Allah Taala said:

Thus, GOD does not change the condition of any people unless they themselves make the decision to change. [13:11]

Pesan Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam

Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi dan al-Tirmizi berkata ia hadis sahih.
Daripada Abu Najih al-'lrbadh ibn Sariyah r.a. beliau berkata: Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam telah menasihati kami suatu nasihat yang menggetarkan hati dan mencucurkan airmata. Kami bertanya: Ya Rasulullah! la seolah-olah nasihat orang yang mahu mengucapkan selamat tinggal, maka berikanlah kami wasiat. Baginda bersabda: Aku mewasiatkan kamu supaya bertakwa kepada Allah 'Azza Wajala, supaya mendengar dan taat, sekalipun kamu diperintah oleh seorang hamba. Sesungguhnya, barangsiapa di kalangan kamu yang masih hidup nanti, nescaya dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa' Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan kuat (iaitu berpegang teguhlah kamu dengan sunnah-sunnah tersebut) dan berwaspadalah kamu dari melakukan perkara-perkara yang diada-adakan, kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat.

Khamis, 29 April 2010

Mengendali kelas Pemulihan al-Quran bagi murid bermasalah

Setiap pagi aku perlu mengendalikan kelas pemulihan al-Quran bagi kelas 4 yang dikira 'terkebelakang' dari 7 buah kelas. Bayangkan, kalau 2 buah kelas yang boleh membaca al-Quran, 4 buah lagi yang dikira sederhana dan yang paling last adalah yang teramat 'slow'. Ia begitu menguji mindaku. Aku menulis di sini bukan untuk 'berkira' kerana diletakkan tugasan mengendali murid yang dikira 'sukar'. Tetapi aku terpaksa mengemukakan beberapa strategi sebagai cara mengatasinya saban hari. Kalau mengendalikan anak-anak atau anak buah yang beberapa kerat dengan sikap nakal dan tidak mendengar kata memang meletihkan.

Tetapi aku terpaksa mengendalikan 10 orang pelajar dari yang lembam (slow learner) hinggalah yang dikira hiperaktif (hyperactive children) membuatkan kita tidak senang duduk. Jika kita minta mereka mengambil wuduk dan membawa al-Quran. Pastinya 10 - 20 minit, masa akan berlalu begitu sahaja. Lebih-lebih lagi, kita sebagai guru tidak mampu untuk turun naik tingkat atas dan bawah untuk memantau mereka.
Bagi sesetengah guru, mereka mengesyorkan agar guru pemulihan seperti aku ini, senantiasa memantau pergerakan murid tersebut. Ini memandangkan 'perasaan bimbang' murid itu bergurau atau bermain di dalam bilik wuduk atau surau yang mampu mencederakan mereka secara tidak sengaja. Mungkin bagus dari satu aspek iaitu murid sentiasa dipantau dan dibimbing. Bagi aspek lain pula, murid sentiasa terasa dikongkong dan ini akan melambatkan proses kematangan mereka dalam melakukan sesuatu kerja.

Aku lebih memihak untuk mengambil sikap kedua iaitu membebaskan mereka dari segala kongkongan. Ini kerana dari pengamatan aku, murid yang terkongkong tidak akan dapat belajar sesuatu. Malahan, sikap terus dikongkong ini membuatkan mereka lebih suka memberontak jika mempunyai peluang dan melakukan sesuatu 'kelainan' jika merasakan diri mereka tidak lagi diperhatikan atau dipantau. Banyak kes yang begini melibatkan para pelajar yang hidup terkongkong ketika di rumah. Apabila mereka sampai di sekolah, mereka akan melakukan pelbagai aksi 'menarik' untuk memaparkan kebebasan yang dinikmati oleh mereka. Oleh itu, berwaspadalah!

Hampir 2, 3 bulan... proses yang sama berlaku. Murid-muridku senantiasa lambat masuk ke kelas pemulihan. Walau mereka berulang kali diingat agar sentiasa cepat mengambil wuduk dan membawa al-Quran ke kelas. Jawapannya tetap sama, 10 - 20 - 30 minit barulah mereka boleh berkumpul di dalam kelas pemulihan. Waktu pembelajaran sekitar 1 jam dan selalunya, pengajaran dapat dilakukan sekitar 10 - 20 minit sahaja. Itu pun sudah dikira sangat baik! Kanak-kanak yang hiperaktif atau lembam, tidak mampu menumpukan pada pelajaran yang diajar lebih daripada 5 minit. Keadaan ini mampu membuatkan seseorang guru itu mengalami stress ataupun penyakit darah tinggi kerana sering 'naik darah'.

Jadi taktik aku untuk mempercepatkan mereka ke kelas, seperti berikut:

1- Taktik Gula-Gula (ertikata lain pertandingan)

Memberikan 'saguhati' kepada murid yang cepat masuk ke kelas. Hal ini seperti memberikan gula-gula, cokelat, kandi dan sebagainya. Umumkan kepada mereka sebegini:

"Okey, siapa yang naik ke kelas dengan cepat pagi ini, ustaz akan berikan gula-gula ini pada pemenang pertama, kedua dan ketiga!" Mereka pasti gembira dengan 'teknik' begitu. Hal ini sama sahaja bagi kakitangan awam yang mendengar pengumuman, "Tahun ini setiap penjawat awam akan mendapat bonus setahun gaji."

Pendapatku: Lakukan ini sekali sekala sahaja jika anda sememangnya mempunyai banyak duit, lebihan dari gaji anda. Ini kerana kanak-kanak adalah golongan yang sukakan proses itu berulang-ulang demi keuntungan mereka. Tidak percaya cuba buat sekali. Pasti esok, lusa, tulat bla... bla... mereka akan tanya lagi. "Ustaz, hari ni kalo sapa-sapa yang cepat dapat cekelat tak?"

2. Taktik Gula-Guli (rasuah)

Memberikan 'saguhati' setiap kali budak dapat melakukan perkara terbaik tanpa perlu disuruh, menjawab soalan, membaca petikan ayat al-Quran atau melakukan perkara yang betul. Contohnya, "Okey, sesiapa yang cepat akan dapat 'hadiah' dari ustaz!", "Sesiapa yang dapat membaca kalimah pada baris yang kedua akan dapat hadiah.", "Sebab kamu kutip sampah di bawah meja tadi, kamu dapat hadiah ini!" dan sebagainya.

Pendapatku: Lakukan ini juga sekadarnya. Pengamalan memberikan sesuatu setiap kali mereka membuat sesuatu yang betul dan baik. Akan mengundang protes atau 'mogok' jika tidak diberikan sesuatu kepada mereka. Jadi, buatlah sekadarnya. Jangan selalu-selalu kerana ia bakal mengundang bahaya pada pertumbuhan dan tumbesaran mereka. Setiap perbuatan dan kecemerlangan mereka perlu diberitahu dengan JELAS. Ulang semula, BERITAHU dengan JELAS agar mereka memahami setiap tindakan yang diambil oleh mereka.

Contohnya, "Ustaz berikan hadiah ini, kerana kamu datang awal!", Ustaz berikan gula-gula ini kerana awak tidak lagi mengganggu kawan yang lain sewaktu belajar!" dan seumpamanya.

3. Taktik Amaran (jika makan saman)

Memberikan amaran yang jelas kepada mereka. Sebaiknya ulang tiga kali agar mereka fahami arahan atau perintah yang disampaikan. Ini kerana, murid yang lembam atau hiperaktif ini kurang daya memahami soalan atau arahan. Lain disuruh, lain yang dibuatnya. Itu perkara biasa pada mereka. Kita terpaksa pesan, 3 - 20 kali untuk memahamkan mereka. Contohnya arahan mudah, "Akil, sila berikan buku ini kepada Ustazah Waheeda!". Kalau kanak-kanak biasa, mereka akan mengambilnya dan mencari guru tersebut lantas menyerahkannya.

Berbeza dengan kanak-kanak ini yang perlu dijelaskan satu persatu kepada mereka. "Akil, bawa buku ini. Serahkan kepada Ustazah Waheeda yang memakai cermin mata, berbaju jubah kuning, bla... bla..." Dan suruh mereka ulang semula arahan itu tadi. Pastinya anda akan dapat menilai tahap 'ingatan arahan' itu tadi, sejauh mana keupayaan mereka.

Jika ingin mereka cepat ke kelas, gunakan arahan amaran seperti ini. "Sesiapa yang ustaz dapati masuk lambat ke kelas ini, apabila jarum jam ini sampai atau lebih dari angka 5 ini. Ustaz akan denda kamu!"

Taktik ini kadang-kadang jadi, kadang-kadang kurang menjadi. Ia melihat pada ketegasan kita dan kemampuan kita pada pandangan mereka. Tapi sebaiknya, cuba laksanakan pada apa yang diJANJIkan agar mereka mendengar dan percaya. Jika kita gagal mengotakan apa yang telah diJANJIkan, pasti mereka akan abaikan apa sahaja arahan yang anda perintah dan arahkan pada masa hadapan. Kanak-kanak amat berpegang dengan janji, malah akan berpegang pada janji itu hingga mereka dewasa, jika tidak kena pada gayanya. Oleh itu, berwaspadalah!

4. Taktik Denda

Memberikan sedikit 'kejutan' kepada mereka yang engkar dan tidak 'makan saman'. Hal ini biasanya pada murid yang tidak terkawal di rumah hingga ke sekolah. Antara sikap tidak 'makan saman' ini adalah dari pergaulan dengan abang atau kakak yang kurang bermoral atau menghadapi gejala keruntuhan moral. Abangnya yang tidak sekolah menggalakkan adiknya seperti, "Alaah, kalau cikgu tu banyak cakap nanti, adik lawan jer laaa...", "Kalau boring dok dalam kelas, lepak laa kat tandas, cikgu bukan nak pergi cari pon..." Nasihat sebegini akan mempengaruhi minda murid tersebut secara tidak langsung kerana 'model' mereka di rumah atau 'mentor'nya adalah keluarga mereka sendiri.

Jadi bagi mendenda murid yang lewat, suka memonteng dalam tandas, bermain di koridor, melompat di tangga, suka menunjukkan aksi tarian 'shuffle' atau tektonik (techtonic) perlu kaedah khusus yang tidak membahayakan diri mereka dan guru. Jangan menyakitkan mereka atau bertindak luar batasan. Cara yang biasa digunakan ialah pukul dengan gulungan surat khabar atau manila kad di bahagian kaki bawah (betis). Ia meninggalkan kesan bunyi yang kuat dan cukup mempengaruhi minda pelajar. Tanyakan pula kepadanya, "Sakit tak apa yang ustaz buat ni!" Mereka pasti menjawab dengan jujur. "Tak sakit!" Paksakan pada mereka dengan ancaman, "Okey, kalau tak sakit ustaz pukul sekali lagi sampai sakit." Pasti mereka akan mengiyakannya, "Okey... sakit... sakit!"

Teknik gertakan ini, boleh menimbulkan 'perasaan cemas' pada rakannya yang lain. Tapi itu juga terpulang sama ada menjadi mahu pun tidak. Boleh digunakan dalam teknik mengawal PNP saklipun mungkin kurang berkesan. Wallahu a'lam.

:) Pandangan anda diperlukan....

1 ulasan:

  1. Salam...boleh diguna pakai...sbb semua cikgu akan menghadapi situasi ini...ada seorg cgu kata,kalau kita nk mudah mngjr,hari prtama msuk kelas xboleh snyum.1st impression,bdk2 akn kta kita cgu grg,dia akn tkut.bg murid thp 1,elakkan dr bergurau lbih2,sbb dia akn buat kita setaraf kwan,thp 2,boleh gurau ckt sbb dia dh blh beza,,bila kelas dlm keadaan snyp baru sng nk smpaikan ilmu wpun kdg2 ada yg snyp,tp xtau apa2..1 lg,bila budak buat salah,kita kna hukum scara CASH,biar dia ingt,sbb ada cgu yg suka btangguh:skjp lg,siap awk!...skjp lg,tp last2 x buat...budak naik kepala....

    BalasPadam