Allah Taala said:

Thus, GOD does not change the condition of any people unless they themselves make the decision to change. [13:11]

Pesan Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam

Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi dan al-Tirmizi berkata ia hadis sahih.
Daripada Abu Najih al-'lrbadh ibn Sariyah r.a. beliau berkata: Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam telah menasihati kami suatu nasihat yang menggetarkan hati dan mencucurkan airmata. Kami bertanya: Ya Rasulullah! la seolah-olah nasihat orang yang mahu mengucapkan selamat tinggal, maka berikanlah kami wasiat. Baginda bersabda: Aku mewasiatkan kamu supaya bertakwa kepada Allah 'Azza Wajala, supaya mendengar dan taat, sekalipun kamu diperintah oleh seorang hamba. Sesungguhnya, barangsiapa di kalangan kamu yang masih hidup nanti, nescaya dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa' Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan kuat (iaitu berpegang teguhlah kamu dengan sunnah-sunnah tersebut) dan berwaspadalah kamu dari melakukan perkara-perkara yang diada-adakan, kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat.

Jumaat, 5 Februari 2010

Syeikh Dr. Farid al-Ansari yang aku kagumi...


Gambar yang aku ambil ini sekitar tahun 2001 sebelum kepulanganku ke Malaysia. Aku bersama dengan Dr. Ahmad Wifaq bin Mokhtar yang baru pulang ke tanah air beberapa minggu lalu (24/1/2010) dan Ustaz Harmee (iaitu adik kepada Syeikh Khairudeen Aman Razali penceramah terkenal di radio IKIM) telah bermusafir untuk melawat beliau.

Almarhum tinggal di Meknes iaitu sebuah bandar yang pernah menjadi kota kurungan para lanun Kristian suatu masa dahulu pada era Moulay Ismail (1672-1727). Beliau menjadi pensyarah di universiti Mohammedia sebelum itu dan kemudiannya berpindah ke Universiti Moulay Ismail di Meknes.

Lawatan aku kali pertama ialah pada tahun 1997 bersama dengan Ustaz Rosli Mokhtar (kini pensyarah KUIS) dan juga Ustaz Heizal Hezry Omar (kini pensyarah UiTM Shah Alam dan sedang melanjutkan ijazah kedoktoran di Jordan). Kami ke sana pada mulanya untuk melawat beliau yang baru sahaja menjadi ketua jabatan Pengajian Islam di universiti tersebut.

Beliau adalah seorang yang begitu tawaduk, senantiasa tersenyum dan cukup pandai melayan tetamu. Kereta yang beliau gunakan adalah jenis Renault zaman silam yang masih mampu bergerak. Tidak ada langsung 'keinginan' menukar kereta yang agak mewah bagi memadankan status yang layak bagi dirinya. (Lebih kurang macam kereta di bawah ni) Kejutan ini kepada aku yang baru datang ke Maghribi pada tahun itu kerana aku sering melihat guru ataupun pendidik terutamanya para pensyarah yang bergaji besar di negara kita yang kerap bertukar-tukar kereta sepanjang tahun. Memang tidak semua, tapi itulah realitinya. Ketika kami dijemput menaiki keretanya. Sebaliknya dia pula yang meminta maaf kepada kami kerana terpaksa menaiki keretanya yang agak 'buruk' itu.

Sebaik sahaja sampai di rumahnya, beliau menjemput kami masuk dan berehat sebentar. Sebelah petangnya, beliau mengajak kami pergi ke universiti kerana beliau mempunyai tugasan yang perlu diselesaikan. Kesibukannya itu tidak menghalang beliau untuk melayani kami sebagai tetamunya. Pada sebelah malamnya ketika kami tumpang tidur di rumahnya, beliau banyak bercerita. Apa yang menarik, beliau sewaktu kanak-kanak dan remajanya, beliau cukup dididik dengan disiplin yang tinggi. Antaranya, beliau akan disuruh menyusun selipar di hadapan pintu dahulu sebelum memasuki rumah.

Budaya yang diamalnya itu menyebabkan beliau kehairanan apabila mula masuk ke universiti dengan tinggal bersama para pelajar yang lain. Beliau ingatkan semua orang dididik dengan budaya sedemikian rupa. Terdapat sebuah televisyen di ruang tamu rumahnya. Beliau tidak membeli parabola sebagaimana umum masyarakatnya, kerana beliau memandang perkara tersebut akan membawa banyak keburukan daripada kebaikan. Beliau hanya akan membuka televisyennya pada jam 6.00 petang untuk menonton warta berita setempat.

Anak-anaknya pula diberikan masa menonton kartun pada jam 6.30 petang hingga 7.00 malam pada setiap hari. Rancangan atau program TV yang lain tidak dibenarkan kepada mereka untuk menontonnya. Selepas maghrib dan Isyak, anak-anaknya disuruh tidur awal selepas melaksanakan tugasan di sekolah. Manakala beliau akan membaca buku, menulis atau mengulang kaji suatu subjek yang bakal diajarnya.

Kami dipelawa untuk ke perpustakaannya di tingkat tiga rumahnya. Sebuah bilik kecil yang disusun rak buku bertingkat tanpa meja dan kerusi cukup mengujakan. Beliau menunjukkan beberapa buah buku hasil penulisannya dan sesetengahnya dihadiahkan kepada kami. Aku masih belum membaca buku tersebut kerana bagi aku bahasa yang beliau gunakan agak tinggi bagi level aku ketika itu.

Beberapa buah buku lain yang ditunjukkan kepada kami ialah buku ensiklopedia para sasterawan Arab dan syair mereka. Buku itu antara karya yang paling bernilai baginya. Beliau bertekad untuk membelinya sebagai koleksi peribadi dan bahan rujukannya dalam lapangan penulisan yang amat digemarinya iaitu subjek sastera.

Penulisannya amat telus dan bermutu tinggi, gaya bahasanya cukup unik bagi mereka yang memahami bahasa Arab. Istilah yang digunakan olehnya amat berbeza dengan para penulis yang lain. Ini kerana aku yang cuba membaca kolumnya di akhbar Tajdid sering menghadapi masalah memahaminya berbanding artikel berbentuk laporan atau berita.

Perbincangan dengannya sepanjang malam itu, cukup mengasyikkan kerana aku yang pada waktu itu agak terkial-kial memahami bahasa Arab. Namun, aku cukup mengkagumi dirinya yang tidak pernah mengenal penat dan lelah dalam usaha menyebarkan dakwah.

Sebelum aku pulang pada tahun 2001, beliau masih tidak banyak berubah. Layanan beliau terhadap kami yang bertandang ke rumahnya masih disambut dengan perasaan gembira. Hari itu, hari Jumaat dan beliau agak kesibukan dalam menghabiskan tugasannya di universiti dan pulang awal untuk ke masjid sebagai khatib Jumaat. Selepas beliau bersiap dengan mengenakan jubah khatib serta 'burnus' (gambar di atas hanya jubah Maghribi tanpa burnous). Kami turut menuju ke masjid bersama dengan beliau. Kami turut memasuki masjid melalui pintu imam di sebelah belakangnya.

Pertama kali aku di Maghribi mendengar azan yang dilaungkan sebanyak tiga kali dan salah seorang muazzinnya adalah kanak-kanak. Bunyinya cukup syahdu kerana digunakan 2 lagu azan iaitu yang pertamanya lagu Maghribi dan keduanya adalah lagu Syarqi. Almarhum bangkit menjadi khatib selepas itu dengan menyampaikan sebuah khutbah yang begitu bersemangat. Lahjah Darijah Maghribiyah (dialek Arab Maghribi) digunakan hampir sepenuhnya memandangkan audiennya lebih memahami bahasa tersebut.

Selepas tamatnya solat Jumaat, beliau duduk menghadap ke arah makmum dan para makmum mengelilinginya untuk meminta fatwa daripada beliau. Satu lagi pemandangan yang tidak pernah aku jumpai sama ada di Malaysia atau Maghribi sebelum itu. Pelbagai pertanyaan diajukan kepada beliau dan beliau menjawabnya dengan pantas tanpa membuang masa sehinggalah si penyoal tadi berpuas hati. Allahu Akbar! Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya....

Selepas selesai sesi soal jawab tadi, beliau pulang ke rumah bersama kami untuk menjamu selera. Selepas itu beliau kembali semula ke universiti untuk menyiapkan tugasannya di sana. Perjumpaan kali kedua ini, kami tidak bermalam di sana kerana masih banyak perkara yang kami perlu selesaikan di Kenitra.

Perjumpaan kali ketiga sekitar tahun 2004, beliau datang ke Malaysia bagi satu seminar yang diadakan di sini. Beliau datang bersama rakannya yang banyak menterjemah karya tulisan Badi'uzzaman Said al-Nursi yang berbahasa Turki ke dalam bahasa Arab. Kami sempat berbual-bual di sana beberapa lama dan itulah perpisahan yang terakhir.

Aku terbaca tentang berita kematiannya dalam dua hari lepas dari blog seorang rakan. Pada waktu itu, aku berada di Makkah dalam proses menunaikan haji. Jadi cerita ini begitu lambat sampai kepadaku. Sebenarnya ikatan perjuangan ini tidak akan terhenti setakat ini sahaja. Namun jasa dan sumbangan beliau dalam menyampaikan ilmu dan dakwahnya pasti berterusan. Walaupun aku tidak pernah menadah telinga mendengar kuliah-kuliahnya, tetapi semangat yang beliau tonjolkan kepada kami cukup memberi kesan.

Ribuan artikel ditulis oleh beliau dalam Akhbar al-Tajdid yang sebelum itu dikenali sebagai al-Rayah. Ribuan syair dan seloka yang beliau paparkan di dalam buku dan juga kolum akhbar. Nama beliau dikenali oleh setiap Islamis di Maghribi hingga ke Eropah hatta segelintirnya di Malaysia. Morlanya, Jadilah setinggi mana pun kemasyhuran anda, namun anda tidak sepatutnya merasa sombong dan bangga diri.

Semoga Allah menempatkan beliau di kalangan hambaNya yang mulia. Amin ya Rabb!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan