Allah Taala said:

Thus, GOD does not change the condition of any people unless they themselves make the decision to change. [13:11]

Pesan Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam

Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi dan al-Tirmizi berkata ia hadis sahih.
Daripada Abu Najih al-'lrbadh ibn Sariyah r.a. beliau berkata: Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam telah menasihati kami suatu nasihat yang menggetarkan hati dan mencucurkan airmata. Kami bertanya: Ya Rasulullah! la seolah-olah nasihat orang yang mahu mengucapkan selamat tinggal, maka berikanlah kami wasiat. Baginda bersabda: Aku mewasiatkan kamu supaya bertakwa kepada Allah 'Azza Wajala, supaya mendengar dan taat, sekalipun kamu diperintah oleh seorang hamba. Sesungguhnya, barangsiapa di kalangan kamu yang masih hidup nanti, nescaya dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa' Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan kuat (iaitu berpegang teguhlah kamu dengan sunnah-sunnah tersebut) dan berwaspadalah kamu dari melakukan perkara-perkara yang diada-adakan, kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat.

Isnin, 8 November 2010

Antara bahaya selepas musim haji di Makkah


Ini sebahagian mata pisau yang sempat dikutip sepanjang perjalanan ke Masjidil Haram.

Hanya sedikit yang dapat dibuang di dalam tong sampah.

Sewaktu selesai mengerjakan ibadah haji, harga barangan mulai meningkat dan antara yang paling mahal bayaran khidmat selain daripada pengangkutan ialah servis 'bercukur'. Beberapa perkara ini perlu diperhatikan dengan sebaiknya oleh jemaah haji. Biasanya harga untuk bercukur sebelum hari wukuf sekitar RM5 - RM15 sahaja. Tetapi sebaik sahaja jemaah lelaki mengerjakan tawaf haji, harganya naik mendadak dari RM20 hingga menjangkau RM120 satu kepala.
Para jemaah haji akan beratur panjang sehingga 1 kilometer untuk mencukur rambut selepas bertahalul. Manakala di kalangan jemaah yang rata-rata dari negara agak kurang berada seperti Bangladesh, India dan Pakistan. Mereka akan bercukur sesama mereka menggunakan pisau cukur Gillete... Malangnya, selepas menggunakan pisau cukur tersebut, mata pisau itu dibuang ke tanah di merata-rata tempat dan tidak dibuang di tong sampah yang telah disediakan. Tahap disiplin sebegini amat mengecewakan kerana mereka mengabaikan pesanan Rasulullah SAW yang pernah bersabda:

“Seutama-utama iman ialah mengucap syahadah. Serendah-rendahnya ialah membuang gangguan di jalanan”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Islam menggariskan, bahawa membersihkan jalan laluan awam adalah sama pahala dengan orang beribadah solat (hadis lemah). Sebaliknya mengotor dan membiarkan sesuatu yang menunggu di jalanan dikutuk oleh Allah.

Sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud:

“Membuang gangguan, seperti duri dan najis dari jalan adalah sama pahalanya seperti bersolat.” (Riwayat Khuzaimah)

Hadis itu menunjukkan, bahawa amalan membuang dan membersihkan gangguan di jalan seperti sampah-sarap, duri dan kaca dikira ibadah dan nilai pahalanya sama dengan solat.
Sementara membiar atau meletakkan kotoran dan apa juga benda yang mengganggu jalan adalah dikutuk oleh Allah.

Sabda Nabi Muhammad saw bermaksud:

“Barang siapa meletakkan benda di jalan yang mengganggu orang yang lalu lalang, maka Allah mengutuknya.” (Riwayat Ar Tabrani).

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Al Baihaqi disebut:

“Siapa yang mengotori jalan kaum Muslimin: Allah, Malaikat dan semua manusia mengutuknya.”

Walaupun kebanyakan hadis di atas adalah lemah kecuali apa yang dinyatakan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, perkara ini menguatkan antara satu sama lain bahawa perbuatan tersebut perlu dihindari oleh kaum muslimin dalam apa cara jua cara dan amalan. Sebaiknya kita tonjolkan amalan terbaik dalam membersihkan laluan orang ramai sewaktu kita berada di sana. Insya Allah.

Semoga amalan kebaikan kita diterima oleh Allah Taala. Amin!

Jumaat, 29 Oktober 2010

Fiesta Buku - Grupbuku Karangkraf di Shah Alam


JEMPUT DATANG BERAMAI-RAMAI
Acara : FIESTA BUKU anjuran GRUP BUKU KARANGKRAF
Tempat : Alaf 21, Lot 12, Persiaran Kemajuan 16/16, Shah Alam

Tarikh : 29-31 Okt 2010

Jam : 9.00 pg – 6.00 ptg

Jumaat, 15 Oktober 2010

Mari bersolat!

"Assalamualaikum!"
"Wa 'alaikumussalam, ostat!" Jawab murid tahun 1 dengan sekuat-kuat hati. Ada yang berlari kembali ke tempat duduknya. Ada yang tergopoh gapah bangun selepas bermain otromen. Ada yang muka macam hendak menangis kerana bermain ketuk-ketuk kepala dan sebagainya. Haru biru juga dibuatnya, bila melihat pelbagai ragam kanak-kanak ditempatkan dalam satu kelas.

"Ostat, kenapa ostat lambat? Saya dah nak balik dah." Tanya Haikel, budak paling aktif tapi paling m***s nak siapkan kerja sekolah. Biarkan dia berlari keliling sekolah 20 kali adalah lebih disanggupinya dari duduk menatap buku hanya dalam tempoh 3 minit.

"Ostat pergi kantin kejap, minum air. Dahaga laa..." Jawabku acuh tak acuh.

"Alaa ostat nih... cepat laa kita nak belajar sembahyang ni."

"Alahai, semangat laa pulak budak ni." Getus hati kecilku. Mungkin aku ada aura kot mengajar mereka. Lagi pula aku suka melayan kerenah mereka mengikut gaya yang dikehendaki. Sebab bagiku, layan sahaja apa yang mereka hendak, kemudian barulah kita mengajar.... memang susah sikit, tapi murid-muridku ini akan lambat bosan dan jemu. Kira okey laa gitu. Mereka dapat belajar, menghafal, suka dan boleh menerima apa yang kita sampaikan dalam masa 10 minit. Itu adalah lebih baik daripada 1 jam kita pon boring dan mereka tidak memahami apa yang diajarkan. Tahap penerimaan mereka pula terlalu berbeza-beza. Sukar bagi kita menyelami kemahuan dan kehendak mereka dalam satu masa. Pendek kata, kita perlu berusaha dan mencuba.

Minggu ini, aku perlu mengajar bab solat untuk persediaan Kem Bestari Solat. Jadi, secara mudahnya aku lebih suka mereka buat dalam bentuk praktikal secara berjemaah. Barulah mereka gembira, sambil belajar dan boleh bermain.

"Okey semua, keluar ke hadapan.... berbaris!" Teriakan aku, memecah hiruk pikuk keriuhan mereka.

"Abang kakak...! Cepat!... yang lelaki di hadapan, perempuan di belakang.... baris menghadap kat ustaz.! Arahku. Barisan saf makmum lelaki dan perempuan tersedia dengan adegan tolak menolak, himpit menghimpit serta acara memilih pasangan yang cukup memboringkan.

"Wei tepilah, ni tempat aku ni...!"

"Woi aku cop dulu sinihhh!"

"Hoi! Janganlah tolak-tolak.... sakitlah...! Jerit satu suara yang lain.

"Ostaaattt.... tengok Haikel ni, main kungfu-kungfu.... tolak-tolak orang... dia pijak kaki saya..." Adu sorang murid yang lain.

"Mana ada aku buat... nih Aiman ni yang tolak-tolak dulu." Jawab Haikel bersungguh. Biasalah budak-budak kenit ni, 'helah bela diri' laa tu. Teknik ini, memang terkenal dari dulu lagi... tak tau siapa yang ajar. Hmmm...

"Okey, siapa yang tolak-tolak nanti ostat, tarik telinga dia... biar jadi macam piring Astro."

"Wahahahaha....!" Gelak mereka menghentikan keriuhan dialog tidak punya maksud.

"Nak kena ke?" Tanyaku lagi.

"Taaak naaaak!" Jawab mereka serentak.

"Okey, sebelum kita solat apa yang kita kena buat dulu?" Soalku kepada mereka.

"Mandiiii!"

"Takbirrrrr!"

"Bentang sejadah!"

"Tanggal kasut!"

Pelbagai jawapan yang dijawabnya. Menambahkan lagi kekusutan suasana.

"Okey... okey... kena ambil air..... haa air apa?"

"Air hujan.... air botol... air sungai.... air pop!"

Pelbagai air la pulak yang keluar... ikut sedap hati sahaja mereka menjawab soalanku.

"Air sembahyang...!" Jawab seorang murid perempuan di celah-celah hiruk pikuk suasana tersebut.

"Haaa betul tu.... air sembahyang, siapa yang jawab tadi?"

"Amira... Amira... ostat!" Jawab kawan-kawan di sebelahnya.

"Okey, beri tepukan kepada Amira kerana memberikan jawapan yang betul."

^Big applause^ ehehehe sempena bulan Oktober ini sebagai bulan Bahasa Kebangsaan, sepatutnya aku tak boleh gunakan klausa Inggeris... tapi degil laa ni. Cakap Inggeris tak pandai pon... itulah masyarakat kita. Suka menggunakan bahasa 'rojak'. Balik kepada cerita tadi.

"Air sembahyang atau wu...!"

"Wudukkkkkk!" Jawab mereka beramai-ramai.

"Pertama kita buat apa?"

"Baca bismillah." Jawab mereka.

"Lepas itu?"

"Basuh tangan...."

"Lepas itu lagi?" Ujarku.

"Berkumur-kumuuuur!" Terkejut juga aku sebab hampir separuh kelas yang boleh jawab.

"Selepas itu? Masukkan air ke mana?"

"Masukkan air ke dalam hidung!"

"Bagus!" Jawabku.

"Lepas tu buat apa pulak?"

"Basuh mukaaaa!"

"Okey lepas basuh muka buat apa lagi?" Soalku lagi.

"Basuh tangan...."

"Okey, basuh tangan sampai ke mana?"

"Sampai ke siku ostat..." Jawab dua tiga orang murid di belakang.

"Ye... bagus! Basuh tangan sampai ke siku!"

"Ostat, basuh sampai ke SIKU LALI ke?" Ada pula yang mencelah....

Sebaik sahaja aku mendengar perkataannya itu, membuatkan aku tergelak kecil. Sebab ada lagi yang masih keliru antara buku lali dan siku lali di kalangan anak muridku.

Moralnya: Jangan ketawa bila ada orang tersilap. Buat-buat selamba sahaja.



Selasa, 28 September 2010

Bila habis musim raya... sekolah pun bermula

Punya laa lama bercuti... nampak budak-budak sekolah aku pun macam dah liat nak ke sekolah. Pantang sket nak cuti, senak perut sket cuti, panas dedar sket nak cuti. Semuanya ada 1001 alasan. Aku pula, asyik rasa malas je nak masuk kelas. Masih terasa lagi bahang raya. Open House atau aktiviti rumah 'ternganga' masih beroperasi di sana sini. Letih juga ke sana ke mari.
Dalam berseronok aku beraya ini pon, aku masih lagi belajar. Aku belajar satu ilmu yang baru iaitu BERKEBUN... mula dari buka cuti sekolah baru ini, aku pergi menebas ladang getah aku yang di beli sejak tahun lepas. Ladang getah aku tu dah boleh jadi hutan simpan atau 'hutan dara' yang semakin berkembang biak flora & faunanya. Aku mula mencuba untuk menoreh, walaupun di kala ini aku belum mencubanya... tetapi aku akan berusaha memahirkan diri sedikit masa lagi. Insya Allah.
Ini adalah aktiviti yang aku cuba memahirkan diri dalam beberapa bulan ini jika tiada halangan. Memang syok sebenarnya bila kita boleh berkebun ni... dulu aku cukup memperlekehkan bila ada orang ajak berkebun dan berladang. Tapi bila aku dapat 'hasil' dari kederat dan titik peluh aku sendiri. Allahu Akbar! Bahagia rasanya....
Berbalik pada cerita sekolah aku tadi. Aku mula mengajar mereka berkaitan dengan solat yang telah lama ditinggalkan. Budak 'pemulihan' yang sering aku nasihatkan ini adalah kelas akhir daripada 7 buah kelas lain. Kelasnya ialah 4G iaitu 4 Gigih dan ada juga kedengaran guru menyatakan kelas 4 Gagal. Muridnya memang nakal dan 'over' dalam setiap hal. Ada 2 3 orang mereka adalah muka 'tetap' di bilik kaunseling, setiap hari. Bolehlah kalau nak digelarkan juga sebagai 4 Gengster.
Jadi pertamanya, bila aku soal:
"Pagi tadi sebelum datang ke sekolah, kamu semua solat Subuh tak? Cuba angkat tangan siapa yang solat pagi tadi?"
Semuanya tidak angkat tangan. Sama seperti hari yang lepas. Alasannya mudah,
"Ustaz, saya kalo mak tak kejutkan memang tak jaga la... tu sebab tak solat Subuh..."
Jadi, aku pun mula mengajar perkara asas sebelum solat untuk mengembalikan ingatan mereka pada tatacara solat.
"Sebelum kita bersolat, apa yang kita buat terlebih dahulu?" Soalku menduga.
"Kita baca niat.."
"Kita bentang sejadah.."
"Kita baca Allahu Akbar!"
"Kita... bla... bla..."
Pelbagai jawapan diberikan.
"Sebelum itu lagi... Apa yang kita kena buat?" Tegasku lagi.
"Kita ambil wuduk!" Jawab salah seorang dari mereka.
"Yup, bagus! Itulah jawapannya. Kita kena ambil wuduk atau air sembahyang terlebih dahulu." Aku memuji murid yang berjaya menjawabnya.
"Okey... ustaz nak 'test' sorang-sorang nih, cara yang betul untuk mengambil wuduk. Sapa nak cuba dulu?" Ujarku. Semua mereka, asyik berbual cerita hari raya dan masih tidak bersemangat untuk belajar.
"Siapa nak cuba?" Ulangku lagi... tapi nyata 'hampas' yang aku dapat. Seolah-olah aku bercakap seorang diri.
"Okey, Abang ni dulu... Bangun! Tunjuk cara mengambil wuduk..." Perintahku pada murid yang duduk di tepi sekali di sebelah kanan.
Dia pun dengan muka 'sengal' kerana terpaksa, bangun terhegeh-hegeh menyambut perintahku.
"Mula basuh tangan... lepas tu, mulut... lepas tu lagi apa yer?"
"Masukkan air dalam hidung!" Jawabku kerana semakin lama menantikan jawapannya.
"Haa masukkan ke hidung... lepas tu basuh muka.." Jawabnya penuh keyakinan.
"Okey, sebelum basuh muka tu, kena baca apa?" Dugaku, kerana berdasarkan sukatan pelajaran memang diberatkan dengan 'memasang niat' atau melafazkan niat.
"Baca al-Fatihah!" Jawab seorang murid yang sedang mengelamun...
"Kah kah kah......" Disambut hilai ketawa rakannya yang lain.
"Yo lah tu!" Jawabku menafikan jawapannya, teknik mengiyakan benda yang salah ini dalam bahasa Arab dikenali sebagai 'Istifham inkari'. Misalnya, ustazah aku selalu cakap kalau kami beri jawapan salah, "Betul ke tu cik abang oiii? Cuba perhati molek-molek." Kena saja ayat sebegini memang SAH le, jawapan itu salah.
Jadi, yang kawan tadi puas juga memikirkan jawapannya. Aku pun segera membantunya dengan menyatakan bahawa dia perlu berniat terlebih dahulu.
"Nawaitu...." Baru sahaja aku sebut kalimah itu.... berhamburanlah anak-anak muridku menyambungnya. Wahh agak terkejut aku melihat sebahagian mereka boleh membaca niat wuduk dengan lancar. Lantas aku bertanyakan muridku yang sedang berdiri tadi, kelihatan dia pun 'agak boleh' melafazkan niat ringkas tersebut.
"Okey abang, baca niat wuduk tadi, dapat ke tidak?" Soalku.
"Dapat!" Jawabnya konfiden.
Dengan suara yang kuat dan penuh keyakinan yang teguh. Dia pun melafazkan niat wuduk tersebut, "Nawaitu wudhu`a liLLAHi Taala."
"Okey, bagus... maknanya pula?" Pintasku.
"Sahaja aku mengambil air sembahyang 'dua rakaat' tunai kerana Allah Taala."
"Opss, mana ada rakaat dalam wuduk!" Ujarku, membetulkan kesalahannya sambil menahan gelak. Manakala, rakan-rakannya yang lain, berdekah-dekah ketawa berguling-guling di atas karpet surau. Sedang mereka tidak tahu lagi apakah nasib mereka selepas ini. Hehehehe..

Moralnya: Selalu-selalulah solat.... Jangan time cuti, semua aktiviti pun nak cuti jugak!

Selasa, 24 Ogos 2010

Mercun HARAM dari pelbagai aspek


Antara sebab utama kita perlu mengHARAMkan permainan mercun:

  1. Aspek agama sebab main mercun ni adalah perbuatan org yg beragama buddha. Time raya Cina jer mesti dia bakar mercun supaya hantu lari. Jadi bila kita menyambut satu budaya bangsa lain ia adalah Haram. Nabi larang dengan sabdanya, "man tasyabbaha bi qaumin fahuwa minhum". (Sesapa yang menyerupai suatu kaum, maka mereka dari kalangan mereka lah juga). Ada orang nak pakai baju raya macam baju tok sami? Style baru katanya.... jadi haram ler kalo wat jugak.
  2. Aspek ekonomi plak, setiap perkara yang membawa kepada pembaziran dan tidak berfaedah dilakukan adalah Haram. Beli mercun 30 batang dengan harga sampai RM400, lepas tu bakar tak sampai 10 minit. Bayangkan kalau duit RM400 tu disedekahkan kepada anak yatim, besar faedahnya kan?
  3. Aspek kesihatan plak, Firman Allah: Jangan kamu campakkan tangan kamu dalam kebinasaan. Jadi, main mercun ni sememangnya berbahaya. Boleh memutuskan jari sendiri, mencederakan org lain dan membakar rumah jiran tetangga. Orang lain seronok beraya, yang anak cucu kita beraya di spital... jadi jgn memudaratkan diri!
  4. Aspek sosial plak, kalo kita beri kebebasan kepada anak2 main mercun ini. Ia mampu mengganggu ketenteraman masyarakat dan kwsn kejiranan. Ganggu anak jiran nak tido, demam, sakit dll. Ganggu atuk nenek nak solat terawih dan ngaji Quran. Kalo dia main dlm rumah dia tak per... nih dia baling merata naik atas bumbung jiran... melatah2 makcik tu sambil basuh pinggan, kira ok lagik... kalo sakit jantung amacam? Tak ke bungkus macam kuih lopis nanti.... hush! tak beraya org tua tu nti...
  5. Tambah ler satu lagik... bebelan ku ini. Aspek kejiwaan pun ada gak sebenarnya. Kalo org nih terganggu pemikirannya dek bunyi letupan sokmo... ganggu anak/baby dia nak tido... menyirap je darah nye... kalo sirap limau ok lagik time buka pos...a... nih 'sirap darah suam' dek api kemarahan ke budak main mercun. Kalau jiran tu kuar rumah dan dia tangkap anak kita yg duk cucuh mercun dan bagi pelompang sekali. Apa perasaan kita? Tentu marah jugak. Jadi jiwa dan mental antara jiran mula tak berapa normal. Nak marah salah, tak marah kang pon salah... jadi semua tunjuk moncong sedepa. Trauma cenggini bakal berlarutan sampai raya 2 tahun lagik kalo tak dibendung dari sekarang.....

Selasa, 17 Ogos 2010

Korek hidung, batal puasa?

Nukilan dari sebuah blog:
“Puasa tak hari nih?” Tanya si A kepada rakannya si B
“Puasaa…” Jawab si B panjang dan disusuli dengan pertanyaan balas
“Ko puasa tak?”
“Err.. puasa aku terbatallah.. tadi dalam kereta boleh pulak lalat termasuk kat hidung aku. Rongga terbuka tu kan.. terpaksalaa aku korbankan puasa aku hari ni..” panjang lebar jawapan si A
Sebab lalat seekor puasa boleh terbatal?. Betul ke? Andaikata ada yang bertanya pada kita tentang permasalahan-permasalahan sebegini mudahkah kita nak memberi jawapan? Sejujurnya walaupun ibadah puasa ini kita telah lakukan setiap tahun tetapi masih ada permasalahan-permasalahan kecil yang agak sukar kita berikan jawapan secara spontan kerana takut tersilap memberi hukum.

Dibawah ini disediakan sedikit bingkisan yang dipetik dari Majalah Al-Islam keluaran Ogos berkenaaan Hukum-hukum berkaitan puasa hasil rujukan dari kitab Ahkam al-Siyam. Moga kita sama-sama dapat manfaat dari maklumat ini.

1. Menggunakan titisan Eye Mo di mata tidak membatalkan puasa kerana mata bukanlah ruang yang terbuka. Begitu juga dengan memakai celak tidaklah membatalkan puasa seperti fatwa Syeikh al-Syarbasi. Hal ini sama dengan cara mengorek hidung, telinga dan sebagainya kerana ia bukanlah rongga terbuka.
2. Suntikan melalui dubur membatalkan puasa kerana ia merupakan ruang yang terbuka.
3. Suntikan melalui urat pula tidak membatalkan puasa. Mengikut fatwa yang dikeluarkan oleh lujnah Al-Azhar 1948, apa yang sampai ke dalam badan melalui bukan rongga yang terbuka tidak membatalkan puasa.
4. Puasa tidak batal jika serangga seperti semut dan lalat atau debu jalan masuk ke dalam rongga kerana 'umum balwa' (sukar untuk mengelakkannya)
5. Air kumur atau yang dimasukkan ke dalam hidung ketika berwuduk sampai ke dalam rongga tidak membatalkan puasa sekiranya perbuatan tersebut dilakukan secara tidak berlebih-lebihan.
6. Puasa seseorang yang makan atau minum kerana dipaksa tidak batal disebabkan kemahuannya terhalang ketika itu.
7. Muntah yang disengajakan membatalkan puasa.
8. Seseorang yang termuntah tidaklah batal puasanya berdasarkan hadis riwayat Abu Hurairah daripada Abi Daud dan al-Tirmizi. ( Maksud hadis tak disediakan )
9. Bersetubuh boleh membatalkan puasa sekiranya terlupa. Tetapi tidak batal seperti yang dikiaskan kepada makan dan minum. (Aku pening sikit yang ni..) Jika sengaja bersetubuh maka kena kifarat bagi lelaki.
10. Mani yang keluar dengan tidak disengajakan tidak membatalkan puasa.
11. Mani yang keluar secara sengaja seperti bercumbu batal puasanya. Begitu juga dengan cara istimna’ (onani).
12. Makruh secara tahrim bercumbu dalam bulan Ramadhan dengan isteri pada siang hari bagi orang yang shahwatnya bergelora sama ada lelaki atau perempuan. Ini pendapat mazhab Hanafi dan Shafie. Walaupun begitu, Ibn Munzir berkata: telah memberi rukhsah (pada bercumbu) oleh Umar, Ibn Abbas, Abu Hurairah, Aisyah, Sya;bi, al-Hassan, Ahmad dan Ishak.
13. Mengambil pil penahan haid kerana ingin berpuasa penuh pada bulan Ramadhan dibolehkan tetapi afdhal jangan mengambilnya kerana kekal mengikut takdir Allah swt terhadap wanita. Ini pendapat Syeikh Uthaimin. Pendapat ini juga sama seperti pendapat Dr Yusuf al-Qardhawi yang berkata: “ Pada pendapat saya sebaik-baiknya wanita itu mengikut kejadian semula jadinya. Haid adalah sesuatu yang tabii dan tidak dapat dielakkan. Ia datang daripada Allah. Sekiranya wanita mengambil ubat untuk melewatkan haid agar ia tidak datang pada bulan Ramadhan, hukumnya tidak mengapa dengan syarat ubat itu tidak memudaratkan dirinya. Mereka boleh meminta nasihat orang alim dan pakar, atau nasihat doktor mengenai ubat itu.
14. Menggunakan ubat gigi pada siang hari pada bulan Ramadhan dibolehkan tetapi afdhal ditinggalkan kerana dibimbangi rasanya sampai ke dalam perut. Ini pendapat Syeikh Uthaimin.
15. Orang yang sakit buah pinggang yang dinasihatkan berbuka oleh pakar boleh berbuka dan tidak perlu qada’ sebaliknya memberi makan kepada fakir miskin setiap hari puasa yang ditinggalkan dengan kadar secupak. Tetapi sekiranya penyakitnya hilang atau sembuh, hendaklah diqada’kannya seperti fatwa Ibn Jibrin.
16. Hukum menggunakan inhaler pada siang hari pada penyakit astma dibolehkan kerana gas tersebut tidak sampai ke dalam perut tetapi sekadar untuk pernafasan. Ini pendapat Syeikh Hushaimi dan Syiekh Ibn Jibrin.
17. Menelan balgram atau sejenis kahak bagi yang tua dan sukar untuk meludahnya adalah sah puasanya seperti fatwa al-Syarbasi.
18. Menggunakan oksigen buatan bagi angkasawan tidaklah membatalkan puasa seperti fatwa syeikh al-Syarbasi.
19. Merokok membatalkan puasa seperti pendapat jumhur ulama. Inilah pendapat Syeikh al-Syarbasi. Mengikut pendapat Syeikh Husanain Mahluf dalam Fatwa Syari’iyah serta dikenakan kaffarah mengikut pendapat yang sah. Inilah yang dinukilkan daripada al-Alamah Ibn Abidin dan juga al-Alamah al-Syarambalali dalam kitabnya Imdad al-Fattah.

Tarawih: Biar sedikit tetapi berkualiti

Bab Tarawih... biar sedikit tetapi berkualiti.... antara kesalahan yg biasa dilakukan:


1- Tergopoh gapah untuk mengejar 20 rakaat TAPI solat tidak ada thumakninah : Hadis Nabi SAW ada menjelaskan: Daripada Abu Hurairah r.a, dia berkata: Bahawa Nabi s.a.w masuk masjid dan masuk pula seorang lelaki lalu melakukan solat. Kemudian ...dia datang dan memberi salam kepada Nabi s.a.w.. Nabi s.a.w. membalas salamnya lalu bersabda: “Kembalilah dan solatlah, kerana sesungguhnya engkau belum bersolat.” Maka dia pun solat sekali lagi. Kemudian dia datang lagi dan memberi salam kepada Nabi s.a.w., maka baginda bersabda: “Kembalilah dan solatlah, kerana sesungguhnya engkau belum bersolat (tiga kali).” Lelaki itu berkata: “Demi zat yang mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak dapat melakukan yang lebih baik dari itu, maka ajarkanlah aku.” Baginda s.a.w.bersabda: “Apabila engkau berdiri untuk solat maka takbirlah, kemudian bacalah yang mudah bagimu dari al-Qur’an. Kemudian rukuklah hingga engkau tenang (thumakninah) dalam rukuk, kemudian bangkitlah (iktidal) hingga engkau tegak (lurus) berdiri.Kemudian sujudlah hingga engkau tenang (thumakninah) dalam sujud, lalu bangkitlah hingga engkau tenang (thumakninah) dalam duduk (duduk antara dua sujud). Kemudian sujudlah hingga engkau tenang (thumakninah) dalam sujud. Lakukan demikian dalam semua solatmu". – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, no. 793.

2- Tergopoh gapah membaca ayat al-Quran dengan tidak bertajwid. Sedangkan Allah berfirman: Dan bacalah Al-Quran itu dengan tartil/bertajwid. (Surah Al-Furqan : 32) sebab bacaan yang baik akan membolehkan makmum mentadabbur - menghayati ayat yang dibaca oleh imam. Barulah terkesan di hati dalam bulan al-Quran ini.

3- Tidak memperlecehkan mereka yg buat 8 rakaat tarawih. Ini berdasarkan hadis Aisyah r.a. bahawa Abu Salamah r.a pernah bertanya kepada Aisyah r.a tentang solat malam Rasulullah s.a.w di bulan Ramadan. Aisyah menjawab: “Rasulullah s.a.w tidak... pernah menambah rakaat solatnya di bulan Ramadan dan atau bulan lain melebihi sebelas rakaat. Baginda solat empat rakaat, jangan engkau tanya betapa bagus dan panjangnya solat baginda. Kemudian, baginda solat empat rakaat, jangan engkau tanya betapa bagus dan panjangnya solat baginda. Kemudian, baginda solat tiga rakaat (witir).” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Sahihnya, no: 1147.

4- Tidak memperlecehkan mereka yang buat tarawih sendirian di rumah serta tidak mewajibkan kepada orang lain agar berjemaah di masjid, sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah r.a: Bahawasanya Nabi s.a.w. bersolat di masjid, maka bersola...t pulalah bersama-samanya beberapa orang. Pada malam yang kedua baginda bersolat lagi, maka banyaklah orang-orang yang mengikuti solatnya. Kemudian orang ramai berkumpul di masjid pada malam yang ketiga atau yang keempat, tetapi Nabi s.a.w. bersabda: Aku telah melihat apa yang kamu lakukan semalam. Tidak ada yang menghalangi aku keluar kepada kamu kecuali kerana aku takut ia diwajibkan ke atas kamu. Kejadian itu berlaku pada bulan Ramadhan. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya no: 1129
Kini sebahagian masyarakat menganggap solat Tarawih seperti wajib, sedangkan solat jemaah tidak dianggap sedemikian.

5- Berjemaah dgn imam itu dikira yg afdal ler, dalam solat tarawih ni juga waktu afdalnya adalah pada suku akhir malam (1/3 malam). Sebagaimana Sabda Rasulullah s.a.w: “Tuhan kita Tabaraka wa Ta’ala turun pada setiap malam ke langit dunia keti...ka masih tinggal sepertiga malam yang akhir. Kala itu Allah berseru dgn firmanNya: Sesiapa yang berdoa kepada-Ku pasti Aku akan makbulkannya, sesiapa yang meminta kepada-Ku pasti Aku akan memberinya dan sesiapa yang memohon ampun kepada-Ku pasti Aku akan mengampunnya.” – Hadis riwayat al-Bukhari dalam kitab Sahihnya, no: 1145Walau bagaimana pun, sekiranya dilakukan secara berjemaah di masjid, umat Islam diperintahkan mengikut perbuatan imam serta waktu yang telah ditetapkan oleh pihak masjid.

Para sahabat Nabi SAW dulu bila habis tarawih mereka segera bersahur untuk bersiap pula mendirikan Solat Subuh. Ini bermakna mereka solat Isyak dan mula mendirikan Tarawih dengan bacaan yg panjang hingga hampir waktu Subuh. Kita pula, solat Tarawih setakat pukul 10 mlm, balik ke rumah dan tidur hinggalah bangun untuk bersahur dalam jam 3.00-4.00 pagi. Lepas sahur tidur semula atau tgk Astro ehehe cam yang kita biasa buat tu... ni nak ceritakan perbezaan amalan kita dan amalan para sahabat.

Jika amalan Tarawih di buat setakat pukul 10 malam je, sebagaimana yang dilakukan oleh rata-rata orang kita. Bilakah mereka akan bertemu dengan malam lailatul Qadar? Sedangkan amalan solat Tarawih ini adalah pengganti pada amalan Tahajud ya...ng diamalkan oleh org soleh. Itu pasal tidak didirikan solat Tahajud pada malam Ramadan. Waktu di penghujung malam inilah berlakunya Lailatul Qadar. Rasulullah s.a.w bersabda: “Tuhan kita Tabaraka wa Ta’ala turun pada setiap malam ke langit dunia ketika masih tinggal sepertiga malam yang akhir. Kala itu Allah berseru dgn firmanNya: Sesiapa yang berdoa kepada-Ku pasti Aku akan makbulkannya, sesiapa yang meminta kepada-Ku pasti Aku akan memberinya dan sesiapa yang memohon ampun kepada-Ku pasti Aku akan mengampunnya.” – Hadis riwayat al-Bukhari dalam kitab Sahihnya, no: 1145

Ada kawan tanya, camne nak solat Tarawih sendiri. Tak tahu laa salawat antara sembahyang tu..? Jawabnya: Tidak disyari’atkan ada bacaan zikir-zikir, selawat-selawat mahupun doa-doa yang tertentu semasa waktu istirehat ini. Namun demikan sew...ajarnya tempoh tersebut dipergunakan untuk membaca ayat-ayat suci al-Qur’an, zikir-zikir, doa-doa dan selawat yang sabit daripada hadis-hadis Nabi secara bebas tanpa penetapan bacaan atau kaifiat yang tertentu. Hanya sahaja yang lebih menepati sunnah adalah zikir, doa atau selawat tersebut dilakukan secara sendirian dan dengan suara yang perlahan.

Ramai orang malas bersolat tarawih sendiri di rumah kerana kesibukan kerja dan urusan tertentu, alasan mereka adalah disebabkan tak tau nak baca salawat tu. Dengan berhujah dan beralasan yang mereka tak tau salawat yang tidak ada asalnya tu, sama ada dari hadis dan amalan para sahabat, maka ramai orang tak 'berani' buat solat tarawih sendirian di rumah.

6- Tidak perlu juga berzikir dan bersalawat dengan terpekik terlolong dengan harapan malam Ramadan kita akan bertambah MERIAH! Ini kerana Allah Taala menyarankan kepada kita yang beriman dengan ayat-ayatNYA: “Sebut (zikir) serta ingatlah Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri disertai perasaan takut (melanggar perintahnya) di samping tidak menguatkan suara, iaitu di pada waktu pagi dan petang (malam). Janganlah engkau termasuk orang-orang yang lalai.” – Surah al-A’raaf:205.

Selanjutnya daripada al-Sholah bin Hakim bin Mu’awiyah bin Haidah al-Qusyairi,daripada ayahnya, daripada datuknya, bahawa ada seorang Arab Badwi bertanya kepada Rasulullah s.a.w:“Wahai Rasulullah! Apakah tuhan kami berada hampir dengan kami... sehingga memadai hanya kami bermunajat (berbisik) kepada-Nya atau Dia berada jauh sehingga kami perlu menyeru-Nya (dengan suara kuat)? Baginda hanya berdiam diri. Tidak berapa lama kemudian, Allah turunkan ayat di atas ‘wa idza sa’alaka ‘ibadi ‘anni fainni qorib’. Setelah itu, dinyatakan pula satu riwayat daripada Ahmad daripada Abu Musa al-Asya’ari r.a, dia telah berkata: Kami pernah bersama Nabi s.a.w dalam satu peperangan. Setiap kali kami melalui jalan mendaki atau menurun di suatu lembah, kami akan mengeraskan suara melaungkan takbir. Lalu baginda mendekati kami seraya bersabda: “Wahai sekalian manusia! Kasihanilah diri kamu semua kerana kamu tidak berdoa kepada sesuatu yang tuli dan bukan kepada sesuatu yang berada jauh. Sesungguhnya yang kamu seru itu lebih dekat berbanding seseorang antara kamu daripada tengkuk unta yang dinaikinya. Wahai Abdullah bin Qais, bagaimana jika aku ajarkan kepadamu satu kalimah daripada khazanah syurga iaitu la haula wa la quwwata illa billah.”

Demikianlah beberapa tatacara solat tarawih yang diambil dari hadis-hadis Rasulullah. Semoga ianya dapat dijadikan pedoman bagi kita semua untuk melaksanakan solat tarawih ini sebagaimana yang telah diajarkan oleh baginda. Sesungguhnya menc...ontohi solat Rasulullah s.a.w. telah diwajibkan oleh baginda sendiri sebagaimana sabdanya: Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, no. 631.-
Nukilan dalil dan hadis dari artikel syeikh Akob73, tq syeikh...