Ini adalah sebahagian kecil kitabku. Masih banyak yang berterabur di rak-rak lain. Malangnya aku begitu kurang merujuk kitab-kitab ini seperti dahulu. Kadangkala perasaan rindu berbuat demikian timbul juga. Tapi masih banyak kerja lain yang juga patut dibereskan dalam jangka waktu yang sama.
Insya Allah dalam masa tidak berapa lama lagi, aku akan mula menulis semula. Kitab-kitab ini akan dijadikan rujukan pada waktu-waktu tersebut. Ehmmm kesibukan kerja siang dan malam menjadikan aku kurang membaca akibat keletihan dan kepenatan. Sekalipun ada juga buku-buku yang aku baca, rata-ratanya tidak sempat dihabiskan dengan baik. Mungkin kerana terlalu tebal atau aku tidak begitu bersemangat untuk menatapinya.
Pengalaman aku, dalam dua tahun lepas. Aku melepaskan 'gian' menulis buku dalam waktu cuti persekolahan. Aku berjaya menulis dan menyusun hampir 4 buah buku dalam jangka masa 1 bulan lebih. Tapinya, dari jam 9.00 malam ia bermula dan berhenti sekitar waktu Subuh. Aku mula tidur sebaiksahaja lepas solat Subuh. Keadaan ini berlarutan selama 3 minggu lamanya. Agak berbahaya bagi kesihatan diri.
Namun pada akhir-akhir ini, upaya untuk tunggu lebih lama di hadapan komputer agak terhad. Mungkin kerana aku kurang selesa dengan skrin atau pun 'mood' yang muncul dan pergi. Ehmmm inilah harapanku, aku akan berusaha untuk terus menulis dan menulis... Sudah 7 tahun lebih aku berkecimpung dalam bidang ini. Sewaktu aku mula ingin berkahwin dulu, aku mulai semakin serius dalam bidang penulisan buku-buku agama ini. Dan pada hari ini, genap ulangtahun ke-7 perkahwinanku. Aku masih mengimpikan beberapa karya ilmiah yang dapat memenuhi kehendak segolongan para pembaca muda sebagai bahan rujukan mereka.
Ada segelintir yang berpendapat, buku karyaku yang lebih berbentuk silibus tidak begitu menarik dan tidak akan 'meletup' sebagaimana buku-buku para penulis yang lain. Malah aku sendiri tidak mengharapkan kepopularan sebegitu di bidang ini. Sememangnya penulis buku agama tidak akan menjadi kaya raya dengan menulis buku berbentuk ini. Apa yang aku harapkan, buku-buku itu dapat masuk ke perpustakaan-perpustakaan universiti sebagai bahan rujukan mudah buat para pembaca dan pengkaji. Paling kurang bila aku mencari buku ini, ia boleh muncul dalam enjin carian seperti di dalam perpustakaan UKM yang menjadikannya sebagai bahan bacaan dan rujukan.
Insya Allah, aku akan terus berusaha mengIKHLASkan diri dalam lapangan ini sebagaimana para ulama dahulu yang tidak mengharapkan royalti. Mereka hanya mengharapkan PAHALA dan ganjaran di sisi Allah. Lantas buku-buku mereka dibaca hingga kini, nama-nama mereka pula meniti dari bibir ke bibir, dari lisan seorang yang alim hinggalah ke lisan si jahil. Para ulama pembangun jiwa ini terus diingati dan diredhai.
Ya Allah! Hidupkanlah kami sebagai ulama dan matikanlah kami sebagai syuhada. Amin Ya Rabb al-'Alamin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan