Allah Taala said:

Thus, GOD does not change the condition of any people unless they themselves make the decision to change. [13:11]

Pesan Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam

Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi dan al-Tirmizi berkata ia hadis sahih.
Daripada Abu Najih al-'lrbadh ibn Sariyah r.a. beliau berkata: Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam telah menasihati kami suatu nasihat yang menggetarkan hati dan mencucurkan airmata. Kami bertanya: Ya Rasulullah! la seolah-olah nasihat orang yang mahu mengucapkan selamat tinggal, maka berikanlah kami wasiat. Baginda bersabda: Aku mewasiatkan kamu supaya bertakwa kepada Allah 'Azza Wajala, supaya mendengar dan taat, sekalipun kamu diperintah oleh seorang hamba. Sesungguhnya, barangsiapa di kalangan kamu yang masih hidup nanti, nescaya dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa' Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan kuat (iaitu berpegang teguhlah kamu dengan sunnah-sunnah tersebut) dan berwaspadalah kamu dari melakukan perkara-perkara yang diada-adakan, kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat.

Ahad, 27 Disember 2009

Para Guru atau Masyayikh di Madinah

Semasa aku di Madinah al-Munawwarah, aku sempat menghadiri beberapa buah majlis ilmu yang terdapat di sana. Sudah lama aku tidak mendengar pengajian ilmu dalam bahasa Arab. Biasanya di Malaysia aku tidak mendengar langsung ceramah-ceramah ini kecuali menerusi kaca tv dan corong radio sahaja. Tidak sempat lagi nak berkejar dan terburu-buru seperti dahulu. Kerinduan itu tetap menggamit di jiwaku, biar pun aku bukan lagi bergelar pelajar atau Tholib al-'Ilm seperti dahulu.

Tapi, sepanjang aku berada di Makkah dan juga Madinah, terdapat juga segelintir Arab dan Bangla yang berbual denganku menganggap aku pelajar di sana. Hinggakan ada yang bertanya hukum dalam bab haji yang aku kurang mahir mengenainya. Puas juga ke sana ke mari mencari guru agama Tabung Haji untuk menyelesaikan masalah itu. Alhamdulillah, segalanya selesai.

Syeikh Pertama:



Ini adalah seorang syeikh yang kerap juga aku cuba mengenalinya dengan lebih dekat. Alhamdulillah semasa aku berada di sana, sempat sekali aku mendengar kuliahnya. Perhatikan syeikh ini lama-lama dan sememangnya anda tidak akan mengenalinya. Beliau ini bernama al-Syeikh Abu Bakar Jabir al-Jazairi.

Beliau sememangnya sudah terlalu uzur untuk mengajar. Pada setiap hari Selasa dan Khamis tidak silap aku (jadual kelas pengajian Masjid Nabawi dah hilang) selepas Maghrib di masjid Nabawi, beliau akan mendengar muridnya membacakan kitab beliau seperti kitab Haza al-Habib dsbgnya. Beliau hanya menegur atau menghuraikan kenyataan yang beliau anggap penting untuk dihuraikan kepada pendengar.

10 tahun lalu aku pernah menonton TV Saudi (KS1) di rumah sewaku di Kenitra. Syarahan beliau mengenai perkembangan seorang manusia itu begitu menyentuh perasaan. Bagaiman beliau mengupas teknik tarbiyah anak sejak dilahirkan, sewaktu membesar hingga usia 6 tahun di bawah belaian ibu, umur 7 tahun dialih kepada pengawasan bapa dalam bentuk lunak dan umur 10-15 tahun dalam bentuk yang lebih tegas. Bagi anak yang sudah berusia 15 tahun hingga 17 tahun, mereka ini perlukan perhatian yang lebih daripada bapa kerana di waktu ini proses kekalutan identiti berlaku di kalangan remaja.

Beliau juga menjelaskan, bagaimana si bapa ingin membentuk anak yang berusia 17 hingga 21 mengikut terapan atau acuannya tersendiri. Menurutnya lagi, dalam usia sebegitu, anak akan lebih memerhatikan tata cara kehidupan si bapa atau si ibunya. Proses ini terbentuk dan ia akan membawa set minda ini hingga ke tua, ini menurut pendapatnya. Malah bagi aku sendiri yang melihat proses ini, ketika abangku dalam usia 17, 18, 19 tahun, ketika itu bapaku adalah seorang tukang rumah atau tukang kayu yang banyak menghasilkan bahan artistik.

Pernah aku meminta kepada arwah ayahku sebilah keris kayu dan dalam masa beberapa jam, keris itu sudah boleh dibawa olehku kepada rakan-rakan. Abangku yang membesar dalam suasana itu cukup menggemari pembuatan perabot kayu dan kini dia sedang menyiapkan sebuah bengkel kayunya dengan anak daranya yang sulung sudah tamat kelas ukiran kayu dari Institut Kraftangan Negara beberapa tahun lepas.

Manakala aku pula yang membesar dalam keadaan dia sering menulis buku-buku berkaitan ilmu tajwid, haji, solat-solat sunat dalam bentuk ala kadar dengan teknik fotostat dan sebagainya, membuatkanku cukup terpengaruh dengan situasi ini. Kadangkala, di awal pagi beliau membongkok menulis untuk anak-anak murid dewasanya yang sudah insaf. Dari pagi hingga ke malam dia sudah mempunyai kelas-kelas pengajian sama ada di rumah, surau dan masjid. Pernah dia mempunyai 30 kelas seminggu tanpa sebarang caj tambahan. Betapa sabarnya dia... Allahummaghfir lahu, ya Rabb.

Pengaruh dari ceramah Syeikh Jabir ini begitu kuat dalam setiap pandangan dan pemerhatianku selepas itu. Walaupun sekali aku mendengarnya, aku dapat mengingatinya hingga ke saat ini. Betapa hebat insan ini, getus hatiku. Dia bukan sahaja seorang yang terpelajar di bidang keilmuannya, malah dapat berinteraksi dengan persekitarannya. Selepas sahaja terhenti kuliah pengajiannya ini. Mereka yang berada di sekitarnya beralih ke arah kiblat. Aku yang menyaksikan keadaan itu terpinga-pinga dan turut berpusing sama.

Rupanya, Syeikh Jabir berdoa berulang-ulang kali dengan diaminkan oleh semua jemaah di situ. Beliau berdoa sekitar 3 doa yang ma'tsur dari Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Antaranya ialah doa Allahumma aati nafsi taqwaahaa.... lebih 30 kali dia membacanya berulang kali. Hinggakan di hatiku timbul kebosanan. Namun, itulah sunnah dalam berdoa agar permohonan kita dikabulkan Allah Taala dengan penuh harap tanpa rasa jemu dan bosan. Cuma 3 doa yang dibacanya, tapi berulang-ulang dan diaminkan oleh orang ramai agar dianugerahkan kepada yang hadir di situ sifat taqwa kepada Allah Taala.

Orang kita, berdoa sekali atau dua kali lantas bertanyakan, mengapa Allah tidak kabulkan permohonannya? Bersolat sunat memohon sebarang hajat 2 rakaat, sudah bertanya mengapa keperluannya belum sampai? Jadi, aku belajar di sini, bahawa setiap doa yang kita pohon tidak akan dapat dikabulkan, melainkan kita terus menerus bermohon kepada Allah Taala pada setiap waktu dan ketika.

Moralnya: Berdoalah kepada Allah Taala dengan yakin bahawa hajat itu pasti dikabulkannya tanpa merasai jemu dan bosan. Bila terdetik rasa jemu dan putus asa, maka ketahuilah doa itu tidak akan sampai di sisi Allah Taala.

Inilah buku yang baru diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia dari bahasa Inggeris dari bahasa Arab yang ditulis oleh syeikh di atas. Entah bila pula akan diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia. Jadi di gerai buku kat Temerloh ini, aku tengok ada lagi dalam 3 buah buku ini. Baik untuk dibaca atau disimpan. Seorang penggemar buku yang sering bertanyakan buku-buku baru telah dipromot olehku untuk membaca buku ini. Selepas dia membaca buku ini, dia memberitahuku, "Selama saya baca buku bab sirah ni, (buku) yang ini memang mencerahkan apa yang terbuku di hati saya daripada kitab yang pernah saya baca. Banyak faedah yang saya dapat dari buku ini." Alhamdulillah!


Syeikh Kedua:

Syeikh yang ini pula, akan berada di tempatnya sebelah kawasan perempuan di pintu 5. Namanya Syeikh Abdul Muhsin al-Abbad, masa ini dia mengajar kitab Sunan Ibn Majah. Perghh!! Memang best, sebab dia syarah pulak bab haji yang memang ana tak berapa fokus sangat. Jadinya, bila anak murid dia baca, dia pun syarah (hurai). Langkah pertama, dia akan sebut nama periwayat hadis dan taraf dia dari aspek Jarh dan Takdil. Lepas tu, dia akan hurai matan pula. Memang best!. Selalunya ana dapat duduk di belakang-belakang. Budak-budak student ni dah booking kawasan depan dan yang paling dekat dengan syeikh. Aku yang tak ada buku ini, memang tak berpeluang laa nak dapat duduk depan.

Gambar ini yang terdekat aku dapat snap, sebab selalunya dari jauh je aku dapat duduk. Cuba perhatikan kanta matanya cukup tebal berbanding kita, setebal ilmunya. Seingat aku, masa aku belajar dulu, ada seorang pensyarah aku yang memang tidak nampak (rabun). Sebab terlalu kuat membaca hingga mengganggu saraf optiknya. Bab ini lenkali cerita laa..

Syeikh Abbad memang cemerlang dan antara syeikh yang paling ramai dikelilingi oleh murid-murid berbanding masyayikh yang lain. Muridnya juga terdiri daripada pelbagai etnik dan puak. Boleh tengok dalam kelasnya itu ada group Kavkaz (Caucasus), ada group Jepun, ada group Afrika, ada group Indon dan sebagainya. Kadangkala mereka duduk bercampur dan kadangkala ikut group.

Moralnya: Bila kita belajar, kena belajar rajin macam syeikh 'Abbad yang cair dengan ilmunya. tanya kat mana sahaja dalam kitab Sunan Ibn Majah dia boleh jawab dengan tepat dan padat. Allahu Akbar!


Syeikh Ketiga:

Manakala syeikh yang terakhir ini adalah Syeikh al-Muslih yang mengajar setiap Kitab Tafsir selepas Maghrib dan Subuh. Sememangnya aku akan hadir pada setiap selepas solat Subuh di situ. Huraiannya mengenai kisah Nabi Allah Yunus cukup memikat hatiku, banyak manfaat yang aku perolehi di situ. Huraiannya cukup jelas dan menarik. Hampir 3 orang anak muridnya yang akan membaca ayat yang sama dan kemudiannya seorang yang akan membaca tafsir tersebut. Selepas mereka selesai membacakannya, barulah dia akan menghuraikannya dengan panjang lebar.

Peliknya, aku tidak pergi ke sebelah lain (sebelah Jannatul Baqi') pada kali ini. Sekalipun ada beberapa nama tokoh yang mengajar di sana, namun aku lebih tertumpu kepada pengajaran Syeikh al-Muslih yang boleh dikatakan tidak pernah 'ponteng'. Ini kerana bagi sesetengah syeikh mereka mempunyai tugasan lain dan waktu yang dijadualkan kepada mereka agak terhad kerana faktor luaran seperti banyak jemputan di tempat lain atau faktor keuzuran.

Berbeza dengan syeikh al-Muslih yang membuatkan aku istiqamah mendengar kuliahnya setiap lepas Subuh. Usai dari kuliahnya, aku akan pulang selepas Dhuha dan mencari sarapan pagi. Waktu itu, Allah sahaja yang mengetahui betapa laparnya perutku. Apa pun, alhamdulillah aku tetap dapat melakukan perkara terbaik sewaktu berada di sana, sebagaimana pesan syeikh al-'Ajlan kepada anak muridnya di Makkah. Lenkali aku ceritakan pula mengenai kelas pengajian Syeikh al-'Ajlan di Masjidil Haram.


Wallahu a'lam.

Moralnya: Dalam usaha menuntut ilmu, kita perlu beristiqamah sebagaimana Syeikh al-Muslih yang cukup beristiqamah dalam menyampaikan ilmunya. Allahu Akbar! Jadikanlah kami termasuk di kalangan mereka yang beristiqamah dalam ilmu. Amin, Ya Rabb!

Isnin, 21 Disember 2009

Kisah di Raudhah


Situasi 1


Hari pertama sampai, aku tengok kawasan Raudhah tak buka lagi pagarnya. Jadi aku segera bersolat Zuhur takut terlepas waktu. Kepala pun dok pening lagi sebab baru lepas turun kapal terbang. Sebaik sahaja aku mengangkat takbir, tak sempat habis baca doa Iftitah lagi, pagar pun dibuka dan jemaah pun berserbu masuk mencari tempat. Aku yang sedang solat agak terganggu dengan keadaan tersebut. Rugi besar plak rasanya dalam hati, tetapi cepat-cepat cover takut tak khusyuk. Lepas solat pergi cuba juga cari ruang di situ, tapi 'sorry' bukan senang.

Sedang aku dok berdiri tercari-cari ruang yang ada, ada seorang Arab berada saf di belakang Raudhah, selepas solat, dia bangun lagi bersolat sunat, selepas habis solat, solat lagi. Aku yang tercegat dengan jemaah lain yang masih mencari ruang melihat keadaan itu terus sahaja melupakan niatku itu. Ada baiknya aku bersolat seperti lelaki itu yang tidak putus bersolat, sedang menantikan ruang di dalam Raudhah daripada berdiri dan terus berharap. Sedangkan pahala bersolat di dalam masjid Nabawi tidak ternilai ganjarannya berbanding di masjid lain di seluruh Malaysia atau dunia ini melainkan Masjid al-Haram al-Makki.

Moralnya: Lebih baik banyak bersolat di belakang saf Raudhah daripada berebut-rebut dan marah-marah di dalam kawasan Raudhah dengan jemaah lain.

Situasi 2

Aku cuba masuk ke Raudhah pada hari yang lain dan aku berjaya masuk ke bahagian paling tepi. Ini pun kerana ada seorang jemaah Malaysia yang ingin keluar selepas solat Asar dan dia memberikan ruangnya kepadaku. Terima kasih kawan se Malaysia. Aku berada di situ dan ingin bersolat, tetapi aku fikir, mana ada solat sunat selepas Asar?

Terlihat di sebelahku, seorang warga afrika berkulit gelap sedang membaca buku berjudul Aqidah Ahl al-Sunnah. Aku pun bertanyakannya, adakah boleh bersolat sunat selepas Asar di dalam Raudhah? Beliau memberitahu kepadaku bahawa hal itu dilarang dan pasti ada pak Arab serban merah yang akan menegur perbuatan tersebut nanti. Aku hanya menganggukkan kepala bersetuju dengan katanya.

Tidak berapa lama kemudian memang ada pak Arab yang datang menegah perbuatan tersebut dengan membacakan hadis larangan dari bersolat di dalam Raudhah pada waktu selepas Asar. Ia termasuk perbuatan yang dilarang dalam waktu tersebut.

Aku bertanyakan pemuda tersebut latar belakangnya. Beliau meberitahuku bahawa dia berasal dari negara Republik Togo, baru sebulan berada di Madinah untuk melanjutkan pengajiannya di Universiti Madinah dan berasal dari keluarga yang susah. Kami bertukar-tukar pandangan dan pendapat. Sememangnya beliau seorang yang baik dan berjiwa luhur. Sewaktu sepanjang selepas solat Asar hingga solat Isyak kami membaca buku, berdoa dan mengaji al-Quran diselang seli dengan berbual seketika.

Apabila aku ingin pulang dan keluar dari Raudhah, aku terasa betapa susahnya suatu ketika dulu aku belajar di tempat orang. Jauh dari keluarga dan sahabat handai. Sempat aku memberinya beberapa ringgit untuk belanja tambangnya pulang ke universiti pada malam itu. Sebagai satu sarana mengambil berkat di dalam Raudhah dengan berbuat kebajikan di dalamnya. Susah juga mencari ruang dan masa yang terbaik membantu mereka yang berhijrah untuk memperbaiki diri dan dalam penuh kesusahan. Aku berdoa agar setiap kali dia melihat orang Malaysia di dalam Raudhah itu, dia pasti terkenangkan perbualan kami di dalam Raudhah itu dan akan mendoakanku di dalamnya insya Allah!

Moralnya: Berbuat baiklah di mana sahaja anda berada, apatah lagi sewaktu anda sedang beribadat. Semoga anda mendapat ganjaran yang lebih besar di sisi Allah.

Situasi 3

Sewaktu aku sampai di Raudhah pada suatu petang yang semakin sesak. Aku telah berjaya duduk berhampiran jemaah dari Indonesia. Mereka dari Embarkasi Kab. Kalbar tak silap aku, ini aku teka sahaja. Kalau ditulis Kalbar itu bermaksud Kalimantan Barat, kalau Jatim bermakna Jawa Timur. Jadi pandai-pandailah tengok.

Aku terlupa membawa al-Quran kecil yang sering bersamaku di sana. Lantas aku meminta dari bapak Indon di hadapanku mengambil dari rakannya yang berada di depan rak al-Quran agar dapat memberikan sebuah al-Quran kepadaku.

"Bapak, ambilkan sebuah al-Quran buat saya!" pintaku kedambaan.

Dia segera meminta rakannya mengambilkan al-Quran buatku.

Aku kadangkala berbahasa Arab jika ada sesetengah warga Bangladesh atau Pakistan dan juga Arab yang cuba duduk di hadapanku. Mereka tidak mengira ruang itu kecil atau sempit. Mereka pasti juga untuk bersolat di hadapan kita. Jadi aku akan bercakap guna apa bahasa yang aku ketahui untuk melarang mereka berbuat demikian bagi menjaga kawasan yang kita ada.

Di sebelahku seorang lelaki berjanggut dan wajahnya adalah wajah kemelayuan berketayap putih. Beliau seringkali aku lihat menyapa bapak dari Indonesia itu dan berbual-bual. Aku yakin bahawa dia juga berasal dari Indonesia dan cuma tidak bersongkok sebagaimana orang lain. Mungkin dari jemaah Tabligh Indonesia.

Sedang aku duduk-duduk membaca al-Quran itu, dia menyapaku lembut, "Dari mana?"

"Dari Malaysia", jawabku langsung.

Dia pun mengangguk-anggukkan kepalanya dan menoleh ke sebelah lain. Aku terus sahaja menyambung bacaan al-Quran. Dalam hatiku terdetik tidak baik aku tidak bertanyakannya semula sebagai tanda keramahanku padanya. Lantas aku menghentikan pembacaan al-Quranku dan bertanya, "Bapak pula berasal dari mana?"

Selamba dia menjawab sambil tersenyum sinis kepadaku, "Kelate!"

Moralnya: Jangan pandang orang sebelah mata. :)

Jumaat, 18 Disember 2009

Kenangan di Madinah

Ini gambar Madinah pada waktu malam. Cantik tak?? Ini hanya menggunakan kamera Henpon aku yang berjenama Cokia sahaja. Kalau bagi kamera DSLR, fuhh memang canggih laa gambarnya, sayang aku pon tak berapa pandai nak ambil gambar menggunakan kamera canggih sebegitu.


Selepas solat Subuh, lepas mendengar kuliah di Masjid Nabawi dan solat Dhuha. Aku akan berjalan-jalan dengan adinda mencari sarapan. Lapar bukan main ler.. sebab kami pergi dengan Muassasah, jadi makan cuma tengahari dan makan malam sahaja. Luar daripada waktu itu, pergi cari sendiri. Seronoknya, dua kali sehari makan, banyak dapat beriktikaf! Alhamdulillah...

Ini gambar pada waktu malam selepas solat Isyak. Time kami datang ini, tidak begitu ramai lagi jemaah luar yang datang. Tempat memang banyak kosong, jadi? Kalau nak pergi haji, buat haji Tamattuk, sebab jemaah kami datang 5 hari awal daripada jemaah Indonesia, India, Bangladesh, Pakistan dan Turki. Ini ranking jemaah paling ramai yang datang di kebanyakan negara dunia Islam. Berbanding negara Eropah lain seperti dari Kosova, jemaah diorang baru 700 orang, jemaah dari Chechnya dalam 300 orang dan lain-lain lagi negara yang boleh dikatakan kecil jumlah jemaahnya. Jadi kalau nak pergi tiap tahun, tukar kerakyatan negara tersebut hehehe...


Gambar ini aku snap selepas solat Isyak. Tak ramai orang dan lorong-lorongnya banyak yang lengang. Kebarangkalian kena sergah dek pak Arab penjaga pintu, amat kurang sekali eheheh.

Doa masuk kubur iaitu masuk ke permakaman, bukan kita nak masuk kubur...
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللهُ بِكُمْ لاَحِقُوْنَ (وَيَرْحَمُ اللهُ الْمُسْتَقْدِمِيْنَ مِنَّا وَالْمُسْتَأْخِرِيْنَ) أَسْأَلُ اللهَ لَنَا وَلَكُمُ الْعَافِيَةَ..
Semoga kesejahteraan untukmu wahai penduduk kampung dari orang-orang mukmin dan muslim. Sesungguhnya kami –insya Allah- akan menyusulkan kami mohon kepada Allah utk kami dan kamu agar diberi keselamatan . (185)(185) HR. Muslim 2/671 dan Ibnu Majah.
Inilah Jannat al-Baqi' atau syurga Baqi' yang dimakamkan ratusan ribu para sahabat, tabi'in dan para imam mujtahidin. Semoga kita temasuk di kalangan mereka semua. Allahumma amin!


Ini ana sedang berposing atau boleh juga dikatakan sebagai berpusing di pasar lambak Arab. Murah! Murah! Murah! Suasana ini hanya terdapat di lorong yang dilalui oleh jemaah Malaysia sahaja. Kawasan lain tak semeriah lorong orang Malaysia. Tau sebab apa? Bak kata Nabil, lu pk laa senirik!

Dalam gambar di atas, jangan fokus kat lubang hidung tu. Sama je macam orang lain, memang tak hensem kat situ. Tapi fokuskan di silingnya yang cantik berseri-seri. Inilah siling di kawasan Raudhah min Riyadh al-Jannah - iaitu salah satu taman dari taman-taman syurga, sebagaimana yang Nabi SAW sabdakan. Karpetnya lain dari karpet masjid yang berwarna merah. Malah, untuk masuk ke dalamnya, kena buat muka paling sengal, kalau tak? Alamatnya susah nak dapat masuk, kena bertolak-tolak, berhimpit dan bersesak-sesak hingga sesak nafas gak laa. Tempat ini boleh dikatakan antara tempat yang paling sibuk di Madinah. Ruang sujud boleh dikatakan hanya selebar 1 kaki setengah dalam satu-satu masa. Kalau bernasib baik, boleh sujud secara sempurna. Silap-silap boleh sujud atas tengah belakang makmum depan kita. Harap maklum... Nanti aku akan ceritakan kisah dalam Raudhah.. Insya Allah.

Selasa, 15 Disember 2009

Sewaktu berangkat ke Tanah Suci

Wajah yang mulanya ceria....

Nak tau mengapa wajah kami kurang ceria? Cuba anda baca cerita ini sampai habis.... hehe

Perjalanan kami ke tanah suci bukanlah 'semudah' yang dijangka oleh tuan puan. Apabila selesai sahaja menerima khabar bahawa aku yang akan pergi berseorangan ke tanah suci, maka bercucuranlah air mata adindaku. Bukan kerana disebabkan kesedihan kerana akan berpisah lama.

Tetapi amat berduka hati kerana dia yang 'paling' berkobar-kobar ingin ke sana. Atas usaha dia jugalah wang perbelanjaan kami terhimpun banyak. Dia juga yang menghalang itu ini, hinggakan sukar aku membli sebuah kamera Canon EOS D70 yang telah lama aku idamkan, paling kurang pun PS III eheheh! Lawak je tu...

Apabila aku menderima status layak ke tanah suci dan dia ketinggalan, engkorang tahu..? Aku sampai 'malas' nak beritahu engkorang betapa bermuram durjanya adindaku ini. Mandi tak basah, makan tak lalu, pergi kerja takde mood, asyik moody jer...

Sampaikan aku sendiri tak pernah lihat dia bersembahyang sunat dan berdoa untuk ke sana sebanyak yang dilakukannya. Allahu Akbar! Usaha, sabar, solat dan doa yang bersungguh-sungguh ini memang sebegitulah yang patut dilakukan oleh setiap kita dalam berusaha untuk mencapai segala sesuatu yang diimpikan.

Di samping itu, usaha kami yang lain. Kami terpaksa gunakan segala pengetahuan yang ada untuk mencari 'kabel' atau bahasa lunaknya 'syafaat'. Hampir setiap rakan yang aku temui, aku bertanyakan jika mereka mengenali 'orang dalam' Tabung Haji? Hatta, kami terpaksa turun sendiri ke KL selepas waktu bertugas terus ke Tabung Haji. Buat rayuan pertama dengan berjumpa pegawai atasan bahagian Timur. Balik sehari dua tunggu keputusan dan telefon tetap tak berhenti hingga dua tiga kali pada sebelah pagi atau petangnya.

Malangnya, Rayuan pertama di tolak....

Minta tolong lagi, buat rayuan kedua, faks dari tempat kerja, ke sana ke mari minta bantuan orang dan pegawai Tabung Haji. Masih lagi samar-samar.... belum tentu boleh dapat. Kecuali kalau melalui pakej, sedang kami hanya melalui muassasah. Padan pun susah, sebab bukan seribu dua yang nak pergi melalui muassasah, tapi berjuta... juta... juta...!
Member yang tahu kami nak pergi haji, mula sibuk mengajak pasangan masing-masing mendaftar haji. Pendaftaran mereka untuk menunaikan haji melalui proses biasa bakal dijadualkan pada tahun 2024. Cukup menggerunkan!
Jangan jadi sebagaiman seorang pakcik di kampungku yang duitnya sudah terhimpun sebanyak 40k. Dia bercerita yang dia masih belum lagi dipanggil untuk menunaikan haji. Rupa-rupanya dia belum lagi mendaftar untuk ke sana. Sebagaimana yang dia fahami, apabila duit sudah banyak, nanti pegawai Tabung Haji akan hantar surat memaklumkan yang duit dia dah cukup untuknya menunaikan fardu haji pada tahun kaza wa kaza.
Aku pula KT 04 iaitu penerbangan yang bakal berlepas pada hari kedua. memang agak kelam kabut, aku ingin buat penangguhan kepada haji Ifrad, tetapi itu lebih sukar untuk dibuat pindaan jemaah yang telah disediakan tempat mereka bagi setiap KT, jelas pegawai Tabung Haji itu kepadaku. Astaghfirullah!

Kepala pening usah cakap! Dengan kerja sekolah, bisnes, itu ini, begitu begini!

Lastly, aku terpaksa guna 'cable' atau dalam bahasa Arabnya 'Hablun' = Habl yang paling besar iaitu Dato' Seri... Ini pelan A yang aku terpaksa lakukan juga. Pada waktu itu pula kebetulan mereka sibuk pilihanraya di N9. Ya Allah, makin sukar arahnya.... tapi aku nekad. Alhamdulillah, malam itu hanya menerusi SMS, beliau meminta kad pengenalan kami dan cuba berusaha mendapatkan tempat untuk kami.

Di samping itu, seorang rakanku telah menjawat jawatan SU Menteri.... namun dia juga masih berada di N9 dan agak sibuk, sedangkan penerbangan aku tinggal tidak berapa lama lagi. Aku juga menggunakan khidmatnya sebagai pelan B. Kalau engkorang tahu, sewaktu manusia terdesak, mereka akan lakukan apa sahaja cara yang ada untuk menggapainya. Itu kadangkala mereka terjerumus ke dalam jenayah dan kejahatan kerana tiada benteng yang dapat menghalang atau mencegah mereka.

Waktu ini, kita akan perlu banyak berfikir tentang risiko yang perlu kita lakukan. Bagi aku, cuba tetap cuba, biar aku gagal tidak mengapa janji aku terus mencuba hingga berjaya. Bila berdoa, doalah dengan penuh yakin kerana ALLAH TAALA tidak akan mengkabulkan doa para hamba yang di dalam hatinya terdapat perasaan ragu-ragu. Yakin boleh!
Alhamdulillah pada esoknya, kami menerima keputusan yang menggembirakan bahawa adindaku dapat join sekali untuk ke tanah suci. Sukahatinya tak payah ceritalah macam mana? Sama dengan masa dok sedih tadi! Kami diminta ke KL untuk menyerahkan pasport bagi mendapatkan visa haji keesokan harinya. Tidak lupa kami mengSMS semula kepada mereka yang membantu kami dengan mengucapkan ribuan terima kasih dan hanya Allah yang mengganjari kebaikan mereka. Alhamdulillah!

Kami siapkan segala bahan, persiapan, cuti 40 hari dan sebagainya. Keadaan begitu rumit diwaktu nan runcing. Namun, Allah Taala mempermudahkan segala urusan di atas doa kalian jua. Segalanya selesai, pada tanggal 20hb Oktober 2009 kami berangkat ke KL dengan keluarga di belah adindaku.
Paginya, kami membeli beberapa persiapan yang diperlukan lagi di KL. Petang balik ke rumah mak saudara di Gombak rehat jap tunggu mak sedara yang lain datang menjenguk.
Jam 8.30 lepas Isyak pula ada panggilan Pak menakan pupu aku pula yang sedang menunggu di Kelana Jaya. Berkejar kami ke sana.

Pukul 10.30 pula member ajak keluar makan-makan.

Pukul 11.30 keluarga adindaku dah sampai di Kelana Jaya. Sehinggalah jam 2.00 mereka semua pulang untuk bertugas keesokan harinya.

Jam 3.00 pagi kami dah bersiap beratur untuk masuk ke kompleks haji.

Kat pukul 4.00 baru dapat naik bas haji.

Pukul 5.00 tak jalan-jalan lagi.

Dalam 5.30 baru jalan hingga ke komplek berlepas di KLIA dengan iringan polis trafik.

Sampai turun terus solat Subuh sekitar jam 6.30 pagi.

Naik tingkat atas, tunggu untuk cop pasport dan terus menaiki kapal terbang sekitar jam 7.00 pagi. Dan kepenatan tidak tidur semalaman usahlah dibicarakan lagi... huarghhh!

Tika Cinta Bertasbih...


Kesibukan sejak pulang dari Tanah Suci ini membuatkan ana kerap berada di hadapan komputer. Tetapi masih belum boleh menulis di ruangan blog ini dan memaparkan gambar-gambar yang sempat ana ambil di sana buat tatapan umum. Ini kerana beberapa skrip buku baru terpaksa disemak semula untuk mengekalkan fakta yang terdapat di dalamnya.

Apatah lagi, setiap skrip itu hanya diberi masa 3 hari untuk disemak semula. Allahu Akbar! Hari Khamis ana pergi mendapatkannya di Shah Alam, hari Jumaat pula keluarga mengajak ana bercuti di Cherating selepas kepenatan di tanah suci. Alhamdulillah, semua semakan berjaya disiapkan di Cherating.

Anak-anak saudara semuanya 'boring' kerana tidak sempat melayani mereka berenang di pantai atau di kolam. Alhamdulillah, di kolam tidak boleh memakai pakaian lain kecuali pakaian khusus, jadi memang tidak berpijaklah ke sana, kecuali berada di dalam bilik sahaja bersama mereka.

Apabila bangun pada jam 3 pagi kerana keletihan, kami sempat bersolat dan kemudiannya meneruskan 'semakan' skrip tersebut hingga menjelang waktu Subuh. Tatkala itu, tercetuslah karya 'Tika Cinta Bertasbih' dengan merenung setiap lembaran yang telah lama aku tinggalkan sewaktu berada di tanah suci kerana merehatkan diri untuk beribadah. Kini aku kembali, menatapi skrip-skrip buku penulisan sebagai usaha dakwah dalam doa yang aku munajatkan di Multazam penuh kekhusyukan.

Moga aku dan isteriku terus giat menulis dan berkarya dalam penulisan berbentuk dakwah, insya Allah. Allahumma amin!

Rabu, 9 Disember 2009

Aku di Kompleks Haji Kelana Jaya


Seingat aku, dalam 2 3 tahun lepas aku kerap menghantar orang yang ingin menunaikan fardu haji di Kompleks Haji Kelana Jaya. Tapi pada tahun ini, aku tetap ke sana untuk pergi sendiri menunaikan fardu haji. Impian aku untuk menunaikan haji ini adalah hasil usaha dan doa selepas aku menunaikan umrah kali pertama pada tahun 1999.
Pada masa itu, aku bertekad untuk menunaikan fardu haji dengan isteriku dalam waktu yang paling singkat selepas perkahwinan kami. Namun, impian aku hanya tertunai selepas 10 tahun iaitu pada tahun 2009.

Jadi, aku merasakan bahawa setiap impian kita tidak akan tercapai jika tiada usaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikannya. Ada usaha dengan sepenuh kudrat tenaga dan juga doa yang berterusan pasti akan tercapai apa yang kita idam-idamkan itu.
Semalam aku terbaca sebuah hadis yang menjelaskan bahawa setiap doa itu pasti akan dikabulkan selagi seseorang itu tidak berputus asa dalam doanya. Jika dia bertanya pada dirinya, bilakah agaknya doa aku ini akan dikabulkan?... maka dia sudah termasuk orang yang berputus asa dan doanya tidak lagi dikabulkan. Wallahu a'lam.

Selasa, 8 Disember 2009

Selamat Pulang ke Malaysia - Haji 1430/2009 : KT 04



Alhamdulillah...

Selepas berada lebih sebulan di Tanah Suci, akhirnya kami berlepas pulang ke tanah air dengan selamat. Perjalanan ibadah yang mengujakan memberikan seribu satu pengalaman kepada kami ketika berada di sana. Insya Allah, aku akan membuat beberapa ulasan dalam urusan haji kami baru-baru ini...