Allah Taala said:

Thus, GOD does not change the condition of any people unless they themselves make the decision to change. [13:11]

Pesan Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam

Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi dan al-Tirmizi berkata ia hadis sahih.
Daripada Abu Najih al-'lrbadh ibn Sariyah r.a. beliau berkata: Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam telah menasihati kami suatu nasihat yang menggetarkan hati dan mencucurkan airmata. Kami bertanya: Ya Rasulullah! la seolah-olah nasihat orang yang mahu mengucapkan selamat tinggal, maka berikanlah kami wasiat. Baginda bersabda: Aku mewasiatkan kamu supaya bertakwa kepada Allah 'Azza Wajala, supaya mendengar dan taat, sekalipun kamu diperintah oleh seorang hamba. Sesungguhnya, barangsiapa di kalangan kamu yang masih hidup nanti, nescaya dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa' Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan kuat (iaitu berpegang teguhlah kamu dengan sunnah-sunnah tersebut) dan berwaspadalah kamu dari melakukan perkara-perkara yang diada-adakan, kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat.

Jumaat, 20 Februari 2009

Goresan Luka II

Hidup ini bagai lampu lilin
Kadang menyala kadang terpadam
Hidup pun macam itu juga
Kadang senang kadang susah

Bila terkenangkan semasa belajar dulu di Kenitra. Saya teringat masa cuti musim panas. Biasiswa Morocco dihentikan untuk semua pelajar dan kami akan kekeringan duit sepanjang tempoh 2 bulan. Pada waktu penuh kesempitan inilah kami terpaksa berjimat cermat. Dua bulan yang kosong, tidak boleh ke mana-mana kerana ketiadaan wang. Kami habiskan masa dengan mengunjungi rumah Syeikh Habti untuk menambahkan ilmu sedikit sebanyak yang termampu.

Keadaan itu mengajar saya erti pengorbanan dan kesusahan. Aktiviti berbasikal menjadi satu aktiviti yang cukup menarik bagi menghabiskan musim panas yang terluang pada sebelah malamnya. Kami kerap meronda hingga ke Mehdiyah iaitu sebuah pantai indah yang terletak sejauh 10 km dengan berbasikal. Kalau di sebelah siangnya, cukup 'HARAM' kerana terdapat pertunjukan yang kurang menyenangkan mata melihat.

Jika hari terlalu panas dan kami tidak dapat keluar rumah. Kami akan bermukim sehari suntuk di rumah sama ada bercerita atau menghabiskan aktiviti yang tak berfaedah seperti menonton TV satelit 'berpuaka' dan pelbagai acara yang langsung tidak menarik. Sebelah petang, selalunya kami akan mengadakan makan petang secara belanja ramai-ramai atau pun secara individu. Kalau sebelah pagi untuk bersarapan, terpaksa mengorek tabung untuk mencukupkan wang untuk beli sarapan.

Semuanya dibelanjakan dengan penuh berhati-hati, sebab mak ayah cukup jauh jika berlaku apa-apa perkara yang tidak diingini. Kalau mak ayah kita orang kaya, semua tidak menjadi masalah. Segala keseronokan boleh dilakukan pada musim sebegini. Tapi bagi saya seorang anak Felda, semuanya perlukan jerih payah untuk mencapainya.

Bayangkan, siapa yang sanggup keluarkan wang untuk kita bersiar-siar atau melancong jika tidak disebabkan dengan usaha sendiri? Nak tunggu keluarga berikan wang? Jauh langit dan bumi dan lihatlah dirimu sendiri...

Sedari itu saya sentiasa mempunyai matlamat dan objektif bagi mencapai impian saya. Segalanya terpaksa dikorbankan untuk meraih suatu yang senang di kemudian hari. Tidak semua orang yang berjaya mencapainya jika tidak dikorbankan masa dan umur ke arah itu. Saya dapat melanjutkan usaha ke luar negeri atas upaya sendiri. Tiada penaja, tiada sponsor, tiada orang kaya, tiada segala-galanya...

Pernah saya berhenti di perdu pokok besar dan menangis keseorangan seraya berdoa untuk mencari penaja bagi melanjutkan pelajaran saya. Setiap bangunan dipanjat, setiap pegawai ditemui, jawapannya adalah satu: "Tiada di sini!". Sedih hati bukan kepalang. Gores-gores luka itu, kadangkala menghantui diri saya apabila sendirian. Sukarnya waktu itu, hanya Allah yang mengetahuinya....

Setelah berjaya sampai ke Maghribi, pendaftaran saya tersangkut selama 4 bulan. Nun di kejauhan saya sendirian menantikan bantuan untuk masuk ke universiti. Kami pergi ke kuliah saban hari, namun tanpa sebarang permit untuk belajar. 4 bulan bukan 4 hari tempohnya. Tiket flight pun valid setakat 6 bulan. Kami boleh diibaratkan pelarian tanpa visa di negara tersebut yang telah lama luput tarikhnya. Ke sana ke mari penuh kebimbangan, ibarat pendatang tanpa izin di rantau orang yang jauh nun di Afrika Utara.

Seksa jiwa bukan kepalang, kerancuan fikiran merenggut perasaan. Tiada siapa yang memahami perasaan ini yang penuh ketakutan, kebimbangan, kerisauan, kesedihan. Tapi hanya TUHAN! Kisah ini membungkam di jiwa, sejak sekian lama. Saya cuma mahu kongsikan bersama agar kita dapat menilai, siapa diri kita. Mengapa kita cepat berasa selesa dan kadangkala kita cuba menyemarakkan api ketakutan dengan menghidupkan suasana huru-hara di negara nan permai ini.

Anda mungkin tidak pernah merasa diburu, dihadapkan ke mahkamah atau ditempatkan di dalam lokap! Tapi aku pernah melaluinya suatu ketika dulu, walaupun sebentar cuma. Goresan luka itu masih terpendam dan sukar diubati, pabila dikenang kembali. Oleh itu, sayangilah diri dan gunakan waktu dan ruang yang ada untuk terus bergerak ke hadapan.... kita mampu melakukannya untuk kebaikan bangsa dan negara kita. Insya Allah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan