Allah Taala said:

Thus, GOD does not change the condition of any people unless they themselves make the decision to change. [13:11]

Pesan Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam

Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi dan al-Tirmizi berkata ia hadis sahih.
Daripada Abu Najih al-'lrbadh ibn Sariyah r.a. beliau berkata: Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam telah menasihati kami suatu nasihat yang menggetarkan hati dan mencucurkan airmata. Kami bertanya: Ya Rasulullah! la seolah-olah nasihat orang yang mahu mengucapkan selamat tinggal, maka berikanlah kami wasiat. Baginda bersabda: Aku mewasiatkan kamu supaya bertakwa kepada Allah 'Azza Wajala, supaya mendengar dan taat, sekalipun kamu diperintah oleh seorang hamba. Sesungguhnya, barangsiapa di kalangan kamu yang masih hidup nanti, nescaya dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa' Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan kuat (iaitu berpegang teguhlah kamu dengan sunnah-sunnah tersebut) dan berwaspadalah kamu dari melakukan perkara-perkara yang diada-adakan, kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat.

Khamis, 6 Mei 2010

Kelas Pemulihan al-Quran 1


Sebagaimana kebiasaan pada waktu pagi. Aku akan berkumpul dengan beberapa orang pelajar untuk dipulihkan pembacaan al-Quran mereka. Beberapa punca utama kesulitan para pelajar ini boleh dikesan olehku. Masalah utama yang dihadapi oleh mereka ini adalah seperti berikut:

1- Tidak mengenali huruf al-Quran

2- Tiada tindakan susulan di rumah seperti belajar KAFA atau mengaji di rumah jiran

3- Ibu bapa tidak terlalu menekankan aspek ini, mereka hanya belajar di sekolah 1 jam sehari

4- Murid tidak didedahkan dengan suasana keagamaan di rumah - abang atau kakak yang tidak lagi terkongkong turut mengajak adiknya keluar berjalan2 atau merempit

5- Murid tidak berminat belajar - bila suruh baca, mata sibuk ke tempat lain atau sering berbual dengan rakan sebelah

6- dan banyak lagi faktor lain yang boleh dikepilkan bersama

Hanya dalam masa satu jam. Aku terpaksa memberikan separuh masa pada perhimpunan pagi, separuh masa yang lain untuk melepaskan mereka mengambil wuduk dan al-Quran dan duduk di dalam kelas. Separuh masa lagi digunakan untuk membaca al-Quran satu halaman dan separuh masa lagi aku terpaksa membaca tafsir ayat tersebut bagi memotivasikan mereka. Memang letih juga nak menerang, menjelas, memaham dan mengarahkan agar mereka mampu mempraktikkan apa yang aku ajar pada hari tersebut.

Ini kerana murid-murid ini langsung tidak terdedah kepada apa yang aku cuba jelaskan. Kalau cerita bab Malaikat, mereka pasti melontarkan seribu persoalan dan kadangkala tidak sempat dihabiskan penjelasanku itu kerana sibuk menjawab persoalan mereka. Antaranya:

a) Ustaz! Malaikat tu macamana? Besar ke?

b) Ustaz! Malaikat tu dibuat daripada apa?

c) Ustaz! Malaikat tu nabi ke?

d) Ustaz! Malaikat tu ada kepak, warna kepaknya hitam ke?

e) Ustaz! Kalau malaikat tu dibuat daripada cahaya, macamana dia berjalan?

f) Ustaz! Malaikat tu kita tak boleh nampak ke? Kalau dia duduk kat kiri kanan kita?

Sesak nafas nak menjawab. Bila kita berikan satu fakta, mereka akan bertanya sampai ke dasarnya. Naik pening kepala nak memikirkan jawapan yang sesuai buat mereka. Apatah lagi jika ayat tersebut menceritakan soal Akhirat, beribu soalan pasti dikemukakan.

Contoh biasa yang aku ulangi pada mereka ini, apabila ada ayat yang menyebutkan mengenai orang beriman. Aku pasti jelaskan, "Orang beriman ini ialah orang yang percaya kepada Allah, mereka melakukan kebaikan seperti bersolat, tidak membuli orang, jaga kebersihan, tidak mengata kepada orang lain, tidak berkata yang tidak senonoh, tidak mengejek nama ayah orang lain dan sebagainya." Contoh ini perlu diberikan mengikut kesesuaian apa yang perlu mereka ubah pada diri mereka.

Pernah sekali muridku bertanyakan mengenai hari Akhirat. Aku menceritakan secara panjang lebar mengenai kehancuran alam ini. Apabila ramai orang buat jahat, maka alam ini akan rosak dan kemudiannya tidak lagi stabil, seterusnya akan musnah. Kini semakin banyak perubahan cuaca dan berlakunya gempa bumi, letusan gunung berapi dan sebagainya.


Aku turut jelaskan kepada mereka, "Jika bukit ditarah, maka bumi tidak lagi menjadi kuat. Lantas berlakulah gempa bumi, keruntuhan tanah dan juga ribut taufan. Apabila menjelang kiamat, segala isi bumi ini hancur. Gunung runtuh, rumah hancur dan sebagainya."

Tiba-tiba seorang murid yang tidak berpuas hati dengan penjelasanku mengangkat tangan dan bertanya, "Ustaz! tak kan tak ada satu tempat yang selamat?".

Aku jawab, "Tiada tempat untuk lari lagi masa itu!"

Dia bertanya semula, "Ustaz! kalau saya lari... lari... lari.... sampai tempat yang selamat. Saya duduk dulu kat situ. Bila dah habis Kiamat, saya balik semula ke rumah saya. Boleh tak ustaz?"

"Kamu nak balik semula ke rumah kamu yang dah hancur tu?" Tanya ku semula.

"Yer la... saya duduk laa kat situ semula, buat rumah baru lepas Kiamat tu dah tak ada!" Jawabnya selamba.

Rasa macam nak pecah perut aku menahan ketawa. Aduh, pening betul kepala aku nak memahamkan muridku yang seorang ini. Dia ingat Kiamat itu sejenis angin taufan atau banjir besar kot. Apa-apa pun, itulah tugas aku setiap hari. Nak membina satu peribadi yang dapat membangkitkan sebuah generasi.

Wallahu a'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan