Allah Taala said:

Thus, GOD does not change the condition of any people unless they themselves make the decision to change. [13:11]

Pesan Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam

Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi dan al-Tirmizi berkata ia hadis sahih.
Daripada Abu Najih al-'lrbadh ibn Sariyah r.a. beliau berkata: Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam telah menasihati kami suatu nasihat yang menggetarkan hati dan mencucurkan airmata. Kami bertanya: Ya Rasulullah! la seolah-olah nasihat orang yang mahu mengucapkan selamat tinggal, maka berikanlah kami wasiat. Baginda bersabda: Aku mewasiatkan kamu supaya bertakwa kepada Allah 'Azza Wajala, supaya mendengar dan taat, sekalipun kamu diperintah oleh seorang hamba. Sesungguhnya, barangsiapa di kalangan kamu yang masih hidup nanti, nescaya dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa' Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan kuat (iaitu berpegang teguhlah kamu dengan sunnah-sunnah tersebut) dan berwaspadalah kamu dari melakukan perkara-perkara yang diada-adakan, kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat.

Selasa, 15 Disember 2009

Tika Cinta Bertasbih...


Kesibukan sejak pulang dari Tanah Suci ini membuatkan ana kerap berada di hadapan komputer. Tetapi masih belum boleh menulis di ruangan blog ini dan memaparkan gambar-gambar yang sempat ana ambil di sana buat tatapan umum. Ini kerana beberapa skrip buku baru terpaksa disemak semula untuk mengekalkan fakta yang terdapat di dalamnya.

Apatah lagi, setiap skrip itu hanya diberi masa 3 hari untuk disemak semula. Allahu Akbar! Hari Khamis ana pergi mendapatkannya di Shah Alam, hari Jumaat pula keluarga mengajak ana bercuti di Cherating selepas kepenatan di tanah suci. Alhamdulillah, semua semakan berjaya disiapkan di Cherating.

Anak-anak saudara semuanya 'boring' kerana tidak sempat melayani mereka berenang di pantai atau di kolam. Alhamdulillah, di kolam tidak boleh memakai pakaian lain kecuali pakaian khusus, jadi memang tidak berpijaklah ke sana, kecuali berada di dalam bilik sahaja bersama mereka.

Apabila bangun pada jam 3 pagi kerana keletihan, kami sempat bersolat dan kemudiannya meneruskan 'semakan' skrip tersebut hingga menjelang waktu Subuh. Tatkala itu, tercetuslah karya 'Tika Cinta Bertasbih' dengan merenung setiap lembaran yang telah lama aku tinggalkan sewaktu berada di tanah suci kerana merehatkan diri untuk beribadah. Kini aku kembali, menatapi skrip-skrip buku penulisan sebagai usaha dakwah dalam doa yang aku munajatkan di Multazam penuh kekhusyukan.

Moga aku dan isteriku terus giat menulis dan berkarya dalam penulisan berbentuk dakwah, insya Allah. Allahumma amin!

Rabu, 9 Disember 2009

Aku di Kompleks Haji Kelana Jaya


Seingat aku, dalam 2 3 tahun lepas aku kerap menghantar orang yang ingin menunaikan fardu haji di Kompleks Haji Kelana Jaya. Tapi pada tahun ini, aku tetap ke sana untuk pergi sendiri menunaikan fardu haji. Impian aku untuk menunaikan haji ini adalah hasil usaha dan doa selepas aku menunaikan umrah kali pertama pada tahun 1999.
Pada masa itu, aku bertekad untuk menunaikan fardu haji dengan isteriku dalam waktu yang paling singkat selepas perkahwinan kami. Namun, impian aku hanya tertunai selepas 10 tahun iaitu pada tahun 2009.

Jadi, aku merasakan bahawa setiap impian kita tidak akan tercapai jika tiada usaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikannya. Ada usaha dengan sepenuh kudrat tenaga dan juga doa yang berterusan pasti akan tercapai apa yang kita idam-idamkan itu.
Semalam aku terbaca sebuah hadis yang menjelaskan bahawa setiap doa itu pasti akan dikabulkan selagi seseorang itu tidak berputus asa dalam doanya. Jika dia bertanya pada dirinya, bilakah agaknya doa aku ini akan dikabulkan?... maka dia sudah termasuk orang yang berputus asa dan doanya tidak lagi dikabulkan. Wallahu a'lam.

Selasa, 8 Disember 2009

Selamat Pulang ke Malaysia - Haji 1430/2009 : KT 04



Alhamdulillah...

Selepas berada lebih sebulan di Tanah Suci, akhirnya kami berlepas pulang ke tanah air dengan selamat. Perjalanan ibadah yang mengujakan memberikan seribu satu pengalaman kepada kami ketika berada di sana. Insya Allah, aku akan membuat beberapa ulasan dalam urusan haji kami baru-baru ini...

Jumaat, 16 Oktober 2009

Kami menyambut seruanMu Ya ALLAH!

LabbaiKa Allahumma labbaiK
LabbaiKa laa syarikalaKa labbaiK
Innal hamda wa al-ni'mata
laKa wal-Mulk La syarikalaK!

Musim haji pada tahun ini 1430H kami turut menyertai jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia Islam. Doakan kami mendapat haji yang mabrur kerana haji yang mabrur tiada ganjaran yang terbaik melainkan syurga (mafhum hadis). Kami akan mendoakan kalian turut memperolehi rezeki yang banyak dan dapat mengerjakannya pula pada masa hadapan, insya Allah!

Namun perlu ada tekad dan usaha dari diri kita sendiri untuk melaksanakannya di samping berdoa dan berazam yang tidak putus-putus. Kali terakhir ana menunaikan umrah ialah pada tahun 1999-2000 dan berdoa untuk kembali semula ke sana bagi menunaikan haji pula pada masa yang akan datang dengan ditemani isteri. Niat tulus suci ana ini boleh dikatakan saban tahun ana berdoa, tetapi pelbagai halangan dan rintangan yang membuatkan segala persiapan ini tergendala dan menemui jalan buntu.

Alhamdulillah, selepas berdoa selama 10 tahun ana berjaya menunaikan haji dengan isteri pada tahun ini iaitu tahun 2009. Semoga Allah Taala menerima ibadah haji kami ini sebagai haji yang mabrur.

Allahumma amin!
Moralnya: Amalan baik yang dihajati perlu diiringi dengan doa dan usaha yang tidak putus-putus. Insya Allah, akan dikabulkan oleh Allah Taala walaupun masanya terlalu panjang. Alhamdulillah!

Ahad, 11 Oktober 2009

Blog Kedai buku Fikri di dalam Majalah i Oktober 2009


Alhamdulillah!
Alhamdulillah!
Alhamdulillah, terima kasih kepada Ukht Azlin yang telah memasukkan blog saya ke dalam Majalah i bulan Oktober 2009. Ini merupakan kegembiraan saya yang kedua selepas daripada menerima jawapan saya dapat menunaikan fardu haji pada tahun ini.
Segala program dalam blog ini akan terhenti seketika sepanjang 45 hari saya mengerjakan fardu haji. Doakan kepada saya dan isteri agar dapat menunaikan ibadah haji dengan ikhlas sepenuh hati mengharapkan haji Mabrur. Saya turut mendoakan kalian yang mendoakan kami turut diganjari dengan pahala yang sama dan dimudahkan oleh Allah untuk ke sana.
Semoga Allah Taala menerima amalan haji kami, Amin ya Rabb!

Selasa, 6 Oktober 2009

Sejuk dan Panas PnP



Kelas I


Pagi tadi, semasa aku masuk ke kelas muridku sudah bersedia. Aku agak lama berada di dalam pejabat menguruskan pemergianku untuk menunaikan haji bersama isteri nanti. Insya Allah, doakan kami dapat pergi bersama-sama. Sebaik sahaja aku memberi salam, aku menyuruh mereka membuka buku pelajaran Jawi.

"Hah Jawi!?" Keluh 2 3 orang muridku seperti tidak berpuas hati.

"Kenapa?" Tanyaku, buat-buat lupa.

"Semalam ustaz kata nak ajar kami sembahyang!" Jawab Akmal dengan penuh harapan.

"A'ah, semalam ustaz kata nak ajar sembahyang, tapi hari ini tak nak pulak. Ustaz ni penipu laaa..." Bebel Iskandar yang petah bercakap.

"Aikk! Betul ke kamu semua nak belajar sembahyang ni?" Soalku semula inginkan kepastian daripada mereka.

"Yer laaaa, ustaz dah janji semalam." Jawab mereka serius.

"Ok! Hari ini kita belajar sembahyang, hari itu kita dah belajar wuduk kan?"

"Yer, ustaz!" Jawab pun dengan penuh semangat.

"Ok, mari semua kita ke belakang." Arahku kepada mereka ke kawasan yang lebih luas dalam bilik tersebut. Lega hatiku, melihatkan murid-muridku bersedia untuk belajar sembahyang. Semalam aku ceritakan kepada mereka tentang dahsyatnya ancaman azab kubur dan neraka bagi mereka yang tidak mengikut perintah Allah Taala.

Antara amalan yang Allah perintahkan itu adalah sembahyang, puasa dan melakukan perkara baik. Pelbagai soalan diajukan kepadaku hingga pening kepala aku menjawabnya.

"Ustaz, macam mana Allah bagitau kat kita suruh sembahyang, kan Allah tu kat langit?"

"Ustaz, kalau dah mati, macam mana kita kena seksa lagi sebab kita dah mati?"

"Ustaz, macam mana kita tahu yang neraka tu ada api?"

"Ustaz, benda apa yang ada dalam syurga tu yang best sangat masuk ke syurga?"

Letih juga menjawabnya, berfikir nak menjawab satu hal. Nak jelaskan kepada mereka satu persatu pun satu hal lagi. Nak diamkan mereka juga satu hal. Sememangnya banyak hal yang perlu dibereskan terlebih dahulu.

Alhamdulillah, mereka dapat belajar sembahyang dengan baik hari ini kerana takutkan azab Allah di akhirat kelak.

Jumaat, 2 Oktober 2009

PnP Selepas Hari Raya

Nampak tak gambar nombor satu tu, ada benda bulat kat atas bumbung. Itulah piring Astro yang membezakan bumbung zaman dahulu dan zaman sekarang hehehe...


Hari ini aku tidak ada apa nak diceritakan kecuali kisah anak muridku yang semakin berserabut kerana banyak makan kuih raya. Apabila masuk sahaja di dalam kelas pelbagai cerita mula kedengaran mengenai hari raya. Ada lagi yang masih belum 'berjaya' mengikut jadualnya dan ada juga yang sudah kehilangan jadual kelasnya, lalu banyaklah alasan mereka tidak membawa buku. Itu belum lagi kes tak ada pensel dan pemadam.

Hari ini aku baru masuk ke topik Baiti (Rumah Saya). Bila nak sebut sahaja tentang rumah, sudah pasti pelbagai ragam cerita mengenai rumah mereka. Ada yang besar, ada yang kecil dan bermacam-macam lagi. Apabila kalimah pertama yang aku perkenalkan kepada mereka dalam pelajaran hari ini ialah kalimah Saqfun (atap/bumbung) maka sibuklah mereka menunjuk ke arah siling. Suara hingar bingar terpekik terlolong usah nak cerita la macamana bunyinya.

Seingat aku, baru-baru ini ada seorang guru ganti yang mengajar di sekolah aku. Dia seorang yang hensem, jadi ramailah budak-budak ini 'terkipat' agaknya. Dia pula seorang yang lemah lembut dan menyukai kanak-kanak. Pada mula-mula beliau mengajar, aku sering melihat ada kelas yang ditutup pintu depan dan belakang. Pastinya aku tertanya-tanya, mengapa ditutup pintu tersebut sewaktu pelajaran berlangsung.
Rupanya cikgu yang baru ini seringkali menutup pintu semasa mengajar. Ini adalah satu kebiasaan bagi seorang guru yang baru nak mengajar. Suaranya masih baru hendak diperdengarkan, perasaan malu, segan dan pelbagai lagi perasaan timbul pada waktu mula mengajar.

Selepas dua minggu, aku seringkali dikejutkan dengan tempikan seseorang, persis pahlawan di zaman purba. Rupanya guru tersebut tidak lagi menyayangi suaranya yang kuat dan lantang. Tapi sayang, suara tersebut sudah tidak menjadi 'nada ketakutan' buat anak muridnya yang sudah mengetahui sikap dan 'kelembutannya' pada awal perkenalan mereka dahulu. Itulah keistimewaan murid-murid di sekolah rendah.

"Saqfun!" Aku separuh menjerit.

"Saqfun!" Diikuti oleh murid-muridku dengan riang gembira.

Budak-budak mana ada sedih dan gundah gulana, semua bagi mereka adalah ceria gembira bergelak ketawa. Cuma, apabila sesuatu tidak diikuti, pasti wajah mereka masam mencuka, tanda marah dan protes. Mereka adalah makhluk yang cukup berterus terang!

"Saqfun, apa murid-murid?" Soalku semula memastikan mereka mengingati apa yang disebut sebentar tadi.

"Bumbung! Ustaz...."

"Atap! Ustaz...."

"Woiii bumbung laa..."

"Bukan, atap laa..."

Hal begitu pun boleh menimbulkan pertikaian dan pertelagahan. Sedangkan kedua kalimah membawa maksud yang sama.

"Okey, bumbung dan atap itu sama sahaja. Siapa yang hendak duduk di atas bumbung?" Ujarku bersahaja.

"Siapa yang teringin duduk berehat di atas bumbung sekolah di tingkat 3 itu?" Ulangku lagi dengan nada sedikit tegas. Semua muridku seakan terdiam sebentar, berfikir lagaknya.

"Siapa yang bising-bising lagi, nanti ustaz letak kat atas bumbung tu! Nak ke tak nak?"

"Tak naaaak!" Sambut mereka beramai-ramai.

"Okey, kita sambung semula pelajaran kita.... bla... bla..."



*Moralnya: Kadang-kadang kena guna ketegasan sedikit untuk kontrol mereka di dalam kelas. Jangan ikut sangat perangai mereka, atau biarkan sahaja mereka dengan perangainya. Kasi layan baik punya dalam segenap hal, tapi dalam sesuatu hal yang penting tidak perlu kita berkompromi dengan mereka.... zasss!