Allah Taala said:

Thus, GOD does not change the condition of any people unless they themselves make the decision to change. [13:11]

Pesan Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam

Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi dan al-Tirmizi berkata ia hadis sahih.
Daripada Abu Najih al-'lrbadh ibn Sariyah r.a. beliau berkata: Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam telah menasihati kami suatu nasihat yang menggetarkan hati dan mencucurkan airmata. Kami bertanya: Ya Rasulullah! la seolah-olah nasihat orang yang mahu mengucapkan selamat tinggal, maka berikanlah kami wasiat. Baginda bersabda: Aku mewasiatkan kamu supaya bertakwa kepada Allah 'Azza Wajala, supaya mendengar dan taat, sekalipun kamu diperintah oleh seorang hamba. Sesungguhnya, barangsiapa di kalangan kamu yang masih hidup nanti, nescaya dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa' Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan kuat (iaitu berpegang teguhlah kamu dengan sunnah-sunnah tersebut) dan berwaspadalah kamu dari melakukan perkara-perkara yang diada-adakan, kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat.

Sabtu, 27 Jun 2009

Hukuman rotan antara kaedah terbaik disiplinkan pelajar



Oleh - Mohd Fikri Che Hussain

LAPORAN media mengenai sekumpulan pelajar lelaki sebuah sekolah menengah berasrama di pedalaman Sarawak yang berani membuli seorang pelajar, malah merakamkan aksi ganas mereka dan disiarkan di laman web YouTube cukup menggemparkan.
Begitu juga kes sekumpulan pelajar yang dikatakan membelasah seorang pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besi sehingga mati amat membimbangkan banyak pihak.Ini antara beberapa kes yang berjaya disiarkan, malah banyak lagi kes jenayah yang masih terpendam dan tidak dibongkar di luar pengetahuan pihak berwajib.

Kementerian Pelajaran sudah menggunakan pelbagai kaedah dalam mengekang masalah pelajar ini. Antaranya, menggunakan kaedah terbaru termasuk mendapatkan kepakaran polis bagi mengemas kini semua peraturan dan undang-undang disiplin sekolah untuk mengekang budaya jenayah di kalangan pelajar.

Kementerian juga mengarahkan semua Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) membantu memantap dan menguatkuasa peraturan sedia ada yang dikatakan semakin longgar. Berita keruntuhan disiplin dan moral pelajar ini bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi di seluruh dunia. England turut menghadapi masalah berhubung krisis disiplin ini.
Badan Kajian dan Penyelidikan di London menunjukkan sebahagian ibu bapa percaya hukuman berat adalah kaedah kawalan berkesan kepada pelajar. Mereka juga percaya tingkah laku kanak-kanak dan remaja semakin teruk sejak amalan merotan dihapuskan di bidang pendidikan.

Pihak penyelidik menyatakan keputusan mengharamkan hukuman itu menyumbang kepada peningkatan masalah disiplin di kalangan pelajar di negara itu. Jika England akan mengembalikan peranan rotan dan pembaris ke tempatnya, mengapa kita tidak mendahului mereka dalam hal ini.
Seingat penulis yang dibesarkan dalam 'suasana rotan dan pembaris' yang dihadiahkan guru setiap hari bukanlah bertujuan untuk mendera pelajar tetapi mendidik supaya tidak melakukan kesalahan demi kebaikan diri mereka juga.
Ibu bapa dan penjaga perlu memahami kaedah ini dalam asuhan pendidikan. Mereka bersikap 'garang' untuk membentuk orang yang berguna dalam masyarakat. Cuba perhatikan anak sekarang yang semakin terhakis budaya timur dan akhlak hingga hilang rasa hormat kepada golongan lebih tua terutama ibu bapa serta guru. Persoalannya adakah salah merotan anak?
Sesetengah pihak menganggap ia adalah perbuatan yang teruk kerana boleh menjejaskan hubungan antara kedua pihak. Merotan mungkin tidak mendatangkan kesan buruk jika dilakukan guru atau ibu bapa. Sebelum mengenakan hukuman ini, pihak guru dan penjaga wajar memahami dan mengenali perwatakan dan sikap anak itu.
Guru dan penjaga juga perlu mengambil kira tahap hubungan mereka dengan anak. Jika anak mempunyai hubungan rapat dengan guru dan penjaga, maka hukuman fizikal tidak akan menjejaskan emosi anak. Sebaliknya jika ibu bapa tidak rapat dengan anak, hukuman fizikal mungkin akan mengakibatkan emosi anak terganggu seperti berdendam atau marah.

Guru dan penjaga perlu memastikan mereka tidak berada dalam keadaan marah dan beremosi ketika hukuman fizikal dilaksanakan. Mereka juga perlu tahu bagaimana cara merotan yang tidak mendatangkan sebarang kecederaan kepada anak. Jangan sesekali memukul di bahagian sensitif seperti muka atau di tempat boleh mendatangkan bahaya seperti kepala atau perut. Pukulan jangan terlalu kuat, cukup sekadar dapat memberi 'pengajaran dan peringatan' kepada anak supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Bagi umat Islam, mereka sudah tentu pernah mendengar sabda Nabi SAW di dalam hadisnya yang bermaksud: "Suruhlah anak kamu bersembahyang pada usia tujuh tahun dan pukul mereka jika tidak bersembahyang pada usia 10 tahun dan pisahkan antara mereka tempat tidur." (Hadis riwayat Abu Dawud)
Jika perlu merotan anak, guru dan ibu bapa boleh berbuat demikian selepas anak berumur 10 tahun. Mengapa pada usia 10 tahun? Ilmuwan Islam berpendapat anak yang berumur prabaligh iaitu sekitar 9 hingga 12 tahun boleh memahami kesan hukuman dikenakan. Anak kecil di bawah umur itu selalunya tidak dapat memahami jika didenda atas kesalahannya.
Justeru, jika anak kecil yang didenda, dia mungkin mengulangi perbuatannya itu tanpa pengetahuan penjaganya. Amaran awal harus diberi iaitu jika peraturan tertentu dilanggar, anak boleh dirotan. Berikan juga peluang kedua sebelum mengambil tindakan merotan. Lebih penting ialah menasihati mereka secara berterusan di samping memantau perkembangan pelajaran, kesihatan dan pergaulan sosial mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan