Allah Taala said:

Thus, GOD does not change the condition of any people unless they themselves make the decision to change. [13:11]

Pesan Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam

Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi dan al-Tirmizi berkata ia hadis sahih.
Daripada Abu Najih al-'lrbadh ibn Sariyah r.a. beliau berkata: Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam telah menasihati kami suatu nasihat yang menggetarkan hati dan mencucurkan airmata. Kami bertanya: Ya Rasulullah! la seolah-olah nasihat orang yang mahu mengucapkan selamat tinggal, maka berikanlah kami wasiat. Baginda bersabda: Aku mewasiatkan kamu supaya bertakwa kepada Allah 'Azza Wajala, supaya mendengar dan taat, sekalipun kamu diperintah oleh seorang hamba. Sesungguhnya, barangsiapa di kalangan kamu yang masih hidup nanti, nescaya dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa' Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan kuat (iaitu berpegang teguhlah kamu dengan sunnah-sunnah tersebut) dan berwaspadalah kamu dari melakukan perkara-perkara yang diada-adakan, kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat.

Khamis, 8 April 2010

Ken To Rak!


Semalam semasa aku melangkah laju ke kelas Tasmik. Beberapa murid datang kepadaku memberitahu.

"Ustad! Ramai dah yang balik..."

Kejadian biasa yang tidak dapat dihalang kerana ramainya pelajar di kelas tersebut mempunyai alasan tersendiri.

Kelas Tasmik yang dilaksanakan dari jam 1.10 hingga 2.10 cukup membebankan kepada mereka. Mungkin kerana perut lapar, nak bersiap ke kelas KAFA di pusat tuisyen yang bermula seawal jam 2.30, bersiap nak ke kelas al-Quran di rumah jiran-jiran dan adakalanya murid yang malas nak menunggu lama.

Jadi, bagi aku, biarkanlah mereka pulang kerana mungkin mereka terikat dengan pengajian al-Quran lain di luar. Kalau pulang pun, mereka terus pulang ke rumah dan tidak menuju ke lain-lain tempat. Tapi bagi pentadbiran sekolah, hal itu menjadi kesalahan besar kerana melepaskan murid keluar sekolah tanpa kebenaran. Bagi guru seperti aku ia menjadi dilema yang tidak berkesudahan. Apa pun semoga kedua-dua pihak mendapat faedah yang besar dalam bidang keilmuan.

Kelas lain tidak begitu dibimbangkan, tetapi kelas ini agak agresif memandangkan mereka adalah pelajar yang agak terkebelakang dari aspek kurikulum. Minat untuk belajar memang boleh dikatakan tiada. Pening jika nak melayan 40 orang murid yang sebegini. Tapi inilah aset utama bagi seorang guru. Insya Allah!

* * *

Semasa aku 'melepak' di kantin sebentar tadi kerana mendengar khabar kemenangan sekolahku dalam pertandingan bola sepak peringkat zon, aku mendapat satu panggilan telefon dari seorang guru kaunseling.

"Ustaz, nak minta tolong sikit nanti."

"Banyak pun boleh." Jawabku nada bergurau.

"Ni nak mintak ustaz tolong lukiskan dalam kertas A4, poster Anti Dadah untuk murid sekolah."

"Ehmm insya Allah, boleh." Layanku...

Aku ni bab melukis dan melakar, memang suka sangat. Memang tak cantik, tapi tak ada laa huduh sangat! Sebab bila aku melakar sesuatu objek aku akan tayang kat anak-anak muridku.

"Ni, apa yang ustaz lukis ni, sapa tau?"

"Komputer! Komputer!" Jawab mereka bersungguh-sungguh.

Bila apa yang kita niat untuk melakarkan sesuatu onjek itu adalah SAMA dengan jawapan yang diberikan. Maka, keputusannya bagi setiap lakaran dan lukisan kita itu sememangnya menjadi, biarpun huduh bentuknya. Jangan pedulikan semua itu. Janji ia JADI! eheheh itu prinsip aku.

Biar buruk dan teruk, tapi jika ia diperakui oleh seseorang... itulah sebenarnya jawapan tersebut. Lebih-lebih lagi budak 'kenit'... mereka adalah seorang yang paling jujur.

* * *

Bebudak kenit ini, jikalau diorang tidak suka sesuatu, mereka akan bercakap benar tanpa selindung. Itulah budak-budak. Tapi awas! Jangan ceritakan sesuatu rahsia rumahtangga kepada si anak ini. Mereka akan bercerita apa sahaja jika kita bertanyakannya. Hingga ke tahap, aku kadangkala malas nak dengar bila aku bertanyakan mengenai sikap ibu bapa mereka dalam mengurus rumah tangga.

"Ustaz, semalam ayah saya tak solat. Emak aje yang solat... saya selalu ikut solat dengan emak."

Pecah rahsia... jadi aku akan berikan tumpuan kepada budak yang mempunyai masalah sebegini.

* * *

Awal tahun ini, ada seorang budak perempuan dari kelas Tasmik aku terus berjumpa dengan aku sebaik sahaja loceng balik dibunyikan.

"Ustaz, saya tak reti sembahyang." Adunya terang-terangan kepadaku.

"Kenapa tak reti sembahyang? Kan dah masuk darjah 4 akak ni.." Balasku menduga.

"Ustaz, saya baru tahun lepas pindah ke sini.... dulu saya sekolah Cina. Saya tak belajar sembahyang." Jawabnya jujur.

"Ooo gitu, tak apa nanti minggu depan ustaz akan ajar akak sembahyang." Pujukku semula.

Dia tersenyum puas mendengar jawapanku sambil menghulurkan tangan bersalaman meminta izin untuk pulang. Hati aku bergelodak, melihatkan anak sekecil ini meminta diajarkan solat.

Waktu yang agak terhad sebenarnya membuatkan aku tidak sempat berbuat apa-apa. Tetapi setiap kali aku betemu dengannya, aku cuba bertanya mengenai solatnya.

Pada mulanya, ada beberapa kesempatan yang aku cuba bertanyakannya. Jawapan amat mengecewakan.

"Akak sembahyang tak pagi tadi?" Soalku.

Dia hanya tersenyum, "Errr tak sembahyang ustaz, bangun lambat!"

"Ok, kan ustaz dah ajar ari tu? Bila dah tau, kita kena sembahyang. Okey?"

"Ok ustaz!..."

Sampailah minggu lepas, aku bertemu dengannya dan aku bertanya kepadanya soalan yang sama. Aku bukan hanya tanya pada dia sahaja, tetapi hampir satu koridor murid-murid yang melintasi aku. Aku bertanyakan solat Subuh kepada mereka. Biarpun hanya setahun sekali, janji aku dapat pantau juga perkembangan solat mereka seawal usia 10 tahun.

Banyak jawapan yang agak mengecewakan. Budak-budak..... biasa laaa...

"Hah akak ni, pagi tadi solat Subuh tak?"

"Ehmm saya solat ustaz, pagi tadi", jawapannya yang amat mengejutkan aku.

"Betul ni?" Sergahku inginkan kepastian.

"Betul laa ustaz, saya solat pagi tadi." Jawabnya bersungguh.

"Dah pandai solat laa nih yer?" Tekaku lagi...

"Iyer..." Sambil tersengih dia berlalu pergi ke tapak perhimpunan.

"Alhamdulillah...." Gembira hatiku bukan kepalang...

Semoga Allah Taala memberikan petunjuk kepada anak-anak muridku. Amin!

* * *

Sampai sahaja di kelas Tasmik. Aku menyuuh beberapa orang lagi yang masih tinggal untuk mengambil wuduk dan membawa mushaf ke kelas.

"Ok semua, ustaz bagi masa 2 minit pergi ambil wuduk dan al-Quran ke kelas ini. Cepat!!!" Teriakku bersahaja. Masa mula menjadi guru, nak keluar suara kuat sikit pun malu yang teramat malu. Tapi bila jumpa budak-budak yang macam 'pelesit'. Suara yang awalnya macam buluh perindu, terus bertukar menjadi 'meriam buloh'. Bummm! Tebabooo!...

Masa 2 minit yang diberikan itu adalah 'kiasan' sahaja, memandangkan masa itu hanya boleh dilaksanakan oleh para komando atau anggota Paskal atau Paskal dengan disipilin yang tinggi. Tapi bagi murid-murid kelas belakang ini, 20 minit dapat balik ke kelas dah kira mujurrrr! Silap-silap aku pulak yang kena panggil mereka di surau. Kadang-kadang siap main Aci Ligan atau Polis Santri lagi dalam surau tu... Itu yang tak tahan tu....

Bila mereka sampai aku suruh buka ayat dan suruh seorang yang pandai mengetuai bacaan mereka. tak sampai 5 ayat, mulalah berterabur dan entah apa-apa bunyinya. Aku terpaksalah ambil alih semula. Bila dengar suara yang kuat bergempa. Secara automatik mereka akan ikut. Jadi senanglah membacanya dengan bimbingan guru bagi merealisasikan teknik TALAQQI MUSYAFAHAH.

Aku membaca sambil melihat kepada mushaf anak murid yang berada di hadapan mejaku. Manakala tangan aku sedang melakarkan poster Anti Dadah yang dipinta. Gambar bebeapa poster lain menjadi sumber ilhamku. Aku hanya menulis, Hindari Najis Dadah. Entah mana idea itu datang, aku pun tak tahu. Budak-budak kenit ini, bila kita cerita bab najis dadah ini, dia kurang faham. Mereka cuma faham najis manusia dan haiwan sahaja.

Ikutlah, apa pun fahaman mereka, memang sebelum nak faham itu banyak pekara akan berlaku. Sama juga dengan aku masa kecil dulu. Cakap ikut sedap mulut aje, sebab tak tahu. Sedangkan ada kalimah-kalimah yang diambil dari kawan itu dikira mencarut. Jadi, kena cubit pipilah apa lagi. Dulu aku kena cubit pipi, sekarang giliran aku pula nak cubit pipi bebudak ni. Kira adillah gitu ehehehe...

Selepas aku menulis perkataan tersebut, aku mula melukis gambar tengkorak, picagari dan juga pil-pil dadah. Ada pula titisan darah dan percikan yang mungkin boleh menakutkan bebudak ini bila melihat dadah dalam TV itu. Aku pun tak berapa faham apa yang aku cuba sampaikan.

Bila selesai mengajar mereka, aku sempat bercerita tafsiran dari bacaan al-Quran tadi yang membawa kisah pembunuhan Bani Israil. Nabi Musa telah diwahyukan agar menyembelih seekor lembu betina bagi menyelesaikan kes pembunuhan tersebut. Moralnya kepada mereka, jangan suka bertanya benda yang bukan-bukan akhirnya akan menyusahkan diri sendiri.

Selesai bercerita mereka semua berangkat pulang, aku terus ke meja untuk menyiapkan sedikit lagi lakaran yang perlu disempurnakan. Beberapa orang muridku masih lagi berkemas kelas mereka dengan menyapu dan menyusun kerusi meja. Sedang beberapa yang lain datang ke meja untuk melihat lukisanku.

"Ustaz buat apa ni?" Tegur mereka.

"Ustaz nak buat poster anti dadah ni." Jawabku acuh tak acuh.

"Ehh kenapa ustaz lukis KENTORAK?"

"Apa kamu kata?" Balasku semula...

"Kentorak!" Selamba dia menjawab.

Kawan dia yang berada di sebelahnya terus menegurnya.

"Awak ni, itu tengkorak laaa!"

Bagai nak meletup perutku menahan gelak. Adusss... sudah darjah 5 pun masih tidak boleh menyebut dengan betul. Inilah akibatnya hanya pandai menyebut dengan tidak belajar melalui pembacaan. Wallahu a'lam....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan