu diperintah oleh seorang hamba. Sesungguhnya, barangsiapa di kalangan kamu yang masih hidup nanti, nescaya dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa' Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan kuat (iaitu berpegang teguhlah kamu dengan sunnah-sunnah tersebut) dan berwaspadalah kamu dari melakukan perkara-perkara yang diada-adakan, kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat.

Selasa, 26 Januari 2010

Pro Kontra Isu Penggunaan Kalimah ALLAH


Oleh: Mohd Fikri Bin Che Hussain

Saban hari masyarakat dipaparkan dengan isu nama Allah yang dituntut penggunaannya oleh pihak Gereja Katolik yang membuatkan jalan penyelesaiannya seolah-olah semakin buntu. Permohonan pihak Gereja Katolik untuk menggunakan kalimah Allah yang merujuk sebagai tuhan mereka telah mendorong reaksi banyak pihak terutamanya penganut agama Islam yang sekian lama mengunggulinya.
Penggunaan kalimah ini menjadi semakin ‘panas’ apabila keputusan pihak Mahkamah Tinggi telah membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Majalah Herald The Catholic Weekly dalam rencana terbitan mereka. Usaha menghalangnya oleh individu dan kelompok masyarakat Islam menjadi semakin ‘parah’ hingga membawa kepada serangan ke atas gereja penganut Kristian di beberapa negeri dan tindakan balas ke atas surau dan masjid milik umat Islam.
Isu ini sebenarnya mempunyai nilai negatif dan positifnya yang mengundang reaksi pelbagai pihak di kalangan umat Islam hatta membawa pertikaian yang cukup ‘tegang’. Kebiasaannya di kalangan masyarakat Melayu Islam, mereka akan berpandangan lebih negatif dan tidak mahu kedudukan dan keselesaan mereka diganggu gugat oleh mana-mana pihak.
Malahan dalam isu ini, kalimah Allah dianggap sebagai satu ‘kalimah kudus’ yang ‘harus’ dimiliki oleh umat Islam berbangsa Melayu sahaja sebagai satu peletakan kesucian agama. Perkongsian kalimah tersebut tidak ‘boleh’ diguna pakai oleh anutan agama, bangsa atau kaum lain dengan anggapan bahawa Kalimah Allah adalah kalimah yang tertinggi yang tidak wajar dikongsi bersama.
Alasan mereka yang berpendirian sedemikian adalah disebabkan pandangan negatif mereka yang dinyatakan sebagai satu fokus pada pensucian Islam itu sendiri. Mereka menjelaskan bahawa kalimah Allah itu berasaskan Tauhid iaitu keesaan yang tidak boleh diguna pakai oleh agama lain. Malahan mereka turut berpendapat bahawa Allah yang dimaksudkan oleh agama lain adalah berbeza dengan Allah yang dimaksudkan oleh Islam.
Mereka juga berpandangan tidak wajar digiringkan bersama Allah dengan tuhan-tuhan yang lain sebagai sekutu padanya. Sebagai contoh, al-Quran pernah mendedahkan dalam surah al-Taubah yang membawa maksud bahawa orang Yahudi menyatakan Uzair itu adalah anak Allah, manakala penganut Kristian pula mengatakan Isa al-Masih itu adalah anak Allah. Dalam penjelasan ringkas ini, didapati Allah yang dimaksudkan oleh Yahudi dan orang-orang Kristian merupakan tuhan lain daripada Allah yang menjadi asas tauhid bagi umat Islam.
Ini kerana ketauhidan dari aspek makna al-Ahadiyah dan al-Samadiyah itu merupakan satu tunggak kepercayaan bagi umat Islam. Ini amat berbeza dengan apa yang didakwa oleh penganut agama lain, sedangkan bagi kaum muslimin mereka berpegang bahawa Allah tidak mempunyai anak, tidak diperanakkan dan tidak ada generasi yang menjadi pengganti pada kekuasaanNya.
Sehubungan dengan itu, pihak yang berpendapat sedemikian mahukan penegasan mengenai perkara berkenaan agar ia dapat mengelakkan kekeliruan dan pertelingkahan yang dikhuatiri menatijahkan pertembungan yang sengit dan mampu menggugat keharmonian kaum dan agama di negara ini.
Alasan kedua bagi pihak yang menolak penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain adalah berfaktorkan sentimen keagamaan yang banyak membangkitkan huru-hara dan ketidakamanan sosial di negara-negara lain sejak dulu hingga kini. Mereka menjuruskan peringatan tentang bahaya ini jika nama Allah terus digunakan oleh agama lain. Akan mengundang reaksi lebih agresif dari pelbagai pihak yang tidak mampu berkompromi dalam penggunaannya. Isu toleransi beragama ini semakin hampir dilupakan hingga kemuncaknya apabila kejadian membakar gereja berlaku selepas itu.
Berkemungkinan ada di kalangan individu atau kumpulan pelampau Islam yang marah dengan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Majalah Herald The Catholic Weekly. Wujud juga kebarangkalian pihak lain yang cuba menangguk di air keruh dengan menjadi dalang bermotifkan politik semata-mata. Mereka cuba sedaya upaya untuk memburukkan lagi keadaan selain menjejaskan imej Melayu Islam di mata dunia. Segala-galanya mungkin, kerana senantiasa wujud anasir luar yang tidak pernah berputus asa untuk mensabotaj negara ini.
Pembakaran rumah ibadat penganut agama lain adalah perkara yang sangat terkutuk dan tidak wajar dihalalkan atas nama menjaga atau memelihara kesucian agama. Apa yang lebih dikhuatirkan, kejadian sebegini dicetuskan oleh mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan atas isu ini.
Seluruh individu masyarakat pastinya tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada kejadian buruk sebegini. Sungguhpun kejadian membakar rumah ibadat boleh dianggap remeh daripada kesan fizikal yang menimpanya, namun ia memberi kesan emosi yang mendalam antara penganut kedua agama. Jurang emosi ini jika tidak ditangani segera boleh menjadi satu lagi akar perpecahan dan pemisahan dalam negara.
Alasan mereka yang menolak penggunaan kalimah Allah ini dari digunakan oleh penganut agama lain adalah disebabkan kebimbangan terhadap generasi muda Islam pada masa akan datang akan berpendapat dan melihat semua agama adalah sama. Penularan ideologi Liberalisme dalam beragama yang kian menjadi-jadi dewasa ini di kalangan generasi baru umat Islam pasti menjadi barah yang lebih parah dengan timbulnya isu ini.
Ini disebabkan penggunaan nama Allah boleh digunakan oleh banyak anutan dan agama lain selain Islam. Malah ia akan menjadi kesinambungan pada isu murtad yang pernah menggegarkan negara pada suatu masa dahulu. Permohonan secara terbuka dari pihak Kristian ini juga dilihat sebagai satu sarana dakyah Kristianisasi mereka secara ‘halus’ di bumi umat Islam. Dalam situasi generasi umat Islam yang lemas dalam budaya Hedonisme ini, membuatkan cara ini mampu menebarkan lagi usaha dakyah mereka.
Selain itu, larangan dan tentangan ini bagi mengelakkan mereka mempersendakan Allah dalam sebaran kepada masyarakat Islam atau mempermain-mainkan nama Allah dalam tulisan, lukisan, filem dan seumpamanya seperti yang sering berlaku dalam masyarakat Barat dekad ini. Sekalipun isu ini lebih bersifat tempatan atau keselamatan setempat, ia bukan membabitkan larangan secara khusus dari nas Islam.
Jadi, golongan umat Islam yang lebih mengambil sikap bertegas dengan keras membantah segala bentuk keizinan dan apa sahaja cara yang menghalalkan penggunaan kalimah Allah ini dari digunakan oleh penganut agama lain.
Manakala dari aspek positifnya pula yang banyak dipelopori oleh mereka dari kelompok generasi muda dalam bidang agama dan parti politik. Mereka ini dilihat cukup liberal pendiriannya berbanding dengan pendirian pihak konservatif yang meletakkan pensucian agama mengatasi kepentingan peribadi dan kepartian.
Mereka yang pro dalam hal ini berpendirian bahawa, keinginan masyarakat bukan Islam menggunakan kalimah ‘Allah’ sebagai tuhan adalah suatu perkembangan yang positif dan perlu diterima secara terbuka. Tidak perlu mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan untuk menjadikan isu ini sebagai agenda peribadi atau politik untuk menampakkan bahawa mereka adalah jaguh dalam mempertahankan agama Islam di negara ini.
Fenomena ini adalah satu manifestasi dari fitrah insani bahawa manusia mengaku dan mengiktiraf penciptaan dunia oleh Allah Taala sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Dan jika kamu bertanyakan mereka (orang kafir), siapakah yang telah menciptakan langit dan bumi? Mereka pasti akan menjawab: Allah!” (Surah al-Zumar -39:38).
Hal ini adalah jelas bahawa penggunaan kalimah Allah untuk mengiktiraf dan membesarkan Allah sebagai Tuhan, adalah hak asasi setiap insan. Malah perlembagaan negara ini turut menjamin kesucian dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan lain-lain agama boleh diamalkan dengan aman dan damai.
Hal ini juga bersesuaian bagi mereka yang berpandangan dalam memperjuangkan agama Allah bahawa sebahagian usaha dakwah ke atas non-Muslim akan bertambah senang. Malahan usaha untuk menegak yang makruf dan mencegah yang mungkar akan menjadi lebih mudah dan selesa berasaskan firman Allah: “Katakan wahai Ahli Kitab, mari tegakkan kalimah yang sama antara kami dan kamu iaitu bahawa kita tidak akan menyembah selain Allah dan tidak mensyirikkan Allah dengan suatu apapun serta janganlah ada di antara kita yang mengambil tuhan-tuhan selain Allah. Dan jika mereka berpaling maka katakanlah bahawasanya kami adalah orang Islam (menyerah diri pada Allah).” (Surah Ali-`Imran - 3:64).
Tidak ada yang perlu digusarkan dengan pengambilan kalimah Allah ini kerana sepanjang sirah Nabi Muhammad SAW, baginda tidak pernah meminta ditukar nama dengan memarahi Abdullah bin Ubai yang ternyata munafik dan memusuhi diri baginda dan umat Islam ketika itu. Sekiranya penggunaan nama Allah itu adalah suatu hal yang dianggap penting, sudah pasti Nabi Muhammad dan para sahabat akan melarang penggunaannya di kalangan penduduk Yahudi yang bertebaran di sekitar Madinah ketika itu. Salah seorang tokoh agama Yahudi yang bernama Abdullah bin Salam, akhirnya menganut Islam atas dakwah dan toleransi Nabi Muhammad serta para sahabat baginda yang lain.
Penjelasan di atas secara pasti menyatakan tidak ada salahnya penganut agama lain menggunakan nama Allah dan larangan mengenainya akan memberikan gambaran bahawa Islam adalah agama tertutup dan rigid. Walaupun demikian perlu ditegaskan bahawa non-Muslim tidak boleh memutarbelitkan ajaran Islam dengan mempergunakan nama Allah sebagai umpannya. Tindakan jahat seperti itu wajar diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa kerana ia menyalahi peraturan dan norma kemanusiaan yang dipegang oleh Islam bahawa tiada siapa boleh memutar belitkan maksud ajaran golongan lain. Malah, kaum muslimin juga tidak boleh memutarbelitkan ajaran agama yang dianuti oleh orang lain.
Dari sudut sejarahnya, penggunaan nama Allah telah berlaku semenjak zaman lampau. Ini kerana asal anutan manusia adalah Islam dan nabi Adam yang diturunkan ke bumi adalah beragama Islam. Para rasul membawa anutan yang sama iaitu konsep tauhid atau mengesakan Allah sebagai tuhan yang satu dan paling layak disembah. Sementara –tuhan-tuhan yang diciptakan oleh manusia di muka bumi ini sebagai suatu sembahan lain adalah rekaan baru yang datang kemudian dari penggunaan nama Allah. Oleh itu, tidak hairan mengapa nama Allah telah digunakan dengan meluas.
Pada zaman jahiliyah, kaum Arab menyatakan bahawa salah satu tuhan mereka ialah Allah. Namun mereka menyembah tuhan lain selain dari Allah sebagai perantara antara mereka dengan Allah. Perbuatan berkongsi Allah dengan tuhan atau dewa yang lain inilah yang menjadikan mereka lebih dikenali sebagai kaum musyrikin. Golongan musyrik ini adalah mereka yang mensyirikkan Allah dengan mempercayai wujudnya tuhan-tuhan lain yang mampu menyampaikan maksud mereka kepada Allah.
Percubaan untuk melarang dari pihak agama lain menggunakan nama Allah bukanlah pencabulan terhadap kesucian Islam secara langsung. Bahkan percubaan menghalang penggunaan nama Allah ini tidak terdapat dalam al-Quran dan sunnah untuk diikuti. Meskipun begitu, tidak bermakna cadangan untuk menghalang itu salah dan perlu ditolak secara total. Ini kerana isu sebegini lebih patut dinilai dalam konteks ijtihad semasa yang berkisar dalam aspek dalil zhanni iaitu dalil kabur yang bersifat mungkin betul atau salah.
Jadi ada baiknya fatwa dan ijtihad para ulama ini dinilai dengan sebaiknya untuk diguna pakai oleh pihak berkuasa dan diterapkan dalam masyarakat. Segala pertikaian yang wujud hingga membawa kepada pencerobohan terhadap tempat suci agama lain adalah disebabkan kejahilan umat Islam. Umat Islam harus digesa agar tidak menggunakan keganasan sebagai jalan penyelesaian dalam hubungan dengan agama lain. Bahkan mereka perlu menggunakan teknik dialog, perbincangan dan berbagai cara yang lebih baik dan menarik.
Islam sendiri sebenarnya suatu agama yang sangat menekankan sikap toleransi sesama manusia. Malah Islam berprinsip tegas dengan tidak memaksa manusia untuk menganut Islam secara kekerasan dan paksaan. Sebaliknya Islam menggunakan pendekatan dakwah yang logik dan menerangkan segala bentuk keistimewaan dan kehebatannya.
Sehubungan itu, demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara, semua pihak perlulah menyelesaikan konflik ini dengan cara bijaksana atau lebih berhikmah sebagaimana saranan Allah mengenainya di dalam surah al-Nahl ayat 125 yang bermaksud: “Serulah (manusia) ke jalan tuhanmu dengan penuh hikmah dan bimbingan yang baik. Bantahlah mereka dengan cara yang terbaik. Sesungguhnya tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”
Pendekatan dialog dengan menyuburkan budaya dialog antara agama secara matang dan berkesan perlu diterapkan sebagaimana firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 46 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu berdebat dengan ahli kitab, melainkan dengan cara yang paling baik kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka (yang melampaui batas kemanusiaan). Dan katakanlah: Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu. Tuhan kami serta tuhanmu adalah satu (Allah) dan hanya kepadaNya kami berserah diri.”

Wallahu a'lam.

Isnin, 25 Januari 2010

Khamis, 14 Januari 2010

Sampai di Makkah (Haji 2009)


Gambar ini aku ambil dalam jam 4 pagi sebelum sampai di kota Makkah. Kawasan ini sudah termasuk dalam kawasan Makkah dan termasuk salah satu tempat persinggahan utama para jemaah haji yang datang dari Madinah atau ingin ke Madinah. Harga makanan boleh tahan! Biasa laa... Inilah masanya untuk mengayakan diri.
Aku mengambil gambar ini selepas keluar dari tandas 'Arab Badwi'. Jika negara Arab ni, antara cerita paling banyak digunakan oleh para pelancong Barat untuk 'menikam' Islam adalah tentang kebersihan tandas.
Rata-rata umat Islam sendiri mengetahui mengenai hadis "al-Nazhafat min al-Iman" bermaksud kebersihan itu sebahagian dari agama. Jadi, konklusi mudahnya, orang yang tak bersih di kira tidak berpegang dengan satu 'ranting' agamanya dengan baik. Jadi, janganlah jadi macam tandas Arab yang bukan sahaja tidak sempurna dan kotor, malah strukturnya juga tidak selesa.
Akhirnya, itulah salah satu bentuk 'ujian' yang Allah berikan kepada orang yang ingin menunaikan haji. Apatah lagi sewaktu mereka berada di Mina. Keadaan sungguh menyesakkan. Oppsss.. nanti kita cerita bab tu.. okey?
Kami sampai di Makkah, belum lagi masuk waktu Subuh. Akibat terlalu keletihan, aku agak lewat menunaikan solat Subuh pada pagi itu. Tidak berapa lama di Masjidil Haram, aku menyaksikan fajar menyinsing di dalamnya. Pemandangan yang aku rindukan itu, kini terubat rasanya.
Kaabah!
Tersergam di hadapanku!
Hitam Megah!
Hebat!
Mengulit resah...
Dikunjungi berabad lampau!
Pelbagai manusia dilihatnya!
Kiranya mampu bersuara..
Pasti dicerita dan dikisahkannya kepada kita...
Perihal manusia.
Sikap!
Perangai!
Tingkah laku!
Peribadi mereka di hadapannya!
Sungguh...
Ada yang teguh...
Ada yang rusuh...
Ada yang lusuh...
Ada juga yang berkeluh!
Mereka semua mencari DAMAI di sana...
Mengharap rahmat yang Maha Esa.

Dalam pukul 8.00 pagi, semua jemaah bersiap turun dari hotel untuk membuat umrah. Aku berseorangan kerana 'orang rumah' baru sahaja mendapat kebenaran 'bercuti'. Hari cutinya bermula 28hb Oktober 2009, bila dihitung semula. Hari wukuf akan belangsung pada 26hb November.
Jika ditakdirkan Allah, dipercepatkan sehari dua dalam waktu wukuf itu, kacau juga jadinya. Kalau nak makan pil pula, ia mampu merosakkan kitaran 'uzur' tersebut yang selalunya tepat pada hari-harinya. Jadi, kepada Allah sahaja kami meminta pertolongan...

Kelihatan jemaah sedang bergerak menuju ke Masjidil Haram. Hampir 350 orang dalam satu KT kalau tak silap aku. Ramai juga laa. Alhamdulillah, aku dapat tidur di Hotel Ghazzah yang terletak dalam kejauhan 450 meter dari Masjidil Haram. Kira rezeki juga laa... untuk aku dan isteri. Pada asalnya kami hendak ditempatkan di Hotel Janadriyah yang berada sejauh 750 meter dari masjid. Entah bagaimana rezeki menyebelahi kami, dapat juga kami ditempatkan di situ.
Walaupun begitu, semasa aku tinggal di situ. Kedengaran juga cerita seorang pakcik yang tidak 'berminat' turun ke Masjidil Haram. Dia lebih suka turun berjemaah di Masjid Kucing yang terletak di hadapan hotel penginapan kami. Mungkin ada pihak yang mendakwa sebagaimana yang aku dengari mereka menyatakan, "Solat di masjid Makkah ini pasti mendapat 100 ribu pahala. Kalau tak turun di Masjidil Haram pun tetap juga mendapat ganjaran sebesar itu."
Jika mengikut firasatku berlandaskan hadis yang sahih. Nabi SAW jelas mengkhususkan dalam hadisnya. Sabda Rasulullah SAW : "Solat di masjidil Haram bersamaan 100,000 solat, bersolat di masjidku bersamaan dengan 1000 solat, dan bersolat di masjid al-Aqsa bersamaan dengan 500 solat". (al-Thabrani) dan dari Jabir r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Satu sembahyang di masjidku lebih afdhal daripada seribu sembahyang di masjid-masjid yang lain, kecuali masjidil Haram (di Makkah): dan satu sembahyang di Masjidil Haram pula lebih afdhal daripada seratus ribu sembahyang di masjid-masjid yang lain.” (Imam Ahmad)
Dua hadis yang aku kemukakan di atas cukup membukikan bahawa solat di masjid-masjid lain tidak akan menyamai dengan Masjidil Haram dari aspek pahalanya. Ada pula yang bertanyakan soalan, "Adakah kita akan mendapat ganjaran yang sama apabila kita solat di bahagian Safa dan Marwah kerana bahagian tersebut ulama berpendapat tidak dikira sebahagian Masjidil Haram?"
Aku pula berfirasat, solat di bahagian tersebut juga masih dikira masjid kerana pada awalnya ia adalah bukan kawasan masjid. Begitu juga di bahagian lain masjid itu merupakan pasar kurma dan haiwan pada masa dahulu. Tetapi setelah ia diperbesarkan sebagai sebuah kompleks masjid yang begitu besar. Ia juga termasuk kawasan masjid.
Hal ini sama dengan makam Nabi SAW di masjid Nabawi yang pada mulanya berada di bahagian luar (rumah atau bilik Sayyidah 'Aisyah r.a.). Tetapi setelah dibesarkan, makam tersebut kini berada di bahagian tengah kompleks masjid. Jadi adakah ia masih dikira bahagian luar lagi?
Logik 'kampungnya', kalau serambi rumah jiran kita yang tinggal berhampiran masjid dijadikan tempat bersolat dengan disambung ke bangunan masjid. Adakah ia masih lagi dikira serambi rumahnya? Sudah tentu ia telah menjadi sebahagian masjid kan...?
Kalau orang bertanya kepada saya, apakah boleh bagi wanita haid berada di kompleks sa'ie Safa dan Marwah. Saya akan jawab, "Boleh berada di situ, kerana ia bukanlah sebahagian masjid dan tidak boleh dia berada di situ jika dia anggap kawasan itu adalah kawasan masjid." Susah tak nak faham?
Kalau susah lagi, saya mudahkan... Seorang perempuan yang uzur boleh berada di dalam masjid jika dia ingin mendengar pengajian agama dengan syarat dia yakin bahawa pakaian atau alat yang dia gunakan ketika itu dapat menghalang kotoran dari mengotori masjid. Jika dia tidak yakin, maka tidak perlulah dia berada di situ. Hal ini bukanlah suatu hal yang besar, sebagaimana yang ditanggapi oleh sebahagian orang kita. Kita perlu berkompromi dalam semua hal dengan memberikan penjelasan yang baik dan bijaksana. (Baca hadis bagaimana Nabi SAW menyekat para sahabat dari memukul badwi yang mmbuang air di dalam masjid, agar anda lebih memahami sunnah). Wallahu a'lam.

Menara besar itu akan siap tidak berapa lama lagi. Ia pasti akan menjadi mercu Makkah sebagai sebuah kota antarabangsa yang paling sibuk di dunia. Ia mampu mengalahkan kesibukan New York dan mana-mana ibu kota dunia pada masa kini.



Allahu Akbar! Syahdunya bila berada di hadapan Kaabah yang begitu agung. Usai tawaf aku mencari tempat di belakang makam Ibrahim untuk mendirikan solat sunat tawaf. Agak sukar berada di sana kerana kadangkala ada jemaah lelaki dan wanita yang sengaja mencari ruang hingga menjadi bercampur aduk. Jadi ini antara ujian biasa apabila berada di sana. Maka berwaspadalah bagi jemaah haji yang masih muda.

Alhamdulillah! Sebaik saja lepas bertahallul, aku berpusing-pusing mencari tempat makan kerana dari pagi lagi masih belum bersarapan. Berpusing di sini bukan 'kepala pusing' tetapi bersiar-siar menjamu mata dengan melihat-lihat keindahan Masjidil Haram ini. Kompleks yang semakin membesar ini cukup mengujakan.
Bangunan sa'ie antara Safa dan Marwah (Merve ditulis dalam bahasa Turki) kini sudah siap tingkat ke-4. Apabila dihitung dari bahagian tingkat bawahnya, bangunan itu kini mencapai 9-10 tingkat termasuk tingkat kereta tolak. Ehmmm... tinggi jugak!

Selepas aku siap bersarapan pagi, aku terus sahaja beriktikaf di Masjidil Haram untuk menunggu solat Jumaat. Sempat aku melihat para pekerja sedang menolak mimbar Jumaat keluar dari tempat simpanannya. Tengok mimbar kayu di tengah gambar ini. Susah nak dapat ni, kebetulan aku melihat kesesakan di situ dah macam rusuhan nak bawa keluar mimbar tersebut.


Gambar yang sempat aku ambil dari sebelah atas tangga. Indah sungguh pemandangannya. Selalu aku hanya menonton di TV sahaja. Kini aku melihat Kaabah tersergam di hadapanku. Memandang ke arahnya cukup mengasyikkan. Allahu Akbar!


Semasa aku cari 'port' untuk berlabuh. Aku melihat suatu situasi yang jarang dapat ku lihat. Seorang pemuda yang berdiri berhampiran tiang itu iaitu sebelah lelaki berjubah putih itu, sedang asyik mengoyangkan tubuhnya seolah-olah menari sambil berzikir. Aku kira hampir 1 jam lebih dia berkeadaan begitu, hinggalah muazzin melaungkan azan Jumaat.
Hari itu, Syeikh Abd al-Rahman al-Sudais menyampaikan khutbah Jumaat mengenai perpaduan umat Islam. Sungguh menusuk di jiwa aku mendengarnya secara langsung. Selepas habis solat Jumaat aku terus pulang ke hotel....
Sungguh indah hari itu ku rasakan....
P/S: Ya Allah! Izinkan aku menjengah ke sana lagi... Amin!

Selasa, 12 Januari 2010

Menuju Ke Makkah 2009


Kami bertolak ke Makkah selepas Maghrib. Hati sayu meninggalkan Madinah al-Munawwarah. Sebaik sahaja melepasi Madinah, sekitar 14 kilometer kami sampai ke Miqat Zul Hulaifah untuk bersolat Isyak dan sunat, di situ terlebih dahulu. Pihak Tabung Haji mengarahkan agar para jemaah siap berihram terlebih dahulu agar tidak berlaku kesesakan dan kelewatan. Jadi semuanya beres... Sayangnya, henpon aku tertinggal dalam bas bagi memudahkan pergerakan aku untuk bersolat. Tiada sebarang gambar yang dapat dirakamkan di situ.

Memakai pakaian ihram ini, sememangnya kurang selesa untuk bergerak. Berbagai rasa ada, semuanya berkaitan takut, bimbang, gugup, risau dan yang kurang meng'enak'kan. Dalam sejam dua selepas mengenakannya, barulah perasaan tadi beransur-ansur hilang dengan sendirinya. Paling risau 'nye' takut terlondeh je... yang lain okey. Dah lama tak pakai laaa katakan... Bila fikir semua orang pakai, tak ada dah laa perasaan yang 'macam tu'. Hikmah yang Allah suruh bagi kaum lelaki mengenakan ihram ini adalah untuk menjadikan mereka merasa insaf. Antaranya:
  1. Mula dah pakai kain putih sendiri, tak lama lagi orang akan pakaikan pula kat kita, siap bungkus lagi.
  2. Apa pun pangkat yang anda menjawatnya, sekalipun ada di hadapannya Sultan... di hadapan Allah Taala adalah sama sahaja. Tiada yang lebih, tiada yang kurang... hanya TAQWA yang membezakan kita.
  3. Kain putih ini adalah pakaian yang akan kita bawa bertemu dengan Allah pada suatu masa kelak. Bukan harta benda dan wang ringgit biarpun bertong-tong dan berguni-guni yang ada dalam simpanan kita. Semua itu akan ditinggalkan di dunia, kita pulang dengan sehelai kain putih yang membaluti badan dengan harga yang paling murah... insaflah.!

Selepas usai bersolat di atas bas kami mula bertalbiyah, tapi suara talbiyah orang kita agak malu-malu. Jadi, sebaiknya dilaungkan dengan suara yang kuat dan lantang. Aku sendiri agak sukar melaksanakannya kerana tiada geng, sekadar didengari 5 - 6 orang sahaja. Ada yang hanya mengatakan ia sekadar sunat dan ramai yang dah tangkap leleh (tidoq). Jadi, no komen, okey laa gitu!
Apa yang pasti, penghayatan di kalangan jemaah haji Malaysia agak kurang dari aspek sebenarnya. Mereka hanya ingin mendengar dari kalangan mereka yang mempunyai taraf pegawai Tabung Haji. Kadangkala apa yang kita sampaikan, mereka tidak boleh menerimanya. Kerana? Mereka tidak boleh menerima daripada orang lain yang tidak bertauliah.
Contohnya:
Siapa awak yang nak cakap benda ni?
Ustaz saya kata, bukan begitu. Sebenarnya, begini....
Awak ada tauliah ke?
Awak belajar setakat mana?
Dan pelbagai lagi persoalan yang dilontarkan...
Pernah sekali semasa di Mina, aku cuba menasihati sebuah khemah yang sering melaungkan azan 10 minit lebih awal dari masa yang sepatutnya. Jemaah lain turut terganggu dengan khemah tersebut setiap kali waktu solat tiba.
Manakala suara laungan azan di Masjid Mina boleh didengari dengan jelas pada kebeningan setiap pagi di sana. Malah, aku yang bersolat Subuh di Masjidil Haram setiap hari, amat pasti dengan masa pada jam yang aku gunakan ini bersamaan dengan waktu Makkah. Mina dengan Makkah hanya sekitar 3 - 4 kilometer sahaja. Masa masuknya waktu solat sudah tentu tidak banyak berubah.
Aku memberitahu kepada jemaah di situ agar jangan bersolat lagi kerana waktu masih awal. Jawapan yang aku terima dari seorang pakcik yang lewat usia awal 50-an dan kelihatan ala-ala ustaz dengan kopiah putih kerasnya, "Tolong, jangan campur urusan orang lain!"
Berdesing telingaku mendengar jawapan sedemikian. Aku terus berlalu pergi ke khemahku, sebaik sahaja mendengar jawapan tersebut. Setahu aku, solat sebelum masuknya waktu sudah tentu tidak sah. Kecuali jika anda tinggal di tengah padang pasir tanpa sebarang jam dan alat penentu tibanya waktu solat. Keyakinan masuknya waktu pada tahap ini bolehlah disandarkan pada ijtihad peribadi. Tetapi jika semua jemaah mempunyai jam dan mengetahui masuknya waktu yang sebenar, sebaiknya anda mengikut suara majoriti dalam hal tersebut. Wallahu a'lam.
P/S: Jangan jadi macam sorang junior aku masa kat Maghribi dulu, pukul 7 malam baru dia berkayuh basikal balik ke rumah sewa kami dengan harapan untuk bersolat Maghrib sebagaimana di Malaysia. Sedang dia berkayuh basikal, kedengaran azan Isyak telah berkumandang. Ini kerana masuknya waktu Maghrib pada musim luruh sudah berubah awal pada jam 6.15 petang. :)

Jumaat, 8 Januari 2010

Buku Baru - Suci Diri Mencari Ilahi - Tahun 2010


Buku ini merupakan sebuah karya yang dihasilkan pada tahun 2005 dan baru kini dapat diterbitkan. Buku ini agak mudah dihadam oleh para pembaca berkaitan Iman dan Islam.
Bahasa yang digunakan bukanlah dari bentuk ilmiah yang memeningkan kepala kerana buku ini memfokuskan kepada mereka yang ingin mengenali Iman dan Islam secara ringkas atau lebih mudahnya kepada pembaca yang tiada asas agama yang mantap.
Malah tiada sebarang aya al-Quran atau hadis yang ditulis dalam tulisan Arab/jawi dalam karya kali ini. Semoga anda dapat sesuatu yang baru dan dapat mempromosikan kepada rakan yang lain. Insya Allah!


IMAN
1- PERCAYA KEPADA ALLAH ITU SATU DAN TIADA DUA ATAU LEBIH.
1) Pelaksanaan Iman Dan Konsep Tauhid
i. Kepentingan Tauhid
ii. Merealisasikan Tauhid
iii. Pembahagian Syirik
2) Pengertian Ibadat
3) Tanda-Tanda Kebesaran ALLAH Untuk Diyakini

2- PERCAYA KEPADA PARA MALAIKAT
Cara Beriman Dengan Malaikat.
1) Asal Kejadian Malaikat.
2) Bilangan Malaikat.
3) Nama-Nama Malaikat.
4) Sifat-Sifat Malaikat.
5) Tugas-Tugas Malaikat.
6) Hak-Hak Malaikat Ke Atas Manusia.
7) Natijah Beriman Dengan Malaikat

3- PERCAYA KEPADA KITAB-KITAB ALLAH
1) Hakikat Beriman Dengan Kitab-Kitab.
2) Hukum Beriman Dengan Kitab.
3) Keperluan Manusia Kepada Kitab (Petunjuk) Dan Hikmah Daripada Penurunannya.
4) Cara Beriman Dengan Kitab-Kitab.
5) Menerima Khabar Berita Kitab-Kitab Terdahulu.
6) Kitab-Kitab Yang Diturunkan Dari Langit Yang Disebut Di Dalam Quran Dan Sunnah

4- PERCAYA KEPADA PARA RASUL YANG DIUTUSKAN
1) Hakikat Kenabian (Nubuwwah).
2) Hikmah Diutuskan Rasul.
3) Tugas-Tugas Rasul.
4) Islam Ialah Agama Semua Nabi.
5) Rasul-Rasul Adalah Manusia Biasa, Mereka Tidak Mengetahui Perkara Yang Ghaib.
6) Maksum (Pemeliharaan Dari Dosa) Kepada Para Rasul.
7) Bilangan Para Nabi Dan Rasul.
8) Mukjizat Atau Tanda-Tanda Kebenaran Para Nabi
9) Beriman Dengan Kenabian Muhammad

5- PERCAYA KEPADA HARI PEMBALASAN
Beriman Dengan Hari Kebangkitan
(1) Petanda Hari Kebangkitan
(2) Nama-Nama Hari Kebangkitan
(3) Sifat Keimanan Dengan Hari Kebangkitan
1) Fitnah Kubur
2) Azab Kubur Dan Nikmatnya
3) Tiupan Sangkakala (Trompet)
4) Kebangkitan
5) Perhimpunan, Perhitungan Dan Pembalasan
6) Beriman Dengan Kolam (Haudh) Nabi Muhammad
7) Syafaat
8) Neraca Timbangan Amalan
9) Titian Sirat Al-Mustaqim
10) Qantarah Sebuah Perhentian Di Antara Syurga Dan Neraka.
11) Syurga (Jannah) Dan Neraka (Nar).
12) Natijah Beriman Dengan Hari Kebangkitan

6- PERCAYA KEPADA TAKDIR BAIK DAN BURUK YANG DISEDIAKAN OLEH ALLAH
1) Pengertian Takdir Baik Dan Buruk Dan Kepentingan Beriman Dengannya.
2) Martabat Takdir Baik Dan Buruk.
3) Bahagian-Bahagian Takdir (Ketentuan).
4) Aqidah Mereka Yang Terdahulu Dalam Masalah Takdir Baik Dan Buruk.
5) Perbuatan Hamba.
6) Penyatuan Makna Di Antara Ciptaan ALLAH Dan Perbuatan Hamba.
7) Kewajipan Hamba Terhadap Takdir Baik Dan Buruk.
8) Redha Dengan Ketentuan Takdir Baik Dan Buruk.
9) Hidayah Terbahagi Dua
10) Iradah (Kehendak) Menurut Kitab ALLAH
11) Sebab-Sebab Yang Boleh Menolak Takdir Baik Dan Buruk (Ketentuan).
12) Masalah Takdir Baik Dan Buruk Merupakan Rahsia ALLAH
13) Hukum Berhujah Dengan Takdir Baik Dan Buruk.
14) Mengambil Sebab (Yang Menyelamatkan).
15) Hukum Mengingkari Takdir Baik Dan Buruk.
16) Natijah Beriman Dengan Takdir Baik Dan Buruk.

ISLAM
1 - DUA KALIMAH AKUJANJI (SYAHADAH)
2 - SEMBAHYANG
Bersuci
1) Istinjak
2) Wuduk
3) Mandi Junub
4) Tayamum
5) Darah Wanita
Sembahyang
1) Sembahyang Sunat
2) Sujud Sahwi
3) Sembahyang Jemaah
4) Sembahyang Jumaat
5) Sembahyang Jamak dan Qasar
6) Sembahyang Orang Sakit
7) Sembahyang Khauf
8) Sembahyang Jenazah

3 - ZAKAT
1) Jenis-Jenis Zakat
2) Golongan Yang Berhak Menerima Zakat
3) Hikmah Diwajibkan Membayar Zakat
4) Jenis-Jenis Zakat Harta

4 - HAJI
1) Syarat Wajib Haji
2) Persediaan Untuk Melakukan Ibadah Haji Dan Umrah
3) Perbezaan Antara Haji Dan Umrah
4) Adab Semasa Mengerjakan Haji Dan Umrah
5) Hikmah Menunaikan Ibadah Haji
6) Rukun Haji
7) Wajib Haji
8) Miqat
9) Ihram
10) Dam (Denda)
11) Wukuf
12) Tawaf
13) Mengenali Masjidil Haram
14) Kaabah
15) Saie
16) Tahallul (Bercukur)
17) Bermalam (Mabit)
18) Nafar Awal
19) Nafar Tsani / Akhir
20) Melontar Jamrah
21) Jenis-Jenis Haji
22) Aidiladha
23) Ibadah Korban
24) Peringatan Semasa Menunaikan Haji
25) Umrah
26) Cara Berziarah Ke Masjid Nabi Muhammad (Nabawi) Di Madinah

5 - PUASA
1) Hikmah Puasa
2) Rukun Puasa
3) Syarat Wajib Puasa
4) Syarat Sah Puasa
5) Jenis-Jenis Puasa
6) Puasa Sunat
7) Hari-Hari Haram Berpuasa
8) Puasa Yang Ditegah Dari Melakukannya
9) Perkara-Perkara Membatalkan Puasa
10) Perkara Yang Dibolehkan Semasa Berpuasa
11) Pengecualian Puasa Wajib
12) Hikmah Dan Keutamaan Bersahur
13) Adab Orang Yang Berpuasa
14) Kesempurnaan Puasa
15) Qadha (ganti), Kifarat Dan Fidyah Puasa
16) Tips Yang Perlu Diingati Dalam Bulan Ramadan

HUKUM BERAMAL DENGAN KEEMPAT-EMPAT IMAM MAZHAB
1) Imam Empat Tidak Pernah Mendakwa Diri Mereka Terpelihara Dari Dosa.
2) Tiada Dalil Yang Menunjukkan Wajib Taklid Mazhab Tertentu.
3) Menyanggahi Pendapat Tokoh Sarjana Islam Tidaklah Menjejaskan Kewibawaannya.
4) Ibnu Hazm Al-Andalusi Mengharamkan Taklid.
5) Keganjilan Hukum Adalah Suatu Yang Berubah (Relatif).
6) Pandangan Yang Masyhur Tidak Semestinya Betul.
7) Perselisihan Dalam Perkara Cabang Tidak Membawa Kepada Perpecahan.
8) Kesimpulan

Khamis, 7 Januari 2010

Bersiar-siar di Madinah 2009

Masa dulu sewaktu aku melakukan Umrah Ramadan pada tahun 1999. Aku sempat pergi berjalan ke beberapa tempat di sekitar Madinah al-Munawwarah. Itu pun dibawa oleh dua orang pelajar di sana iaitu almarhum syeikh Asim Salleh dan syeikh Husni yang kini menjawat jawatan pegawai di Jabatan Zakat Wilayah, suaranya sering berkumandang di radio IKIM.

Waktu itu kami berjalan pun atas ihsan mereka. Sebab kami memang 'sengkek' sebab tak ada sponsor. Semua kena simpan duit sendiri 'otek-otek' kata orang utara. Simpan sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Guna sikit-sikit, lama-lama habih!

Memang terima kasih banyak-banyak laa kat diorang time tu. Baru-baru ini bila aku kembali semula ke sana. Banyak perubahan yang berlaku, penstrukturan kota Madinah lebih baik dan tersusun. Almaklumlah, masa kami pergi dulu banyak lagi bangunan lama. Kami pun sekadar tidur di Hotel Abu Zarr, dah laa murah, tilam nipis dan bantal busyuk satu sorang... ok laa kan?

Baru ni aku ke Ipoh, terjumpa sorang tauke cina buat langsir. Aku dan isteri menemani kakakku yang menempah langsir kerana perlu menghiasi sebuah dewan makan di Perak. Tauke itu berbual banyak perkara denganku walau hanya sebentar. Dia mempunyai 4 buah kedai langsir di sekitar Ipoh. Banyak nasihat dan falsafah hidup yang dia cetuskan dalam menempuhi hidup dewasa ini. Apa yang dia banyak tekankan padaku ialah kesungguhan dalam mencapai apa yang kita ingini.

Dalam masyarakat Melayu ini, dia jelaskan bahawa kebanyakannya mahu kelihatan bergaya tapi dengan kos yang paling 'murah'. Dia kata padaku, "Kita nak guna kereta Mercedes, tapi mahu bayar harga kancil. Mana boleh dapat... Mau barang yang cantik, kena bayar harga mahal. Mau hidup senang, kena usaha lebih!"

Jadi, bila aku fikir semula. Banyak benda yang terpaksa aku korbankan untuk menunaikan fardu haji. Jika tiada pengorbanan yang sanggup kita lakukan, sudah pasti agak sukar untuk kita mencapainya. Aku berjumpa dengan jemaah dari Pakistan, mereka membayar harga yang mahal untuk menunaikan fardu haji.

Gaji seorang guru di Pakistan hanya sekitar RM500 sebulan. Bagi guru pencen yang aku temui itu, harga gajinya mengajar di tuisyen adalah lebih murah dan mereka tiada bayaran pencen tahunan atau bulanan seperti negara kita. Pencen bagi mereka adalah menganggur. Sebaliknya kita, gaji dan upah yang mewah boleh didapati jika kita melebihkan sedikit kerja dan usaha kita. Ini tidak termasuk dengan budaya MLM dan entah apa skim yang sering muncul setiap hari di negara kita. Insya Allah, ada usaha di situ ada habuannya.

Aku di hadapan masjid Quba, sebaik sahaja menuruni bas pelancong yang disediakan oleh pihak Tabung Haji. Di masjid ini ganjaran bagi mereka yang mengunjungi & bersolat di masjid ini sebagaimana Sabda Rasulullah SAW "Sesiapa yang berwuduk dari rumahnya, kemudian ia mendatangi Masjid Quba dan bersolat di dalamnya, maka baginya ganjaran pahala seperti pahala mengerjakan sekali Umrah"

Semasa hayatnya, Nabi Muhammad kerap mengunjungi Masjid Quba dan menunaikan solat sunat. Mengikut Hadis Ibnu Umar r.a: Sesungguhnya Rasulullah pernah berkunjung ke Quba' dengan menunggang binatang tunggangan dan juga berjalan kaki.

Telah diceritakan bahawa Nabi menziarahi Masjid Quba' pada tiap-tiap hari Sabtu dengan menaiki tunggangannya. Kadang-kadang baginda pergi ke sana pada hari Isnin. (Bukhari: Jumaat: 1117, 18, 1119. Muslim: Haji: 2478, 2483)

Sabda Nabi lagi: Sesiapa yang bersuci (mengambil wuduk) di rumahnya kemudian pergi ke masjid Quba' lalu mendirikan sembahyang di dalamnya, ganjarannya samalah dengan pahala ibadat Umrah. (Tirmizi: Sembahyang: 298. Ibnu Majah: Iqamat dan Sunatnya: 1401. Ahmad: Musnad Makkiyyin: 15414.)

Telah diriwayatkan juga bahawa Nabi bersabda: Sesiapa yang mengerjakan sembahyang di dalam masjid Quba' pada hari Isnin dan hari Khamis, Allah akan gantikan pahalanya dengan pahala ibadat Umrah. (Data http://ms.wikipedia.org/wiki/Masjid_Quba)
Bahagian luar masjid Quba' yang sempat aku snap selepas mengambil wuduk di ruang wuduknya di bahagian luar dan tepi bawah masjid.


Ini bahagian sebelah lagi. Waktu ini, aku tidak pandai lagi menggunakan kamera henpon Cokia ini kerana 'amat' jarang menggunakannya. Malah aku sendiri tidak mempercayai 'keelokan' gambarnya. Selepas beberapa kali aku try, memang gambarnya boleh dikatakan menarik jugak. Semua gambar di Tanah Suci ini aku gunakan kamera henpon tersebut. Alaa boleh laa... labuuu!


Selepas berada beberapa lama di masjid Quba, kami semua di bawa ke medan Uhud. Gambar atas aku sedang bersandar di dinding pemakaman Syuhada Uhud. Semoga Allah merahmati mereka semua. Pemandu pelancong yang didatangkan khas dari Universiti Madinah ini memang best, siap dia beri ceramah kat pakcik & makcik termasuklah aku ini sekali. Malangnya, aku lihat jemaah kurang beri perhatian, sama ada mic itu bunyi tak clear atau memang diorang tak beri tumpuan. Biasalah, masyarakat kita kan?

Depan bercakap, yang kat belakang pulak bercakap-cakap!

Tapi aku ingat satu hadis yang syeikh ini baca. "Kedua-dua Dajjal dan wabak tidak akan dapat memasuki kota Makkah dan Madinah" (Sahih Bukhari) Jadi, ia memproses semula pengetahuan aku bahawa jangan bimbang dengan penularan wabak H1N1 yang sedang melanda ketika itu.

Ini gambar Bukit Uhud, kalau dah besar macam ini bukan lagi dinamakan bukit, tetapi ia boleh dinamakan Gunung Uhud. Ia merupakan sebuah gunung yang paling besar di Madinah dan memanjang. Kalau melihatkan fakta sejarah yang menyatakan Khalid al-Walid berpusing mengelilinginya selepas melihat pasukan pemanah yang sudah lari meninggalkan Jabal al-Rumat. Sememangnya hebat taktik yang beliau sempat gunakan.

Gerakan kilat sebegini sememangnya mampu membuatkan pihak lawan, terpukul mundur ketika itu. Sedikit kesilapan percaturan boleh membuatkan peristiwa itu amat dikesali. Walaupun kesalahan sebilangan sahabat, namun iktibar kisah ini cukup memberi kesan besar kepada kehidupan kita pada hari ini. Jika tidak patuh pada perintah pemimpin, sudah pasti 'kekalahan' yang datang mengundang. Berfikirlah, kerana dengan berfikir lebih baik daripada banyak bercakap tanpa berfikir.

Selepas berlegar di medan Uhud, kami di bawa pula ke kebun sawit jengka. Real tak? Macam kebun kelapa sawit je! Tapi realitinya, ini kebun kelapa sawit di Madinah ehehe. Pohon-pohon kurma ini baru sahaja habis dituai buahnya. Musimnya baru sahaja berakhir dalam sebulan lalu. Jadi tak ada laa gambar buah kuma yang bergayutan di pepohonannya. Lenkali kita ambil gambarnya okey?

Gambar ini, aku berada di hadapan Masjid Qiblatain. Masjid Qiblatain ini bermaksud masjid dua kiblat merupakan salah sebuah masjid terkenal di Madinah. Masjid ini mulanya dikenali dengan nama Masjid Bani Salamah kerana masjid ini dibangunkan di atas bekas rumah Bani Salamah.

Dalam masjid ini kelihatan siling kapur yang mempunyai corak Maghribi. Biasanya siling kapur ini menjadi hiasan masjid di seluruh Afrika Utara terutamanya di Maghribi. Seni halus ini mula menjadi trend hingga ke masjid-masjid utama di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Ini adalah gambaran perkuburan Baqi' yang luas dari seberang jalan bertentangan. Kelihatan Masjid Nabawi dari jauh yang sememangnya terlalu jauh untuk berpusing di sekitarnya. Pusara ribuan para sahabat & ummahatul mukminin, ulama tabiin dan generasi berikutnya serta mereka yang terpilih bersemadi di dalamnya.

Ampunlah mereka dan kami semua ya Rabb!

Gambar ini sengaja diambil bagi menunjukkan terangnya cahaya matahari pagi di Masjid Nabawi. Jadi lihatlah sendiri panorama menarik ini...

Ini pula kelihatan para jemaah yang sedang bersiap menantikan masuknya waktu Maghrib. Jemaah mulai ramai dari sehari ke sehari. Pada senja tersebut, aku mengambil gambar ini sebagai hari akhir aku bersolat di Madinah dengan hasrat untuk kembali lagi ke sini. Kami akan bertolak ke Makkah sedikit hari lagi. Wassalam.

Sabtu, 2 Januari 2010

Memori di Masjid Nabawi 2009

Gambar ini adalah pemandangan sewaktu ingin keluar dari masjid selepas solat Isyak. 'Sesak'nya memang menyesakkan nafas. Aku yang tersilap ambil selipar terpaksa tunggu masa 10 minit untuk membuat U-Turn di situ. Memang sesak!

Gambaran kesesakan mencari port (saf) yang baik sewaktu jemaah haji mulai ramai menziarahi Madinah sebelum solat Subuh.

Aku memandang ke hadapan sewaktu menantikan masuk waktu solat. Hampir setiap kali datang ke masjid aku tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar, sebagai tatapan waktu kebosanan. Rindunya pada masjid ini bukan kepalang... bertuahlah mereka yang pernah belajar di sana. Rebutlah peluang yang penuh kebaikan ini.

Aku sempat berada di dalam Raudhah beberapa kali. Kalau sempat masuk memang payah dah aku nak keluar. Selalunya aku akan masuk pada waktu selepas solat Asar. Pertukaran jemaah di situ memudahkan aku untuk menyelit di ruangnya. Aku akan duduk membaca al-Quran hingga selesai solat Isyak. Walau pun suasana boleh dikatakan 'panas' senantiasa, namun ia cukup menyeronokkan.... pelbagai ragam manusia ada di situ.

Suatu pagi selepas sarapan pagi. Selepas solat Dhuha terus ke situ untuk makan dan pulang ke hotel kena selelap dua sementara menantikan solat Zuhur.

Pemandangan selepas solat Zuhur, jemaah Pakistan sudah mulai mengambil tempat.

Pemandangan jemaah yang sedang menantikan solat Subuh. Aku selalunya cari kawasan yang senang untuk bergerak keluar, berhampiran kerusi syeikh Musleh.

Semasa mendengar kuliah Subuh syeikh Musleh tentang cerita Nabi Allah Yunus. Memang menyeronokkan kerana banyak maklumat yang tidak berdaya aku tulis di sini. Nanti bila-bila boleh baca kisah tersebut dari kitab Tafsir.