Pada 16 Mei tahun ini, aku telah ke sekolah lamaku di Perak iaitu SMKASAS. Emmhh.. macam laporan ler plak. Arghh kira laporan laa ni. Aku sampai di situ dalam jam 11.00 pagi, sedangkan 11.30 majlis baru bermula. Aku menelefon kawanku yang masih lagi berada di rumahnya di Lahat. Beliau pula menantikan kedatanganku ke rumah ‘baru’nya. Aku tidak suka berpusing-pusing 2 3 kali, jadi aku terus sahaja melalui highway Lumut.
Aku dan isteri teringatkan nostalgia sewaktu kami masih berada di sana. Selama satu tahun setengah aku berada di situ. Aku tidak pernah menegusnya walaupun kami berada dalam satu kelas. Entah mengapa, aku pun tidak tahu… mungkin aura antara kami begitu kuat berselisih.
Nak kata aku seorang pendiam atau pemalu, hubungan dan interaksi aku dengan rakan pelajar perempuan yang lain okey saja. Sewaktu prep, kami rajin berbual dan berbincang dengan satu-satu topik ‘hangat’. Antara topik yang masih terbayang diingatanku ialah topik aurat wanita, topik jihad, topik perjuangan dan entah berapa macam topik yang hangat diperbincangkan sekitar tahun 1995 lalu.
Aku agak aktif di sekolah ini kerana kebaikan para ustaznya yang tidak sempat aku temui pada hari itu. Antara ustaz yang dikira agak ‘kamceng’ dengan kami pelajar enam atas ialah ustaz Halim Naam, ustaz Muhammad, ustaz Zahidan, ustaz Arshad, ustaz Mustafa Kamal, ustaz Sidek, cikgu Ashaari Omar dan ramai lagi. Mereka banyak membawa perubahan pada diriku. Ini kerana sewaktu aku berada di SMA al-Khairiah Temerloh. Aku adalah seorang yang pasif dan setiap pencalonan yang cuba diberikan kepadaku, aku masih mempunyai ruang untuk melepaskan diri kerana ramai pelajar lain yang akan mengambil posisi tersebut.
Hubungan antara guru dan pelajar juga mempunyai jurang yang terlalu luas. Hanya beberapa orang guru sahaja yang agak kamceng dengan pelajar mereka, seperti cikgu Pian, cikgu Lotepi, ustaz Naza, ustaz Tarmizi dan itu sahaja yang masih terlekat di mindaku. Manakala ustaz Din yang kami panggil ‘ulama’ pula adalah seorang cukup aku hormati kerana keterampilannya dalam mendidik kami. Setiap usrah dakwah yang beliau berikan kepada kami sepanjang enam tahun aku berada di sana. Cukup memberi kesan kepadaku hingga kini dalam melakukan keikhlasan untuk terus berdakwah.
Berbalik pada perjumpaan aku di SMKASAS kali ini. Aku berasa agak kecewa kerana tidak dapat bertemu dengan para guruku. Di sanalah aku dapat ‘berkawan’ dengan guru-guruku dan jurang yang rapat ini menjadikan aku lebih selesa untuk belajar. Setiap permasalahan yang timbul, aku secara langsung mengemukakannya kepada guruku di mana sahaja aku berada di sekolah tersebut. Hubungan rapat ini menjadikan diri aku lebih yakin untuk berinteraksi dan keyakinan itu mengikis sikap pasifku.
Walaupun aku hanya sebentar cuma berada di sana. Aku sempat meninggalkan beberapa bakti dan sumbangan kepada sekolah ini, walaupun aku sudah keluar darinya sejak tahun 1995 lagi. Aku masih dapat melihat tulisan khat ‘huduh’ yang aku buat seorang diri bertakhta di kantin sekolah ini (dalam gambar di atas). Bagi aku, khat itu cukup ‘huduh’ kerana kekurangan latihan dan itu antara ‘percubaan’ aku buat kali pertama menulis di atas dinding besar.
Bahagian luar dinding kantin tersebut dengan corak yang lebih menarik sudah dipadamkan dalam tahun ini agakku. Bentuk 3 kubah ala-Andalus itu dapat bertahan hampir 13 tahun sebagai tatapan generasi SMKASAS selepasku. Itu antara perkara yang cukup membanggakan dalam rekod peribadiku di bidang seni yang aku warisi daripada almarhum ayahandaku.
Sejak kecil aku sudah melihat bakat seni tulisan khat ayahandaku bertakhta di dinding masjid Felda kampungku. Beberapa buah hadis jelas terpampang gah menasihati jemaah masjid agar diam ketika khutbah dibacakan pada hari Jumaat. Sehinggalah pada tahun 2000 apabila ubahsuai dijalankan di masjid tersebut, paparan tersebut diturunkan dan tidak diangkat lagi selepas hampir mencapai usia 25 tahun ia berada di sana. Begitulah bakat penulisan khat yang aku pernah ceburi.
Tapi kini, aku sudah tidak menceburi bidang itu lagi. Aku lebih suka menumpukan pada seni penulisan karya agama yang masih banyak ruang untuk diisi. Bukan bidang penulisan dari aspek sastera, novel cereka, cerpen dan banyak lagi bidang penulisan ini. Tetapi aku ingin menumpukan beberapa buah penulisan ilmiah dalam beberapa topik besar yang masih belum disentuh oleh penulis Melayu mutakhir ini. Topiknya? Biarlah rahsia seperti kata Datuk CT.
Apa pun, aku cukup gembira apabila melihat sekolah lamaku sudah menjadi sebuah sekolah cluster. Pengetuanya pula akan berangkat keesokan harinya ke United Kingdom selama dua bulan bagi menghadiri kursus pentadbiran Sekolah Cluster. Alhamdulillah!
Moral: Gunakan apa sahaja bakat yang kita miliki untuk memajukan umat ini. Jadilah insan terbaik yang dapat memberi manfaat kepada orang lain. Pesan almarhum ayahandaku kepada anak-anaknya suatu masa dahulu yang melekat di pemikiranku: Jadilah 3 orang yang bermanfaat, apabila dia tinggal di kampung, ia akan bercucuk tanam, apabila dia tinggal di bandar, ia akan berniaga dan apabila berada di sekolah dia akan terus belajar.
RahimakaLlah ya abi, Allahummaghfir lahu warhamhu wa ‘afihi wa’fu ‘anhu, wa akrim nuzulahu, wa wassi’ madkhalahu, wa ba’id bainahu wa baina khothayahu kama ba’adTa ya Rabb baina al-Masyriqi wa al-Maghrib, wa naqqi min khothayahu kama yunaqqa al-Tsaubu al-Abyadh min al-danas, wa aghsil khothayahu bil maa wa al-tsalji wa al-barad. Allahumma amin!.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan